Khabar tentang minat Manchester United terhadap penyerang Brazil, Neymar dinafikan kelab pemain itu Santos. Semalam, The Sun melaporkan United berminat membawa Neymar ke England dengan tawaran sebanyak 38 juta Pound pada hari terakhir jendela perpindahan pemain dibuka. Jika benar apa yang didakwa akhbar itu dan tawaran United diterima Santos, perpindahan Neymar akan menjadi pembelian termahal United mengatasi apa yang mereka bayar ketika membawa Dimitar Berbatov dari Tottenham Hotspurs pada 2008. Walau bagaimanapun usaha United itu menemui kegagalan selepas Neymar menegaskan dia ingin kekal beraksi di Brazil hingga Piala Dunia 2014. Spekulasi itu bagaimanapun dinafikan Pengerusi Santos, Filipe Faro yang mengatakan apa yang digembar-gemburkan oleh media-media di England sebagai tidak benar. "Saya tidak tahu bagaimana berita itu muncul, ia tidak benar sama sekali" kata Faro. Neymar merupakan antara pemain bolasepak paling diburu di dunia. Kehebatannya yang berjaya menjaringkan 113 gol dari 190 penampilan bersama Santos menarik kelab-kelab gergasi Eropah lain seperti Real Madrid dan Barcelona untuk mendapatkan khidmatnya. Walau bagaimanapun, pemerhati dan peminat bolasepak terpaksa menunggu hingga berakhirnya pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil untuk menyaksikan kelab Eropah mana yang akan disertai bintang sensasi skuad Samba itu. Glory Glory Manchester United!!!
06 September 2012
HENRIQUEZ SERTAI UNITED SECARA RASMI
Manchester United membawa seorang lagi penggempur musim ini selepas secara rasmi mengikat penyerang muda dari Chile, Angelo Henriquez semalam. Pemain berusia 18 tahun itu akhirnya berjaya mencapai impiannya untuk menyertai United selepas permohonan visa dan permit kerjanya diluluskan. Henriquez pada mulanya dijangka menandatangai kontrak secara rasmi pada penghujung bulan Ogos, namun masalah kelulusan visa dan permit kerja menyaksikan proses perpindahan bekas pemain Universidad de Chile itu tergendala. Henriquez akan menggunakan jersi nombor 21 dan buat permulaan pemain itu akan menyertai skuad U-21 United bagi menimba pengalaman dan merasai suasana saingan bolasepak England. Henriquez dalam kenyataannya mengatakan bahawa dia gembira proses perpindahan itu akhirnya berjaya dilaksanakan dan tidak sabar bermain untuk The Red Devils. "Saya gembira menyertai kelab terbesar di dunia. Manchester United adalah kelab yang luar biasa dan memiliki pengurus yang hebat", kata Henriquez. Sir Alex Ferguson tertarik dengan kemampuan Henriquez ketika mewakili Universidad di mana pemain itu menjaringkan 11 gol dari 17 penampilan bersama kelab Chile itu. Kepantasan dan kemampuan membaca permainan buat pemain muda sepertinya nyata mengagumkan Ferguson hingga mendorong bos United itu menghantar wakil ke Chile untuk memancing bintang muda itu ke Old Trafford. Reputasi Ferguson dalam mengembangkan bakat-bakat muda menjadi faktor utama mendorong Henriquez memilih Old Trafford sebagai destinasi untuknya mengembangkan karier walaupun bakatnya turut menjadi perhatian jiran United, Manchester City. Glory Glory Manchester United!!!
05 September 2012
SENARAI PEMAIN KE LIGA JUARA-JUARA 2012/13
Manchester United telah memilih 25 pemain untuk kempen mereka di Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Darren Fletcher yang bertarung dengan penyakit usus kronik juga turut disenaraikan dalam kempen kali ini. United diletakkan dalam Kumpulan H yang turut dihuni Galatasaray (Turki), Sporting Braga (Portugal) dan CFR Clug (Romania). Perlawanan pertama United dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini ialah menentang Galatasaray di Old Trafford pada 20 September. Keseluruhannya United menyenaraikan 33 pemain termasuk dari skuad Liga Simpanan mereka. Berikut adalah senarai pemain-pemain untuk saingan Liga Juara-Juara 2012/13:
Penjaga Gol: David de Gea, Anders Lindegaard & Sam Johnstone*
Pertahanan: Rafael da Silva, Phil Jones, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Chris Smalling, Nemanja Vidic, Alexander Buttner, Marnick Vermijl* & Michael Keane*
Tengah: Antonio Valencia, Ryan Giggs, Michael Carrick, Ashley Young, Paul Scholes, Tom Cleverley, Darren Fletcher, Shinji Kagawa, Nick Powell, Larnell Cole*, Jesse Lingard* & Ryan Tunnicliffe*
Penyerang: Wayne Rooney, Javier Hernandez, Danny Welbeck, Robin Van Persie, Federico Macheda* & Joshua King*
Nota: * adalah pemain dari skuad Liga Simpanan
04 September 2012
UNITED DAN CITY SERIUS PANTAU SITUASI TERKINI CR7
Manchester United dan Manchester City diberitakan sedang bersiap sedia memantau perkembangan terkini pergolakan yang berlaku antara Cristiano Ronaldo dan kelabnya Real Madrid. Ronaldo menunjukkan reaksi tidak gembira selepas membantu kelabnya menewaskan Granada 3-0 dalam perlawanan liga kelmarin biarpun dia menjaringkan dua gol sekaligus koleksi gol ke-150 untuk kelab dalam perlawanan tersebut. Ronaldo mendakwa dia kurang gembira kerana `isu profesionalisme' dan situasi ini mengundang berbagai reaksi dari pihak luar mahupun pihak pengurusan Real Madrid sendiri. Paling menarik ialah komen dari bekas pemain antarabangsa Portugal, Paulo Futre yang mendakwa tindakan dilakukan Ronaldo itu bukanlah bertujuan mahu mendapatkan kontrak baru yang lumayan dari Real Madrid, tetapi sebaliknya Ronaldo merasakan dirinya kurang mendapat sokongan dari pihak kelab. Bagi bekas pemain Real Madrid, Roberto Carlos pula, reaksi yang ditunjukkan Ronaldo mungkin berkaitan dengan kekecewaannya tewas kepada Andres Iniesta dalam pemilihan Pemain Terbaik Eropah. Menurut berita-berita yang diterbitkan di Sepanyol, pemain berusia 27 tahun itu sudahpun menyampaikan hasratnya kepada Florentino Perez (Presiden Real Madrid) untuk berhijrah dari Santiago Bernabeu. Pihak Real sendiri sudahpun memanggil agen pemain itu, Jorge Mendes untuk mengetahui situasi sebenar yang dialami Ronaldo. "Saya tidak akan bercakap tentang perkara ini dan hanya akan menumpukan kepada pasukan kebangsaan Portugal. Pihak pengurusan kelab tahu tentang perkara ini. Saya tidak mahu berkata apa-apa lagi kerana ada perkara yang lebih penting perlu saya lakukan", kata Ronaldo berkaitan hubungan dengan Real Madrid ketika ini. Sir Alex Ferguson yang begitu berat melepaskan bintang Portugal itu dari meninggalkan Old Trafford pada 2009 kini berpeluang bekerjasama semula dengan Ronaldo selepas situasi terkini berlaku antara Pemain Terbaik FIFA 2008 itu dengan kelabnya. Jiran United, City juga dikatakan serius memantau situasi ini dan merasakan mereka mempunyai kemampuan terutamanya dari segi kewangan untuk membawa Ronaldo kembali beraksi di England. Glory Glory Manchester United!!!03 September 2012
PUJIAN BUAT VAN PERSIE
Hatrik Robin Van Persie membuatkan Sir Alex Ferguson tersenyum, apatah lagi perlawanan menentang Southampton malam tadi merupakan perlawanan istimewa buat pengurus United itu. Kunjungan ke Stadium St Mary merupakan perlawanan ke-1000 buat Ferguson sebagai pengurus United dan tambah manis apabila menyaksikan skuadnya bangkit selepas ketinggalan dua kali kepada tuan rumah untuk mambawa pulang tiga mata penuh. Van Persie nyata menjadi igauan buat Southampton selepas penyerang antarabangsa Belanda itu menafikan hajat tuan rumah untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan ini. Sebaik tamat perlawanan, Ferguson pantas memuji penampilan penyerang barunya itu. "Tentu saja Van Persie bermain dengan begitu fantastik, namun kemasukkan Paul Scholes benar-benar mengubah permainan kami", kata Ferguson. Scholes masuk menggantikan Tom Cleverley diminit ke-61 ketika United ketinggalan 1-2 kepada tuan rumah, dan kelibat bintang veteran itu ternyata berjaya mengubah rentak permainan secara keseluruhannya. Dalam tempoh yang singkat Scholes menggunakan sepenuhnya pengalaman yang ada pada dirinya untuk mengubah situasi dan gerakan serta hantaran veteran itu kepada barisan hadapan United menghadirkan masalah buat benteng tuan rumah. Bagaimanapun pujian pastinya ditujukan buat Van Persie yang tampil luar biasa dengan jaringan hatriknya malam tadi. Glory Glory Manchester United!!!
REVIEW: HATRIK RVP PADA PERLAWANAN ISTIMEWA FERGIE
Robin Van Persie muncul bintang utama pada perlawanan istimewa ke-1000 Sir Alex Ferguson sebagai pengurus United apabila menjaringkan hatrik di Stadium St Mary malam tadi. United bangit menewaskan Southampton 3-2 selepas ketinggalan dua kali kepada tuan rumah sekaligus mengulangi pencapaian buruk The Saints dalam tempoh 11 tahun yang gagal mengutip sebarang mata pada tiga perlawanan awal liga. Hatrik yang dirakam Van Persie turut menyaksikan bekas penyerang Arsenal itu sudah menjaringkan 100 gol dalam penampilan liga selain meletakkan beliau berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak bersama penyerang Swansea, Michu dengan 4 gol. Perlawanan berlangsung agak seimbang dengan bola lebih banyak tertumpu di bahagian tengah padang. United dikejutkan dengan jaringan Rickie Lambert di minit ke-16, namun penyudah kelas dunia Van Persie tujuh minit kemudian kembali mengikat kedudukan. Di separuh masa kedua, The Saints sekali lagi berada di hadapan hasil tandukan Morgan Schneiderlin di minit ke-55 yang memanfaatkan kesilapan Patrice Evra selepas pertahanan kiri United itu tergelincir. United berpeluang menyamakan kedudukan diminit ke-69 apabila pengadil Mike Dean menghadiahkan sepakan penalti selepas Van Persie dikasari Jos Hooiveld. Bagaimanapun sepakan lemah Van Persie berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Kelvin Davis. Di penghujung saingan United berdepan kemungkinan pulang dengan tangan kosong selepas asakan bertali arus mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan tuan rumah hinggalah Van Persie muncul wira dengan dua jaringan dalam tempoh lima minit. Gol diminit ke-87 dan 92 itu sudah cukup untuk memastikan United pulang dengan tiga mata penuh dan gol ketiga Van Persie pula merupakan koleksi gol ke-100 pemain itu dalam kancah Liga Perdana. Kemenangan ini juga melonjakkan United di tangga kelima liga dengan enam mata dari tiga perlawanan. Glory Glory Manchester United!!!
02 September 2012
PREVIEW: SOUTHAMPTON lwn MANCHESTER UTD
Sir Alex Ferguson akan mengendalikan perlawanan ke-1000 untuk Manchester United hari ini ketika pasukannya berkunjung ke Stadium St Mary menentang Southampton pada perlawanan liga ketiga mereka musim ini. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada Januari 2011 dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA, di mana United menewaskan tuan rumah 2-1 hasil jaringan Michael Owen dan Javier Hernandez. Kelibat Shinji Kagawa dan Robin Van Persie pasti sekali lagi menjadi tumpuan pada perlawanan malam ini selepas kedua-duanya berjaya menjaringkan gol sulung masing-masing untuk United ketika menang ke atas Fulham minggu lalu. Van Persie bakal menggalas tugas sebagai penggempur utama selepas ketiadaan Wayne Rooney yang terpaksa diketepikan selama 2 bulan kerana kecederaan. Bagi tuan rumah pula, perlawanan ini cukup penting buat mereka selepas gagal mengutip sebarang mata pada dua perlawanan terdahulu. Keupayaan The Saints memberikan tentangan sengit kepada juara bertahan, Manchester City sebelum terpaksa mengalah hasil jaringan kemenangan Samir Nasri perlu diberi perhatian barisan The Red Devils. Benteng pertahanan United sekali lagi menjadi fokus utama selepas mereka kehilangan khidmat Rio Ferdinand, Chris Smalling, Phil Jones dan Jonny Evans di awal musim hingga memaksa Ferguson menggunakan Michael Carrick di bahagian tengah pertahanan. Apapun malam ini, khidmat Jonny Evans dijangka boleh digunakan Ferguson untuk diletakkan bersebelahan Vidic selepas pemain itu diberitakan sudah pulih dari kecederaan. Bagaimanapun Evans perlu segera memulihkan semula prestasinya berikutan pemain pertahanan itu sudah tidak beraksi agak lama. Rekod empat pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan di Stadium St Mary ternyata memihak United apabila mereka menang tiga dari empat pertemuan terakhir. Southampton perlu mengelak dari mengalami kekalahan ketiga mereka di awal musim dalam tempoh 11 tahun dan tugas mereka tampak sukar tatkala berdepan skuad Ferguson yang semakin bersemangat selepas berjaya meraih tiga mata minggu lalu. Rekod juga mengunjukkan United tidak tewas dalam 16 perlawanan mereka ketika berdepan pendatang baru Liga Perdana. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Michael Carrick, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Tom Cleverley, Paul Scholes, Antonio Valencia, Shinji Kagawa, Nani & Robin Van Persie
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Michael Carrick, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Tom Cleverley, Paul Scholes, Antonio Valencia, Shinji Kagawa, Nani & Robin Van Persie
Langgan:
Catatan (Atom)





