30 September 2010

HERNANDEZ DAN FERDINAND DAPAT PUJIAN FERGUSON

Manchester United player Javier Hernandez from Mexico, celebrates after scoring during the Group C Champions League soccer match against Valencia at the Mestalla Stadium in Valencia, Spain, Wednesday, Sept. 29, 2010.
Bintang muda Manchester United sekali lagi mendapat kepercayaan Ferguson dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah mereka musim ini. Tanpa kelibat pemain veteran seperti Ryan Giggs, Paul Scholes dan Gary Neville serta Wayne Rooney yang ditimpa kecederaan, Ferguson sepertimana lazimnya memberi kepercayaan kepada bintang mudanya ketika menghadapi Valencia di Stadium Mestalla awal pagi tadi. Kepercayaan yang diberikan Ferguson akhirnya dibayar Javier Hernandez apabila gol tunggal jaringannya di penghujung permainan memberikan United tiga mata penuh di gelanggang lawan. Penyerang Mexico itu menjaringkan gol kemenangan United, 13 minit sebelum permainan tamat selepas menerima hantaran Federico Macheda. Selain gembira dengan prestasi Hernandez, Ferguson turut memuji penampilan dua lagi pemain mudanya, Anderson dan Macheda. "Chico (Hernandez) bermain dengan cukup bagus. Sebelum menerima hantaran itu, dia bergerak dari belakang dan ini yang kami perlukan disaat-saat akhir. Dia menjaringkan gol dengan begitu mudah seperti memakan kacang. Kepantasannya memberikan masalah besar kepada pertahanan lawan", kata Ferguson.

Pujian Ferguson juga diarahkan kepada tonggak pertahannya yang sebelum ini dibelenggu kecederaan, Rio Ferdinand. Ferdinand buat pertama kali musim ini diturunkan berpasangan dengan Nemanja Vidic di benteng pertahanan United. "Pengalamannya banyak membantu dan itu tidak perlu diragui. Dia sudah kembali, itu yang penting. Kini apa yang harus kami lakukan adalah melindunginya agar tidak mengalami kecederaan semula", tambah Ferguson lagi. Sementara itu Ferdinand turut senada dengan Ferguson apabila melemparkan pujian kepada Hernandez. Walaupun baru menyertai United musim ini, Hernandez tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dalam pasukan. "Budak itu sangat luar biasa. Dia bersikap matang dan mahu belajar. Selalunya dia merupakan pemain terakhir yang akan pulang dari sesi latihan dan pemain seperti ini biasanya akan berbeza dari pemain lain", puji Ferdinand. Kemenangan ke atas Valencia ini meletakkan United ditangga teratas Kumpulan C yang turut membabitkan Glasgow Rangers dan Bursaspor. Selepas dua perlawanan United berada ditangga teratas berkongsi empat mata dengan Rangers, diikuti Valencia dan Bursaspor.

29 September 2010

FERGIE GEMBIRA RIO KEMBALI SEMULA


LIGA JUARA-JUARA EROPAH

VALENCIA CF lwn MANCHESTER UNITED
(Estadio de Mestalla, Valencia, 30 September 2010, jam 02:40 pagi)

Sir Alex Ferguson ternyata begitu gembira dengan kembalinya Rio Ferdinand ke dalam pasukan selepas lama berehat akibat kecederaan lutut sejak pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan, Jun lalu. Ferdinand turut terlepas aksi di Stadium Reebok hujung minggu lalu yang menyaksikan United sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Bolton Wanderers. Walaupun bermain selama 90 minit ketika membantu United mencatat kemenangan ke atas Scunthorpe United pertengahan minggu lalu, Ferguson mengambil keputusan merehatkan kapten England itu dari aksi Liga Perdana Inggeris. Ferdinand bakal memperkuatkan benteng pertahanan United ketika skuad Red Devils berhadapan dengan Valencia di Estadio de Mestalla dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah awal pagi nanti. Khidmatnya amat ditagih Ferguson awal pagi nanti memandangkan Valencia berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini.

"Rio sudah cergas sepenuhnya dan telahpun diturunkan ketika kami berhadapan dengan Rangers dan Scunthorpe", kata Ferguson. "Dia diketepikan selama lima bulan dan itulah sebabnya mengapa saya tidak mahu mengambil risiko menurunkannya ketika kami berhadapan dengan Bolton", tambah Ferguson lagi. Ferdinand yang mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan skuad England sebelum menghadapi pusingan akhir Piala Dunia Afrika Selatan sempat diturunkan Ferguson ketika United berhadapan dengan Glasgow Rangers dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara Eropah dan Scunthorpe United dalam kempen Piala Carling. Ferguson memutuskan menurunkan Jonny Evans ketika menentang Bolton berikutan prestasi baik pemain pertahanan muda itu bersama Nemanja Vidic. "Apa yang penting Rio sudah kembali", kata Ferguson.

27 September 2010

FERGIE TETAP PUAS WALAUPUN SERI

Manchester United's Michael Owen celebrates after scoring against Bolton Wanderers during their English Premier League soccer match at The Reebok Stadium, Bolton, England, Sunday Sept. 26, 2010. EMAIL infofootball-dataco.com FOR DETAILS.
Sir Alex Ferguson tetap berpuashati walaupun anak-anak buahnya diikat Bolton Wanderers, 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam. Ferguson amat berpuashati dengan karekter yang dipamerkan oleh pemain-pemainnya selepas dua kali ketinggalan di belakang tuan rumah. United ketinggalan seawal minit keenam melalui jaringan pertahanan tuan rumah, Zat Knight. Walau bagaimanapun Nani menyamakan kedudukan diminit ke 22 hasil gerakan menarik dari tengah padang. Walaupun menguasai perlawanan, United gagal menembusi gawang tuan rumah yang dikawal Jussi Jaaskelainen. Tuan rumah yang mempamerkan corak permainan bertahan bagaimanapun sesekali berjaya mengancam benteng United melalui penyerang antarabangsa Sweden, Johan Elmander. Bersambung di babak kedua, perlawanan agak seimbang namun tuan rumah sekali lagi berjaya mendahului melalui jaringan pemain tengahnya, Martin Petrov diminit ke 66. Rembatan deras Petrov dari jarak dekat yang terkena Darren Fletcher sekaligus mengelirukan Edwin Van der Sar di gawang.

Gol itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Michael Owen berjaya menanduk masuk bola sepakan bebas Nani diminit ke 74. "Di babak pertama kami bermain dengan baik serta banyak mencipta peluang", kata Ferguson. "Perlawanan menentang Bolton sentiasa sukar namun kami menguasai permainan. Agak sukar apabila kami ketinggalan dua kali namun kami memiliki karekter yang cukup mengangumkan. Saya fikir keputusan ini adil", tambah Ferguson lagi. Sementara itu Michael Owen yang jaringannya membolehkan United berkongsi mata mengatakan Bolton adalah pasukan yang liat untuk ditewaskan ketika mereka bermain di gelanggang sendiri. "Memang saya gembira selepas berjaya menjaringkan gol namun dalam masa yang sama agak kecewa apabila pasukan gagal meraih kemenangan", kata Owen. Keputusan itu menyaksikan United berjaya memintas Arsenal dengan kelebihan satu mata di tangga kedua selepas anak-anak buah Arsene Wenger itu tewas mengejut kepada West Bromwich Albion di Emirates.

26 September 2010

BERBATOV SEMAKIN YAKIN


LIGA PERDANA INGGERIS
BOLTON WANDERERS lwn MANCHESTER UNITED
(Stadium Reebok, 26 September 2010, jam 07:00 malam)
http://d.yimg.com/a/p/afp/20100919/capt.photo_1284915223451-5-0.jpg
Dimitar Berbatov menyatakan bahawa harga tinggi yang dibayar United untuk membawanya dari White Hart Lane antara penyebab utama dia gugup dan gagal mempamerkan aksi terbaiknya selama ini. Walau bagaimanapun Berba mengakui dia kini semakin berkeyakinan selepas mencatat hatrik ketika membantu kemenangan United ke atas Liverpool minggu lepas. Berbatov dibeli dari Tottenham Hotspurs dengan harga 30 juta Pound pada tahun 2008, namun selama dua musim di Old Trafford dia hanya menjaringkan 21 gol dari 64 penampilan Liga Perdana Inggeris. Sebelum ini ramai penyokong United menilai bahawa harga yang dkeluarkan United tidak setanding dengan prestasi yang dipamerkan Berba, malah ada juga yang mengharapkan agar United segera menjualnya. Walau bagaimanapun kesabaran Sir Alex Ferguson ke atas Berba akhirnya mula membuahkan hasil musim ini apabila penyerang antarabangsa Bulgaria itu muncul antara pemain paling menyerlah buat United setakat ini. Berba juga kini muncul pendahulu senarai penjaring terbanyak dengan 6 gol bersama Florent Malouda.

Malam ini ketajaman Berba sekali lagi ditagih Ferguson sambil mengharapkan seorang lagi ayam tambatannya, Wayne Rooney juga menemui sentuhan golnya. United akan bertandang ke Stadium Reebok untuk berdepan anak-anak buah Owen Coyle dengan misi merapatkan jurang mata dari pendahulu ketika ini Chelsea. Skuad The Blues yang tewas kepada Manchester City selepas mencatat lima kemenangan berturut-turut sebelum ini dan bakal dibezakan hanya satu mata jika United memenangi pertembungan malam ini. Selepas menurunkan skuad keduanya dalam kempen Piala Carling pertengahan minggu lalu, Ferguson pastinya akan menurunkan skuad utamanya malam ini. Selepas melihat Chelsea dan Arsenal, dua pasukan yang menghuni tangga teratas tumpas semalam, skuad The Red Devils pastinya melihat perlawanan ini sebagai peluang terbaik mereka untuk kembali menghambat Chelsea sekaligus memintas Arsenal di tangga kedua. Apapun Berba yang muncul pemain pertama United menjaringkan hatrik ke atas Liverpool dalam tempoh 64 tahun pastinya terus menjadi sandaran Ferguson sebagai penggempur.

22 September 2010

PIALA CARLING: MEDAN UNTUK PEMAIN MUDA


PIALA CARLING (PUSINGAN KE 3)
SCUNTHORPE UNITED lwn MANCHESTER UNITED
(Glanford Park, 23 September 2010, jam 02:45 pagi)

Jika penyokong Manchester United mahu melihat aksi pemain-pemain terbaik pasukan kesayangan mereka dalam kempen Piala Carling, mereka nampaknya terpaksa melupakan saja harapan itu. Sir Alex Ferguson menegaskan bahawa kejohanan yang dilabelkan sebagai kelas tiga itu akan digunakan sepenuhnya untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda dalam pasukannya. "Piala Carling memberikan kami kenangan yang cukup bagus sejak beberapa musim terakhir ini. Kejohanan ini membolehkan saya memberikan kesempatan kepada pemain muda dalam pasukan mendapat pendedahan. Jika kami layak ke perlawanan akhir ianya merupakan bonus buat pasukan", kata Ferguson. "Saya tidak kecewa meskipun Southend dan Coventry pernah menyingkirkan kami dipusingan awal kerana pemain muda tetap memperolehi pengalaman dari perlawanan itu", tambah Ferguson lagi. Awal pagi nanti United akan bertandang ke Granfrod Park, Scunthorpe bagi membuka kempen awal mereka dalam usaha mempertahankan trofi yang mereka menangi sejak dua musim lepas. Ferguson dijangka memberikan kesempatan kepada sebahagian pemain mudanya seperti Javier Hernandez, Chris Smalling, Bebe, Federico Macheda, Rafael dan Fabio da Silva menimba pengalaman dalam perlawanan ini disamping beberapa pemain senior seperti Michael Owen dan Michael Carrick memimpin pasukan.

20 September 2010

KEYAKINAN FERGUSON KE ATAS BERBATOV AKHIRNYA BERBAYAR

http://static.guim.co.uk/sys-images/Football/Pix/pictures/2010/9/19/1284905865770/Dimitar-Berbatov-004.jpg
Dimitar Berbatov menunjukkan bahawa dia memang penyerang yang harus digeruni selepas mencetak hatrik ketika membantu United menewaskan musuh tradisi mereka Liverpool semalam. Biarpun pada satu ketika Liverpool berjaya menyamakan kedudukan selepas ketinggalan dua gol, Berbatov akhirnya muncul wira apabila berjaya menanduk masuk gol kemenangan, enam minit sebelum permainan tamat. Sir Alex Ferguson jelas gembira dengan prestasi yang dipamerkan Berbatov dan menyatakan bahawa tidak pernah meragui kemampuan penyerang antarabangsa Bulgaria itu. "Dia sering dikritik media musim lalu selepas kami mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk mendapatkan khidmatnya. Begitulah nasib pemain bertaraf dunia dilayan media di sini. Tetapi dia memulakan musim ini dengan cemerlang dan saya tidak pernah meragui kualiti yang ada padanya. Dia juga amat cemerlang semasa perlawanan pra musim kami", kata Ferguson.

Sementara itu Ferguson mengatakan bahawa pengadil perlawanan, Howard Webb memainkan peranan besar ke atas dua gol yang dihasilkan Liverpool. Selepas ketinggalan dua gol hasil jaringan Berbatov diminit ke 41 dan 59, lawan berjaya mengikat kedudukan melalui sepakan penalti Steven Gerrard diminit ke 64 dan kapten Liverpool itu sekali lagi menembusi gawang United melalui sepakan bebas diminit ke 70. United seolah-olah bakal mencatat keputusan seri buat kali ketiga selepas diikat Fulham dan Everton namun Berbatov akhirnya memastikan tiga mata penuh buat skuad Red Devils apabila berjaya menanduk masuk bola hantaran John O'Shea diminit ke 84. "Liverpool tidak memberikan sesuatu yang benar-benar menyakinkan. Mereka hanya bergantung kepada dua keputusan pengadil dan penjaga garisan (tendangan penalti dan bebas) untuk menyamakan kedudukan. Ketika kami mendahului dua gol saya yakin kami akan menambah gol lagi. Kami begitu dominan dan saya tidak fikir kami akan kalah", ujar Ferguson.

19 September 2010

GIGGS MAHU RAKAN ELAK KESILAPAN


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11


MANCHESTER UNITED lwn LIVERPOOL
(Old Trafford, 19 September 2010, jam 08:40 malam)
ryan giggs, giggs, man u players, giggs wallpaper
Menjelang pertembungan dua musuh tradisi, Manchester United dan Liverpool malam ini, bintang veteran United, Ryan Giggs mengingatkan rakan-rakan sepasukannya agar tidak melakukan kesilapan sama ketika mereka seri dengan Fulham dan Everton. Giggs mahukan agar pasukannya segera memperbaiki kesilapan mereka atau berdepan situasi lebih getir dalam usaha mereka merampas semula trofi Liga Perdana Inggeris dari tangan Chelsea. United ketika ini ketinggalan empat mata di belakang skuad kendalian Carlo Ancelotti itu yang menang kesemua empat perlawanan mereka setakat ini. Rabu lalu, United sekali lagi mencatat keputusan seri apabila diikat juara Scotland, Glasgow Rangers 0-0 dalam kempen mereka di peringkat Eropah. "Apabila lawan bermain secara bertahan kami biasanya mempunyai cara untuk memecah benteng mereka dan sesuatu yang cukup mengecewakan sewaktu menentang Rangers. Kami juga agak cuai ketika menentang Fulham dan Everton", kata Giggs.

Sementara itu, kapten England, Rio Ferdinand bakal diturunkan Ferguson dalam aksi menentang Liverpool malam ini selepas berjaya mengharungi 90 minit tempoh permainan ketika menentang Rangers kelmarin. Ferdinand yang mengalami kecederaan belakang musim lepas dan terlepas aksi Piala Dunia di Afrika Selatan akibat kecederaan lutut bakal digandingkan semula dengan Nemanja Vidic di benteng tengah United. "Saya telah menjalani latihan penuh bersama pasukan sejak dua minggu lepas dan bermain selama 90 minit ketika menentang Rangers tanpa sebarang masalah," kata Ferdinand. "Saya mahu menikmati keseronokan bermain dan kecederaan belakang saya juga sudah pulih namun ada beberapa perkara yang perlu saya lakukan agar masalah ini tidak berulang", kata Ferdinand lagi. Kehadiran tonggak pertahanan berpengaruh itu amat dinantikan Ferguson bagi memperkuatkan benteng United terutamanya bila berhadapan dengan ancaman pemain seperti Fernando Torres dan Steven Gerrard.

05 September 2010

SPURS HANYA PERSINGGAHAN SEMENTARA VAN DER VAART?

http://images.sportinglife.com/09/02/330/rafael-van-der-vaart_1866164.jpg
Sepkulasi kini bertiup kencang selepas Rafael Van Der Vaart melakukan perpindahan mengejut saat akhir ke Tottenham Hotspurs sebelum pintu perpindahan ditutup jam 6 petang 31 Ogos lalu. Van Der Vaart menyertai kelab utara London itu dari Real Madrid dengan yuran perpindahan sebanyak £8 juta dan sejurus selepas itu ramai percaya Spurs hanyalah persinggahan sementara bintang tengah Belanda itu sebelum menyertai Manchester United. Sumber dalaman dari Real Madrid mendedahkan bahawa Van Der Vaart menjadikan Spurs sebagai opsyen terbaiknya sebelum berusaha memikat hati Sir Alex Ferguson untuk menjadikannya sebagai salah seorang anggota skuad The Red Devils mengikut jejak langkah dua lagi bintang Spurs sebelum ini - Michael Carrick dan Dimitar Berbatov.

Selain Van Der Vaart spekulasi tersebar luas kebelakangan ini bahawa dua bintang Spurs, Luca Modric dan Gareth Bale tidak mampu menahan godaan mengejar kegemilangan beraksi di Theatre of Dreams. Spekulasi tentang Van De Vaart yang telah disiarkan beberapa media cetak di Sepanyol turut disokong dengan kenyataan pemain berusia 27 tahun itu pada Ogos lalu apabila beliau menyatakan: "Jika kamu meninggalkan kelab besar seperti Real Madrid, hanya ada satu kelab sahaja yang kamu akan sertai sebagai bukan langkah kebelakang, ia adalah Manchester United". United sebelum ini adalah antara kelab yang begitu hangat dikaitkan dengan Van Der Vaart disaat beliau diambang perpindahan keluar dari gergasi Sepanyol itu sebelum menyertai Spurs secara mengejut.

04 September 2010

SCHOLES HAMPIR BERSARA MUSIM LEPAS

http://images.sportinglife.com/10/08/330/Paul-Scholes_2482931.jpg
Bintang tengah veteran Manchester United, Paul Scholes hampir menggantung but penghujung tahun lalu. Ketika itu Scholes mahu bersara selepas melihat prestasinya kian merosot. "Ketika itu saya tidak cukup bagus, akibatnya ketika musim perayaan Krismas saya terfikir untuk bersara. Sebelumnya saya terpaksa berehat selama tiga bulan akibat kecederaan", kata Scholes. "Saya memang tidak bermain dengan kerap seperti yang saya inginkan. Saya memang meletakkan standard yang tinggi ketika bermain dan memberikan yang terbaik buat pasukan. Jika saya tidak mampu memberikan semua itu bererti saya akan berhenti setakat ini saja", tambah Scholes lagi. Walau bagaimanapun ketika itu Sir Alex Ferguson nyata mempunyai pandangan yang berbeza dengan Scholes.

Menurut Scholes, Ferguson sering memberikan motivasi kepadanya selain menegaskan bahawa dia masih mampu memberikan yang terbaik buat United. Atas dorongan yang diberikan Ferguson itulah menyebabkan Scholes membatalkan niatnya untuk bersara. "Pengurus sering memberikan perhatian kepada saya, Ryan (Giggs) dan Gary (Neville) dalam dua musim terakhir ini. Saya memang ingin bermain lagi, mungkin 25 atau 30 perlawanan semusim. Namun pada usia sekarang, anda tidak mampu bermain setiap minggu", jelas Scholes lagi. Ternyata motivasi dan dorongan yang diberikan Ferguson membuatkan Scholes mengubah fikiran. Prestasi pemain tengah berambut perang itu juga begitu hebat diawal musim sehingga dianugerahkan pemain terbaik ketika perlawanan merebut trofi Perisai Komuniti dan juga ketika United menewaskan Newcastle United dua minggu lalu.