Juara bertahan, Inter Milan sekali lagi akan berhadapan dengan wakil Jerman, Schalke 04 selepas undian peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dibuat di Nyon, Switzerland sebentar tadi. Inter sebelumnya berjaya menyingkirkan satu lagi kelab Jerman, Bayern Munich di peringkat 16 pasukan. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah di perlawanan akhir Piala UEFA pada tahun 1997 di mana ketika itu Schalke berjaya menewaskan Inter. Undian juga menyaksikan pertembungan dua kelab Inggeris, Manchester United dan Chelsea. Pertemuan ini juga menjadi ulangan perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Moscow tiga tahun lalu di mana United berjaya menewaskan Chelsea melalui penentuan sepakan penalti. Lain-lain undian menyaksikan Barcelona akan berhadapan dengan wakil Ukraine, Shaktar Donetsk dan Real Madrid bertemu Tottenham Hotspurs. Perlawanan peringkat pertama akan diadakan pada 5 dan 6 April manakala peringkat kedua ialah pada 12 dan 13 April. Perlawanan separuh akhir peringkat pertama akan berlangsung pada 26 dan 27 April manakala peringkat kedua pada 3 dan 4 Mei. Stadium Wembley akan menjadi tuan rumah perlawanan akhir musim ini yang dijangka akan diadakan pada 28 Mei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan