Bintang muda Manchester United sekali lagi mendapat kepercayaan Ferguson dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah mereka musim ini. Tanpa kelibat pemain veteran seperti Ryan Giggs, Paul Scholes dan Gary Neville serta Wayne Rooney yang ditimpa kecederaan, Ferguson sepertimana lazimnya memberi kepercayaan kepada bintang mudanya ketika menghadapi Valencia di Stadium Mestalla awal pagi tadi. Kepercayaan yang diberikan Ferguson akhirnya dibayar Javier Hernandez apabila gol tunggal jaringannya di penghujung permainan memberikan United tiga mata penuh di gelanggang lawan. Penyerang Mexico itu menjaringkan gol kemenangan United, 13 minit sebelum permainan tamat selepas menerima hantaran Federico Macheda. Selain gembira dengan prestasi Hernandez, Ferguson turut memuji penampilan dua lagi pemain mudanya, Anderson dan Macheda. "Chico (Hernandez) bermain dengan cukup bagus. Sebelum menerima hantaran itu, dia bergerak dari belakang dan ini yang kami perlukan disaat-saat akhir. Dia menjaringkan gol dengan begitu mudah seperti memakan kacang. Kepantasannya memberikan masalah besar kepada pertahanan lawan", kata Ferguson.
Pujian Ferguson juga diarahkan kepada tonggak pertahannya yang sebelum ini dibelenggu kecederaan, Rio Ferdinand. Ferdinand buat pertama kali musim ini diturunkan berpasangan dengan Nemanja Vidic di benteng pertahanan United. "Pengalamannya banyak membantu dan itu tidak perlu diragui. Dia sudah kembali, itu yang penting. Kini apa yang harus kami lakukan adalah melindunginya agar tidak mengalami kecederaan semula", tambah Ferguson lagi. Sementara itu Ferdinand turut senada dengan Ferguson apabila melemparkan pujian kepada Hernandez. Walaupun baru menyertai United musim ini, Hernandez tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dalam pasukan. "Budak itu sangat luar biasa. Dia bersikap matang dan mahu belajar. Selalunya dia merupakan pemain terakhir yang akan pulang dari sesi latihan dan pemain seperti ini biasanya akan berbeza dari pemain lain", puji Ferdinand. Kemenangan ke atas Valencia ini meletakkan United ditangga teratas Kumpulan C yang turut membabitkan Glasgow Rangers dan Bursaspor. Selepas dua perlawanan United berada ditangga teratas berkongsi empat mata dengan Rangers, diikuti Valencia dan Bursaspor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan