26 April 2010

ROONEY DIPILIH SEBAGAI PEMAIN TERBAIK TAHUNAN

http://d.yimg.com/a/p/ap/20100425/capt.a76321fa46704411b3c6bdb66de2003c-a76321fa46704411b3c6bdb66de2003c-0.jpg
Wayne Rooney telah dipilih sebagai pemain terbaik tahunan Liga Perdana Inggeris (PFA) bagi musim 2009/2010 manakala pemain tengah Aston Villa, James Milner dipilih sebagai pemain muda terbaik. Dalam pengumuman yang dibuat semalam, Rooney menewaskan saingan terdekatnya iaitu Cecs Fabregas (Arsenal), Didier Drogba (Chelsea) dan Carlos Tevez (Manchester City). Pemilihan Rooney musim ini mengukuhkan cengkaman United ke atas anugerah itu selepas Ryan Giggs memenanginya pada tahun lalu manakala Cristiano Ronaldo menang dua tahun berturut-turut sebelumnya. Rooney yang menjaringkan 34 gol musim ini turut dicalonkan sebagai pemain muda terbaik tetapi anugerah itu akhirnya diberikan kepada Milner. Selain Milner dan Rooney, dua calon lain untuk anugerah itu ialah Fabregas dan penjaga gol Birmingham, Joe Hart.

25 April 2010

SPURS TERUS KEMPUNAN DI OLD TRAFFORD

Ryan Giggs of Manchester United scores the opening goal from a  penalty kick
Manchester United terus melebarkan penguasaan sejarah pertemuan dengan Tottenham Hotspurs di Old Trafford selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas skuad bimbingan Harry Redknapp itu. Sejak tahun 1989, Spurs tidak pernah menang dalam 18 edisi pertemuan mereka di Old Trafford dan kekalahan semalam merencatkan usaha mereka menempah tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan. United sekali lagi membuktikan mereka memang pakar menjaringkan gol di penghujung perlawanan apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh sepuluh minit terakhir. Kemenangan ini juga membolehkan United merampas kembali kedudukan teratas liga dari Chelsea, namun kedudukan bakal berubah jika skuad The Blues berjaya menewaskan Stoke City di Stamford Bridge malam ini. Walaupun mendominasi perlawanan, skuad The Red Devils yang turun tanpa Wayne Rooney sukar menembusi benteng pelawat dan peluang terbaik United hanya hadir diminit ke 30 tetapi tendangan jarak dekat Dimitar Berbatov berjaya dihalang Ledley King. Pelawat juga dilihat buntu apabila gerakan-gerakan yang dilancarkan melalui Gareth Bale dan Jermain Defoe mudah dipatahkan Jonny Evans dan Nemanja Vidic.
Nani of Manchester United scores his team's second goal past  Hueurelho Gomes of Tottenham Hotspur
Di separuh masa kedua, United terus cuba menekan kubu lawan tetapi mereka sekali lagi terlepas peluang terbaik untuk menjaringkan gol. Darren Fletcher gagal menyudahkan bola tandukan Berbatov walaupun hanya berhadapan dengan Huerelho Gomes dihadapan gawang. Limabelas minit babak kedua bermula, United dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Ryan Giggs selepas Benoit Assou-Ekotto mengasari Patrice Evra di dalam petak penalti. Kelebihan United sebaliknya hanya bertahan selama sepuluh minit apabila Spurs berjaya mengikat kedudukan selepas Ledley King berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut. Dengan tempoh permainan berbaki sepuluh minit, kedua-dua pasukan dilihat bakal berkongsi mata tetapi Nani muncul pemusnah menerusi gol menarik diminit ke 80. Pemain antarabangsa Portugal itu bijak melambungkan bola hasil hantaran Federico Macheda untuk meletakkan United kembali di depan. United sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Nani yang berjaya melepasi halangan Michael Dawson dikasari Wilson Palacios dan Giggs berjaya menyempurkannya untuk mengesahkan tiga amata berharga buat United. Kemenangan ke atas pasukan paling cemerlang ketika ini jelas menggembirakan Sir Alex Ferguson dan pengurus United itu yakin tekanan kini beralih kepada Chelsea yang perlu menang pertemuan mereka dengan Stoke City malam ini.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Arsenal (0) - Manchester City (0)
West Ham (3) - Wigan Athletic (2)
Bolton Wanderers (2) - Portsmouth (2)
Hull City (0) - Sunderland (1)
Wolverhampton (1) - Blackburn Rovers (1)

24 April 2010

FERGIE BERI PELUANG KEPADA PEMAIN MUDA

http://i.dailymail.co.uk/i/pix/2009/11/26/article-0-075CC9AA000005DC-300_468x377.jpg
Sir Alex Ferguson diberitakan bakal memberikan kesempatan kepada beberapa pemain dari skuad simpanan United untuk menghadapi Tottenham Hotspurs dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford malam ini. Ferguson tertarik dengan persembahan beberapa pemain muda dari skuad simpanan yang muncul juara Liga Simpanan baru-baru ini. United ketika ini hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga Chelsea dan perlawanan ini dilihat amat penting buat skuad Red Devils dalam misi mereka melakar sejarah mempertahankan trofi Liga Perdana buat musim keempat musim berturut-turut. Walaupun langkah Ferguson dilihat bertentangan dengan usaha United mengejar kejuaraan liga tetapi warga Scotland itu sebenarnya tidak dapat menyembunyikan keghairahan melihat bakat-bakat besar milik pemain muda dari skuad simpanannya. Ferguson merasakan kesempatan wajar diberikan kepada anak-anak didik Ole Gunnar Solskjaer merasai hangatnya saingan Liga Perdana Inggeris.

"Beberapa pemain telah bermain dengan cukup baik ketika mereka mengalahkan skuad simpanan Liverpool. Empat pemain pertahanan kami bermain dengan cemerlang dan satu atau dua pemain semakin berkembang. Gabriel Obertan menjaringkan gol yang luar biasa", ujar Ferguson. "Saya mungkin akan memberikan kesempatan kepada tiga atau empat pemain dari skuad simpanan dan mereka akan bersiap untuk perlawanan pada hari Sabtu", tambah Ferguson lagi. Perlawanan malam ini amat penting buat kedua-dua pasukan kerana Spurs juga perlukan keputusan positif dalam usaha mereka layak kesaingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan. United harus berhati-hati dengan cabaran yang bakal diberikan oleh anak-anak buat Harry Redknapp yang berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini selepas berjaya membenam cabaran Arsenal dan Chelsea di White Hart Lane. Kemenangan ke atas Manchester City minggu lalu pastinya akan memberikan suntikan semangat buat United dalam perlawanan ini tambahan pula Spurs tidak pernah menang di Old Trafford dalam 17 perlawanan mereka.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van der Sar, Patrice Evra, Jonny Evans, Nemanja Vidic, Gary Neville, Luis Antonio Valencia, Nani, Darren Fletcher, Michael Carrick, Dimitar Berbatov & Wayne Rooney

21 April 2010

FLETCHER: SCHOLES LAGENDA UNITED

Happy as ever!!! by tashaNR7.
Tonggak tengah Manchester United, Darren Fletcher menganggap Paul Scholes bukan sekadar pemain biasa tetapi lagenda yang harus dicontohi pemain-pemain lain. Musim ini ramai pihak meramalkan Scholes akan menggantung butnya kerana faktor umur yang kian meningkat tetapi sebaliknya pemain kelahiran akademi remaja Manchester United itu telah ditawarkan lanjutan kontrak hingga tahun 2011. Sehari selepas itu Scholes merakamkan gol ke 149 sepanjang kariernya bersama United dan juga merupakan gol penting yang menghidupkan semula peluang United memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Sabtu lalu Scholes menjawab pertanyaan ramai pihak mengapa Sir Alex Ferguson masih menagih khidmatnya apabila menjaringkan gol kemenangan United ke atas seteru setempat mereka, Manchester City di Eastlands. "Adalah tidak munasabah jika anda menyarankan agar kontrak Scholes tidak dilanjutkan. Jika anda menyaksikan perlawanan Sabtu lalu, dia adalah pemain terbaik di tengah padang", kata Fletcher. "Sebelum dia menjaringkan gol kemenangan itu, dia telah mengawal tempo permainan seperti yang dikehendakinya. Dia memang menjadi inspirasi kepada pasukan", tambah Fletcher lagi.

Fletcher mengakui bahawa penampilan Scholes ketika ini jauh berbeza dari zaman kemuncaknya, namun perkara itu tidak menghalangnya dari menjadi contoh kepada pemain lain. Bagi Fletcher, pemain senior seperti Scholes adalah lagenda buat pasukan dan wajar dicontohi pemain-pemain muda lain. "Semua pemain mahukan agar dia kekal di Old Trafford musim depan. Pemain-pemain seperti Scholes, Giggs dan Neville perlu kekal kerana mereka akan menjadi inspirasi bagi kami semua. Dia adalah lagenda serta contoh terbaik dan saya rasa tidak akan melihat individu lain seperti Paul Scholes", kata Fletcher. Sehingga kini, United masih belum memiliki pemain yang mampu menggantikan Scholes. Pemain muda Brazil, Anderson yang selama ini digambarkan sebagai pengganti Scholes masih belum mampu menandingi bekas pemain antarabangsa England itu. Seperti Ryan Giggs, Scholes juga antara pemain yang telah menjaringkan lebih dari seratus gol buat United. Ternyata pengalaman dan kemampuan pemain yang sudah berusia 35 tahun amat diperlukan United dalam situasi genting ketika ini. Gol kemenangan jaringan Scholes di Eastlands telah memberi nafas baru kepada misi United mempertahankan trofi Liga Perdana Inggeris untuk musim keempat berturut-turut.

17 April 2010

SCHOLES MUNCUL WIRA

Carlos Tevez of Manchester City screens the ball from Jonny Evans  of Manchester United
Manchester City sekali lagi terpaksa menelan kepahitan dan menerima kekalahan menerusi jaringan minit akhir perlawanan kepada jiran mereka Manchester United. September tahun lalu, Michael Owen muncul pemusnah kepada skuad bergelar The Citizens itu menerusi jaringan kemenangan diminit akhir masa tambahan. Malam tadi, giliran Paul Scholes pula muncul pemusnah, juga menerusi jaringan minit akhir masa tambahan. Wayne Rooney kembali menyertai kesebelasan utama United selepas pulih dari kecederaan namun kelibat penyerang England itu mendapat layanan `istimewa' dari Vincent Kompany yang ditugaskan merantai pergerakannya. Sir Alex Ferguson melakukan tindakan mengejut dengan memilih Darron Gibson berbanding Michael Carrick di bahagian tengah serta merehatkan Rio Ferdinand yang mengalami kecederaan dan menurunkan Jonny Evans di benteng pertahanan. Evans menjalankan tugasnya dengan cemerlang apabila berjaya merantai pergerakan Carlos Tevez yang berada dalam prestasi terbaiknya ketika ini dan telah menjaringkan tujuh gol dari empat perlawanan. Kedua-dua pasukan yang memerlukan kemenangan bermain dengan berhati-hati tetapi United memperolehi beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol terutamanya di separuh masa pertama. Diminit ke 41, Wayne Rooney sepatutnya sudah meletakkan United di depan tetapi rembatannya tersasar dari gawang biarpun hanya berdepan dengan Shay Given. Tiga minit kemudian United sekali lagi menguji gawang tuan rumah melalui Ryan Giggs tetapi, kuisan bintang veteran itu yang menerima hantaran lintang Antonio Valencia berjaya diselamatkan Given.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100417/capt.9677c9779aaa49e2893b99105700b9fe-9677c9779aaa49e2893b99105700b9fe-0.jpg
Sir Alex Ferguson melakukan perubahan taktikal diseparuh masa kedua dengan memasukkan Nani dan memberi peluang buat Giggs berada lebih kehadapan. Perubahan ini menyaksikan United berjaya meningkatkan tempo serangan mereka tetapi tetap gagal menembusi gawang tuan rumah. Diminit ke 73, rayuan City untuk mendapatkan penalti selepas Gareth Barry dijatuhkan Gary Neville tidak diendahkan pengadil perlawanan. Dimitar Berbatov yang masuk menggantikan Rooney turut memperolehi peluang tetapi tandukannya diminit ke 78 tidak menepati sasaran. Lima minit selepas itu, dalam situasi kelam kabut di hadapan gawang United, City mencipta peluang menjaringkan gol tetapi gagal disempurnakan Kompany dan Kolo Toure. Ketika masa tambahan selama tiga minit yang diberikan pegawai pertandingan berbaki 18 saat, Scholes muncul wira United apabila berjaya menanduk masuk bola hantaran Patrice Evra dari sebelah kiri. Gol penting itu adalah jaringan ke 149 Scholes sepanjang kariernya bersama United dan hadir ketika skuad The Red Devils memerlukan kemenangan bagi menghidupkan semula peluang mereka menjulang kejuaraan liga. Kemenangan ini menyaksikan United hanya dipisahkan satu mata dari pendahulu Chelsea yang tewas 1-2 kepada Tottenham Hotspurs dan menjadikan perlumbaan merebut trofi Liga Perdana kembali terbuka. Sementara itu Ferguson memuji penampilan bintang-bintang veterannya seperti Neville, Giggs dan Scholes dalam perlawanan penting ini. "Mereka melalui begitu banyak perlawanan derby selama bertahun-tahun. Mereka adalah tonggak bagi kami, selain penampilan, pengalaman mereka juga banyak membantu pemain-pemain lain. Tidak pernah menyerah merupakan sebahagian ciri penting yang dimiliki pasukan ini", kata Ferguson.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Birmingham City (0) - Hull City (0)
Blackburn (2) - Everton (3)
Fulham (0) - Wolverhampton Wanderers (0)
Stoke City (1) - Bolton Wanderers (2)
Sunderland (2) - Burnley (1)
Tottenham Hotspurs (2) - Chelsea (1)

DERBY PENTING MANCHESTER

http://i335.photobucket.com/albums/m478/ToRn_United/CityvsManchester2008.png
Pertembungan Manchester City dan Manchester United malam ini di Eastlands merupakan perlawanan penting buat jiran setempat itu ketika musim Liga Perdana Inggeris semakin hampir ke penghujung. City yang menanti kunjungan United sedang ghairah memburu tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan manakala United pula masih berharap mereka mampu memadamkan hasrat Chelsea menjulang kejuaraa Liga Perdana musim ini. United tiada pilihan lain kecuali mencatat kemenangan ke atas jiran mereka itu jika mahu terus menyaingi Chelsea dalam perebutan kejuaraan liga. Ketika ini United ketinggalan empat mata di belakang skuad The Blues itu dengan baki empat perlawanan untuk diharungi. United terselamat dari jatuh ke tangga ketiga liga selepas Arsenal tewas kepada Tottenham Hotspur dan berharap skuad bimbingan Harry Redknapp mampu melakukan aksi yang sama ketika menanti kunjungan Chelsea di White Hart Lane awal pagi esok. United menewaskan City yang ketika itu dibimbing Mark Hughes dalam perlawanan pertama, September tahun lalu hasil jaringan lewat kontroversi Michael Owen. Walau bagaimanapun City kini di bawah bimbingan pelatih Itali, Roberto Mancini dan mereka sedang menikmati prestasi terbaik apabila mencatat empat kemenangan berturut-turut.

City menjaringkan sebelas gol dalam dua perlawanan terakhir mereka dengan membelasah Burnley 6-1 di gelanggang lawan dan Birmigham 5-1 di Eastlands. Benteng United juga kini perlu lebih berwaspada dengan ketajaman yang dipamerkan bekas bintang mereka di Old Trafford, Carlos Tevez yang meledak tujuh gol dalam empat perlawanan. Sir Alex Ferguson kini boleh menarik nafas lega berikutan pengesahan bahawa penggempur berbisanya, Wayne Rooney boleh diturunkan malam ini. Ketiadaan Rooney menyaksikan barisan penyerang United yang diketuai Dimitar Berbatov beraksi hambar ketika mereka terikat 0-0 dengan Blackburn Rovers di Ewood Park, Ahad lalu. Malah Mancini juga berharap agar Rooney dapat diturunkan malam ini. "Adalah lebih baik jika Rooney dapat diturunkan. Dia adalah pemain yang fantastik dan telah melalui musim yang hebat. Tentu sahaja dia pemain yang berbahaya tetapi United mempunyai ramai pemain yang hebat", ujar Mancini. "Kami pernah mengalahkan mereka di gelanggang kami dan akan melakukannya sekali lagi. Cukup bagus jika kedua-dua pasukan diperkuatkan pemain terbaik masing-masing
dan pasukan yang menang nanti adalah pasukan terbaik", tambah Mancini lagi.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van der Sar, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Gary Neville, Luis Antonio Valencia, Darren Fletcher, Michael Carrick, Park Ji-Sung, Nani & Wayne Rooney

15 April 2010

LLORIS BAKAL PENGANTI VAN DER SAR?

http://bc.img.v4.skyrock.net/bc3/les-prodiiiges/pics/2177882259_5.jpg
Selepas diberitakan akan mendapatkan khidmat Karim Benzema dan David Villa bagi memperkuatkan barisan serangan untuk musim depan, Sir Alex Ferguson kembali menoleh ke bahagian belakang skuadnya. Ferguson melihat kekosongan besar di gawang United sekiranya Edwin Van der Sar mengambil keputusan bersara hujung musim ini dan pengurus United itu segera mengalih tumpuannya ke Perancis. Penjaga gol yang sedang diintai Ferguson untuk menggantikan tempat Van der Sar ialah Hugo Lloris dari Olympique Lyon. Menurut Daily Mail, jurulatih penjaga gol United, Eric Steele mencadangkan nama Lloris sebagai pengganti Van der Sar apabila penjaga gol veteran dari Belanda itu bersara kelak. Lloris merupakan penjaga gol utama skuad kebangsaan Perancis dan dianggap sebagai salah seorang penjaga gol berbakat di dunia ketika ini. Ferguson diberitakan akan menghantar stafnya untuk memantau aksi penjaga gol berusia 23 tahun itu ketika Lyon menentang Bordeaux dalam aksi Liga Perancis (Ligue 1) pada 17 April ini dan sudah menyediakan dana sebanyak 15 juta Pound buat memikat Lloris. Ferguson berharap urusan perpindahan Lloris akan selesai sebelum bermulanya pusingan akhir Piala Dunia Jun nanti. Walau bagaimanapun perbincangan perpindahan Lloris terpaksa ditangguhkan memandangkan Lyon akan menghadapi Bayern Munich dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara. Sebelum ini United yang meminati penjaga gol Schalke 04, Manuel Neuer terpaksa membatalkan hasrat mereka kerana pemain itu turut menjadi sasaran Bayern Munich.

14 April 2010

BENZEMA SASARAN UTAMA FERGUSON

http://www.corrieredellosport.it/images/29/C_3_Media_827929_immagine.jpg
Karim Benzema

Karim Benzema menjadi sasaran utama Sir Alex Ferguson untuk memperkuatkan pasukannya musim depan selepas kecewa dengan prestasi hambar yang dipamerkan Dimitar Berbatov. Selain Benzema, seorang lagi penggempur handalan yang menjadi buruan Ferguson ialah penggempur Valencia, David Villa. Menurut media-media di England, Ferguson sudah memohon peruntukan berjumlah 60 juta Pound dari pihak pengurusan United bagi mendapatkan kedua-dua pemain idamannya itu. Ferguson ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dengan prestasi hambar Berbatov yang memikul tanggungjawab sebagai penyerang utama selepas ketiadaan Wayne Rooney akibat kecederaan pergelangan kaki. Minggu lalu, Berbatov menjadi sasaran ejekan penyokong-penyokong United di Ewood Park selepas skuad The Red Devils sekadar mencatat keputusan seri 0-0 dengan Blackburn Rovers. Keputusan seri itu juga menyaksikan tugas United mempertahankan kejuaraan Liga Perdana buat kali keempat berturut-turut semakin sukar.
http://www.newsoftheworld.co.uk/multimedia/archive/00104/hernandez_516x350_104460a.jpg
Javier Hernandez

Dengan keputusan ini, Ferguson seolah-olah tampak sudah bersedia melepaskan Berbatov yang juga merupakan pemain termahal dalam skuad United. Kehadiran bekas penyerang Tottenham Hotspurs yang dibeli Ferguson pada tahun 2008 itu tidak membawa impak seperti yang diharapkan penyokong-penyokong United. Ferguson tiada pilihan lain ketika ini selain mendapatkan penyerang berprofil tinggi bagi menggantikan Berbatov yang pastinya akan dipaksa melangkah keluar dari Old Trafford musim depan. Ferguson juga sedar ketika ini United terlalu bergantung kepada ketajaman Rooney yang dilihat berseorangan merobek gawang lawan selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo. Minggu lalu Ferguson sudah melakukan langkah awal dengan mendapatkan penyerang muda Mexico, Javier Hernandez. Walau bagaimanapun pembelian Hernandez dari kelab Chivas Guadalajara lebih kepada program pembangunan masa hadapan United. Selain Hernandez, United sudah memiliki rangkaian penggempur muda dalam senarai mereka seperti Federico Macheda, Mame Biram Diouf dan Danny Wellbeck selain Chris Smalling di posisi pertahanan yang dibawa masuk dari Fulham.

12 April 2010

TROFI LIGA PERDANA SEMAKIN JAUHI UNITED

Dimitar Berbatov tries to get away from Vince Grella of Blackburn  Rovers
Sir Alex Ferguson mengakui bahawa peluang Manchester United menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini semakin sukar selepas melihat pasukannya sekadar mencatat keputusan seri 0-0 menentang Blackburn Rovers di Ewood Park malam tadi. United jelas merindui sentuhan pemusnah Wayne Rooney yang tidak dapat diturunkan kerana masih belum pulih dari kecederaan pergelangan kaki. Gandingan Dimitar Berbatov dan Federico Macheda bergelut di sepanjang permainan dalam usaha mereka menembusi benteng tuan rumah, malah Berbatov yang diharapkan mampu melakukan sesuatu sebaliknya melepaskan banyak peluang di depan pintu gol. Lima minit sebelum tamat separuh masa pertama, Luis Antonio Valencia yang hanya berhadapan dengan Paul Robinson melepaskan peluang keemasan untuk menjaringkan gol selepas melihat sepakannya berjaya ditampan bekas penjaga gol England itu. Ferguson melakukan perubahan taktikal di separuh masa kedua dengan memasukkan Park Ji-Sung dan Darron Gibson namun barisan Red Devils tetap buntu dalam usaha mereka menembusi gawang lawan. Keputusan seri itu sebaliknya memberi peluang buat Chelsea menjarakkan kedudukan mereka di tangga teratas.
Manchester United striker Dimitar Berbatov lets fly at the  Blackburn Rovers goal
Chelsea yang akan menerima kunjungan Bolton Wanderers Rabu ini dilihat tidak akan menghadapi masalah untuk meraih mata maksimum ke atas anak-anak buah Owen Coyle. Kedudukan United di tangga kedua juga terancam jika Arsenal yang akan menentang Tottenham Hotspurs menang di White Hart Lane Khamis ini. "Keputusan ini pastinya akan memberi kelegaan kepada Chelsea. Tekanan ke atas mereka juga kini semakin berkurangan dan laluan mereka kini semakin mudah. Mereka akan menentang Bolton Selasa ini (Rabu) dan tentu saja mereka akan meraih tiga mata penuh", kata Ferguson. Sementara itu, Pengurus Blackburn, Sam Allardyce tetap optimis United masih berpeluang menjuarai gelaran Liga Perdana musim ini. Bagi Allardyce, walaupun United sekadar mencatat keputusan seri menentang pasukannya itu bukan bererti peluang Red Devils menjuarai gelaran Liga Perdana sudah tertutup. "Kami melakukan tugas dengan baik ketika mengikat United dan berjaya meminimakan peluang mereka meraihkan kejuaraan tetapi jangan perkecilkan peluang mereka. United mungkin memenangi baki empat perlawanan mereka manakala Chelsea akan tewas dalam beberapa perlawanan mereka selepas ini", ujar Allardyce.

11 April 2010

GIGGS HARAP RAKAN SEGERA BANGKIT

http://www.les-transferts.com/wp-content/uploads/2009/02/1sjg20.jpg
Bintang veteran Manchester United, Ryan Giggs menggesa rakan-rakan sepasukannya agar segera bangkit dari kegagalan dan menunjukkan bahawa mereka adalah warga sebenar Old Trafford. United melalui tempoh suram selepas tewas dua daripada tiga perlawanan terakhir mereka, sesuatu yang menurut Sir Alex Ferguson jarang berlaku kepada pasukannya. United terpaksa melepaskan cengkaman mereka sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas tewas kepada Chelsea 1-2 di gelanggang sendiri minggu lalu. Tiga hari kemudian United tersingkir dari saingan suku akhir Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich melalui peraturan gol di tempat lawan meskipun menang 3-2 di Old Trafford. Kini hanya tinggal kejuaraan Liga Perdana Inggeris menjadi sasaran United bagi musim ini selepas mereka menjuarai Piala Liga, Februari lalu. Dengan hanya tinggal baki lima perlawanan untuk diharungi, United tidak boleh melakukan kesilapan dan perlu segera bangkit dari kekecewaan. Mereka tidak punya pilihan selain memungut mata maksimum dari baki perlawanan mereka jika mahu mencipta sejarah sebagai kelab pertama England memenangi empat kejuaraan Liga Perdana berturut-turut.

"Belajar dari kekecewaan adalah syarat menjadi pemain Manchester United. Ketika zaman remaja di United, saya mengalami banyak kekecewaan dan situasi itu membuatkan saya lebih kuat", ujar Giggs. "Untuk menjadi pemain yang lebih baik, anda harus mengingati malam di mana segalanya yang anda inginkan tidak berjalan seperti yang diharapkan. Anda memang tidak ingin mengalaminya tetapi apabila anda berhadapan dengan kekalahan, anda harus menerimanya dan cuba mengatasinya. Itu akan membantu anda dalam perjalanan karier yang panjang. Cara anda bangkit dari kekalahan itulah yang menjadikan anda pemain Manchester United", tambah Giggs lagi. Malam ini United akan berhadapan dengan Blackburn Rovers di Ewood Park dan perlawanan ini amat penting dalam misi memberi tekanan kepada Chelsea di tangga teratas. Dengan skuad The Blues yang hanya akan beraksi pada pertengahan minggu, United berpeluang merampas kedudukan teratas jika berjaya membawa pulang tiga mata penuh. United akan turun tanpa Wayne Rooney yang masih mengalami kecederaan dan tugas sebagai penggempur akan dipikul Dimitar Berbatov. Selepas tersingkir dari kempen Eropah mereka, United kini boleh menumpukan sepenuh perhatian secara serius mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan apa yang pasti Chelsea tidak lagi bersendirian dalam perlumbaan mengejar kejuaraan.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van der Sar, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Gary Neville, Darren Fletcher, Michael Carrick, Nani, Luis Antonio Valencia, Ryan Giggs & Dimitar Berbatov

07 April 2010

1-0 SUDAH CUKUP BAGI FERGUSON

LIGA JUARA-JUARA EROPAH
(SUKU AKHIR, PUSINGAN KEDUA )
Old Trafford, Manchester - 8 April 2010

MANCHESTER UNITED lwn BAYERN MUNICH

http://a9.vietbao.vn/images/vn975/the-thao/75227867-Sir-Alex-Ferguson-Besiktas-Skysports.jpg
Sir Alex Ferguson mengatakan bahawa Manchester United hanya memerlukan kemenangan 1-0 ke atas Bayern Munich untuk layak ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara. Pengurus United itu optimis yang anak-anak buahnya mampu merealisasikan impian untuk menyingkirkan gergasi Jerman itu biarpun tanpa kelibat Wayne Rooney dalam pasukan. Pada perlawanan pertama di Allianz Arena minggu lalu, United tewas 1-2 hasil gol lewat lawan melalui Franck Ribery dan Ivica Olic tetapi kemenangan 1-0 di Old Trafford awal pagi nanti akan membawa United ke peringkat separuh akhir. "Gol di gelanggang lawan akan memberikan perbezaan. Jika kami menang 1-0 di sini (Old Trafford), ia sudah cukup memadai buat saya", kata Ferguson. Ferguson turut memberikan pujian kepada pengendali lawan, Louis Van Gaal yang pada pandangannya berjaya menjadikan Bayern sebuah pasukan yang hebat. "Saya memiliki rasa hormat yang tinggi kepada Van Gaal. Pasukannya bermain bolasepak dengan baik dan mereka semakin berkembang. Franck Ribery dan Arjen Robben adalah pemain hebat tetapi kami tidak boleh terlalu fokus kepada mereka berdua", tambah Ferguson lagi.

Sementara itu maruah bolasepak Inggeris kini terletak sepenuhnya di tangan United selepas Arsenal diaibkan Barcelona 1-4 awal pagi tadi. Selepas Chelsea kecundang di peringkat 16 pasukan terbaik dan Arsenal pula tersingkir di peringkat suku akhir, United
kini merupakan satu-satunya wakil Inggeris yang akan meneruskan cabaran di saingan tertinggi Eropah itu. Pada tahun 2007, kelab-kelab Inggeris mendominasi saingan di Eropah apabila United dan Chelsea bertemu sesama sendiri di perlawanan akhir. Kini United harus segera bangkit dari kekalahan mereka kepada Chelsea dalam kempen liga minggu lalu dengan menjadikan kunjungan Bayern sebagai medan kebangkitan semula skuad Red Devils. Kekalahan kepada Chelsea menyaksikan United terpaksa turun ke tangga kedua liga dan mereka berharap perlawanan menentang Bayern nanti sebagai detik terbaik memulihkan semula keyakinan. Ferguson dijangka tidak akan menurunkan tonggak-tonggak veterannya seperti Paul Scholes, Gary Neville dan Ryan Giggs dalam perlawanan ini, manakala Dimitar Berbatov akan sekali lagi menjadi sandaran sebagai penggempur utama berikutan ketiadaan Wayne Rooney.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van der Sar, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Luis Antonio Valencia, Darren Fletcher, Michael Carrick, Park Ji-Sung, Nani & Dimitar Berbatov

04 April 2010

CHELSEA PILIHAN JUARA LIGA PERDANA

Chelsea players celebrate after taking an early lead at Old  Trafford
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson mengakui Chelsea kini merupakan pilihan hangat untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris musim ini selepas melihat skuadnya tewas 1-2 kepada pesaing terdekat mereka itu di Old Trafford malam tadi. Kemenangan itu juga meletakkan Chelsea dua mata mengatasi United di tangga teratas liga dengan masing-masing memiliki baki lima perlawanan untuk diharungi. Chelsea kini memungut 74 mata manakala United di tangga kedua dengan 72 mata, satu mata di hadapan Arsenal di tangga ketiga. Setelah tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah, skuad The Blues menumpukan segenap usaha mereka untuk merampas trofi Liga Perdana yang sudah tiga musim berada di Old Trafford. "Chelsea kini adalah pilihan untuk keluar sebagai juara. Mereka memiliki kelebihan dua mata dan perbezaan gol yang besar ke atas kami, itu tidak perlu diragui", kata Ferguson. "Saya yakin kami akan bangkit dengan memenangi baki lima perlawanan tetapi Chelsea juga boleh memenangi lima perlawanan terakhir mereka", tambah Ferguson lagi.
Manchester United defender Gary Neville battles for possession  with Florent Malouda of Chelsea
United jelas merasai kesan akibat kehilangan khidmat Wayne Rooney dan terpaksa bergelut menembusi benteng Chelsea sepanjang separuh masa pertama. United ketinggalan diminit ke 19 hasil jaringan Joe Cole yang menyempurnakan hantaran Florent Malouda dari sebelah kiri. Di babak kedua, United menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan tetapi sekali lagi tersentak apabila Didier Drogba yang masuk menggantikan Joe Cole meletakkan Chelsea selesa didepan di minit ke 78. Dua minit kemudian Federico Macheda merapatkan jurang gol buat United tetapi mereka mendapati kesuntukan masa untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan dan berkongsi mata. Sementara itu Nemanja Vidic berpendapat pasukannya bermain agak buruk pada separuh masa pertama tetapi tampil lebih baik di separuh masa kedua. "Kami lebih agresif di separuh masa kedua dan menguasai permainan. Jika kami mampu menyudahkan peluang, kami mampu memenangi perlawanan ini", kata Vidic. "Kami masih memiliki baki lima perlawanan dan kami perlu memenangi kesemuanya. Ini bukanlah perkara mudah tetapi permainan kami di separuh masa kedua memberikan kami harapan untuk tampil lebih baik", tambah Vidic lagi.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Arsenal (1) - Wolverhampton (0)
Bolton Wanderers (0) - Aston Villa (1)
Portsmouth (0) - Blackburn (0)
Stoke City (2) - Hull City (0)
Sunderland (3) - Tottenham (1)
Burnley (1) - Manchester City (6)

02 April 2010

PERTEMBUNGAN UNITED/CHELSEA IBARAT PERLAWANAN AKHIR

http://www.cbc.ca/gfx/images/sports/photos/2010/04/01/rooney-get-100330-584.jpg
Pertemuan Manchester United menentang Chelsea esok dianggap sesetengah pihak sebagai perlawanan akhir Liga Perdana Inggeris musim ini. Malah kapten United, Gary Neville turut menganggap pemenang perlawanan ini berkemungkinan besar akan dinobatkan sebagai juara diakhir musim. United ketika ini mengumpul 72 mata untuk berada di tangga teratas liga tetapi hanya dibezakan satu mata dengan Chelsea di tangga kedua. Kedua-dua pasukan masih mempunyai baki enam perlawanan dan pertembungan ini bakal memberi gambaran pasukan mana yang bakal dinobatkan sebagai juara. "Sabtu ini bakal menyaksikan perlawanan yang sangat penting buat kedua-dua pasukan. Saya yakin keputusan perlawanan ini akan memberikan gambaran pasukan mana yang bakal menjulang kejuaraan musim ini", kata Neville. Sementara itu bek United, Nemanja Vidic mengakui bahawa kecederaan yang dialami Wayne Rooney merupakan satu tamparan buat pasukannya. Walau bagaimanapun Vidic yakin Dimitar Berbatov yang kini menjadi sandaran utama United sebagai penggempur utama mampu memikul tugas mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rooney. Rooney yang mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika menentang Bayern Munich Rabu lalu berdepan kemungkinan tidak akan beraksi selama dua hingga empat minggu. Menurut Vidic, tanpa Rooney, United masih mampu menangani ancaman Chelsea esok yang turut berdepan kemungkinan kehilangan khidmat Didier Drogba dalam perlawanan penting ini.
http://images.teamtalk.com/09/12/800x600/West-Ham-v-Manchester-United-Gary-Neville-inj_2393719.jpg
"Kami bermain sebagai sebuah pasukan dan tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja. Rooney memang menikmati musim terhebatnya dan merupakan pemain terbaik dunia ketika ini. Kehilangan Rooney memang dirasai tetapi Dimitar bermain dengan cemerlang ketika menentang Bolton dan dia merupakan pemain yang hebat. Kami mempunyai skuad yang bagus dan hanya perlu percaya kepada diri sendiri dan terhadap rakan-rakan sepasukan yang lain", ujar Vidic. Di pihak Chelsea pula, Carlo Ancelotti mahu agar pasukannya berwaspada dengan kekuatan United biarpun tanpa kelibat Rooney. "Kami tahu bahawa Rooney merupakan pemain yang penting buat United. Dia pemain yang fantastik tetapi kecederaannya menguntungkan kami", kata Ancelotti. "Tetapi ada kalanya sesebuah pasukan akan memberikan lebih dari seratus peratus ketika seorang pemain yang sangat penting tidak dapat diturunkan. Kami harus berhati-hati kerana saya tahu United mempunyai pengalaman dan pemain yang mampu menggantikan Rooney", tambahnya lagi. Pertembungan United/Chelsea kali cukup penting buat kedua-dua pasukan. The Blues menikmati pestasi terbaik mereka ketika ini selepas membelasah Portsmouth dan Aston Villa. Barisan penggempur mereka mencetak 11 gol dalam dua perlawanan terakhir tetapi berdepan United di Old Trafford adalah sesuatu yang berbeza. United muncul pasukan paling sedikit dibolosi apabila benteng mereka yang dibarisi ketua pasukan England, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic hanya melepaskan 25 gol setakat ini. Tetapi Chelsea juga merupakan pasukan yang penuh pengalaman dan United harus berwaspada dengan kelibat Frank Lampard, Florent Malouda, Didier Drogba dan Nicholas Anelka jika tidak mahu kempunan di gelanggang sendiri.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van der Sar, Patrice Evra, Gary Neville, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Michael Carrick, Ryan Giggs, Luis Antonio Valencia, Nani, Park Ji-Sung & Dimitar Berbatov