Sir Alex Ferguson tetap berpuashati walaupun Manchester United sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Bursaspor dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi. Menurut Ferguson, United bermain dengan baik dan berjaya mengekalkan rentak serangan mereka sepanjang 90 minit permainan. Gol tunggal perlawanan dijaringkan Nani seawal minit ke-7 melalui rembatan cantik kaki kiri dari luar petak penalti lawan. "Nani semakin bagus dan ini sangat baik untuk kami. Dia terus menambah koleksi golnya dan ini sangat penting", kata Ferguson. Ferguson turut mengakui bahawa musim ini adalah antara musim paling sukar buat pasukannya ditambah pula dengan spekulasi bahawa Wayne Rooney akan berhijrah Januari nanti. "Kemenangan ini sangat penting buat peminat. Mereka menyokong kami dengan baik malam ini dan sentiasa berada di belakang pasukan. Suasana dalam pasukan juga baik terutamanya ketika di bilik persalinan", tambah Ferguson lagi. Ketika ditanya wartawan tentang Rooney yang menyatakan hasrat untuk berhijrah, Ferguson menyatakan, "Saya belum membacanya. Saya telah menyaksikan sedikit di televisyen tapi saya akan hanya membaca kenyataannya esok. Seperti yang selalu saya katakan, pintu untuk Rooney kekal sentiasa terbuka. Kami adalah kelab yang baik dan kami juga ingin menjaga pemain terutamanya pemain muda seperti Rooney". Kemenangan ini juga meletakkan United di tangga teratas kumpulan C dengan tujuh mata diikuti Rangers, Valencia dan Bursaspor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan