28 September 2011

YOUNG SELAMATKAN UNITED


Gol penyamaan Ashley Young dipenghujung permainan menyelamatkan Manchester United dari kekalahan di gelanggang sendiri kepada FC Basel dalam perlawanan Kumpulan C Liga Juara-Juara awal pagi tadi.  United selesa mendahului pelawat 2-0 melalui jaringan Danny Welbeck diminit ke-16 dan 17 namun kelebihan itu dipadamkan anak-anak buah Thorsten Fink di separuh masa kedua.  Fabian Frei merapatkan jurang gol diminit ke-58 dan selang dua minit kemudian giliran Alexander Frei pula menyamakan kedudukan buat pelawat.  The Red Devils berada dalam kedudukan sukar apabila pengadil perlawanan, Paolo Tagliavento menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat selepas Antonio Valencia mengasari Marco Streller dalam petak penati.  Alexander Frei yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan David de Gea.  United berada di ambang kekalahan sehinggalah Young muncul penyelamat selepas dia menanduk masuk hantaran silang Nani diminit ke-90.  

Ini merupakan keputusan seri kedua United dalam kempen Eropah mereka setakat ini selepas sebelumnya diikat 1-1 oleh Benfica di Lisbon 15 September lalu.  Hujung minggu lalu United juga terpaksa berkongsi mata dalam saingan domestik mereka apabila diikat Stoke City 1-1 di gelanggang lawan.  Walaupun pada mulanya United tampak tidak menghadapi masalah tanpa kelibat Wayne Rooney dan Javier Hernandez yang diketepikan kerana masalah kecederaan hasil ledakkan dua gol Welbeck, namun keadaan bertukar sebaliknya di separuh masa kedua.  Persembahan longgar United membolehkan pelawat mencipta beberapa peluang dan gerakan bahaya terutamanya melalui Alexander Frei dan Marco Streller.  Sementara itu Ferguson menyifatkan persembahan terburu-buru dan mudah hilang konsentrasi barisannya adalah penyebab utama United sekadar meraih satu mata di gelanggang keramat mereka.  "Pemain terlalu terburu-buru dah hilang konsentrasi terutamanya di separuh masa kedua.  Kami juga memberikan lawan terlalu banyak ruang mencipta peluang jaringan", kata Ferguson.  Bagi Ferguson, jika sesebuah pasukan hilang konsentrasi dalam saingan seperti Liga Juara-Juara, maka padah pasti akan mereka terima di akhir perlawanan.  Glory Glory Manchester United!!!

27 September 2011

MAN UTD lwn FC BASEL: UNITED HILANG LAPAN PEMAIN


Krisis kecederaan melanda Manchester United menjelang pertembungan dengan FC Basel dalam kempen saingan Kumpulan C Liga Juara-Juara di Old Trafford awal pagi nanti.  Selepas berkongsi mata dengan Benfica di Lisbon dua  minggu lalu, United kini tiada pilihan lain selain merakamkan kemenangan ke atas wakil Switzerland itu.  Kelebihan bermain di gelanggang sendiri seharusnya dipergunakan sepenuhnya oleh The Red Devils untuk meraih tiga mata namun situasi terkini dalam pasukan tampak tidak menyebelahi Sir Alex Ferguson.  Ferguson  kehilangan lapan pemain utama menjelang pertembungan ini akibat masalah kecederaan.  Di bahagian hadapan, Ferguson pastinya akan kehilangan sentuhan Wayne Rooney dan Javier Hernandez tetapi harus memilih sama ada Dimitar Berbatov atau Michael Owen untuk digandingkan dengan Danny Welbeck yang baru pulih.  Kelibat Tom Cleverley dan Darron Gibson di bahagian tengah tidak akan kelihatan untuk tempoh beberapa minggu lagi manakala Jonny Evans, Chris Smalling, Nemanja Vidic dan Rafael da Silva menambahkan lagi pemain yang masuk dalam senarai kecederaan United.  Antonio Valencia dijangka akan ditarik ke bawah mengisi kekosongan posisi di sebelah kanan pertahanan.  Sementara itu pemain tengah United, Darren Fletcher tidak mahu memandang mudah pertemuan dengan Basel nanti.  Meskipun bermain di gelanggang sendiri, Fletcher mahukan agar rakan-rakan sepasukan lebih berhati-hati menanti kunjungan anak-anak buah Thorsten Fink itu.  "Selepas Benfica, kami akan menentang dua pasukan yang tidak begitu kami kenali.  Ada yang mengatakan kami akan memenangi perlawanan itu dengan mudah, tetapi di Liga Juara-Juara tiada apa yang mudah buat mana-mana pasukan. Kami harus bermain dengan lebih baik dan berusaha memenangi perlawanan ini", kata Fletcher.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Phil Jones, Antonio Valencia, Nani, Anderson, Michael Carrick, Ryan Giggs, Michael Owen & Danny Welbeck

25 September 2011

SEKADAR SERI, FERGIE TETAP PUASHATI


Rekod sempurna Manchester United dalam lima perlawanan awal mereka berakhir apabila dipaksa berkongsi mata dengan Stoke City di Stadium Britannia awal pagi tadi.  United mendahului tuan rumah melalui jaringan Nani namun Peter Crouch berjaya memadam kelebihan itu melalui gol penyamaan seawal minit kedua.  Biarpun menyaksikan pasukannya gagal meneruskan rentak kemenangan, Sir Alex Ferguson tetap berpuashati dengan pesembahan keseluruhan United dan mengangap keputusan ini adil buat kedua-dua pasukan.  "Ada dua perkara yang berlaku dalam perlawanan ini, pertama mereka terus memberikan anda tekanan dan yang paling utama pemain memberikan tindakbalas yang baik atas perkara ini", kata Ferguson.  

Ferguson seperti sudah menjangkakan gol tuan rumah akan terhasil melalui gerakan set piece namun  beliau dilihat agak kurang berpuashati dengan cara pengadil mengendalikan perlawanan.  Menurut Ferguson, pengadil perlawanan Peter Walton sering membiarkan Crouch melakukan pelanggaran  terhadap pemain pertahanannya dalam situasi perebutan bola tinggi di hadapan gawang.  Ferguson juga tidak teragak-agak mendakwa kemungkinan Crouch  telah melakukan perkara yang sama ke atas Rio Ferdinand semasa menjaringkan gol penyamaan tersebut.  Ketiadaan Wayne Rooney yang tercicir kerana masalah hamstring menjejaskan rentak United dan tambah malang Javier Hernandez terpaksa di bawa keluar seawal minit ketiga dan digantikan dengan penyerang veteran Michael Owen.  Langkah Ferguson membawa masuk Danny Welbeck dan Ryan Giggs di pertengahan separuh masa kedua juga gagal mengubah keputusan perlawanan biarpun Giggs punya peluang baik meletakkan United kembali di depan diminit ke-88.  Keputusan ini juga menyaksikan Stoke berjaya meraih mata pertama mereka ke atas United sejak The Potters menyertai saingan elit Liga Perdana pada 2008.  Glory Glory Manchester United!!!

24 September 2011

STOKE CITY lwn MAN UTD: FERGIE BURU REKOD ATKINSON


Sir Alex Ferguson dalam landasan untuk memecahkan rekod Ron Atkinson yang berjaya membimbing United mencipta sepuluh kemenangan berturut-turut liga yang dicipta semasa musim 1985/86.  Pertemuan dengan Stoke City di Britannia Stadium, tengah malam nanti bakal menjadi kesempatan buat Fergie mendekati rekod Atkinson.  United setakat ini sudah memenangi kesemua lima perlawanan awal mereka dan satu lagi kemenangan bakal menjadikan impian Fergie hampir menjadi kenyataan.  Sejak menyertai saingan elit Liga Perdana pada 2008, Stoke tidak pernah meraih sebarang mata apabila berdepan United malah gawang The Potters bocor 16 kali dan statistik itu tampak akan berpanjangan jika melihat prestasi terkini anak-anak buah Tony Pulis.  Walaupun berjaya mengejutkan Liverpool 1-0, Stoke tewas 0-4 kepada Sunderland minggu lalu dan konsentrasi benteng pertahanan mereka bakal diuji lagi kali ini.  Selepas aksi di Liga Europa menentang Dynamo Kyiv berselang tiga hari, Stoke terpaksa berdepan Sunderland dan kali ini situasi yang sama berulang apabila mereka terpaksa menentang United.  Selepas dipaksa bermain selama 120 minit menentang Tottenham Hotspurs pada aksi Piala Carling mereka, (Stoke menang melalui penentuan penalti) ketahanan benteng Stoke bakal diuji oleh jentera serangan United yang sudahpun merakamkan 21 gol dari lima perlawanan mereka.  Bagi United pula, jika mereka berjaya menjaringkan dua gol di Stadium Britannia, anak-anak buah Ferguson akan memadamkan rekod yang dicatatkan Newcastle United (1994/95) sebagai pasukan paling produktif dalam menghasilkan gol.  Newcastle ketika itu yang diterajui penyerang Alan Shearer menjaringkan 22 gol dalam enam perlawanan awal mereka.  Penyerang tuan rumah, Peter Crouch juga tidak mahu ketinggalan dalam memburu rekod peribadi dalam perlawanan ini.  Jika berjaya menjaringkan gol, Crouch akan menyamai rekod Les Ferdinand, Craig Bellamy, Andy Cole, Nick Barmby dan Marcus Bent yang menjaringkan gol untuk enam pasukan berbeza dalam liga.  Tugas berat pastinya terpaksa dipikul Matthew Upson dan Ryan Shawcross dalam usaha mereka menyekat  usaha Wayne Rooney dari terus melebarkan  penguasaan United di tangga teratas liga.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Phil Jones, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Park Ji-Sung, Michael Carrick, Anderson, Nani, Danny Welbeck & Wayne Rooney 

21 September 2011

PIALA CARLING: UNITED KE PUSINGAN KE-4


Manchester United melangkah ke pusingan ke-4 Piala Liga Inggeris (Carling Cup) selepas berjaya menewaskan Leeds United di Elland Road awal pagi tadi.  Sekalipun menurunkan barisan kedua, United tidak menghadapi masalah mengenepikan cabaran lawan yang bermain di Liga Kejuaraan itu hasil jaringan dua pemain veteran, Michael Owen dan Ryan Giggs.  Owen menyumbangkan dua gol buat United di minit ke-15 dan 32 manakala Giggs pula melengkapkan kejayaan United menerusi jaringannya diminit ke-45.  Kemenangan bergaya 3-0 ke atas Leeds ini juga berjaya menebus kembali kekecewaan disingkirkan lawan yang sama semasa saingan pusingan ke-3 Piala FA pada Januari 2010 hasil jaringan tuggal Jermaine Beckford di Old Trafford.  Sir Alex Ferguson mempertaruhkan formasi `pelik' pada perlawanan pagi tadi dengan meletakkan Michael Carrick dan Antonio Valencia di benteng pertahanan manakala dua penyerang muda, Federico Macheda dan Mame Biram Diouf pula diletakkan di bahagian tengah.  Ferguson merehatkan sebahagian besar pemain-pemain utamanya dalam perlawanan ini sambil memberi penampilan buat beberapa pemain muda seperti Ben Amos, Ezekiel Fryers, Federico Macheda, Mame Biram Diouf, Larnell Cole dan Paul Pogba.  Perlawanan ini juga menyaksikan kembalinya Danny Welbeck dalam pasukan selepas direhatkan selama dua minggu akibat masalah hamstring.  Sekalipun diletakkan di bangku simpanan, Welbeck sempat merasai aksi selama 13 minit apabila dia dibawa masuk menggantikan Biram Diouf diminit ke-77.  

Terasa janggal bila menyaksikan Ryan Giggs yang dulunya bersaing dengan generasi hebat pemain-pemain Leeds  di Liga Perdana seperti David Batty, Jonathan Woodgate, Alan Smith, Ian Harte, Gary McAllister, Gary Speed, Tony Yeboah, Harry Kewell, Lee Bowyer serta lagenda United sendiri iaitu Rio Ferdinand dan Eric Cantona kini berhadapan pula dengan skuad Leeds yang jauh berbeza.  Siapa sangka Leeds yang di awal hingga pertengahan 90an merupakan pencabar utama United untuk persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana, kini sekadar menduduki tangga pertengahan Liga Kejuaraan.  Tiada lagi nama-nama besar dalam skuad Leeds kali ini kecuali penjaga gol simpanan mereka yang juga bekas pemain United sendiri iaitu Paul Rachubka, Michael Brown (bekas pemain Spurs dan Fulham) serta Mikael Forssell (bekas pemain Chelsea).  Masa banyak mengubah penampilan kedua-dua pasukan yang pernah berseteru suatu ketika dulu apabila United terus gah menjulang kejuaraan ke-19 Liga Perdana musim lalu dan kini adalah pendahulu takhta liga musim ini.  Leeds pula yang sejak 2004 tersingkir dari saingan elit Liga Perdana masih bergelut mencari rentak dalam saingan Liga Kejuaraan (Divisyen 2) dan dengan prestasi semasa mereka, Leeds tampak memerlukan beberapa tahun lagi untuk menggapai impian bermain di Liga Perdana Inggeris.  Glory Glory Manchester United!!!

20 September 2011

FERGUSON: NANI TAK AKAN KEMANA-MANA


Sir Alex Ferguson pantas menegaskan beliau tidak akan sesekali melepaskan Nani ke kelab lain selepas menyaksikan prestasi hebat sayap Portugal itu ketika United menewaskan Chelsea Ahad lalu.  Spekulasi bahawa Nani akan berhijrah ke pasukan lain bertiup kencang selepas dia diketepikan dari kesebelasan utama United berdepan Barcelona di final Liga Juara-Juara Mei lalu.  Nani sempat dikaitkan akan berpindah ke Juventus ketika jendela perpindahan musim panas lalu, namun Ferguson memberi jaminan bahawa Nani tidak akan kemana-mana.  "Nani merupakan pemain yang hebat dan matang.  Kami akan mempertahankannya agar dia boleh mempamerkan prestasi terbaiknya selama mungkin", kata Ferguson.  Ahad lalu, Nani menyumbangkan gol kedua buat United melalui rembatan jarak jauh cantik yang gagal diselamatkan Petr Cech.  Sepanjang perlawanan, gerakan-gerakan dan hantaran Nani seringkali mencemaskan benteng Chelsea yang diterajui John Terry dan tidak hairanlah dia dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.  Prestasi hebat Nani dalam perlawanan itu turut mendapat pujian rakan sepasukan namun beliau menganggap rekod sempurna United  (kemenangan kelima dari lima perlawanan) setakat ini adalah adalah hasil kerja keras semua pemain United.  "Semua pemain bekerja keras dan kami bermain dengan penuh keyakinan dalam perlawanan itu.  Kami mampu mempamerkan aksi bolasepak yang fantastik menerusi gerakan satu-dua yang menarik dan menjaringkan banyak gol", kata Nani.  Permulaan United musim ini adalah yang terbaik sejak musim 1985-86.  Pada musim tersebut United menang 10 perlawanan awal liga.  Glory Glory Manchester United!!!

EVRA: UNITED HARUS BERAKSI LEBIH BAIK LAGI


Manchester United mencatat rekod sempurna 100% pada lima perlawanan awal mereka setakat ini namun  prestasi terkini United nampaknya masih belum memberi kepuasan kepada Patrice Evra.  Selepas merakamkan kemenangan ke atas Chelsea Ahad lalu, Evra sebaliknya mengatakan bahawa United seharusnya beraksi dengan lebih baik lagi selepas ini. Lima kemenangan dan menjaringkan 21 gol dalam lima perlawanan awal mereka setakat ini, menjadikan United sebagai calon pilihan mengekalkan kejuaraan Liga Perdana yang mereka menangi musim lalu.  Melihat kepada persembahan United ketika bertemu Chelsea, Evra sebaliknya tegas mengatakan bahawa United perlu melakukan `lebih banyak kerja' jika mahu memenangi kejuaraan liga ke-20 mereka.  "Lima kemenangan adalah permulaan yang bagus tetapi pada perlawanan menentang Stoke City nanti, saya ingin melihat kami melakukan sesuatu yang lebih bagus", kata Evra.  Sekalipun United berjaya menjaringkan 3 gol ketika bertemu pencabar gelaran seperti Chelsea, Evra kurang berpuashati dengan persembahan keseluruhanan United pada perlawanan ini.  Menurut Evra, rakan-rakannya agak gopoh dan sering kehilangan bola terutamanya di bahagian tengah hingga membolehkan Chelsea melancarkan serangan balas ke kubu United.  Pada usia 30 tahun, Evra merupakan pemain paling tua dalam kesebelasan utama ketika bertemu Chelsea dan pemain berpengalaman itu menegaskan, untuk memenangi kejuaraan liga, United harus beraksi lebih baik pada setiap minggu.  Glory Glory Manchester United!!!