Manchester United memulakan kempen pra-musim mereka dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas kelab Afrika Selatan, AmaZulu. Bermain di hadapan lebih 50,000 penonton di Stadium Moses Mabhida, jaringan tunggal Federico Macheda di pertengahan babak pertama kekal hingga tamat 90 minit permainan. Sir Alex Ferguson memberikan peluang buat beberapa pemain muda seperti Federick Veseli, Jesse Lingard, Robbie Brady, Scott Wootton, Ryan Tunnicliffe, Davide Petrucci, Tyler Blackett, Nick Powell dan Marnick Vermijl tampil dalam perlawanan ini yang turut disaksikan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela. Bintang antarabangsa Jepun, Shinji Kagawa pula diletakkan di bangku simpanan sebelum dimasukkan di separuh masa kedua menggantikan Javier Hernandez. Perlawanan pra-musim United seterusnya Di Afrika Selatan ialah menentang Ajax Amsterdam pada 21 Julai di Stadium Cape Town. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
19 Julai 2012
17 Julai 2012
10 JUTA POUND UNTUK BAINES
Manchester United diberitakan sudah bersedia membuat tawaran sebanyak 10 juta Pound bagi mendapatkan bintang Everton, Leighton Baines, meskipun kelab Merseyside itu dikatakan meletakkan tandaharga sebanyak 15 juta pound ke atas pemain itu. Jika Everton tidak berganjak dengan harga yang telah mereka letakkan ke atas Baines, United berkemungkinan besar membatalkan hasrat mereka dan mengalihkan sasaran kepada pemain lain. Sir Alex Ferguson dilihat agak terdesak mencari pengganti jangka panjang kepada Patrice Evra selepas prestasi pemain antarabangsa Perancis itu dilihat sedikit menurun musim lalu, manakala Fabio da Silva pula dipinjamkan ke Queens Park Rangers untuk jangkamasa panjang. Seorang lagi pemain muda yang diharapkan bakal mengisi kekosongan di sebelah kiri pertahanan, Ezekiel Fryers pula sudah menyertai Tottenham Hotspurs minggu lalu. Jika Ferguson benar-benar serius mahu mendapatkan tandatangan Baines, United dijangka akan mempercepatkan urusan penjualan bintang mereka yang semakin tersisih, Dimitar Berbatov. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
BERBA MAHU TINGGALKAN UNITED
Dimitar Berbatov mengatakan dia perlu meninggalkan Manchester United demi kebaikan semua pihak meskipun mengakui masih berminat untuk terus kekal di Old Trafford. Karier bekas penyerang antarabangsa Bulgaria itu di Old Trafford tampak semakin berada di penghujung selepas hanya membuat 12 penampilan dalam saingan liga dan menjaringkan tujuh gol sepanjang musim lalu. Setahun sebelumnya, Berbatov dijulang sebagai wira apabila muncul penjaring terbanyak Liga Perdana (musim 2010/11) dimana ketika itu United berjaya memadamkan rekod Liverpool dengan muncul juara liga buat kali ke-19. Berbatov yang dibawa dari Tottenham Hotspurs dengan nilai perpindahan sebanyak 30 juta Pound pada 2008, melihat ini adalah masih terbaik buatnya mencari pasukan lain memandangkan dia kini bukan lagi pilihan utama Sir Alex Ferguson di barisan hadapan. Kontrak Berbatov bersama United juga berbaki hanya setahun sahaja lagi dan pada usia 31 tahun, penyerang itu dilihat agak terdesak mencari kelab yang boleh memberikan jaminan tempat untuknya dalam kesebelasan utama. Terdapat juga laporan menyebut bahawa United sudah meletakkan tanda harga sebanyak 10 juta Pound kepada mana-mana kelab yang mahu mendapatkan khidmat Berbatov musim hadapan. Sepanjang kariernya di Old Trafford, Berbatov menjaringkan 48 gol dari 108 penampilan dan berjaya membantu United memang dua kejuaraan liga (musim 2008/09 dan 2010/11). Walau bagaimanapun masa depan Berbatov bersama United mula menjadi persoalan selepas dia diketepikan ketika aksi final Liga Juara-Juara 2011 menentang Barcelona di Wembley. Glory Glory Manchester United!!! -AJ
15 Julai 2012
AJAX TIDAK BERMINAT JUAL ERIKSEN
Sumber dari Belanda mengesahkan bahawa Ajax Amsterdam tidak berhajat menjual tonggak tengah mereka, Christian Eriksen kepada Manchester United. Laporan-laporan media sebelum ini hangat mengatakan bahawa Sir Alex Ferguson berminat membawa pemain antarabangsa Denmark berusia 20 tahun itu ke Old Trafford, namun jurulatih Ajax, Frank de Boer mahu terus mengekalkan pemain tengah dengan bakat teknikal itu di Amsterdam Arena. Juara Eredivisie itu nyata tidak mahu kehilangan seorang lagi tonggak utama mereka selepas Jan Vertonghen melengkapkan perpindahannya ke Tottenham Hotspurs minggu lalu. Spekulasi tentang masa depan Eriksen di Amsterdam Arena mencetuskan tandatanya selepas Ajax mendapatkan Lasse Schone minggu lalu. Schone bekas pemain NEC yang juga rakan senegara Eriksen merupakan pemain tengah, namun Ajax menegaskan, tujuan mereka mendapatkan Schone bukanlah untuk menggantikan tempat Eriksen. Spekulasi tentang perpindahan dan minat United terhadap Eriksen bertiup kencang sejak Januari lalu terutamanya selepas pertemuan kedua-dua pasukan di pentas Liga Europa. Gergasi Belanda itu bagaimanapun diberitakan mahu Eriksen menghabiskan baki kontraknya di Amsterdam Arena sehingga 2014. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
TAWARAN UNTUK MOURA DITOLAK
Tawaran Manchester United untuk mendapatkan khidmat Lucas Moura ditolak kelab pemain itu, Sao Paulo. Menurut Globo Esporte, United telah membuat tawaran bernilai 27 juta Pound untuk Moura sebelum mengadakan perbincangan dengan ejen pemain itu, Wagner Ribeiro dan Sao Paulo sendiri. United meningkatkan tawaran kepada 27 juta Pound selepas tawaran pertama mereka bernilai 16 juta Pound ditolak Sao Paulo. Moura dikatakan mempunyai klausa belian dalam kontraknya bernilai 67 juta Pound dan dipercayai Sao Paulo akan hanya melepaskan pemain itu jika menerima tawaran bernilai 40 juta Pound dari mana-mana kelab. Media-media di Brazil meramalkan United tidak akan meningkatkan bidaan mereka selepas tawaran kali kedua ini ditolak memandangkan mereka sendiri tidak bersedia mengeluarkan `perbelanjaan tidak masuk akal' untuk pemain yang hanya berusia 19 tahun. Presiden Sao Paulo sendiri dalam kenyataannya mengatakan bahawa mereka sedia mengambil risiko mengekalkan Moura dan menolak tawaran United. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
13 Julai 2012
DUA MASUK, DUA LAGI BAKAL MENYUSUL
Selepas memperkenalkan dua pemain baru (Shinji Kagawa dan Nick Powell), Sir Alex Ferguson mendedahkan bahawa beliau akan memasuki pasaran perpindahan semula sebelum bermulanya musim baru. Menurut Ferguson, kelab akan mendapatkan sekurang-kurangnya dua lagi pemain baru, tetapi bos United itu pantas menepis spekulasi yang mengaitkan kelab dengan pemain-pemain tertentu sebelum ini. Kejohanan Euro 2012 yang berlangsung baru-baru ini melambatkan usaha United mendapatkan pemain baru dan sebaik kejohanan empat tahun sekali itu berakhir, Ferguson yakin kelab akan mendapatkan seorang dari dua pemain yang telah mereka sasarkan sebelum ini dalam masa terdekat. Dalam kes Kagawa, rundingan dengan bekas kelab pemain itu, Borussia Dortmund berjalan selama beberapa minggu bagi mencari kesepakatan namun usaha mendapatkan Powell agak mudah selepas United mendapat kerjasama baik dari Dario Gradi (Pengarah Crewe Alexandra). Gradi mahu melihat karier Powell terus berkembang maju dan baginya United adalah tempat yang baik buat pemain muda itu. Powell mempunyai bentuk fizikal seperti Darren Fletcher yang tidak bermain sejak November lalu kerana masalah usus yang kronik dan Fletcher juga sudah dipastikan tidak sempat pulih untuk memulakan musim barunya bersama United. Bagaimanapun masih ada berita positif selepas seorang lagi pemain yang tersisih untuk jangka masa panjang, Anderson sudah sedia menyertai semula pasukan untuk perlawanan pra-musim nanti. Tahun ini, Anderson hanya tampil tiga perlawanan untuk United sebelum kembali tersisih kerana kecederaan lutut. Selepas tersisih agak lama, Anderson begitu teruja menyertai semula skuad utama dan berharap dia tidak lagi dibelenggu kecederaan musim hadapan. - AJ
KAGAWA BOLEH MAINKAN PERANAN UTAMA
Sir Alex Ferguson mengakui beliau masih kecewa atas kegagalan Manchester United mempertahankan kejuaraan liga musim lalu, namun masih ada senyuman pada wajahnya ketika sesi memperkenalkan dua pemain baru United semalam. Nick Powell pada usia 18 tahun masih perlukan masa untuk menjadi pemain yang lebih matang, tetapi Shinji Kagawa diharapkan dapat menyumbang sesuatu seperti apa yang dilakukannya ketika bersama Borussia Dortmund. Bekas pemain tengah Borussia Dortmund berusia 23 tahun itu adalah kekuatan utama disebalik kejayaan kelab itu muncul juara Bundesliga dua musim berturut-turut. Prestasi cemerlang Kagawa sepanjang dua musim bersama Dortmund menyakinkan Ferguson untuk membelanjakan 15 juta Pound kepada warga Jepun yang beliau percaya akan memberikan nafas baru kepada pasukannya. Jika rekod jaringan Kagawa di Bundesliga berjaya diteruskan, pemain ini boleh memainkan peranan utama dalam usaha United merampas semula kejuaraan liga dari seteru setempat mereka, Manchester City. Perlawanan pertama liga cukup penting untuk Kagawa dan pastinya dinantikan dengan penuh minat oleh penyokong-penyokong United. Dengan apa yang telah dicapainya bersama Dortmund dan skuad kebangsaan Jepun, Kagawa dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dalam formasi yang akan digunakan Ferguson nanti. Tidak keterlaluan juga ramai yang menjangka Kagawa boleh memberikan perbezaan besar kepada skuad The Red Devils berbanding prestasi mereka musim lalu. Malah sudah ada suara-suara `nakal' dari penyokong-penyokong United yang meletakkan Kagawa sebagai pemain penting United yang akan menerajui usaha merampas semula kejuaraan liga, sekaligus menutup mulut `jiran yang bising' itu. Musim depan, Ferguson dijangka meletakkan Kagawa di belakang penyerang utama, fungsi yang sama dimainkan Andres Iniesta bersama Barcelona. Jurulatih kebangsaan Jepun Alberto Zaccheroni tanpa ragu-ragu percaya, Kagawa adalah permata baru buat United. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Langgan:
Catatan (Atom)






