25 Februari 2014

£300 RIBU...BERBALOIKAH UNTUK SEORANG PEMAIN BERNAMA ROONEY?

Tiada berita paling besar musim ini selain kejayaan kelab mengekalkan Wayne Rooney hingga 2019 sekaligus menamatkan segala teka-teki berhubung masa depan pemain itu di Old Trafford. Saya akui kejayaan memancing Juan Mata Januari lalu satu berita yang cukup menggembirakan tetapi tiada detik yang lebih hebat selain menyaksikan Rooney meletakkan tandatangannya di atas dokumen kontrak baru. Tiada pertikaian bahawa Rooney adalah tonggak utama pasukan sejak dia tiba di Old Trafford hampir sepuluh tahun lalu, jadi tidak hairanlah mengapa pihak pengurusan sanggup melakukan apa saja bagi memastikan dia terus kekal bersama kelab. Ketika kelab berdepan prestasi kurang menyakinkan musim ini, tugas mengekalkan pemain terbaik seperti Rooney bukanlah sesuatu yang mudah dan untuk itu pujian harus diberikan kepada David Moyes atas kejayaan beliau 'memaksa' Rooney menandatangani perjanjian kontrak baru. Prestasi kelab musim ini juga menyebabkan saya pada awalnya kurang yakin Rooney mampu dikekalkan terutamanya selepas membaca banyak laporan tentang minat kelab-kelab gergasi Eropah seperti Real Madrid, Chelsea dan Paris St Germain yang sanggup 'pecah tabung' demi mendapatkan khidmat Rooney. Pemain kelas dunia seperti Rooney akan menjadi aset berharga buat mana-mana kelab terbaik Eropah jadi tidak hairanlah mengapa sejak beberapa tahun kebelakangan ini namanya sering dijadikan tajuk utama akhbar setiap kali pasaran perpindahan pemain dibuka. Rooney adalah nama besar yang bermain untuk kelab besar, maka atas sebab itulah mengapa spekulasi yang membabitkan masa depannya bersama kelab sering dijadikan tajuk paling hangat untuk dibahaskan oleh penganalisa bolasepak, peminat-peminat dan media. Tiada siapa boleh melupakan berita gempar empat tahun lalu tentang ancaman Rooney yang mahu meninggalkan United kerana kurang yakin dengan keupayaan kelab memberikan saingan kepada pesaing-pesaing lain. Tindakan Rooney dikecam penyokong-penyokong United dan tawaran gaji £250 ribu seminggu akhirnya menyebabkan dia melakukan pusingan 'U' dalam tempoh 24 jam.

Situasi hampir sama berlaku lagi tahun lalu ketika kelab sedang sibuk melakukan persiapan pra musim. Sejak musim lalu lagi Rooney sudah digambarkan kurang gembira kerana sering diketepikan Sir Alex Ferguson dari kesebelasan utama dan kemuncak kekecewaannya tercetus apabila Moyes secara terbuka mengatakan bahawa Robin Van Persie akan memainkan peranan utama selaku penggempur United musim ini. Rooney tidak ikut serta dalam jelajah pra musim United di benua Asia dan Australia atas alasan kecederaan sekaligus menguatkan lagi desas desus bahawa dia akan meninggalkan Old Trafford. Jose Mourinho ketika itu berada di barisan paling hadapan dan tanpa berselindung mengumumkan bahawa beliau serius mahu membawa Rooney ke Stamford Bridge. Arsene Wenger juga nampaknya tidak mahu ketinggalan apabila beliau mula memasang impian mahu melihat gandingan Rooney dan Oliver Giroud mengetuai barisan serangan The Gunners. Biarpun terpaksa berdepan kemelut masa depan Rooney ditambah pula dengan kegagalan beliau sepanjang pasaran perpindahan pemain musim panas lalu, Moyes akhirnya berjaya mengekalkan Rooney terutamanya dari godaan Mourinho sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi. Walaupun berjaya mengekalkan Rooney, Moyes sebenarnya masih belum boleh menarik nafas lega selagi beliau tidak berjaya mengikat pemain itu dengan kontrak baru. Selagi Rooney tidak diikat untuk jangkamasa panjang, selagi itulah minat dari pesaing-pesaing lain terhadapnya akan terus datang ditambah pula dengan prestasi yang ditunjukkan kelab ketika ini memungkinkan Rooney memilih haluan baru. Kejayaan menandatangani Mata saya anggap satu isyarat kepada Rooney bahawa di sebalik prestasi tidak konsisten The Red Devils, kelab masih memiliki keupayaan dan mampu berbelanja besar untuk menguatkan pasukan.

Pada usia 28 tahun dan dengan status yang dimilikinya, sudah tentu Rooney mahu memenangi seberapa banyak medal kejuaraan sebelum bersara. Bagaimanapun dengan situasi kelab yang sedang melalui 'tempoh peralihan' di bawah pengendali baru, mengekalkan aset terbaik kelab bukanlah satu tugas yang mudah. Tidak syak lagi bahawa Rooney adalah tenaga penting dalam kesebelasan utama United melalui kerja keras yang dipamerkannya setiap kali dia diturunkan. Maka atas sebab itulah mengapa Sir Alex dan kini Moyes pula sedaya upaya cuba memastikan Rooney terus menyarung jersi United. Selepas dihidangkan dengan 'drama' yang panjang, kita akhirnya menerima khabar gembira bahawa Rooney setuju kekal bersama kelab hingga 2019 dan sudahpun menandatangani kontrak baru Jumaat lalu. Kita memang mengharapkan Rooney kekal tetapi dalam masa yang sama berita ini juga agak mengejutkan saya kerana saya sendiri tidak meletakkan harapan terlalu tinggi mahu melihat dia terus menyarung jersi United musim depan. Rooney sedang berada di puncak kariernya manakala reputasi, bakat serta kebolehannya membolehkan dia pada bila-bila masa menyertai kelab hebat seperti Real Madrid atau Barcelona dengan menjadikan Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi sebagai rakan sepasukannya. Memilih untuk meninggalkan United adalah satu keputusan yang besar dan memilih kekal juga adalah keputusan besar terpaksa dilakukan Rooney. Rooney berpeluang menikmati cabaran baru ketika kariernya sedang berada di puncak tetapi  dia melepaskan peluang terbaik itu dengan memilih untuk terus menjadikan Tom Cleverley, Nani atau Antonio Valencia sebagai rakan sepasukannya. Kelab berdepan detik sukar ketika ini, mungkin yang paling sukar dalam tempoh lebih sedekad ketika Moyes sendiri masih tercari-cari ramuan terbaik untuk kembali menjadikan United pasukan digeruni. Tiada jaminan bahawa Moyes akan menjadikan United lebih sukses musim depan, yang ada mungkin cuma janji-janji bahawa kelab akan lebih kompetitif berbanding sekarang bagi memastikan Rooney terus setia menyarung jersi kelab.

Ketika United berpeluang mengaut keuntungan berlipat kali ganda jika bersetuju menjual Rooney kepada Real Madrid, Chelsea atau Paris St Germain, mereka sebaliknya memilih untuk mengeluarkan pelaburan besar dengan membayar gaji tinggi setiap minggu kepada pemain itu. Melihat kepada segala sumbangan yang diberikannya sepanjang bersama pasukan, tidak sukar untuk memahami mengapa pihak pengurusan sanggup memenuhi segala tuntutan Rooney demi memastikan dia terus kekal bersama kelab. Walaupun sering dilabel tidak setia, mata duitan dan tidak menghormati kelab, kita juga tidak boleh menafikan segala sumbangan Rooney selama hampir sepuluh musim dia menyarung jersi United. Jangan lupakan bahawa dalam tempoh itu Rooney sudah membantu United memenangi (5) kejuaraan Liga Perdana, (2) kejuaraan Piala Liga, (3) kejuaraan Perisai Komuniti, (1) kejuaraan Liga Juara-Juara dan (1) kejuaraan Kelab Dunia FIFA. Saya tidak mahu meletakkan Rooney sebaris dengan Bryan Robson, Ryan Giggs, Paul Scholes, David Beckham, Gary Neville atau Ole Gunnar Solskjaer kerana jika mahu diukur tahap kesetiaan, Rooney bukanlah contoh terbaik. Maaf jika saya katakan bahawa Rooney bukanlah jenis pemain yang setia malah saya lebih menyanjungi sikap Steven Gerrard terhadap Liverpool berbanding apa yang ditunjukkan Rooney terhadap United. Ketepikan sebentar tahap kesetiaan Rooney kerana mungkin dalam kamus bolasepak moden perkataan 'setia' tidak lagi sesuai digunakan, tetapi dengan segala sumbangan dan peranan yang dimainkannya selama ini, Rooney memang berhak menikmati apa yang sedang dinikmatinya sekarang. Tiada keraguan bahawa Rooney adalah idola di Old Trafford dan antara pemain yang saya harap akan menamatkan kariernya bersama kelab. Mungkin jawatan ketua pasukan yang bakal dikosongkan Nemanja Vidic akhir musim nanti akan menjadikan Rooney pemain lebih 'bertanggungjawab'. Misi kelab mengekalkan Rooney sudah tercapai, kini terpulang kepada pemain itu untuk membuktikan gaji sebanyak £300 ribu seminggu yang diterimanya berbaloi dengan sumbangannya di atas padang. Selepas segala kontroversi yang melanda kariernya bersama kelab, anda boleh katakan apa sahaja tentang Rooney, tetapi saya lebih gemar menyebutnya sebagai pejuang. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan