Berdepan Fulham, United hanya mampu seri di
Old Trafford. Jika anda berpuas hati dengan keputusan 2-2 yang dicapai ketika
berdepan Fulham semalam terutamanya selepas melihat statistik menarik yang dicipta
United, saya pula berpendapat sebaliknya. Anda boleh berikan alasan bahawa
United bermain cukup baik walaupun sekadar memungut satu mata dengan menjadikan
statistik selepas perlawanan sebagai rujukan. Ya memang benar United menguasai
segenap penjuru padang cuma di akhir perlawanan mereka tidak bernasib baik
apabila Darren Bent menyamakan kedudukan pada saat akhir perlawanan. Dalam
situasi di mana pemain sendiri meletakkan sasaran untuk berada di kelompok
empat teratas penghujung musim nanti, satu mata yang diraih semalam adalah
keputusan yang cukup mengecewakan apatah lagi United bermain di gelanggang
sendiri. Tolak ketepi segala statistik perlawanan yang menyebelahi United
kerana yang penting buat kelab ialah meraih tiga mata demi mengejar slot
beraksi di Liga Juara-Juara musim depan. Saya pernah sebutkan sebelum ini
bahawa Liga Europa bukanlah pentas sebenar buat kelab besar seperti United dan
kedudukan tangga ke-7 seolah-olah jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak
kena. Fulham sebelum kunjungan mereka ke Old Trafford tidak pernah menang dalam
tiga perlawanan liga terakhir mereka termasuk tewas 0-3 kepada Southampton di
gelanggang sendiri minggu lalu. Jadi sekali lagi saya katakan bahawa kita tidak
sepatutnya sekadar berpuashati melihat statistik perlawanan sedangkan peluang
beraksi di gelanggang sendiri sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk meraih tiga
mata penuh. Melihat statistik memang menggerunkan di mana kubu The Cottagers dihujani dengan 81
hantaran lintang dari kedua-dua sayap kanan dan kiri United sepanjang 90 minit
permainan sedangkan lawan hanya mampu mencipta 4 hantaran dari sebelah tepi.
Jadi mengapa United masih gagal meraih kemenangan sedangkan mereka menguasai
perlawanan secara total?
Pengurus Fulham, Rene Meulensteen sudahpun
memberikan jawapan kepada soalan ini ketika diwawancara selepas tamat
perlawanan. Permainan United mudah dibaca, tiada kelainan ketika menyerang
dengan terlalu bersandar kepada hantaran-hantaran lintang dari sebelah kanan
dan kiri. Untuk mematahkan gerakan-gerakan United dari sebelah tepi,
Meulensteen hanya perlu meletakkan barisan pemainnya di kawasan petak penalti
manakala Martin Stekelenburg pula perlu memastikan dia tidak terkeluar dari
posisinya. Mudah bukan taktikal yang digunakan Meulensteen? Jangan salahkah
corak bertahan yang diamalkan Fulham kerana mana-mana pasukan pun akan
melakukan perkara yang sama jika beraksi di gelanggang lawan, apatah lagi jika
mereka sedang mendahului. Moyes menggunakan formasi tradisi 4-4-1-1, meletakkan
Michael Carrick dan Darren Fletcher di tengah manakala pembelian bernilai £37
juta (Juan Mata) bergerak di sebelah kanan serta Ashley Young di sebelah kiri.
Memang jelas bahawa Moyes sejak mula lagi mahu United menggunakan kedua-dua
bahagian sayap ketika menyerang sambil meletakkan Robin Van Persie dan Wayne
Rooney selaku penggempur. Tiada salahnya dengan formasi ini cuma keputusan
Moyes menggunakan Mata sebagai sayap kanan agak mengecewakan sedangkan kita
tahu bekas pemain Chelsea itu lebih berkesan sebagai perancang di bahagian
tengah. Formasi sama (4-4-1-1) juga digunakan Moyes ketika United tewas kepada
Stoke City minggu lalu (meletakkan Mata di sebelah kanan dan Young di sebelah
kiri), jadi tidak hairanlah mengapa ada pihak melabelkan Moyes sebagai terlalu
konservatif.
Selepas kegagalan di Stadium Britannia, saya
dan mungkin anda juga tertanya-tanya mengapakan Moyes begitu cenderung untuk
terus menggunakan formasi tradisi ini sedangkan Meulensteen dan barisan
pemain-pemainnya sepatutnya diberikan kejutan menerusi perubahan taktikal dan
formasi permainan. Meulensteen kenal benar dengan karakter dan keupayaan sebahagian
besar pemain-pemain United kecuali Mata, jadi agak merugikan apabila Moyes
tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan pemain itu sebagai elemen kejutan.
Pemilihan pemain seperti biasa sudah boleh dijangka kerana sepertimana minggu
lalu, Moyes nampaknya lebih gemar memberikan peluang buat Ashley Young terus
beraksi di sebelah kiri. Selepas melihat anak-anak buahnya bergelut memecah
benteng pelawat, barulah beliau melakukan perubahan dengan membawa masuk Adnan
Januzaj dan Antonio Valencia manakala Mata pula 'ditolak' ke bahagian tengah. Perubahan
taktikal yang dilakukan Moyes akhirnya memberikan hasil apabila gol penyamaan
berjaya dijaringkan Van Persie (minit ke-78) sebelum dua minit kemudian Carrick
pula meletakkan United di hadapan. Dengan adanya Mata manakala Van Persie dan
Rooney pula kembali cergas, sudah tibalah saatnya di mana Moyes sepatutnya
lebih berani melakukan perubahan kepada formasi pemain serta mempelbagaikan
taktikal permainan. Saya ingin benar melihat Rooney, Januzaj dan Mata
diletakkan sebaris di belakang Van Persie manakala Carrick serta Fletcher
bergerak di belakang trio ini dalam formasi 4-2-3-1. Bagaimanapun dalam masa
yang sama saya juga kurang pasti adakah Moyes memiliki cukup keberanian untuk
melakukan perubahan ini daripada terus cenderung menggunakan formasi tradisi
4-4-1-1. Dalam situasi sekarang Moyes harus berani melakukan perjudian dengan
meletakkan prinsip di tempat kedua kerana sebarang keputusan buruk yang dicapai
kelab pada perlawanan-perlawanan berikutnya akan hanya menyebabkan jawatannya
berada dalam kedudukan bahaya.
Saya tidak yakin pihak pengurusan masih mampu
bersabar jika kedudukan United terus terperosok ke tangga lebih bawah, manakala
kebanyakkan penyokong-penyokong pula sudah lama hilang sabar. Sudah kerap kali
dilaungkan bahawa Moyes perlu diberikan masa dan peluang untuk membentuk
permainan United mengikut acuannya sendiri tetapi prestasi barisan
pemain-pemainnya di Stadium Britannia minggu lalu dan di gelanggang sendiri
semalam sukar untuk saya terima. Satu mata dari dua perlawanan terakhir menentang
kelab kelas pertengahan seperti Stoke City dan Fulham yang kini berada di dasar
liga pada pandangan saya adalah satu kegagalan serius. Jika anda mengatakan
Moyes mewarisi skuad pincang dengan kebanyakkan pemain sudah berada di
penghujung karier saya berpendapat sebaliknya. Barisan United musim ini saya yakini
bukanlah terlalu teruk untuk kita labelkan sebagai pincang kerana saya masih
percaya dengan senarai pemain yang ada di tangan Moyes, United sepatutnya
berada pada kedudukan lebih baik berbanding sekarang. Moyes bukan saja perlu
berani melakukan perubahan pada formasi dan taktikal permainan United tetapi
beliau juga perlu berani melakukan perubahan pada kesebelasan utama dalam satu-satu
perlawanan. Saya tidak nafikan Patrice Evra masih lagi bek kiri terbaik yang
dimiliki kelab tetapi prestasinya semalam jelas agak mengecewakan. Kedua-dua
gol pelawat yang dijaringkan Steve Sidwell dan Darren Bent berpunca dari
kealpaan dan kelewataan Evra menutup ruang hingga menyebabkan dua gol itu
terhasil. Dengan usia yang sudah menjangkau 32 tahun Evra sudah hilang
kepantasan dan saya fikir mungkin sudah tiba masanya untuk Evra tidak lagi dibebani
dengan aksi setiap minggu.
Jika perlawanan semalam dijadikan kayu ukur,
Moyes sepatutnya sudah punya senarai pemain mana yang patut di letakkan dalam
kesebelasan utama bagi menggantikan Evra pada perlawanan menentang Arsenal
nanti. Jika diambilkira situasi semasa, tiada apa yang saya harapkan ketika
Moyes membawa barisan pemainnya ke Stadium Emirates Khamis ini. Jika anda
beranggapan inilah masa terbaik untuk berdepan Arsenal hanya disebabkan mereka
mengalami kejutan besar akibat tragedi Anfield (tewas 1-5 kepada Liverpool),
anda sebenarnya silap. Arsenal bersama tiga lagi pasukan (Chelsea, Man City dan
Liverpool) sedang bersaing merebut kejuaraan liga, jadi Arsene Wenger tidak
boleh melihat skuadnya tewas buat kali kedua dalam tempoh lima hari ataupun sekadar
mencatat keputusan seri ketika berdepan United. Mereka sebolehnya akan berusaha
mencari kemenangan, maka atas sebab itulah saya katakan bahawa ini bukan waktu
terbaik untuk berdepan The Gunners.
Menang, seri atau tewas Khamis nanti tidak akan mengubah kedudukan United dalam
carta liga. Jika kejutan berlaku dan Arsenal berjaya ditewaskan, saya
sekurang-kurangnya masih boleh memasang impian untuk melihat United beraksi di
Liga Juara-Juara musim depan. Jika seri atau tewas pula, saya sepatutnya sudah
boleh melupakan terus segala impian ingin menyaksikan United berada di kelompok
empat teratas sebaik musim 2013-14 berakhir. Artikel kali ini bukan bertujuan
mahu menghentam Moyes kerana saya bukanlah anti individu yang menggantikan Sir
Alex Ferguson itu. Sir Alex memilih Moyes sebagai penggantinya tetapi itu bukan
bermakna bekas pengurus Everton itu individu yang sempurna.
Sir Alex walaupun sudah menghadiahkan deretan
kejuaraan untuk kelab tetap bukan seorang individu yang sempurna. Mungkin juga
pemilihan Moyes satu kesilapan, mungkin juga tidak, tetapi sejak tiba di Old
Trafford Jun lalu sudah banyak kesilapan yang dilakukan Moyes ketika
mengendalikan kelab. Saya meminati United bukan disebabkan Sir Alex atau
deretan trofi yang dihadiahkan beliau sepanjang mengendalikan kelab kerana saya
sudah mula jatuh cinta kepada United ketika Liverpool masih lagi kuasa dominan
bolasepak England. Tiada masalah buat saya menerima hakikat jika United gagal
memenangi sebarang trofi selama empat atau lima musim sekalipun, cuma apa yang
saya mahukan ialah kelab seperti Manchester United lebih dihormati
pesaing-pesaing mereka, bukan seperti sekarang. Saya tidak ambil peduli jika pengurus
kelab-belab besar seperti Jose Mourinho, Arsene Wenger atau Manuel Pellegrini
memperlekehkan kemampuan United, tetapi jika pengurus seperti Gustavo Poyet sudah
berani buka mulut itu tandanya kelab bawahan seperti Sunderland pun sudah tidak
lagi menghormati The Red Devils. Seperti
yang saya katakan tadi pemilihan Moyes mungkin satu kesilapan, mungkin juga
tidak. Jika pemilihan Moyes satu kesilapan saya berharap pihak pengurusan tidak
perlu menunggu masa terlalu lama untuk mencari pengganti lebih berkaliber dan
membiarkan 'kerosakan' lebih besar berlaku. Jika memang benar Moyes pengganti
paling tepat untuk jawatan pengurus United, masa dan peluang patut diberikan
kepada beliau sepertimana yang pernah diberikan kepada Sir Alex walaupun kita
mungkin terpaksa melihat United tidak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan. Saya
amat tertarik dengan kata-kata Shebby Singh dalam rancangan Formasi Ekstra beberapa
hari lalu bahawa kesilapan paling besar dilakukan Moyes ialah menerima jawatan
pengurus Manchester United. Benarkah begitu? Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan