29 September 2010

FERGIE GEMBIRA RIO KEMBALI SEMULA


LIGA JUARA-JUARA EROPAH

VALENCIA CF lwn MANCHESTER UNITED
(Estadio de Mestalla, Valencia, 30 September 2010, jam 02:40 pagi)

Sir Alex Ferguson ternyata begitu gembira dengan kembalinya Rio Ferdinand ke dalam pasukan selepas lama berehat akibat kecederaan lutut sejak pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan, Jun lalu. Ferdinand turut terlepas aksi di Stadium Reebok hujung minggu lalu yang menyaksikan United sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Bolton Wanderers. Walaupun bermain selama 90 minit ketika membantu United mencatat kemenangan ke atas Scunthorpe United pertengahan minggu lalu, Ferguson mengambil keputusan merehatkan kapten England itu dari aksi Liga Perdana Inggeris. Ferdinand bakal memperkuatkan benteng pertahanan United ketika skuad Red Devils berhadapan dengan Valencia di Estadio de Mestalla dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah awal pagi nanti. Khidmatnya amat ditagih Ferguson awal pagi nanti memandangkan Valencia berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini.

"Rio sudah cergas sepenuhnya dan telahpun diturunkan ketika kami berhadapan dengan Rangers dan Scunthorpe", kata Ferguson. "Dia diketepikan selama lima bulan dan itulah sebabnya mengapa saya tidak mahu mengambil risiko menurunkannya ketika kami berhadapan dengan Bolton", tambah Ferguson lagi. Ferdinand yang mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan skuad England sebelum menghadapi pusingan akhir Piala Dunia Afrika Selatan sempat diturunkan Ferguson ketika United berhadapan dengan Glasgow Rangers dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara Eropah dan Scunthorpe United dalam kempen Piala Carling. Ferguson memutuskan menurunkan Jonny Evans ketika menentang Bolton berikutan prestasi baik pemain pertahanan muda itu bersama Nemanja Vidic. "Apa yang penting Rio sudah kembali", kata Ferguson.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan