Seminggu yang lalu ada berita suka dan duka
hadir serentak. Kita gembira menyambut berita perlantikan Louis Van Gaal
sebagai pengurus Manchester United yang baharu tetapi dalam masa yang sama kita
juga terpaksa menerima hakikat bahawa tiada lagi kelibat Ryan Giggs di atas
padang sebagai pemain musim hadapan. Selepas 24 tahun memerah keringat
menyarung jersi United, Giggs akhirnya memilih untuk berundur dan selepas ini
bakal memikul peranan baru sebagai pembantu dalam barisan staf kejurulatihan Van Gaal. Sudah lebih dari
dua dekad kita menyaksikan aksinya di atas padang, dan sudah tentu sukar untuk
kita bayangkan bahawa pemain paling berjaya dalam sejarah bolasepak England ini
akhirnya bertemu juga dengan tarikh persaraannya. Giggs tidak pernah
menjemukan, baik ketika menyaksikan aksinya di atas padang ataupun jika kita
mahu bercerita tentang sejarah panjangnya sebagai pemain. Giggs adalah antara
salah seorang one club man dalam
dunia bolasepak dan mengingatkan bahawa beliau sudah beraksi lebih dari dua
dekad, bermain lebih 1,000 perlawanan sepanjang kariernya serta membantu United
menjulang banyak kejuaraan jelas merupakan fakta yang hebat untuk kita
mengenang beliau. Sepertimana yang kita tahu, Giggs ketika zaman kemuncaknya merupakan
pemain sayap yang menjadi igauan ngeri buat pertahanan kanan dan kiri pasukan
lawan, bukan hanya kerana kepantasannya tetapi juga kerana kemahiran individu
dan kawalan bola menarik yang dimiliki beliau.
Bagaimanapun disebabkan faktor usia yang
semakin meningkat manakala kakinya pula tidak lagi mampu menandingi
pemain-pemain muda yang lebih pantas, peranan Giggs sebagai pemain sayap
bertukar ke bahagian tengah yang memerlukan kreativiti beliau dalam mengatur
gerakan ke kubu lawan. Ketika memasuki fasa terakhir dalam karier beliau, kita
tidak lagi dapat menyaksikan aksi Giggs setiap minggu tetapi jika pengurus
mahukan beliau bermain, Giggs tidak pernah mengecewakan kita. Perlawanan kedua
menentang Olympiakos di peringkat kalah mati saingan Liga Juara-Juara pada 20
Mac lalu adalah contoh paling hampir. Sebelum berdepan Olympiakos, kaki beliau
tidak pernah menyentuh bola dalam perlawanan-perlawanan kompetitif hampir dua
bulan tetapi kelibatnya dalam membantu kebangkitan United bagi memadam kelebihan
dua gol yang dimiliki lawan pada perlawanan pertama (di Athens) sungguh
menakjubkan. Jika anda mahu mencari makna di sebalik perkataan 'profesional
tulen', lihat dalam diri Giggs kerana anda akan menemui jawapannya di sana dan
kerana profesionalisme yang tinggi jugalah beliau masih mampu beraksi di pentas
tertinggi pada usia mencecah 40 tahun ketika ramai rakan-rakan seangkatannya
sudah menggantung boot atau memilih
bermain di divisyen yang lebih rendah.
Nama Ryan Giggs memang sudah sinonim dengan
sebutan lidah kita tetapi tahukah anda bahawa beliau sebenarnya dilahirkan
dengan nama Ryan Joseph Wilson (sempena nama keluarga ayahnya, Danny Wilson).
Apabila kedua-dua ibu dan bapa beliau berpisah, Giggs mengambil keputusan
mengugurkan nama Wilson dan mula menggunakan nama keluarga ibunya (Lynne Giggs)
selepas itu. Akhirnya sehingga ke hari ini, kita mengenali beliau sebagai Ryan
Giggs dan bukannya Ryan Wilson. Giggs melakukan penampilan pertamanya bersama
skuad senior United pada musim 1990-91 dan ini bermakna beliau sudahpun bermain
di peringkat tertinggi dua tahun lebih awal berbanding usia Liga Perdana (Liga
Perdana bermula pada musim 1992-93 menggantikan Liga Divisyen 1). Sepanjang
tempoh itu juga, kerjaya Giggs di Old Trafford diwarnai dengan berbagai catatan
dan rekod yang saya yakin tidak mungkin mampu dipecahkan oleh mana-mana pemain
selepas ini. Selepas muncul satu-satunya pemain yang tidak pernah gagal
menjaringkan gol sepanjang 21 musim beraksi di Liga Perdana, Giggs gagal
meneruskan momentum tersebut pada musim terakhirnya, namun saya percaya tidak
akan ada mana-mana pemain mampu menyamai apatah lagi memadamkan pencapaian
lagenda itu yang sudahpun tertulis dengan tinta emas dalam lipatan sejarah
bolasepak England.
DNA sebagai seorang ahli sukan memang sudah
ada dalam diri Giggs kerana ayahnya, Danny Wilson merupakan seorang pemain
ragbi yang bermain untuk kelab Cardiff RFC dan pernah mewakili Wales. Semasa
zaman kanak-kanaknya, Giggs lebih cenderung pada sukan ragbi berbanding
bolasepak hingga pernah bermain dalam liga ragbi di peringkat sekolah.
Bagaimanapun bakat Giggs sebagai pemain bolasepak berjaya dikesan Dennis
Schofield hingga akhirnya beliau ditawarkan menyertai Manchester City's School of Excellence. Sebelum menyertai City,
Giggs bermain untuk Salford FC dan dalam satu perlawanan persahabatan menentang
skuad remaja United di The Cliff (padang
latihan lama United), Giggs berjaya menjaringkan hatrik. Kebolehan yang ada
pada Giggs segera menarik perhatian Sir Alex Ferguson dan pasukan pencari
bakatnya, hingga memaksa pengendali lagenda itu melakukan kunjungan peribadi ke
kediaman Giggs dalam usaha memujuk ibu dan bapa beliau membenarkan anak mereka
menyertai akademi United. Giggs menandatangani kontrak profesionalnya ketika
beliau menyambut ulang tahun ke-17 dan melakukan penampilan pada 2 Mac 1991
ketika berdepan Everton dalam saingan liga. Musim tersebut Giggs bermain
sebanyak dua kali dan berjaya menjaringkan satu gol.
Potensi Giggs kian terserlah di mana pada
musim 1991-92, beliau menikmati musim penuhnya bersama skuad senior,
menjaringkan empat gol dan berjaya membantu kelab menamatkan saingan liga di
tangga kedua. Selain berjaya membantu kelab menduduki tangga kedua liga,
kemenangan ke atas Nottingham Forest di pentas final Piala Liga membolehkan
Giggs menjulang trofi major pertamanya
bersama skuad senior dan musim cemerlangnya bertambah lengkap selepas beliau
dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik Tahunan (PFA Young Player of the Year). Tewas kepada Leeds United dalam
perlumbaan merebut kejuaraan liga musim 1991-92 menerusi perbezaan empat mata
memang amat mengecewakan tetapi dalam masa yang sama ia juga petanda bahawa The Red Devils sudah mula bangkit dari
tidur yang panjang. Kejayaan menjulang Piala Liga (musim 1991-92) hanyalah permulaan
kepada kejayaan yang lebih besar menanti Giggs manakala kegagalan memenangi
trofi liga adalah pelajaran terbaik dalam proses untuk beliau menjadi pemain
yang lebih matang. Musim berikutnya (1992-93), United tidak lagi mampu disekat
apabila mereka muncul juara pertama di era Liga Perdana sekaligus menamatkan
penantian selama 25 tahun kejuaraan liga, manakala Giggs pula dinamakan sebagai
Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA buat kali kedua berturut-turut.
Disiplin ialah kunci utama mengapa Giggs
begitu sukses dalam kariernya sebagai pemain. Giggs dikatakan antara pemain
United yang tidak pernah ponteng sesi latihan, sering menitikberatkan kondisi
fizikalnya dan paling menarik ialah bahawa beliau tidak pernah dilayangkan kad
merah ketika beraksi bersama United. Satu-satunya kad merah yang diterima Giggs
dari 1,027 perlawanan sepanjang kariernya ialah ketika mewakili Wales dalam
aksi kelayakan Piala Dunia 2002 menentang Norway pada 5 September 2001. Selain
memiliki tahap profesionalisme tinggi dalam dirinya hingga membolehkan beliau
muncul pemain yang berjaya, terima kasih juga atas apa yang sudah dilakukan Sir
Alex semasa peringkat awal karier Giggs. Menyedari bahawa beliau memiliki aset
berharga dalam pasukannya, Sir Alex bertindak melindungi Giggs dari buruan
pemberita dan tahukah anda bahawa beliau mengenakan larangan terhadap Giggs
dari bercakap dengan media sebelum pemain itu mencapai usia 20 tahun. Kali
pertama Giggs bercakap dengan media ialah ketika beliau ditemuramah Des Lynam
dalam rancangan Match of the Day,
tiga tahun selepas melakukan penampilan pertamanya bersama skuad senior. Segala
rekod cemerlang beliau di peringkat kelab bagaimanapun gagal diteruskan Giggs
ketika bersama skuad kebangsaan Wales. Agak malang selepas mengumpul 34 trofi
kejuaraan dan bermain lebih 1,000 perlawanan sepanjang kariernya, Giggs tidak
pernah sekalipun beraksi di pusingan akhir Piala Dunia, fakta yang cukup
menyedihkan buat seorang pemain hebat sepertinya.
Bagaimanapun kekecewaan Giggs sedikit terubat
apabila beliau dipilih mengetuai pasukan Great Britain ketika negara tersebut
beraksi buat pertama kalinya dalam acara bolasepak pada sukan Olimpik London
2012 yang lalu. Jika anda tanyakan
kepada saya apakah detik paling menarik untuk saya mengingati Giggs sepanjang
karier beliau sebagai pemain? Sudah tentu momen ketika beliau meraikan jaringan
kemenangannya ke atas Arsenal di masa tambahan dalam perlawanan ulangan separuh
akhir Piala FA 1998-99 segar di ingatan saya hingga kini. Memanfaatkan
kesilapan hantaran yang dilakukan Patrick Vieira, Giggs melarikan bola dari
kawasan sendiri secara solo, melepasi kawalan Lee Dixon, Martin Keown, Tony
Adams dan kemudiannya melepaskan rembatan kaki kiri ke penjuru kanan pintu gol
David Seaman sekaligus menghantar United ke perlawanan akhir. Selepas berjaya
menewaskan Seaman, Giggs membuka jersinya, berlari sepanjang garisan tepi
padang sambil disaksikan ribuan penyokong lawan yang seolah-olah tidak percaya
dengan apa yang mereka lihat dan kemudiannya beliau diraikan rakan-rakan sepasukan
serta penyokong-penyokong United yang lain. Jaringan itu antara yang paling
menarik pernah dihasilkan Giggs ketika zaman kemuncaknya, ketika pertahanan
lawan tidak mempunyai jawapan bagaimana mahu menghentikan larian-larian
pantasnya dengan kawalan bola menarik dari sebelah kiri atau kanan dan ketika
Tony Adams sendiri mengakui bahawa jika bola berada di kaki Giggs, Arsenal
perlu meletakkan tiga pemain untuk menghentikan pergerakannya.
Persaraan Giggs sebagai pemain adalah satu
kehilangan besar, tetapi mujurlah kelibatnya masih mampu kita saksikan
berikutan peranan sebagai pembantu Louis Van Gaal yang bakal dimainkan beliau
musim hadapan. Pada usia 62 tahun, Van Gaal adalah rancangan jangka pendek di
kerusi pengurus dan saya percaya perlantikan beliau lebih kepada usaha pihak
pengurusan kelab memperbaiki segala kerosakkan yang berlaku sepanjang musim
lalu. Jika perlantikan Van Gaal merupakan rancangan jangka pendek, adanya Giggs
dalam barisan staf kejurulatihan pula saya percaya adalah rancangan jangka
panjang kelab dalam mencari individu yang sesuai dan mampu meneruskan legasi
gemilang yang pernah dilakar Sir Matt Busby serta Sir Alex Ferguson. Kreativiti
Giggs sebagai pemain tidak akan dapat kita saksikan lagi tetapi kini kita
menagih pula kepintaran beliau sebagai perencana di belakang tabir. Peluang
bekerja bersama pengendali berkaliber seperti Van Gaal perlu digunakan
sepenuhnya oleh Giggs untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman. Van Gaal
adalah guru yang bagus buat beliau, dan jika segalanya berjalan lancar dan beliau
sudah bersedia sepenuhnya nanti, saya percaya Giggs adalah calon masa depan
pengurus Manchester United. Bercakap tentang Giggs tidak akan lengkap tanpa
menyebut trofi-trofi kejuaraan yang sudah beliau menangi dan begitulah sebaliknya.
Giggs memenangi medal kejuaraan bukan sebagai
'penumpang' dalam pasukan tetapi beliau berada di barisan hadapan, berjuang
hingga wisel penamat dan kemudian memenanginya. Kini The Welsh Wizard sudah pun meninggalkan dunia bolasaepaknya sebagai
pemain untuk menikmati cabaran baharu dalam bidang kejurulatihan. Sejak tampil
buat pertama kali bersama skuad senior dalam saingan liga pada 2 Mac 1991,
Giggs sudah bermain sebanyak 963 perlawanan untuk kelab, menjaringkan 168 gol
dan mengumpul 34 medal kejuaraan. Jika koleksi medal kejuaraan menjadi salah
satu kayu ukur dalam mengiktiraf kehebatan seseorang pemain, Giggs sudah jauh
melangkauinya. Apa yang menyebabkan beliau lebih hebat berbanding
lagenda-lagenda yang lain bukan hanya semata-mata kerana kejuaraan-kejuaraan
yang sudah dimenanginya serta statistiknya sebagai pemain, tetapi juga kerana
rekod disiplinnya. Selepas puas menikmati kehebatan serta kemahirannya di atas
padang dan melihat bagaimana beliau merobek pertahanan lawan selama 24 tahun, sukar
untuk kita percaya bahawa lagenda ini akhirnya sudah pun berada digaris penamat
dalam kariernya sebagai pemain. Selamat bersara Giggsy, selamat bersara lagenda
dan selamat bersara buat seorang pemain luar biasa yang tidak pernah dan tidak akan
ada penggantinya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Anda Mungkin Juga Meminati Artikel Ini:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan