08 Januari 2012

SCHOLES DAN VDS KEMBALI BERAKSI SEMULA?


Selepas Paul Scholes mengumumkan bahawa dia sedia kembali semula dari persaraan jika Sir Alex Ferguson benar-benar serius mahukan khidmatnya, kini giliran Edwin Van Der Sar pula melakukan kejutan yang sama.  Scholes yang bulan lalu cuba dipujuk oleh Sir Alex Ferguson supaya kembali semula memperkuatkan bahagian tengah United, mengumumkan dia bersetuju kembali semula menyarung jersi merah keramat United.  Kelibat bekas pemain tengah berpengaruh England itu nyata begitu di tagih Ferguson yang mendapati pasukannya kehilangan kreativiti di bahagian tengah selepas Tom Cleverley terpaksa berehat panjang akibat kecederaan manakala usaha mendapatkan Wesley Sneijder pula seakan-akan menemui jalan buntu.  Ferguson ketika ini dilihat begitu terdesak untuk memperkuatkan bahagian tengah pasukan hingga timbul spekulasi penghijrahan Frank Lampard ke Old Trafford.  

Scholes yang mengumumkan persaraan pada 31 Mei lalu selepas menolak permintaan Ferguson supaya menunda hasratnya untuk bersara kini dikatakan bersedia menyertai semula United bila-bila masa sebaik jendela perpindahan Januari dibuka.  Sementara itu Van der Sar juga melakukan kejutan yang sama apabila mengumumkan dia sedia kembali semula dari persaraan sebaik tamat perlawanan persahabatan tahun baru antara bekas pemain antarabangsa Belanda dengan kelab amatur Royal HFC.  Selepas mengumumkan persaraan secara rasmi pada bulan Ogos lalu, Van der Sar sebaliknya mengatakan bahawa dia bersedia untuk kembali semula ke saingan bolasepak kompetitif.  "Setelah memikirkan sejenak, rancangan untuk kembali dari persaraan kembali bermain difikiran dan saya senang jika dapat bermain semula", kata Van der Sar.  United ketika ini ternyata masih bergelut mencari pengganti kepada penjaga gol veteran berusia 41 tahun itu apabila David de Gea yang sebelumnya dikatakan bakal meneruskan kehebatan penjaga gol Belanda itu gagal memberikan prestasi yang diharapkan.  Anders Lindegaard yang digunakan Ferguson selepas meletakkan de Gea di bangku simpanan juga dilihat masih kurang bersedia mewarisi posisi yang pernah dikawal oleh lagenda seperti Peter Schmeichel dan Van der Sar sendiri.  Sememangnya kelibat dua veteran itu jelas masih dirindui dan jika kedua-duanya mengambil keputusan untuk keluar dari persaraan kepulangan mereka ke Old Trafford pastinya dinantikan dengan penuh minat.  Glory Glory Manchester United!!

PREVIEW: MANCHESTER CITY lwn MANCHESTER UTD



`Balas dendam' menjadi topik paling hangat menjelang pertembungan derby Manchester di pusingan ketiga Piala FA malam nanti.  Tewas 1-6 kepada City dalam saingan liga musim ini di Old Trafford serta 0-1 di peringkat separuh akhir saingan Piala FA musim lalu tentunya masih segar difikiran barisan Sir Alex Ferguson.  Sekalipun diramalkan berdepan laluan sukar di Eastlands jika mengambilkira prestasi United di dalam saingan liga selepas mereka tewas dua perlawanan terakhir, rekod tidak tewas tiga perlawanan berturut-turut dalam tempoh 11 tahun mungkin bolah menghadirkan sedikit penawar.  Ini juga mungkin merupakan derby paling panas buat dua pasukan dari Manchester itu selepas menyaksikan mereka menguasai saingan Liga Perdana Inggeris ketika ini.  City dan United mendominasi puncak liga dengan kelab mewah bimbingan Roberto Mancini itu memiliki kelebihan tiga mata di tangga teratas berbanding United.  Barisan City akan melangkah masuk ke gelanggang mereka malam nanti dengan keyakinan tinggi hasil kekuatan yang dibina melalui wang yang disalurkan tanpa batas oleh pemilik kelab, Sheikh Mansour.  Di pihak United pula, mereka tentunya tidak akan hanya berdiam diri membenarkan skuad yang dilabel Ferguson sebagai `jiran yang bising' terus melaungkan bahawa mereka adalah kelab utama di kota Manchester ketika ini.  Berbekalkan pengalaman berhadapan dengan pelbagai tekanan sebelum ini, mungkin ini adalah detik terbaik buat skuad The Red Devils membuktikan bahawa mereka masih wajar dihormati meskipun sedar City masih kekal dengan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri musim ini.  Untuk menewaskan City, United harus segera melupakan kekecewaan di dua perlawanan terakhir mereka dan segera meningkatkan tahap permainan bagi mengelak tewas buat kali ketiga.  Dengan ketiadaan Chris Smalling, Jonny Evans, Nemanja Vidic dan Fabio da Silva di barisan pertahanan, Ferguson harus memikirkan cara terbaik bagi mengelak barisan pertahanannya dari terus melakukan kesilapan.  City pula bakal kehilangan Mario Balotelli yang mengalami kecederaan pergelangan kaki manakala Gareth Barry pula akan menjalani penggantungan automatik akibat layangan kad merah.  Ketiadaan Kolo dan Yaya Toure yang terpaksa melapor diri untuk kem latihan pasukan kebangsaan Ivory Coast bagi menghadapi Kejohanan Piala Negara-negara Afrika juga meresahkan Mancini sambil berharap Edin Dzeko dan Samir Nasri sempat pulih dari kecederaan.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Phil Jones, Rafael da Silva, Ryan Giggs, Anderson, Michael Carrick, Nani, Dimitar Berbatov & Wayne Rooney

07 Januari 2012

UNITED NAFI AKAN JUAL ROONEY


Manchester United dan Wayne Rooney mengeluarkan kenyataan bersama menafikan laporan media tentang penyerang England itu akan meninggalkan Old Trafford.  Spekulasi tersebar apabila akhbar The Independent dalam edisi Sabtu mengeluarkan laporan bahawa Rooney telah diberikan keizinan untuk meninggalkan kelab.  Bagaimanapun pihak pengurusan United dan Rooney sendiri pantas menafikan laporan akhbar terbabit sambil menyifatkan ianya sekadar spekulasi tidak berasas.  "Laporan bahawa Manchester United setuju untuk melepaskan Rooney adalah sesuatu yang mengarut", menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh United.  Rooney juga segera memberikan maklumbalas tentang isu berkenaan melalui akaun Twitter miliknya dengan mengatakan tiada sebarang masalah antara dia dengan Sir Alex Ferguson, walaupun dia tidak diturunkan ketika United tewas kepada Blackburn Rovers kerana tindakan disiplin.  "Pengurus dan saya tidak mempunyai sebarang masalah.  Laporan The Independent tentang masa depan saya bersama United adalah sampah. Perlu saya tegaskan, komitmen saya bersama kelab ketika ini cukup tinggi", kata Rooney.  Glory Glory Manchester United!!!

06 Januari 2012

UNITED IKUTI PERKEMBANGAN CAHILL


Manchester United diberitakan sedang mengikuti dengan penuh minat perkembangan pertahanan Bolton Wanderers yang menjadi sasaran Chelsea ketika ini.  Bolton sudahpun bersetuju dengan tawaran sebanyak 7 Juta Pound yang dikemukakan Chelsea untuk mendapatkan Gary Cahill namun pertahanan England itu dikatakan tidak bersetuju dengan terma-terma peribadi pada tawaran pertama.  Cahill dikatakan menuntut gaji sebanyak 100,000 Pound seminggu manakala Chelsea pula hanya menawarkan 70,000 Pound seminggu.  Perkembangan terkini tonggak pertahanan Bolton itu nyata menarik minat kem United untuk memperkuatkan benteng selepas mereka kehilangan Nemanja Vidic untuk keseluruhan baki saingan musim ini.  Dengan Rio Ferdinand sering dilanda kecederaan, Chris Smalling dan Jonny Evans yang masih berada dalam senarai bilik rawatan, manakala Phil Jones pula sering digunakan di bahagian tengah, kelibat Cahill dilihat sebagai alternatif terbaik buat Ferguson mengatasi kelonggaran benteng pertahanannya.  Walaupun sebelumnya lantang menegaskan tidak akan mengeluarkan walau 1 Pound sekalipun untuk mendapatkan pemain baru, Ferguson mungkin terpaksa menelan semula kata-katanya selepas menyaksikan barisan pemainnya dua kali diaibkan dalam saingan liga.  United tewas 2-3 kepada Blackburn Rovers yang bergelut di zon penyingkiran dan Ferguson kemudiannya sekali lagi terpaksa menelan hakikat beliau memang memerlukan `nafas baru' dalam pasukan selepas tewas kepada Newcastle United (0-3).  Glory Glory Manchester United!!!

GIGGS SASAR KEMENANGAN KE ATAS CITY


Lagenda Manchester United, Ryan Giggs menyeru rakan sepasukannya supaya segera bangkit menebus dua kekalahan lalu dengan menyingkirkan Manchester City dari saingan Piala FA musim ini.  United dan City bakal membuat perhitungan di pusingan ketiga kejohanan kalah mati itu Ahad ini.  Kekalahan United kepada Newcastle United semalam membolehkan City menjarakkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Perdana dengan kelebihan tiga mata.  Sekalipun diaibkan dengan dua kekalahan berturut-turut, sesuatu yang memang jarang berlaku ke atas The Red Devils, Giggs bertekad untuk menyingkirkan `jiran yang bising' itu bagi memulihkan semula maruah yang sudah tercalar.  Namun begitu, Giggs juga sedar kunjungan ke Stadium Etihad bukanlah satu tugas yang mudah mengambilkira rekod tanpa kalah City di gelanggang sendiri musim ini. "Statistik jaringan kami musim ini cukup bagus, semoga kami mampu menjaringkan gol seperti biasa.  Tiada sesiapa pun yang suka dan inginkan kekalahan tetapi perkara ini boleh saja berlaku kepada mana-mana pasukan", kata Giggs.  Giggs nyata teruja dengan suasana perlawanan setiap kali berdepan jiran mereka itu dan dengan dokongan ribuan penyokong United yang akan bertandang ke Etihad, pemain terbaik sepanjang zaman United itu yakin skuad The Red Devils akan memperolehi keputusan positif di sana.  Glory Glory Manchester United!!!

05 Januari 2012

FERGUSON: USAH PANIK


Manchester United menerima kekalahan kedua berturut-turut mereka dalam saingan liga selepas tewas 0-3 kepada Newcastle United di Sports Direct Arena awal pagi tadi.  Selepas tewas kepada Blackburn Rovers di gelanggang sendiri Sabtu lalu, barisan The Red Devils sekali lagi terpaksa menelan kepahitan dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.  Dua kekalahan berturut-turut sesuatu yang jarang sekali berlaku ke atas United dan individu yang paling kecewa tentunya Sir Alex Ferguson, apatah lagi mereka dalam usaha mengejar pendahulu ketika ini, Manchester City.  Bukan setakat itu, posisi United di tangga kedua juga semakin dihampiri Tottenham Hotspurs yang ketinggalan tiga mata tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan. Seperti yang dijangka, Ferguson menurunkan skuad terkuat yang pernah dimilikinya sejak beberapa perlawanan yang lalu namun tetap gagal menyekat tuan rumah dari meraih tiga mata penuh.  Demba Ba membuka tirai jaringan diminit ke-33 hasil hantaran jauh Shola Ameobi manakala Yohan Cabaye meletakkan tuan rumah selesa di depan hasil sepakan percuma menarik diminit ke-48.  Phil Jones melengkapkan hari derita United apabila menjaringkan gol sendiri diminit ke-90 sekaligus menimbulkan persoalan benarkah apa yang dikatakan Ferguson sebelum ini bahawa tiada sebarang pemain baru yang akan dibawa masuk Januari ini.  Ferguson sebaliknya meminta pemain-pemainnya tidak panik atas kekalahan ini dan yakin pengalaman berdepan tekanan akan membantu United selepas ini.  "Secara normal kami memang jarang menerima kekalahan secara berturut-turut tetapi yang positifnya kami menerima beberapa pemain kembali ke dalam pasukan.  Ini bukan waktunya untuk panik dan kami berpengalaman untuk mengatasinya", kata Ferguson.  Glory Glory Manchester United!!!

04 Januari 2012

PREVIEW: NEWCASTLE UTD lwn MANCHESTER UTD


Selepas menyaksikan pasukannya tewas mengejut kepada Blackburn Rovers hujung minggu lalu, Sir Alex Ferguson kini berharap beliau mampu menurunkan beberapa pemain utama ketika pasukannya berkunjung ke Stadium Sports Direct Arena awal pagi nanti.  Ferguson yang menggunakan Michael Carrick, Phil Jones, Antonio Valencia dan Patrice Evra di benteng pertahanan terpaksa menelan kepahitan selepas menyaksikan pasukannya tewas 2-3 kepada Rovers, Sabtu lalu.  Untuk itu, Ferguson yang menyambut ulang tahun ke-70 minggu lalu pastinya tidak mahu melakukan kesilapan yang sama sambil berharap Rio Ferdinand dan Chris Smalling kembali memperkuatkan benteng The Red Devils.  Kelibat Ryan Giggs bakal ditagih Ferguson di bahagian tengah dan  veteran United itu bakal digandingkan semula dengan Michael Carrick manakala Anderson yang kembali beraksi minggu lalu selepas lama diketepikan akibat kecederaan lutut mungkin sekali lagi diletakkan sebagai pemain gantian.  Anderson yang beraksi sepanjang separuh masa kedua ketika berdepan Rovers dilihat mampu mengharungi perlawanan dengan baik biarpun sebelumnya terpaksa diketepikan selama hampir dua bulan. 

 "Kami berusaha keras memastikan Rio Ferdinand dan Ryan Giggs dapat diturunkan pada perlawanan Rabu ini.  Kondisi Anderson juga lebih baik dan dia bermain selama 45 minit minggu lalu manakala Wayne Rooney tentu saja akan diturunkan semula", kata Ferguson.  Rooney yang digugurkan Ferguson dari senarai pemain Sabtu lalu bakal mejadi taruhan di bahagian depan bersama Dimitar Berbatov yang kembali menemui sentuhan jaringannya ketika ini.  Penyerang Bulgaria itu sudah menjaringkan lima gol dalam dua penampilan terakhir termasuk hatrik ketika United membenam Wigan Athletic, 26 Disember lalu.  Sementara itu, Newcastle United pula merakam catatan unik apabila tidak pernah menang di gelanggang sendiri sejak penjenamaan semula stadium St James Park.  Sejak secara rasmi menggunakan nama Sports Direct Arena pada 9 November lalu, skuad Alan Pardew tewas kepada Chelsea dan West Bromwich Albion serta dipaksa berkongsi mata dengan Swansea City, sedangkan rekod mereka digelanggang sendiri sebelumnya begitu ampuh.  Walaupun lawan tewas 1-3 kepada Liverpool pada perlawanan terakhir mereka namun United harus waspada dengan ancaman yang bakal dihadirkan barisan tuan rumah terutamanya dari penyerang berbisa mereka, Demba Ba.  Penyerang Senegal itu yang sudah menjaringkan 14 gol dalam liga setakat ini bakal muncul ancaman besar terhadap benteng pertahanan United.  Rekod lima pertemuan kedua-dua pasukan sejak 2008 memihak kepada United yang menang dua dan seri tiga kali.

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Phil Jones, Antonio Valencia, Nani, Michael Carrick, Ryan Giggs, Park Ji-Sung, Wayne Rooney & Dimitar Berbatov