10 Mac 2011

FERGUSON AKHIRNYA BUKA MULUT



Selepas beberapa hari mendiamkan diri sejak tewas kepada Liverpool Ahad lalu, Sir Alex Ferguson akhirnya kembali bersuara. Ferguson enggan diwawancara oleh pemberita atau mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media selepas menyaksikan United tewas 1-3 di Anfield. Ferguson turut mengeluarkan larangan kepada pemain-pemain United agar tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media. Tindakan Ferguson itu dilihat cuba meredakan tekanan kepada pemain-pemainnya apatah lagi United berdepan misi penting berdepan Arsenal dalam perlawanan pusingan kelima Piala FA, Ahad ini. Empat hari kemudian United akan menanti kunjungan Marseille dalam perlawanan peringkat kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah selepas terikat 0-0 dalam perlawanan peringkat pertama di Stade Velodrome. "Tidak ada sesiapa yang harus disalahkan atas persembahan kami di Anfield. Lawan bermain dengan baik dan berhak menang cuma saya kecewa kerana kami tidak bermain pada tahap sepatutnya", kata Ferguson. "Musim lalu, Arsenal banyak kehilangan mata sekitar bulan Februari hingga Mac dan situasi itu kini berlaku pula kepada kami". Menyentuh baki perlawanan Arsenal yang merupakan pencabar terdekat mereka, Ferguson melihat Spurs dan Manchester City yang bakal dihadapi Arsenal akan memberikan laluan sukar kepada anak-anak buah Arsene Wenger. "Bahaya paling besar ialah persaingan kami dengan Arsenal sejak beberapa tahun lalu dan saya yakin mereka juga menghormati kami sebagai pesaing utama untuk kejuaraan musim ini".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan