LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11
MANCHESTER UNITED lwn LIVERPOOL
(Old Trafford, 19 September 2010, jam 08:40 malam)
Menjelang pertembungan dua musuh tradisi, Manchester United dan Liverpool malam ini, bintang veteran United, Ryan Giggs mengingatkan rakan-rakan sepasukannya agar tidak melakukan kesilapan sama ketika mereka seri dengan Fulham dan Everton. Giggs mahukan agar pasukannya segera memperbaiki kesilapan mereka atau berdepan situasi lebih getir dalam usaha mereka merampas semula trofi Liga Perdana Inggeris dari tangan Chelsea. United ketika ini ketinggalan empat mata di belakang skuad kendalian Carlo Ancelotti itu yang menang kesemua empat perlawanan mereka setakat ini. Rabu lalu, United sekali lagi mencatat keputusan seri apabila diikat juara Scotland, Glasgow Rangers 0-0 dalam kempen mereka di peringkat Eropah. "Apabila lawan bermain secara bertahan kami biasanya mempunyai cara untuk memecah benteng mereka dan sesuatu yang cukup mengecewakan sewaktu menentang Rangers. Kami juga agak cuai ketika menentang Fulham dan Everton", kata Giggs.
Sementara itu, kapten England, Rio Ferdinand bakal diturunkan Ferguson dalam aksi menentang Liverpool malam ini selepas berjaya mengharungi 90 minit tempoh permainan ketika menentang Rangers kelmarin. Ferdinand yang mengalami kecederaan belakang musim lepas dan terlepas aksi Piala Dunia di Afrika Selatan akibat kecederaan lutut bakal digandingkan semula dengan Nemanja Vidic di benteng tengah United. "Saya telah menjalani latihan penuh bersama pasukan sejak dua minggu lepas dan bermain selama 90 minit ketika menentang Rangers tanpa sebarang masalah," kata Ferdinand. "Saya mahu menikmati keseronokan bermain dan kecederaan belakang saya juga sudah pulih namun ada beberapa perkara yang perlu saya lakukan agar masalah ini tidak berulang", kata Ferdinand lagi. Kehadiran tonggak pertahanan berpengaruh itu amat dinantikan Ferguson bagi memperkuatkan benteng United terutamanya bila berhadapan dengan ancaman pemain seperti Fernando Torres dan Steven Gerrard.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan