17 April 2010

SCHOLES MUNCUL WIRA

Carlos Tevez of Manchester City screens the ball from Jonny Evans  of Manchester United
Manchester City sekali lagi terpaksa menelan kepahitan dan menerima kekalahan menerusi jaringan minit akhir perlawanan kepada jiran mereka Manchester United. September tahun lalu, Michael Owen muncul pemusnah kepada skuad bergelar The Citizens itu menerusi jaringan kemenangan diminit akhir masa tambahan. Malam tadi, giliran Paul Scholes pula muncul pemusnah, juga menerusi jaringan minit akhir masa tambahan. Wayne Rooney kembali menyertai kesebelasan utama United selepas pulih dari kecederaan namun kelibat penyerang England itu mendapat layanan `istimewa' dari Vincent Kompany yang ditugaskan merantai pergerakannya. Sir Alex Ferguson melakukan tindakan mengejut dengan memilih Darron Gibson berbanding Michael Carrick di bahagian tengah serta merehatkan Rio Ferdinand yang mengalami kecederaan dan menurunkan Jonny Evans di benteng pertahanan. Evans menjalankan tugasnya dengan cemerlang apabila berjaya merantai pergerakan Carlos Tevez yang berada dalam prestasi terbaiknya ketika ini dan telah menjaringkan tujuh gol dari empat perlawanan. Kedua-dua pasukan yang memerlukan kemenangan bermain dengan berhati-hati tetapi United memperolehi beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol terutamanya di separuh masa pertama. Diminit ke 41, Wayne Rooney sepatutnya sudah meletakkan United di depan tetapi rembatannya tersasar dari gawang biarpun hanya berdepan dengan Shay Given. Tiga minit kemudian United sekali lagi menguji gawang tuan rumah melalui Ryan Giggs tetapi, kuisan bintang veteran itu yang menerima hantaran lintang Antonio Valencia berjaya diselamatkan Given.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100417/capt.9677c9779aaa49e2893b99105700b9fe-9677c9779aaa49e2893b99105700b9fe-0.jpg
Sir Alex Ferguson melakukan perubahan taktikal diseparuh masa kedua dengan memasukkan Nani dan memberi peluang buat Giggs berada lebih kehadapan. Perubahan ini menyaksikan United berjaya meningkatkan tempo serangan mereka tetapi tetap gagal menembusi gawang tuan rumah. Diminit ke 73, rayuan City untuk mendapatkan penalti selepas Gareth Barry dijatuhkan Gary Neville tidak diendahkan pengadil perlawanan. Dimitar Berbatov yang masuk menggantikan Rooney turut memperolehi peluang tetapi tandukannya diminit ke 78 tidak menepati sasaran. Lima minit selepas itu, dalam situasi kelam kabut di hadapan gawang United, City mencipta peluang menjaringkan gol tetapi gagal disempurnakan Kompany dan Kolo Toure. Ketika masa tambahan selama tiga minit yang diberikan pegawai pertandingan berbaki 18 saat, Scholes muncul wira United apabila berjaya menanduk masuk bola hantaran Patrice Evra dari sebelah kiri. Gol penting itu adalah jaringan ke 149 Scholes sepanjang kariernya bersama United dan hadir ketika skuad The Red Devils memerlukan kemenangan bagi menghidupkan semula peluang mereka menjulang kejuaraan liga. Kemenangan ini menyaksikan United hanya dipisahkan satu mata dari pendahulu Chelsea yang tewas 1-2 kepada Tottenham Hotspurs dan menjadikan perlumbaan merebut trofi Liga Perdana kembali terbuka. Sementara itu Ferguson memuji penampilan bintang-bintang veterannya seperti Neville, Giggs dan Scholes dalam perlawanan penting ini. "Mereka melalui begitu banyak perlawanan derby selama bertahun-tahun. Mereka adalah tonggak bagi kami, selain penampilan, pengalaman mereka juga banyak membantu pemain-pemain lain. Tidak pernah menyerah merupakan sebahagian ciri penting yang dimiliki pasukan ini", kata Ferguson.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Birmingham City (0) - Hull City (0)
Blackburn (2) - Everton (3)
Fulham (0) - Wolverhampton Wanderers (0)
Stoke City (1) - Bolton Wanderers (2)
Sunderland (2) - Burnley (1)
Tottenham Hotspurs (2) - Chelsea (1)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan