Tidak ramai yang kenal siapa Javier Hernandez sebelum pemain muda Mexico itu menyarung jersi Manchester United. Hernandez mula menarik perhatian ramai apabila beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan Mexico dalam Pusingan Akhir Piala Dunia Afrika Selatan 2010. Kemampuannya menembusi gawang pasukan gergasi lain seperti Perancis dan Argentina telah membuka mata peminat bolasepak dunia terutamanya penyokong-penyokong United yang bakal diwakilinya musim ini. United amat beruntung kerana berjaya menandatangani Hernandez sebelum Piala Dunia 2010 bermula di mana Sir Alex Ferguson yang menerima laporan dari pencari bakat United telah terbang ke Mexico dan mencapai kata sepakat dengan kelab Hernandez ketika itu, Chivas Guadalajara pada April 2010. Naluri Ferguson untuk mendapatkan Hernandez ternyata tidak silap apabila pemain yang memakai jersi nombor 14 itu bermain baik dalam perlawanan pra musim United. Hernandez juga tidak menunggu masa yang lama untuk memikat perhatian penyokong-penyokong United melalui aksi pertamanya dalam kancah Liga perdana Inggeris apabila menjaringkan satu daripada tiga gol United ketika mereka menewaskan Chelsea dalam perlawanan merebut Perisai Komuniti. Golnya yang paling diingati setakat ini ialah apabila dia menembusi gawang Stoke City di penghujung permainan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu. Gol kemenangan itu begitu penting selepas United seakan-akan bakal mencatat keputusan seri buat kali keenam musim ini. Hernandez terus mempamerkan sentuhan berbisanya apabila sekali lagi menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan untuk menyingkirkan Wolverhampton Wanderers sekaligus meletakkan United kesaingan suku akhir Piala Carling.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan