19 Februari 2014

MENCARI 'VIDIC' DAN 'FERDINAND' SETERUSNYA

Nemanja Vidic sudah mengumumkan beliau akan meninggalkan Old Trafford hujung musim ini selepas bersama kelab selama lapan musim. Pengunduran Vidic saya jangkakan turut bakal disertai Rio Ferdinand yang juga rakan gandingannya di benteng pertahanan United. Vidic sudah sah akan meninggalkan kelab manakala masa depan Ferdinand pula masih menjadi tandatanya. Jika Ferdinand mengikut jejak langkah Vidic dengan menjadikan musim ini sebagai musim terakhirnya di Old Trafford, kelab akan kehilangan secara serentak dua pemain paling berpengaruh di barisan belakang. Walaupun sering dikritik sejak akhir-akhir ini, gandingan Vidic dan Ferdinand masih lagi saya anggap antara yang terbaik di Liga Perdana Inggeris. Mereka membuktikan mengapa gandingan mereka masih perlu dihormati apabila tenang mengemudi benteng pertahanan United ketika menangani asakan Arsenal di Stadium Emirates dalam perlawanan liga Khamis lalu. Permintaan gaji yang tinggi di samping sering dilanda kecederaan antara penyebab mengapa Vidic tidak ditawarkan kontrak baru, manakala Ferdinand pula sedang memutuskan kemungkinan mahu menggantung boot kerana kurang diberikan peluang tampil dalam kesebelasan utama United musim ini. Kehilangan dua pemain pertahanan berpengaruh serentak sudah tentu situasi yang cuba dielak oleh mana-mana pengurus atau jurulatih, tetapi saya yakin United memiliki barisan pemain pertahanan yang pada bila-bila masa boleh menggantikan tempat Vidic atau Ferdinand dalam satu-satu perlawanan. 

Bagaimanapun sepertimana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, mengharapkan Jones atau Smalling sebagai rakan gandingan Evans sepanjang musim adalah satu perjudian besar, jadi Moyes perlu mendapatkan sekurang-kurangnya seorang pemain pertahanan tengah baharu musim panas nanti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Vidic dan Ferdinand. Anda boleh katakan apa saja tentang sumbangan Vidic dan Ferdinand musim ini, tetapi ketiadaan mereka nanti tetap saya anggap satu kehilangan yang besar buat kelab. Mereka adalah pemimpin sebenar dan ketiadaan dua pemain ini akan mengwujudkan ruang besar di benteng pertahanan United musim depan di mana Moyes perlu mengisinya dengan pengganti sesuai dan setaraf. Selama ini kelab sudahpun dikaitkan dengan beberapa nama besar sebagai pengganti berpotensi buat Vidic dan Ferdinand namun selepas pasaran perpindahan musim sejuk ditutup Moyes masih kekal dengan barisan belakang sedia ada yang diwarisinya dari Sir Alex Ferguson. Jika sebelum ini penyokong-penyokong lebih gemar bercakap tentang siapa yang akan dibeli Moyes bagi menguatkan jentera tengah, pengumuman Vidic bahawa ini adalah musim terakhirnya bersama kelab menyebabkan tumpuan (penyokong-penyokong) beralih ke barisan belakang dan mereka mula bercakap siapa paling layak mengisi ruang kosong yang ditinggalkan Vidic dan Ferdinand nanti. Ezequiel Garay merupakan nama paling lama dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford namun hingga sekarang masih belum menjadi kenyataan dan sudah tentu saya meletakkan warga Argentina yang bermain untuk Benfica ini di tangga teratas pertahanan yang mungkin di buru Moyes nanti. Selain Garay ada beberapa pemain pertahanan lagi yang dikatakan cukup berpotensi menyarung jersi United musim depan. Berikut adalah calon-calon yang saya fikirkan berkemungkinan besar diburu Moyes bagi menggantikan tempat Vidic dan Ferdinand musim depan:

Ezequiel Garay

Pada usia 27 tahun, tidak syak lagi bahawa Garay adalah pemain pertahanan yang matang dan cukup berpengalaman baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Sepanjang dua tahun terakhir, nama Garay sering dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford tetapi entah apa sebabnya kelibat bintang Argentina itu masih belum mampu kita saksikan di Theatre of Dreams. Dengan ketinggian 1.9m, Garay memiliki fizikal lengkap sebagai pemain pertahanan tengah dan seperti juga Vidic, dia cukup kuat ketika situasi perebutan bola di udara. Bukan sekadar memiliki kualiti bertahan yang bagus, Garay juga dikenali kerana kemampuannya membuka permainan dalam situasi offensive menerusi kawalan bolanya yang menarik. Selepas terpaksa bergelut merebut tempat dalam kesebelasan utama Real Madrid sepanjang tiga musim di Santiago Bernabeu (2008-2011), Garay bangkit kembali membuktikan bahawa dia antara pemain pertahanan tengah terbaik di dunia ketika ini sebaik berpindah ke Benfica. Selain bagus ketika bersama kelab, Garay juga pilihan utama Alejandro Sabella membarisi benteng pertahanan tengah Argentina bersama Federico Fernadez. Saya tidak tahu adakah United masih berminat membawa pemain ini beraksi di England, tetapi dengan segala kualiti dan kemampuan yang dimilikinya, Garay adalah pemain setaraf dan sesuai untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Vidic atau Ferdinand.

Dante

Bukan rahsia lagi bahawa selain Toni Kroos, Dante juga antara pemain Bayern Munich yang menarik minat Moyes. Menyertai Bayern dari Borussia Monchengladbach dua tahun lalu dengan nilai perpindahan hanya €4.7 juta, warga Brazil ini muncul watak utama di benteng pertahanan Bayern di sebalik kejayaan skuad kendalian Jupp Heynkes meraih empat kejuaraan besar musim lalu. Pada usia 30 tahun, Dante merupakan pemain yang cukup berpengalaman untuk memimpin barisan pertahanan United tetapi dia bukanlah pengganti jangka panjang buat Vidic mahupun Ferdinand. Saya tidak fikir kelab perlu membelanjakan sehingga €17 juta untuk mendapatkan seorang pemain sudah berumur seperti Dante. Jika Moyes ingin melakar rancangan jangka pendek dengan mendapatkan seorang pemain pertahanan berpengalaman bagi menampung kekosongan yang ditinggalkan Vidic dan Ferdinand, Dante adalah jawapannya. Kontrak Dante bersama Bayern akan berakhir pada 2016 dan perpindahan pemain ini ke England boleh direalisasikan jika dia inginkan gaji lebih tinggi berbanding apa yang diterimanya sekarang. Dante sudahpun mengumumkan bahawa dia gembira berada di Allianz Arena di samping berdepan prospek melalui musim-musim gemilang di bawah kendalian Pep Guardiola selepas ini. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa status Bayern sekarang meletakkan mereka sebagai kelab utama Eropah, mungkin mengatasi Real Madrid, Barcelona dan United sendiri. Jadi adakah Dante memiliki kekuatan untuk meninggalkan kelab terbaik di Eropah semata-mata mahu menyertai kelab yang sedang bergelut dalam saingan domestik dan mungkin sekadar beraksi di Liga Europa musim depan?

Eliaquim Mangala

Baru berusia 22 tahun tetapi Mangala sudahpun diiktiraf antara pemain pertahanan terbaik di Eropah ketika ini. Selain Garay, Mangala juga antara pemain pertahanan yang kerap dikaitkan dengan minat United kerana kemampuan yang sudah ditunjukannya bersama FC Porto. Kelmarin Moyes dikhabarkan menghantar skuad pemantaunya ke Portugal bagi menyaksikan aksi pertahanan ini ketika pasukannya berdepan Gil Vincente dalam saingan di Premeira Liga. Minat yang ditunjukkan Moyes terhadap Mangala (jika benar) tidak menghairankan saya kerana pemain pertahanan ini sudah digembar-gemburkan berada dalam radar buruan kelab sejak era Sir Alex Ferguson lagi. Bukan sahaja memiliki ketinggian hampir sama dengan Vidic, corak permainan Mangala juga mirip dengan lagenda United itu selain antara pemain pertahanan yang perlu diberikan perhatian ketika berada di kawasan penalti lawan. Dua gol dari 15 penampilan liga saya kira satu statistik cukup bagus buat seorang pemain pertahanan. Dengan perkhabaran bahawa Manchester City juga meletakkan pemain ini dalam radar mereka, tugas Moyes membawa Mangala ke Old Trafford cukup sukar tambahan pula dengan reputasi Porto sendiri yang kerap menjual pemain mereka dengan harga tinggi.

Mats Hummels

Tidak dinafikan bahawa gandingan Mats Hummels dan Neven Subotic akan menjadi aset berharga di bahagian pertahanan buat mana-mana kelab besar Eropah. Gandingannya bersama Subotic menyaksikan Borussia Dortmund mencipta rekod baru Bundesliga musim 2010-11 sebagai kelab paling kurang dibolosi (22 gol) dalam semusim. Pada usia 25 tahun, Hummels sedang memasuki gerbang puncak kariernya sebagai pemain apabila muncul tonggak pertahanan bersama kelab dan juga skuad kebangsaan Jerman. Hummels juga dikenali sebagai pemain serba boleh kerana selain mampu mengemudi benteng tengah, pemain ini juga boleh diletakkan sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder). Tidak dinafikan bahawa Hummels antara pemain pertahanan yang saya impikan akan menyarung jersi United satu hari nanti. Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa bukan mudah mahu mendapatkan pemain Jerman dengan kualiti seperti Hummels, tambahan pula reputasi Bayern Munich sendiri selaku gergasi domestik yang gemar mengumpul pemain-pemain terbaik negara itu dalam skuad mereka. United ketika di bawah kendalian Sir Alex dikhabarkan pernah cuba mendapatkan Hummels pada Januari tahun lalu namun Dortmund yang sudah melepaskan Shinji Kagawa tujuh bulan sebelum itu tidak bersedia kehilangan seorang lagi bintang mereka kepada kelab yang sama. Dengan perkhabaran bahawa Jurgen Klopp cuba membawa kembali Kagawa ke Signal Iduna Park, apakah akan berlaku plan pertukaran pemain membabitkan kedua-dua kelab ini pada musim panas nanti?

Mehdi Benatia

Moyes pernah diberitakan cuba mendapatkan Benatia ketika dia masih bersama Udinese musim panas lalu namun tindakan perlahan beliau di pasaran perpindahan pemain menyebabkan AS Roma berjaya menyambar pemain antarabangsa Maghribi ini. Tidak dinafikan penghijrahannya ke AS Roma menjadikan Benatia pemain yang lebih bagus dan antara pertahanan paling cemerlang di Serie A. Sebagai pemain pertahanan, Benatia tidak bersandarkan semata-mata kepada kekuatan merebut bola dan melakukan terjahan tetapi dia juga memiliki kualiti hantaran yang bagus sekaligus mengingatkan saya kepada tempoh-tempoh gemilang Ferdinand bersama kelab. Bukan hanya sekadar beroperasi di kawasan sendiri, Benatia juga memiliki naluri pembunuh ketika berada di kawasan bahaya lawan. Buktinya musim ini Benatia bukan sahaja memiliki reputasi 'kejam' di benteng pertahanan Roma tetapi dia juga sudah menghasilkan lima gol dari 25 perlawanan untuk skuad kendalian Rudi Garcia itu. Satu statistik mengagumkan buat seorang pemain pertahanan yang beraksi di Serie A, liga di mana kelab-kelabnya meletakkan kualiti di barisan belakang sebagai asas penting kekuatan mereka. Saya tidak yakin Roma sedia melepaskan tonggak pertahanan mereka ini apatah lagi jika mereka beraksi di Liga Juara-Juara musim depan, jadi sebarang usaha Moyes memancing pemain ini bolehlah saya anggap sebagai hanya membuang masa.

Selain lima pemain yang saya senaraikan di atas ada beberapa pemain pertahanan muda atau lebih tepatnya pengganti jangka panjang kepada Vidic dan Ferdinand yang diberitakan sedang diperhatikan pencari bakat United. Fabian Schar (FC Basel) umpamanya baru berusia 22 tahun, diiktiraf antara pemain muda berbakat di Eropah. Selain Mohammed Salah (kini berhijrah ke Chelsea), Schar juga antara bintang paling menyinar buat kelab dari Switzerland itu. Di Bundesliga, Kyriakos Papadopoulos juga sudah mula menarik perhatian kelab-kelab utama Eropah hasil penampilan cemerlangnya bersama Schalke 04. Papadopoulos dikatakan 'cermin' kepada Vidic kerana memiliki kekuatan fizikal ketika menyekat gerakan penyerang lawan. Liverpool hampir sahaja menandatangani pemain ini musim panas lalu namun hasrat The Reds terbantut kerana Papadopoulos mengalami kecederaan lutut. Begitu juga dengan Jonathan Tah yang beraksi untuk Hamburg SV. Pada usia hanya 17 tahun, Tah sudahpun berjaya menembusi skuad utama Hamburg dan disebut-sebut sebagai prospek masa depan pertahanan Jerman. Aymeric Laporte pemuda Perancis yang memulakan kariernya bersama akademi Baskonia milik Athletic Bilbao turut mencuri perhatian. Pada usia hanya 19 tahun, Laporte sudah mula menarik minat kelab-kelab kelas atas Eropah hasil penampilan cemerlangnya bersama Bilbao. United juga tidak terkecuali kerana diberitakan sudah beberapa kali Moyes menghantar pencari bakatnya untuk meninjau aksi remaja ini di La Liga. Inigo Martinez juga tidak kurang hebatnya hasil penampilan cemerlang bersama Real Sociedad. Walaupun sekadar memiliki ketinggian 1.81m, agak mengejutkan melihat kekuatan Martinez dalam situasi perebutan bola di udara. Barca dan Manchester City antara kelab yang dikatakan berminat membawa pemain ini keluar dari San Sebastian jadi bukanlah satu tugas mudah juga untuk mendaratkan pemain ini di Old Trafford. 

Vidic dan Ferdinand adalah ikon pertahanan United, menguasai barisan belakang selama hampir lapan musim dan sudah membentuk kombinasi terbaik pernah disaksikan sejak berakhirnya era Steve Bruce dan Gary Pallister, jadi sudah tentu kehilangan mereka nanti amat dirasai. Pemain manapun yang didatangkan sebagai pengganti, saya hanya mengharapkan mereka mampu mengisi ruang kosong yang ditinggalkan dua lagenda ini. Tidak semestinya pemain memiliki reputasi besar dengan harga yang tinggi perlu diburu Moyes bagi menguatkan barisan belakang United musim depan kerana Sir Alex sudah membuktikannya ketika beliau menandatangani Vidic dari Spartak Moscow lapan tahun lalu. Saya yakin tidak ramai penyokong-penyokong United mengenali Vidic sebelum Sir Alex mendapatkan tandatangannya. Tetapi dengan nilai hanya £7 juta yang dibelanjakan, Vidic membuktikan bahawa pelaburan yang dilakukan ke atasnya jauh dari berbaloi. Adakah salah seorang pemain yang saya sebutkan di atas akan menyarung jersi United musim depan atau ada pemain lain yang Moyes fikirkan sesuai untuk menggantikan tempat Vidic dan Ferdinand? Jika Moyes masih kekal di kerusi pengurus musim panas ini, saya berharap beliau tidak melakukan kesilapan sama seperti yang dilakukannya sepanjang tempoh perpindahan pemain musim panas lalu. Mencari pengganti Vidic dan Ferdinand bukan tugas mudah, jadi saya berharap Moyes juga memiliki naluri setajam Sir Alex dalam mengesan bakat-bakat paling sesuai untuk diletakkan sebagai pengganti dua lagenda pertahanan ini. Paling penting bukan sebanyak mana wang yang dibelanjakan tetapi kualiti dan sumbangan yang mampu diberikan pemain terhadap kelab. Dengan hanya membelanjakan wang sebanyak £7 juta, Sir Alex berjaya menjadikan Vidic seorang lagenda kelab dan kini tugas berat menanti Moyes untuk mencari 'Vidic' dan 'Ferdinand' seterusnya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan