Tiada berita paling besar musim ini selain
kejayaan kelab mengekalkan Wayne Rooney hingga 2019 sekaligus menamatkan segala
teka-teki berhubung masa depan pemain itu di Old Trafford. Saya akui kejayaan
memancing Juan Mata Januari lalu satu berita yang cukup menggembirakan tetapi
tiada detik yang lebih hebat selain menyaksikan Rooney meletakkan
tandatangannya di atas dokumen kontrak baru. Tiada pertikaian bahawa Rooney
adalah tonggak utama pasukan sejak dia tiba di Old Trafford hampir sepuluh
tahun lalu, jadi tidak hairanlah mengapa pihak pengurusan sanggup melakukan apa
saja bagi memastikan dia terus kekal bersama kelab. Ketika kelab berdepan
prestasi kurang menyakinkan musim ini, tugas mengekalkan pemain terbaik seperti
Rooney bukanlah sesuatu yang mudah dan untuk itu pujian harus diberikan kepada David
Moyes atas kejayaan beliau 'memaksa' Rooney menandatangani perjanjian kontrak
baru. Prestasi kelab musim ini juga menyebabkan saya pada awalnya kurang yakin
Rooney mampu dikekalkan terutamanya selepas membaca banyak laporan tentang
minat kelab-kelab gergasi Eropah seperti Real Madrid, Chelsea dan Paris St
Germain yang sanggup 'pecah tabung' demi mendapatkan khidmat Rooney. Pemain
kelas dunia seperti Rooney akan menjadi aset berharga buat mana-mana kelab
terbaik Eropah jadi tidak hairanlah mengapa sejak beberapa tahun kebelakangan
ini namanya sering dijadikan tajuk utama akhbar setiap kali pasaran perpindahan
pemain dibuka. Rooney adalah nama besar yang bermain untuk kelab besar, maka
atas sebab itulah mengapa spekulasi yang membabitkan masa depannya bersama
kelab sering dijadikan tajuk paling hangat untuk dibahaskan oleh penganalisa
bolasepak, peminat-peminat dan media. Tiada siapa boleh melupakan berita gempar
empat tahun lalu tentang ancaman Rooney yang mahu meninggalkan United kerana
kurang yakin dengan keupayaan kelab memberikan saingan kepada pesaing-pesaing
lain. Tindakan Rooney dikecam penyokong-penyokong United dan tawaran gaji £250
ribu seminggu akhirnya menyebabkan dia melakukan pusingan 'U' dalam tempoh 24
jam.
Situasi hampir sama berlaku lagi tahun lalu
ketika kelab sedang sibuk melakukan persiapan pra musim. Sejak musim lalu lagi
Rooney sudah digambarkan kurang gembira kerana sering diketepikan Sir Alex
Ferguson dari kesebelasan utama dan kemuncak kekecewaannya tercetus apabila
Moyes secara terbuka mengatakan bahawa Robin Van Persie akan memainkan peranan
utama selaku penggempur United musim ini. Rooney tidak ikut serta dalam jelajah
pra musim United di benua Asia dan Australia atas alasan kecederaan sekaligus
menguatkan lagi desas desus bahawa dia akan meninggalkan Old Trafford. Jose
Mourinho ketika itu berada di barisan paling hadapan dan tanpa berselindung
mengumumkan bahawa beliau serius mahu membawa Rooney ke Stamford Bridge. Arsene
Wenger juga nampaknya tidak mahu ketinggalan apabila beliau mula memasang
impian mahu melihat gandingan Rooney dan Oliver Giroud mengetuai barisan
serangan The Gunners. Biarpun
terpaksa berdepan kemelut masa depan Rooney ditambah pula dengan kegagalan
beliau sepanjang pasaran perpindahan pemain musim panas lalu, Moyes akhirnya
berjaya mengekalkan Rooney terutamanya dari godaan Mourinho sekurang-kurangnya untuk
tempoh enam bulan lagi. Walaupun berjaya mengekalkan Rooney, Moyes sebenarnya
masih belum boleh menarik nafas lega selagi beliau tidak berjaya mengikat
pemain itu dengan kontrak baru. Selagi Rooney tidak diikat untuk jangkamasa
panjang, selagi itulah minat dari pesaing-pesaing lain terhadapnya akan terus
datang ditambah pula dengan prestasi yang ditunjukkan kelab ketika ini
memungkinkan Rooney memilih haluan baru. Kejayaan menandatangani Mata saya
anggap satu isyarat kepada Rooney bahawa di sebalik prestasi tidak konsisten The Red Devils, kelab masih memiliki
keupayaan dan mampu berbelanja besar untuk menguatkan pasukan.
Pada usia 28 tahun dan dengan status yang
dimilikinya, sudah tentu Rooney mahu memenangi seberapa banyak medal kejuaraan
sebelum bersara. Bagaimanapun dengan situasi kelab yang sedang melalui 'tempoh
peralihan' di bawah pengendali baru, mengekalkan aset terbaik kelab bukanlah
satu tugas yang mudah. Tidak syak lagi bahawa Rooney adalah tenaga penting dalam
kesebelasan utama United melalui kerja keras yang dipamerkannya setiap kali dia
diturunkan. Maka atas sebab itulah mengapa Sir Alex dan kini Moyes pula sedaya
upaya cuba memastikan Rooney terus menyarung jersi United. Selepas dihidangkan
dengan 'drama' yang panjang, kita akhirnya menerima khabar gembira bahawa
Rooney setuju kekal bersama kelab hingga 2019 dan sudahpun menandatangani
kontrak baru Jumaat lalu. Kita memang mengharapkan Rooney kekal tetapi dalam
masa yang sama berita ini juga agak mengejutkan saya kerana saya sendiri tidak
meletakkan harapan terlalu tinggi mahu melihat dia terus menyarung jersi United
musim depan. Rooney sedang berada di puncak kariernya manakala reputasi, bakat
serta kebolehannya membolehkan dia pada bila-bila masa menyertai kelab hebat
seperti Real Madrid atau Barcelona dengan menjadikan Xavi Hernandez, Andres
Iniesta, Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi sebagai rakan sepasukannya. Memilih
untuk meninggalkan United adalah satu keputusan yang besar dan memilih kekal
juga adalah keputusan besar terpaksa dilakukan Rooney. Rooney berpeluang
menikmati cabaran baru ketika kariernya sedang berada di puncak tetapi dia melepaskan peluang terbaik itu dengan
memilih untuk terus menjadikan Tom Cleverley, Nani atau Antonio Valencia
sebagai rakan sepasukannya. Kelab berdepan detik sukar ketika ini, mungkin yang
paling sukar dalam tempoh lebih sedekad ketika Moyes sendiri masih tercari-cari
ramuan terbaik untuk kembali menjadikan United pasukan digeruni. Tiada jaminan
bahawa Moyes akan menjadikan United lebih sukses musim depan, yang ada mungkin
cuma janji-janji bahawa kelab akan lebih kompetitif berbanding sekarang bagi
memastikan Rooney terus setia menyarung jersi kelab.
Ketika United berpeluang mengaut keuntungan
berlipat kali ganda jika bersetuju menjual Rooney kepada Real Madrid, Chelsea
atau Paris St Germain, mereka sebaliknya memilih untuk mengeluarkan pelaburan besar
dengan membayar gaji tinggi setiap minggu kepada pemain itu. Melihat kepada
segala sumbangan yang diberikannya sepanjang bersama pasukan, tidak sukar untuk
memahami mengapa pihak pengurusan sanggup memenuhi segala tuntutan Rooney demi
memastikan dia terus kekal bersama kelab. Walaupun sering dilabel tidak setia,
mata duitan dan tidak menghormati kelab, kita juga tidak boleh menafikan segala
sumbangan Rooney selama hampir sepuluh musim dia menyarung jersi United. Jangan
lupakan bahawa dalam tempoh itu Rooney sudah membantu United memenangi (5)
kejuaraan Liga Perdana, (2) kejuaraan Piala Liga, (3) kejuaraan Perisai
Komuniti, (1) kejuaraan Liga Juara-Juara dan (1) kejuaraan Kelab Dunia FIFA.
Saya tidak mahu meletakkan Rooney sebaris dengan Bryan Robson, Ryan Giggs, Paul
Scholes, David Beckham, Gary Neville atau Ole Gunnar Solskjaer kerana jika mahu
diukur tahap kesetiaan, Rooney bukanlah contoh terbaik. Maaf jika saya katakan bahawa
Rooney bukanlah jenis pemain yang setia malah saya lebih menyanjungi sikap Steven
Gerrard terhadap Liverpool berbanding apa yang ditunjukkan Rooney terhadap
United. Ketepikan sebentar tahap kesetiaan Rooney kerana mungkin dalam kamus
bolasepak moden perkataan 'setia' tidak lagi sesuai digunakan, tetapi dengan
segala sumbangan dan peranan yang dimainkannya selama ini, Rooney memang berhak
menikmati apa yang sedang dinikmatinya sekarang. Tiada keraguan bahawa Rooney
adalah idola di Old Trafford dan antara pemain yang saya harap akan menamatkan
kariernya bersama kelab. Mungkin jawatan ketua pasukan yang bakal dikosongkan
Nemanja Vidic akhir musim nanti akan menjadikan Rooney pemain lebih 'bertanggungjawab'.
Misi kelab mengekalkan Rooney sudah tercapai, kini terpulang kepada pemain itu
untuk membuktikan gaji sebanyak £300 ribu seminggu yang diterimanya berbaloi
dengan sumbangannya di atas padang. Selepas segala kontroversi yang melanda
kariernya bersama kelab, anda boleh katakan apa sahaja tentang Rooney, tetapi
saya lebih gemar menyebutnya sebagai pejuang. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J