Manchester United membawa seorang lagi penggempur musim ini selepas secara rasmi mengikat penyerang muda dari Chile, Angelo Henriquez semalam. Pemain berusia 18 tahun itu akhirnya berjaya mencapai impiannya untuk menyertai United selepas permohonan visa dan permit kerjanya diluluskan. Henriquez pada mulanya dijangka menandatangai kontrak secara rasmi pada penghujung bulan Ogos, namun masalah kelulusan visa dan permit kerja menyaksikan proses perpindahan bekas pemain Universidad de Chile itu tergendala. Henriquez akan menggunakan jersi nombor 21 dan buat permulaan pemain itu akan menyertai skuad U-21 United bagi menimba pengalaman dan merasai suasana saingan bolasepak England. Henriquez dalam kenyataannya mengatakan bahawa dia gembira proses perpindahan itu akhirnya berjaya dilaksanakan dan tidak sabar bermain untuk The Red Devils. "Saya gembira menyertai kelab terbesar di dunia. Manchester United adalah kelab yang luar biasa dan memiliki pengurus yang hebat", kata Henriquez. Sir Alex Ferguson tertarik dengan kemampuan Henriquez ketika mewakili Universidad di mana pemain itu menjaringkan 11 gol dari 17 penampilan bersama kelab Chile itu. Kepantasan dan kemampuan membaca permainan buat pemain muda sepertinya nyata mengagumkan Ferguson hingga mendorong bos United itu menghantar wakil ke Chile untuk memancing bintang muda itu ke Old Trafford. Reputasi Ferguson dalam mengembangkan bakat-bakat muda menjadi faktor utama mendorong Henriquez memilih Old Trafford sebagai destinasi untuknya mengembangkan karier walaupun bakatnya turut menjadi perhatian jiran United, Manchester City. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan