28 Mac 2011

SNEIJDER KEMBALI DIKAITKAN DENGAN UNITED


Manchester United dikatakan kembali menjadikan tonggak Inter Milan, Wesley Sneijder sebagai sasaran mereka musim panas nanti. Bahagian tengah United yang dilihat semakin dimamah usia memang memerlukan nafas baru dan Sneijder dilihat sebagai pemain paling sesuai untuk menguatkan skuad The Red Devils musim depan. Selain Sneijder seorang lagi pemain yang beraksi di Serie A, Javier Pastore turut dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford musim panas nanti. Walau bagaimanapun usaha Sir Alex Ferguson untuk mendapatkan Sneijder berhadapan laluan sukar memandangkan bintang tengah Belanda itu baru saja mengikat kontrak baru yang akan mengekalkannya di Guiseppe Meazza hingga tahun 2015. Ferguson memang telah lama melihat prospek yang ada pada Snejider sebagai pengganti paling sesuai buat bintang veterannya, Paul Scholes.

Selepas berehat agak lama akibat kecederaan, kelibat Sneijder kembali mencuri perhatian dan prestasi baiknya turut memberikan kesan besar ke atas cabaran Inter di peringkat domestik dan juga Eropah. Inter berjaya mengenepikan cabaran Bayern Munich untuk melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dan bakal berhadapan dengan satu lagi kelab Jerman, Schalke 04. Walaupun masih belum menyatakan secara terbuka akan meninggalkan Itali, rakan-rakan rapat pemain tengah Belanda itu mengatakan bahawa Sneijder mula memikirkan untuk meninggalkan Inter apatah lagi dengan minat yang ditunjukkan oleh kelab besar seperti United. Minat besar United itu turut diakui Presiden Inter, Massimo Moratti namun beliau pastinya sukan melepaskan pemain yang menjadi tonggak utama pasukannya itu.

20 Mac 2011

BERBATOV KUKUHKAN CENGKAMAN UNITED


MANCHESTER, ENGLAND - MARCH 19:  Dimatar Berbatov of Manchester United scores the winning goal past Jussi Jaaskelainen of Bolton Wanderers during the Barclays Premier League match between Manchester United and Bolton Wanderers at Old Trafford on March 19, 2011 in Manchester, England.
Manchester United terpaksa bekerja keras sebelum berjaya meraih tiga mata penuh ketika menentang Bolton Wanderers semalam. Gol kemenangan United dijaringkan penyerang gantian, Dimitar Berbatov dua minit sebelum masa permainan sebenar tamat. Gol ke-20 penyerang Bulgaria itu berpunca dari rembatan Nani yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Bolton, Jussi Jaaskelainen. Berbatov mudah menolak masuk bola muntah untuk memastikan United meraih tiga mata penting tatkala pencabar terdekat mereka, Arsenal sekadar seri 2-2 dengan West Bromwich Albion di The Hawthorns. United dilihat sukar meraih mata maksimum di gelanggang sendiri dalam perlawanan ini selepas Jonny Evans diperintah keluar padang diminit ke-75 kerana melakukan terjahan keras ke atas Stuart Holden. Walau bagaimanapun Berbatov akhirnya berjaya memastikan United terus mengukuhkan cengkaman mereka di tangga teratas liga melalui gol penghujung perlawanan itu sekaligus menjarakkan kedudukannya selaku penjaring terbanyak liga setakat ini dengan 20 gol, dua gol mengatasi Carlos Tevez di tangga kedua.

Sementara itu Sir Alex Ferguson yang mula menjalani hukuman penggantungan lima perlawanan sekadar menyaksikan persembahan anak-anak buahnya dari tempat duduk penonton. Bos United itu ternyata lega dengan keputusan yang diraih pasukannya biarpun berdepan tentangan sukar dari pelawat. Menurut Ferguson kemenangan itu bukan sekadar tuah semata-mata tetapi adalah hasil kematangan yang dipamerkan pemain-pemainnya dan sokongan kuat penyokong-penyokong sepanjang perlawanan. "Anda harus kagum dengan kekuatan mental para pemain. Mereka tidak kenal menyerah dan terus menyerang dalam 20 minit terakhir. Ini adalah keputusan yang fantastik terutamanya dengan jadual padat yang terpaksa kami harungi", kata Ferguson. Fergie bagaimanapun kecewa dengan kad merah yang diterima oleh Jonny Evans dan kehilangan pertahanan Ireland itu menyebabkan krisis benteng pertahanan United bertambah parah. "Saya rasa terjahan yang dilakukan Evans tidaklah begitu keras kerana ia adalah situasi perebutan bola 50-50. Dia hanya kurang bernasib baik dan saya tidak mahu membantah hal itu".

19 Mac 2011

MANCHESTER UTD lwn BOLTON: UNITED DIBELENGGU KRISIS KECEDERAAN


Pertemuan Manchester United dan Bolton Wanderers malam nanti menyaksikan lapan pemain The Red Devils berada dalam senarai kecederaan. United pastinya turun tanpa Rio Ferdinand, John O'Shea, Fabio da Silva, Park Ji Sung, Jonny Evans manakala nasib Nemanja Vidic, Darren Fletcher dn Nani masih belum diketahui. Selepas tewas dua perlawanan berturut-turut dalam liga, United pastinya mahu menjadikan perlawanan ini sebagai medan untuk mereka kembali semula ke landasan kemenangan. Dengan prestasi penggempur muda Mexico, Javier Hernandez yang semakin cemerlang, United pastinya boleh memasang impian untuk memburu tiga mata penuh dalam perlawanan ini. Memimpin takhta liga dengan kelebihan tiga mata tetapi bermain lebih satu perlawanan, kemenangan ke atas Bolton Wanderers pastinya menjadi misi yang sangat penting di Old Trafford nanti. Biarpun rekod perlawanan memihka kepada pasukannya, Sir Alex Ferguson tidak menganggap perlawanan ini mudah dimenangi tambahan pula dia bakal kehilangan sebilangan besar pemain utamanya akibat krisis kecederaan. Bagi Bolton pula mereka akan kehilangan khidmat Mark Davies dalam perlawanan ini kerana kecederaan pergelangan kaki dan peranannya bakal diambilalih Gretar Steinsson.

Kesebelasan Kemungkinan United:

Edwin Van der Sar, Fabio da Silva, Chris Smalling, Wes Brown, Nani, Michael Carrick, Ryan Giggs, Wayne Rooney & Dimitar Berbatov

18 Mac 2011

UNIDIAN SUKU AKHIR LIGA JUARA-JUARA: UNITED BERTEMU CHELSEA


Liga Champions
Juara bertahan, Inter Milan sekali lagi akan berhadapan dengan wakil Jerman, Schalke 04 selepas undian peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dibuat di Nyon, Switzerland sebentar tadi. Inter sebelumnya berjaya menyingkirkan satu lagi kelab Jerman, Bayern Munich di peringkat 16 pasukan. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah di perlawanan akhir Piala UEFA pada tahun 1997 di mana ketika itu Schalke berjaya menewaskan Inter. Undian juga menyaksikan pertembungan dua kelab Inggeris, Manchester United dan Chelsea. Pertemuan ini juga menjadi ulangan perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Moscow tiga tahun lalu di mana United berjaya menewaskan Chelsea melalui penentuan sepakan penalti. Lain-lain undian menyaksikan Barcelona akan berhadapan dengan wakil Ukraine, Shaktar Donetsk dan Real Madrid bertemu Tottenham Hotspurs. Perlawanan peringkat pertama akan diadakan pada 5 dan 6 April manakala peringkat kedua ialah pada 12 dan 13 April. Perlawanan separuh akhir peringkat pertama akan berlangsung pada 26 dan 27 April manakala peringkat kedua pada 3 dan 4 Mei. Stadium Wembley akan menjadi tuan rumah perlawanan akhir musim ini yang dijangka akan diadakan pada 28 Mei.

17 Mac 2011

HERNANDEZ PAMER KETAJAMAN



Sir Alex Ferguson percaya, Javier Hernandez mampu memberikan impak kepada misi United memburu tiga gelaran utama musim ini. Bintang muda Mexico itu menjaringkan dua gol ketika United menewaskan juara Perancis, Olympique Marseille 2-1 di Old Trafford semalam. Kemenangan itu juga meletakkan United ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. United yang terikat 0-0 di Stade Velodrome bulan lalu layak menerusi kemenangan agregat 2-1. Hernandez membuktikan kualitinya sebagai penyerang apabila meledak gol pertama United seawal minit kelima. Hernandez sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila meledak gol kedua di minit ke 75 sebelum lawan merapatkan kedudukan selepas Wes Brown tertampan bola ke gawang sendiri tiga minit kemudian. Keputusan Ferguson menggandingkan Hernandez dan Wayne Rooney dalam perlawanan ini ternyata membuahkan hasil. Rooney dilihat lebih selesa bergerak di belakang Hernandez sebagai pengumpan dan gol pertama United adalah hasil gerakan penyerang England itu.

Sementara itu Wayne Rooney tidak menghiraukan kritikan tentang persembahan United biarpun mereka berjaya melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara. United dikatakan tidak menunjukkan tahap permainan sebenar setanding dengan status mereka sebagai kelab utama Eropah. Kritikan turut datang dari pengurus mereka sendiri, Sir Alex Ferguson dan jurulatih Marseille, Didier Deschamps. Bagi Rooney, bermain dengan baik atau tidak bukanlah persoalan utama tetapi apa yang lebih penting adalah United berjaya melangkah ke pusingan seterusnya. "Saya tetap akan menerima kritikan yang datang setiap hari", kata Rooney. Rooney menjadikan Inter Milan yang menang kejuaraan treble musim lalu sebagai contoh terbaik. Bagi Rooney, biarpun musim lalu Inter tidak bermain dengan baik namun mereka masih mampu memenangi dua kejuaraan domestik dah keluar sebagai juara di kancah Eropah. "Lihat Inter, mereka meraih tiga gelaran besar musim lalu. Pastinya anda melihat bahawa mereka bukanlah pasukan yang menghiburkan, tapi mereka akhirnya berjaya melakar sejarah.

15 Mac 2011

LIGA JUARA-JUARA, MANCHESTER UNITED lwn MARSEILLE: ROONEY YAKIN UNITED MAMPU BENAM MARSEILLE


http://www.koffii.com/ProcessImage/4/Profiles/chatterjee/images/Wayne-Rooney50511.jpg
Wayne Rooney yakin kemenangan ke atas Arsenal dalam perlawanan pusingan ke-6 Piala FA adalah persiapan sempurna sebelum menanti kunjungan Marseille di Old Trafford awal pagi nanti. Hujung minggu lalu, United menewaskan Arsenal 2-0 hasil jaringan Fabio da Silva dan Wayne Rooney untuk menempah tiket ke peringkat separuh akhir Piala FA. Bagi Rooney ini adalah merupakan cara yang cukup bagus untuk bangkit kembali selepas kekalahan berturut-turut di Liga Perdana kepada Chelsea dan Liverpool. Kini Rooney yakin pasukannya sudah bersedia memberi perhatian kepada aksi pusingan kedua peringkat 16 pasukan Liga Juara-Juara menentang Marseille. United dan juara Perancis itu terikat 0-0 pada perlawanan pertama di Stade Velodrome, 24 Februari lalu. "Ini adalah eprsiapan hebat untuk menentang Marseille. Kami mengalami detik sukar selepas tewas kepada Chelsea dan Liverpool tetapi mengalahkan Arsenal dalam perlawanan besar seperti itu merupakan keputusan yang hebat buat kami", kata Rooney.

Sementara itu, jurulatih Marseille, Dedier Deschamps memberi amaran kepada United bahawa kemenangan Marseille di Old Trafford nanti bukanlah sekadar mimpi. Bekas pemain antarabangsa Perancis itu memberitahu bahawa keputusan seri 0-0 di gelanggang sendiri memberikan ruang yang lebih luas buat mereka menyingkirkan United awal pagi nanti. Marseille hanya memerlukan keputusan seri dengan jaringan untuk menyingkirkan United dan situasi itu seharusnya tidak dipandang mudah oleh Sir Alex Ferguson. "Kami bukan sekadar berhak untuk bermimpi tapi turut berhak untuk memenangi perlawanan ini", kata Deschamps. Walaupun mengakui United adalah pasukan pilihan dalam perlawanan ini namun bos Marseille itu yakin anak-anak buahnya mampu melakar kejutan. "Kami seri tanpa jaringan ketika pusingan pertama. Ya, United akan menjadi pasukan pilihan dalam perlawanan ini tetapi jika kami hanya mempunyai peluang walau sekecil manapun, kami akan bermain sehingga minit terakhir".

12 Mac 2011

PIALA FA, UNITED lwn ARSENAL: WEMBLEY JADI MOTIVASI FERGUSON



Sir Alex Ferguson mengatakan bahawa prospek untuk bermain di Wembley pada perlawanan separuh akhir Piala FA bakal menjadi suntikan motivasi buat pasukannya mengatasi Arsenal dalam perlawanan peringkat suku akhir awal pagi nanti. United mengatasi Watford di Villa Park dalam pertemuan peringkat separuh akhir pada tahun 2007 namun tewas kepada Chelsea di perlawanan akhir yang diadakan di Wembley. Selepas itu semua perlawanan peringkat separuh akhir diadakan di Wembley namun United diketepikan Everton pada pertemuan tahun 2009 dan kali ini mereka mempunyai peluang yang besar untuk kembali ke sana. "Adalah sesuatu yang istimewa jika anda berjaya membawa pasukan bermain ke Wembley walaupun saya kurang bersetuju sepenuhnya perlawanan separuh akhir diadakan di sana. Walau bagaimanapun ini adalah Wembley, jadi ini merupakan insentif yang besar untuk semua orang", kata Ferguson. Perlawanan ini dilihat bukan sekadar perebutan ke peringkat separuh akhir malah bakal menjadi medan buat kedua-dua pasukan bangkit dari kekalahan perlawanan terakhir masing-masing.

Bagaimanapun kenyataannya, United belum pernah lagi memenangi Piala FA sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 2004. Kali terakhir mereka menjulang Piala FA di Wembley ialah pada musim treble mereka pada tahun 1999. Ferguson menegaskan bahawa pertemuan dengan Arsenal ini adalah peluang buat United kembali semula ke Wembley dan matlamat mereka adalah merampas semula Piala FA yang sekian lama terlepas dari genggaman. Sementara itu kunjungan Arsenal ke Old Trafford awal pagi nanti tanpa diperkuatkan kapten mereka Cesc Fabregas. Selain Fabregas, Arsenal turut kehilangan khidmat penjaga gol Wojceich Szczesny, Alexander Song dan Theo Walcott. Dipihak United pula Nani, Jonny Evans dan Rio Ferdinand pastinya tercicir dari senarai pemain yang akan diturunkan Ferguson nanti. Walaupun kehilangan tonggak utamanya dan baru tersingkir dari kempen Liga Juara-Juara, Arsene Wenger yang sebelumnya begitu berani mengatakan bahawa Arsenal mampu memenangi empat kejuaraan musim ini pantas menegaskan bahawa menewaskan United adalah keutamaan pasukannya.

10 Mac 2011

FERGUSON AKHIRNYA BUKA MULUT



Selepas beberapa hari mendiamkan diri sejak tewas kepada Liverpool Ahad lalu, Sir Alex Ferguson akhirnya kembali bersuara. Ferguson enggan diwawancara oleh pemberita atau mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media selepas menyaksikan United tewas 1-3 di Anfield. Ferguson turut mengeluarkan larangan kepada pemain-pemain United agar tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media. Tindakan Ferguson itu dilihat cuba meredakan tekanan kepada pemain-pemainnya apatah lagi United berdepan misi penting berdepan Arsenal dalam perlawanan pusingan kelima Piala FA, Ahad ini. Empat hari kemudian United akan menanti kunjungan Marseille dalam perlawanan peringkat kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah selepas terikat 0-0 dalam perlawanan peringkat pertama di Stade Velodrome. "Tidak ada sesiapa yang harus disalahkan atas persembahan kami di Anfield. Lawan bermain dengan baik dan berhak menang cuma saya kecewa kerana kami tidak bermain pada tahap sepatutnya", kata Ferguson. "Musim lalu, Arsenal banyak kehilangan mata sekitar bulan Februari hingga Mac dan situasi itu kini berlaku pula kepada kami". Menyentuh baki perlawanan Arsenal yang merupakan pencabar terdekat mereka, Ferguson melihat Spurs dan Manchester City yang bakal dihadapi Arsenal akan memberikan laluan sukar kepada anak-anak buah Arsene Wenger. "Bahaya paling besar ialah persaingan kami dengan Arsenal sejak beberapa tahun lalu dan saya yakin mereka juga menghormati kami sebagai pesaing utama untuk kejuaraan musim ini".

06 Mac 2011

LIVERPOOL lwn MANCHESTER UNITED: KELIBAT ROONEY RESAHKAN DALGLISH




Wayne Rooney muncul pemain United paling ditakuti pengurus Liverpool, Kenny Dalglish, menjelang pertembungan dua seteru tradisi itu di Anfield malam nanti. Melihatkan statistik jaringan Rooney dalam tiga perlawanan terakhir United, lagenda Liverpool itu memang mempunyai sebab untuk merasa demikian. Rooney berjaya menemui semula sentuhan jaringannya selepas berjaya menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan terakhir United dan situasi ini ternyata meresahkan Dalglish. "Rooney telah mula membuktikan semula kemampuannya sebagai penyerang yang digeruni", kata Dalglish. "Rooney adalah pemain kelas dunia dan mampu memberikan segala ancaman kepada kami. Jelas sekali amat sukar untuk kami mengawal pemain sepertinya". Walaupun memandang Rooney sebagai ancaman serius, Dalglish tidak mahu pemain-pemainnya terlalu menumpukan usaha untuk meyekat Rooney kerana United turut mempunyai pemain-pemain lain yang mampu menghukum Liverpool di gelanggang mereka sendiri. Dalglish dijangka boleh menggunakan khidmat penyerang Andy Carroll untuk pertama kalinya sejak dibeli dari Newcastle United dalam perlawanan ini.

Sementara itu pemain tengah United, Darron Gibson optimis bahawa pasukannya mampu menumbangkan Liverpool biarpun beraksi di gelanggang lawan. United yang tewas kepada Chelsea pertengahan minggu lalu perlu bangkit dalam perlawanan ini untuk mengekalkan cengkaman mereka di tangga teratas liga. Kunjungan United ke Anfield tidak akan disertai tonggak pertahanan tengah Nemanja Vidic yang digantung perlawanan kerana menerima kad merah minggu lalu dan Rio Ferdinand yang masih cedera. Begitupun Gibson yakin United mampu meraih tiga mata penuh di Anfield nanti. "Kehilangan Vidic merupakan pukulan terhadap kami apatah lagi sebelumnya kami turut kehilangan Rio yang masih cedera. Walau bagaimanapun kami mempunyai ramai pemain yang mampu menggantikan mereka", kata Gibson. Menurut Gibson, pasukannya sudah melupakan kekalahan yang dialami mereka minggu lalu dan sudah cukup bersedia untuk berhadapan dengan Liverpool malam nanti. Ferguson dijangka menggandingkan Chris Smalling dan Jonny Evans di benteng tengah manakala Wes Brown di sebelah kanan dan Patrice Evra pula di sebelah kiri.

02 Mac 2011

FERGUSON: KAMI TIDAK MENDAPAT KEADILAN DARI PENGADIL


Manchester United's Wayne Rooney in action with Chelsea's David Luiz

Sir Alex Ferguson mengakui bahawa dia sejak awal tidak begitu senang bila mendapati Martin Atkinson akan mengadili perlawanan Chelsea-United di Stamford Bridge awal pagi tadi. Dalam perlawanan itu beberapa keputusan Atkinson menimbulkan rasa kurang puashati Ferguson termasuklah keputusannya memberikan sepakan penalti kepada Chelsea sekaligus memberikan tiga mata berharga buat skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu. United sempat mendahului tuan rumah melalui jaringan Wayne Rooney di minit ke-29 namun berjaya disamakan oleh David Luiz diminit ke-54. Chelsea berjaya meraihkan kemenangan berharga apabila Atkinson menghadiahkan sepakan penalti selepas mendakwa Chris Smalling melakukan kekasaran ke atas Yuri Zhirkov di dalam petak penalti. Sepakan penalti itu berjaya disempurnakan Frank Lampard untuk meletakkan kembali skuad The Blues dalam kelompok empat pasukan teratas.

"Anda berharap seorang pengadil yang tegas akan mengadili perlawanan besar seperti ini. Bagaimanapun ia tidak berlaku", kata Ferguson. "Saya tidak tahu mengapa dia dipilih mengadili perlawanan ini. Luiz melakukan kekasaran di jarak yang begitu hampir dengan pengadil tetapi saya hairan dia masih terus berada di padang. Penalti itu juga sepatutnya tidak diberikan kerana tiada sebarang kekasaran berlaku, hanya situasi perebutan bola", tambah Ferguson lagi. Sementara itu pemain tengah United, Michael Carrick menggesa rakan-rakan sepasukannya segera melupakan kekalahan ini dan bangkit semula ketika kunjungan mereka ke Anfield hujung minggu nanti. United berhadapan satu lagi jadual sukar di gelanggang lawan apabila bakal berhadapan dengan Liverpool dan satu lagi kekalahan bakal menyaksikan kedudukan mereka di tangga teratas bakal digugat oleh Arsenal yang kini menghuni tangga kedua liga.

01 Mac 2011

CHELSEA lwn MAN UTD: CHICHARITO DIBANGKU SIMPANAN


WIGAN, ENGLAND - FEBRUARY 26:  Chicharito of Manchester United celebrates scoring his team's second goal with team mate Michael Carrick (L) during the Barclays Premier League match between Wigan Athletic and Manchester United at the DW Stadium on February 26, 2011 in Wigan, England.

Walaupun menampilkan persembahan menarik ketika menentang Wigan Athletic hujung minggu lalu, Sir Alex Ferguson tidak akan menurunkan Javier Hernandez dalam kesebelasan permulaan United ketika berdepan Chelsea di Stamford Bridge awal pagi nanti. Chicharito yang meledak dua gol ketika bertemu Wigan Athletic akur dengan keputusan Ferguson yang bakal meletakkan namanya di bangku simpanan United dalam perlawanan yang diramal penuh dramatik ini. Ferguson seperti biasa pastinya bakal mempertaruhkan pasangan Wayne Rooney dan Dimitar Bebatov untuk menggempur kubu Chelsea atau memilih Rooney sebagai penggempur tunggal jika memilih formasi 4-5-1 apabila menghadapi perlawanan besar seperti ini. Chicharito sendiri mengakui tidak menjadi masalah baginya untuk memanaskan bangku simpanan United dalam perlawanan penting ini. "Bolasepak adalah permainan berpasukan, bukan seperti golf atau tenis", kata Chicharito. "Walau bagaimanapun jika pengurus memilih saya sebagai kesebelasan permulaan, ia sesuatu yang hebat".

Sementara itu, pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti menganggap mengalahkan United musim ini bukanlah perkara mudah buat pasukannya. Ancelotti meramalkan pasukannya bakal berdepan laluan sukar di Stamford Bridge berdasarkan prestasi memberangsangkan United yang hanya tewas sekali setakat ini. Berbeza dengan situasi musim lalu, skuad The Blues kini ketinggalan 15 mata di belakang United dan jika tewas lagi awal pagi nanti, juara bertahan itu bakal menyerah kalah dalam perlumbaan merebut kejuaraan musim ini. "Ini adalah perlawanan yang sangat penting bagi kami dan mereka. United ketika ini masih menjadi pasukan terbaik dalam Liga Perdana. Bagi kami adalah penting untuk menang perlawanan ini bagi meningkatkan kepercayaan diri dalam pasukan", kata Ancelotti. Nicholas Anelka yang menyerlah ketika kempen peringkat Eropah Chelsea bakal terus diberi kepercayaan oleh Ancelotti sebagai penggempur utama. Satu lagi slot bakal diisi samada Fernando Torres yang masih belum menjaringkan sebarang gol sejak berpindah ke Stamford Bridge atau Didier Drogba, penyerang yang semakin hilang bisanya.