Bolton Wanderers tidak pernah menang tiga pertemuan terakhir mereka dengan Manchester United dan apakah pertembungan di Reebok Stadium awal pagi nanti akan menyaksikan rekod tersebut berterusan. Sejak musim 2001/02, pertemuan United-Bolton sudah berlangsung sebanyak 10 kali di mana rekod memihak kepada skuad Red Devils yang mencatat 10 kemenangan, 3 seri dan sekali kalah. Semangat tinggi untuk meneruskan momentum kemenangan dalam diri barisan muda United pastinya sukar disekat dan Bolton tampak akan menjadi mangsa seterusnya. United sudah mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan awal mereka dan menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris. Biarpun berkongsi sembilan mata dengan jiran mereka, Manchester City, United memiliki kelebihan jaringan gol berbanding skuad bimbingan Roberto Mancini. Perlawanan ini juga pastinya menjadi ujian buat barisan muda United terutamanya penjaga gol mereka, David de Gea yang bakal berhadapan dengan asakan-asakan keras dari barisan penggempur lawan yang diketuai Kevin Davies. Biarpun mempamerkan aksi mantap ketika pertemuan dengan Arsenal dua minggu lalu, masih ramai yang meragui keupayaan de Gea mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan Edwin van der Sar musim ini.
Kapten Bolton, Kevin Davies pastinya sedar dengan sedikit rasa gugup yang dimiliki pemain muda seperti de Gea, apatah lagi beraksi buat pertama kali dalam saingan liga utama di Eropah seperti Liga Perdana Inggeris. Davies sudah membayangkan, kemampuan barisan pertahanan muda United dan de Gea bakal diuji dengan taktik hantaran-hantaran bola tinggi ke kawasan pintu gol, taktik yang memang sudah sinonim dengan pasukan bimbingan Owen Coyle ini. Perlawanan ini juga bakal menyaksikan kelibat Javier Hernandez kembali dalam kesebelasan utama United. Hernandez yang diketepikan selama beberapa minggu kerana mengalami masalah gegaran otak bakal bergandingan semula dengan Wayne Rooney di barisan serangan United. Kehadiran semula Hernandez yang menyumbangkan 20 gol musim lalu dilihat tepat pada masanya selepas Danny Welbeck terpaksa diketepikan selama lima minggu kerana masalah hamstring. Perlawanan ini juga bakal menyaksikan apakan sentuhan berbisa gandingan Ashley Young dan Wayne Rooney akan berterusan buat United. Gandingan Rooney dan Young sudah menghasilkan tujuh gol buat United setakat ini turut menjadi teras kepada skuad England dalam saingan kelayakan Euro 2012. Rooney dan Young masing-masing telah menyumbang tiga gol buat England dalam dua perlawanan terakhir skuad Three Lions menentang Bulgaria dan Wales. Berhadapan dengan lawan seperti Bolton di gelanggang mereka, Stadium Reebok bukanlah satu tugas mudah buat barisan muda United. Musim lalu United memerlukan jaringan penyamaan dari Michael Owen untuk mengikat Bolton 2-2 di gelanggang ini dan gol tunggal Dimitar Berbatov di penghujung perlawanan pula memastikan United meraih tiga mata di Old Trafford. Selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut di awal musim, apakah frasa `lambat panas' masih sesuai digunakan untuk barisan United musim ini? Apa yang nyata, darah muda dalam skuad United kali ini telah memberikan kelainan ketara pada corak saingan mereka di awal musim. Tidak seperti musim lalu, United begitu garang di awal musim dan semoga akan terus garang hingga ke akhir musim...Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Chris Smalling, Phil Jones, Jonny Evans, Patrice Evra, Ashley Young, Nani, Tom Cleverley, Anderson, Javier Hernandez & Wayne Rooney
Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Chris Smalling, Phil Jones, Jonny Evans, Patrice Evra, Ashley Young, Nani, Tom Cleverley, Anderson, Javier Hernandez & Wayne Rooney
Tiada ulasan:
Catat Ulasan