Manchester United melangkah ke pusingan ke-4 Piala Liga Inggeris (Carling Cup) selepas berjaya menewaskan Leeds United di Elland Road awal pagi tadi. Sekalipun menurunkan barisan kedua, United tidak menghadapi masalah mengenepikan cabaran lawan yang bermain di Liga Kejuaraan itu hasil jaringan dua pemain veteran, Michael Owen dan Ryan Giggs. Owen menyumbangkan dua gol buat United di minit ke-15 dan 32 manakala Giggs pula melengkapkan kejayaan United menerusi jaringannya diminit ke-45. Kemenangan bergaya 3-0 ke atas Leeds ini juga berjaya menebus kembali kekecewaan disingkirkan lawan yang sama semasa saingan pusingan ke-3 Piala FA pada Januari 2010 hasil jaringan tuggal Jermaine Beckford di Old Trafford. Sir Alex Ferguson mempertaruhkan formasi `pelik' pada perlawanan pagi tadi dengan meletakkan Michael Carrick dan Antonio Valencia di benteng pertahanan manakala dua penyerang muda, Federico Macheda dan Mame Biram Diouf pula diletakkan di bahagian tengah. Ferguson merehatkan sebahagian besar pemain-pemain utamanya dalam perlawanan ini sambil memberi penampilan buat beberapa pemain muda seperti Ben Amos, Ezekiel Fryers, Federico Macheda, Mame Biram Diouf, Larnell Cole dan Paul Pogba. Perlawanan ini juga menyaksikan kembalinya Danny Welbeck dalam pasukan selepas direhatkan selama dua minggu akibat masalah hamstring. Sekalipun diletakkan di bangku simpanan, Welbeck sempat merasai aksi selama 13 minit apabila dia dibawa masuk menggantikan Biram Diouf diminit ke-77.
Terasa janggal bila menyaksikan Ryan Giggs yang dulunya bersaing dengan generasi hebat pemain-pemain Leeds di Liga Perdana seperti David Batty, Jonathan Woodgate, Alan Smith, Ian Harte, Gary McAllister, Gary Speed, Tony Yeboah, Harry Kewell, Lee Bowyer serta lagenda United sendiri iaitu Rio Ferdinand dan Eric Cantona kini berhadapan pula dengan skuad Leeds yang jauh berbeza. Siapa sangka Leeds yang di awal hingga pertengahan 90an merupakan pencabar utama United untuk persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana, kini sekadar menduduki tangga pertengahan Liga Kejuaraan. Tiada lagi nama-nama besar dalam skuad Leeds kali ini kecuali penjaga gol simpanan mereka yang juga bekas pemain United sendiri iaitu Paul Rachubka, Michael Brown (bekas pemain Spurs dan Fulham) serta Mikael Forssell (bekas pemain Chelsea). Masa banyak mengubah penampilan kedua-dua pasukan yang pernah berseteru suatu ketika dulu apabila United terus gah menjulang kejuaraan ke-19 Liga Perdana musim lalu dan kini adalah pendahulu takhta liga musim ini. Leeds pula yang sejak 2004 tersingkir dari saingan elit Liga Perdana masih bergelut mencari rentak dalam saingan Liga Kejuaraan (Divisyen 2) dan dengan prestasi semasa mereka, Leeds tampak memerlukan beberapa tahun lagi untuk menggapai impian bermain di Liga Perdana Inggeris. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan