13 Julai 2012

KAGAWA BOLEH MAINKAN PERANAN UTAMA


Sir Alex Ferguson mengakui beliau masih kecewa atas kegagalan Manchester United mempertahankan kejuaraan liga musim lalu, namun masih ada senyuman pada wajahnya ketika sesi memperkenalkan dua pemain baru United semalam. Nick Powell pada usia 18 tahun masih perlukan masa untuk menjadi pemain yang lebih matang, tetapi Shinji Kagawa diharapkan dapat menyumbang sesuatu seperti apa yang dilakukannya ketika bersama Borussia Dortmund. Bekas pemain tengah Borussia Dortmund berusia 23 tahun itu adalah kekuatan utama disebalik kejayaan kelab itu muncul juara Bundesliga dua musim berturut-turut. Prestasi cemerlang Kagawa sepanjang dua musim bersama Dortmund menyakinkan Ferguson untuk membelanjakan 15 juta Pound kepada warga Jepun yang beliau percaya akan memberikan nafas baru kepada pasukannya. Jika rekod jaringan Kagawa di Bundesliga berjaya diteruskan, pemain ini boleh memainkan peranan utama dalam usaha United merampas semula kejuaraan liga dari seteru setempat mereka, Manchester City. Perlawanan pertama  liga cukup penting untuk Kagawa dan pastinya dinantikan dengan penuh minat oleh penyokong-penyokong United. Dengan apa yang telah dicapainya bersama Dortmund dan skuad kebangsaan Jepun, Kagawa dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dalam formasi yang akan digunakan Ferguson nanti. Tidak keterlaluan juga ramai yang menjangka Kagawa boleh memberikan perbezaan besar kepada skuad The Red Devils berbanding prestasi mereka musim lalu. Malah sudah ada suara-suara `nakal' dari penyokong-penyokong United yang meletakkan Kagawa sebagai pemain penting United yang akan menerajui usaha merampas semula kejuaraan liga, sekaligus menutup mulut `jiran yang bising' itu. Musim depan, Ferguson dijangka meletakkan Kagawa di belakang penyerang utama, fungsi yang sama dimainkan Andres Iniesta bersama Barcelona. Jurulatih kebangsaan Jepun Alberto Zaccheroni tanpa ragu-ragu percaya, Kagawa adalah permata baru buat United. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan