31 Disember 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn BLACKBURN ROVERS



Kemenangan ke atas Blackburn Rovers dan kejayaan merampas semula kedudukan sebagai pendahulu takhta Liga Perdana pastinya merupakan hadiah terbaik sempena ulang tahun ke-70 Sir Alex Ferguson minggu ini.  Di atas kertas, United dilihat tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri tatkala berdepan Rovers yang kini menghuni dasar liga.  Statistik empat perlawanan teakhir United juga cukup menggerunkan apabila skuad The Red Devils itu berjaya menghasilkan 16 gol dengan sepuluh daripadanya dicipta pada dua perlawanan terakhir mereka.  Berita gembira turut di terima Ferguson menjelang kunjungan Rovers nanti apabila Rio Ferdinand dan Phil Jones bakal kembali memperkuatkan pasukan selepas pulih dari kecederaan.  Kehadiran kedua-dua pemain pertahanan tengah ini pastinya amat ditagih Ferguson yang sudahpun kehilangan kapten pasukan, Nemanja Vidic sepanjang baki saingan musim ini, Jonny Evans perlu direhatkan selama dua minggu manakala Chris Smalling pula hanya akan kembali minggu hadapan.  Ketika krisis kecederaan melanda pasukan, Ferguson perlu berterima kasih kepada jadual perlawanan yang tampak memihak kepada pasukannya apabila United hanya perlu berdepan kelab-kelab bawahan sepanjang jadual padat musim cuti Krismas.   Untuk rekod, sepanjang era Liga Perdana, Rovers hanya sekali berjaya menewaskan United di Old Trafford iaitu pada 24 September 2005 (2-1) hasil jaringan kemenangan Morten Gamst Pedersen manakala sepuluh pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di dominasi United (menang 7 dan seri 3).  Barisan penggempur United nyata berada pada prestasi terbaik mereka terutama selepas menyaksikan Dimitar Berbatov mula menemui keyakinan diri ketika merakam hatrik saat berdepan Wigan Athletic Isnin lalu.  Javier Hernandez, Wayne Rooney dan Danny Welbeck dalam keadaan cergas manakala prestasi mantap yang dipamerkan Luis Antonio Valencia dan Michael Carrick  pastinya menambah keresahan buat Steve Kean yang berdepan desakan dari penyokong-penyokong Rovers supaya beliau meletak jawatan. Walau bagaimanapun, United tidak seharusnya memandang rendah keupayaan anak-anak buah Kean dalam perlawanan ini jika mengambilkira semangat juang mereka ketika berjaya mengikat Liverpool di Anfield tempohari.  Apapun pastinya, Rovers akan cuba sedaya upaya mengelak aib tewas 1-7 di gelanggang yang sama musim lalu dari berulang.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan:

David de Gea, Luis Antonio Valencia, Phil Jones, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Nani, Michael Carrick, Ryan Giggs, Park Ji-Sung, Wayne Rooney & Dimitar Berbatov

Tiada ulasan:

Catat Ulasan