19 November 2015

MENGAPA BECKHAM MASIH DISANJUNG PENYOKONG-PENYOKONG UNITED?

Menarik dan penuh emosi, hanya itulah yang mampu saya katakan selepas menyaksikan perlawanan amal membabitkan lagenda Great Britain dan Pilihan Dunia Sabtu lalu. Bagi anda terutamanya penyokong-penyokong Manchester United, penampilan semula David Beckham, Ryan Giggs, Paul Scholes, Nicky Butt, Phil Neville, Dwight Yorke, Ole Gunnar Solskjaer, Mikael Silvestre, Park Ji-Sung dan Edwin Van der Sar di atas padang sudah tentu menggamit memori silam ketika pemain-pemain ini berada di puncak kerjaya mereka sebagai anggota The Red Devils.

Antara nama-nama yang saya sebutkan di atas, David Beckham mungkin tidak bertuah seperti Paul Scholes, Ole Solskjaer atau Ryan Giggs yang menamatkan karier proesional mereka di Old Trafford, tetapi itu tidak pernah menghalang penyokong-penyokong United dari terus memuja `budak emas’ ini dari dulu hingga sekarang. Beckham nama yang tak akan pernah dilupakan penyokong-penyokong United bukan hanya kerana beliau sudah diangkat sebagai lagenda kelab tetapi juga kerana beliau pernah meninggalkan momen yang bukan sedikit untuk diingati sepanjang sebelas musim Becks menyarung jersi merah The Red Devils.

Agak malang, pemain sehebat Beckham meninggalkan United dalam keadaan yang `tragis’ ketika namanya sedang berada dikemuncak dan dianggap antara penyarung jersi nombor 7 terbaik pernah disaksikan di Old Trafford. Pemain yang dilahirkan dari Akademi United ini berkembang dari seorang anak muda serba sederhana kepada pemain kelas dunia yang cukup mengagumkan hingga pernah dilabel sebagai `Tom Cruise’ dalam dunia bolasepak ketika zaman kemuncaknya. Terima kasih juga kepada Sir Alex Ferguson kerana berjaya melahirkan generasi pemain hebat seperti Beckham, Scholes, adik beradik Neville, Giggs dan Butt, kerana tanpa usaha dan kepercayaan yang beliau berikan kepada generai emas ini, kita tidak mungin mengenali apa itu Class of 92.

Melihat kepada sambutan yang diberikan kepada Beckham pada aksi amal yang dilangsungkan di Old Trafford Sabtu lalu, jelaslah beliau masih lagi dianggap sebagai `buah hati’ oleh penyokong-penyokong United meskipun sudah dua tahun Beckham mengucapkan selamat tinggal kepada karier profesionalnya. Mengapa Beckham begitu dicintai penyokong-penyokong United walaupun beliau pernah meninggalkan Old Trafford secara kontroversi 12 tahun lalu? Berikut saya senaraikan enam sebab mengapa Beckham begitu disanjung penyokong-penyokong United, bukan sahaja ketika beliau masih bergelar pemain tetapi juga selepas bersara.

Cinta dan Kebangaannya Hanya Untuk United

Setiap kali ditanya kelab manakah yang sentiasa ada di hatinya, tanpa ragu Beckham akan menjawab “Manchester United”. Hal inilah yang menyebabkan mengapa penyokong-penyokong United begitu menghormati dan menghargai Beckham walaupun beliau pernah menyarung jersi Real Madrid, AC Milan, LA Galaxy dan terakhir Paris St Germain sejak `dipaksa’ meninggalkan kelab pada 2003. Sabtu lalu, anda sendiri dapat saksikan betapa Beckham begitu dihargai penyokong-penyokong United menerusi sambutan luarbiasa atas kepulangan semula lagenda ini di Theatre of Dreams. Saya yakin sepuluh tahun selepas ini pun, sambutan serupa tetap akan diberikan penyokong-penyokong United terhadap beliau sekiranya Beckham turun lagi dalam aksi amal seperti ini.

Antara Pemain Terbaik Pernah Menyarung Jersi Nombor 7 United

Selepas berakhirnya era Eric Cantona, United bukan sahaja kehilangan sosok seorang pemimpin di atas padang tetapi kekosongan jersi nombor 7 yang ditinggalkan King Eric juga sukar dicari penggantinya. Ketika ramai penyokong-penyokong United ketika itu berteka-teki siapa pemain seterusnya yang bakal menggantikan Cantona sebagai penyarung jersi nombor 7 yang cukup ikonik itu, Beckham akhirnya tampil menawarkan diri.

Walaupun sedar bukan sedikit beban dan tekanan yang perlu beliau pikul sebagai penyambung legasi jersi nombor 7 yang cukup terkenal itu, Becks akhirnya membuktikan bahawa beliau adalah pilihan yang tepat. Walaupun tidak dianugerahkan dengan skill individu sehebat Ronaldinho, Becks menguasai posisi sayap kanan United untuk satu tempoh yang cukup panjang menerusi bisa hantaran silang kaki kanannya. Jadi tidak hairanlah mengapa Becks disenaraikan dalam kelompok lima pemain terbaik yang pernah menggunakan jersi nombor 7 United.

Ketika zaman kemuncaknya di Old Trafford, ketepatan hantaran-hantaran silang Becks dari sebelah kanan memudahkan tugas Dwight Yorke, Andy Cole, Ole Gunnar Solskjaer atau Ruud Van Nistelrooy dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan. Saya tidak pernah menafikan ketajaman penyudah milik Yorke, Cole, Solskjaer atau Nistelrooy, tetapi tanpa hantaran-hantaran silang berbisa yang dibekalkan Becks terus ke dalam petak penalti lawan, mampukan mereka menjaringkan lebih 20 gol dalam semusim?

Punya Karakter Tersendiri Dalam Permainan

Setiap pemain punya karakter tersendiri menerusi bakat yang mereka miliki ketika di atas padang. Jika Eric Cantona terkenal dengan skill dan kepintarannya, Roy Keane dengan semangat meluap-luapnya, Ryan Giggs dengan kepantasan dan kemahiran individu yang memukau, Ruud Van Nistelrooy menerusi naluri pembunuh ketika berada di hadapan gawang lawan, Beckham pula sudah tentu kita kenali kerana ketepatan hantaran kaki kanannya.

Becks merupakan seorang winger konvensional dengan peranan utamanya ialah melepaskan hantaran-hantaran silang di hadapan pintu gol lawan. Meskipun beliau bukanlah seorang pemain yang memiliki skill individu memukau seperti Giggs, peranan Becks cukup efektif dalam skema permainan United ketika itu menerusi ketepatan hantaran-hantarannya dari sebelah kanan. Jangan lupakan juga kebolehan Becks menyempurnakan peluang menerusi situasi bola mati kerana sepanjang kariernya sebagai pemain, bukan sedikit gol yang pernah dihasilkan beliau menerusi sepakan percuma.

Jika anda penyokong skuad kebangsaan England, anda sudah tentu tidak akan pernah melupakan bisa sepakan percuma Becks ke gawang Greece pada 6 Oktober 2001 yang membawa England ke pusingan akhir Piala Dunia 2002. Jika itu tidak cukup, bagaimana pula sepakan lambung Becks dari tengah padang yang menewaskan Neil Sullivan ketika United berdepan Wimbledon pada Ogos 1996. Gol itu turut diiktiraf sebagai antara gol terbaik sepanjang masa dalam sejarah Liga Perdana. Saya akui Cristiano Ronaldo turut memiliki kemampuan menjaringkan gol menerusi sepakan percuma, tetapi jika bercakap tentang “terbaik antara yang terbaik”, tanpa ragu saya akan memilih Becks.

Selebriti Bolasepak

Saya yakin tarikh 2 April 1995 tidak akan pernah dilupakan Beckham kerana pada tarikh itulah beliau melakukan penampilan pertamanya untuk United dalam saingan Liga Perdana. Walaupun perlawanan menentang Leeds United itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, penampilan pertama Becks benar-benar mencuri perhatian penyokong-penyokong United. Berbekalkan wajah yang kacak umpama ahli sebuah bandboy, Becks tidak bermasalah menggamit perhatian khalayak terutamanya dari kalangan peminat wanita. Seiring dengan perubahan waktu, Becks juga begitu.

Beliau adalah revolusioner dalam dunia bolasepak menerusi penampilannya di atas dan juga di luar padang. Gaya hidupnya bak selebriti Hollywood, kelibatnya sering diburu lensa kamera, potongan rambutnya menjadi trend ikutan muda mudi dan wajahnya yang terpampang di billboard seluruh dunia sebagai duta kepada pelbagai jenama menjadikan Becks lelaki paling popular di planet bumi. Bagi generasi penyokong United ketika itu, apa yang boleh anda kongsi bersama ialah kebanggaan melihat seorang lelaki paling dicemburui di dunia dan ikon bolasepak menyarung jersi merah The Red Devils. HIngga saat ini, jersi Beckham antara yang paling laris dijual biarpun beliau sudah bersara sebagai pemain.

Simbol Kepada Class of 92

Bersama-sama Ryan Giggs, Paul Scholes, Gary Neville, Phil Neville dan Nicky Butt, Beckham adalah lambang bagaimana suksesnya United melahirkan pemain-pemain muda dari akademi mereka. Sehingga saat ini pun generasi Class of 92 ini masih menjadi cerita hangat dalam topik perbincangan oleh penyokong-penyokong United ketika mereka bersembang sama ada di laman sosial mahupun di kedai kopi. Generasi pemain yang banyak menuai kejuaraan ketika era Sir Alex Ferguson muncul lelaki paling berkuasa di Old Trafford ini akan kekal sebagai kisah lagenda bagaimana seorang pengurus dengan beraninya menggugurkan sebagai besar tonggak berpengalaman dalam pasukannya untuk digantikan dengan singa-singa muda yang lebih laparkan kejuaraan.

Memori Indah Bersama Manchester United

Dari semua deretan trofi kejuaraan yang pernah dimenangi Beckham bersama United, sudah tentu majoriti penyokong-penyokong United tidak akan pernah melupakan kejuaraan Treble 99 terutamanya kemenangan dramatik ke atas Bayern Munich di pentas final Liga Juara-Juara. Meskipun sudah lebih 16 tahun memori indah di Nou Camp itu berlalu, saya masih terbayang bagaimana gigihnya semangat juang Becks bersama kesebelasan United yang lain hingga ke detik terakhir dalam usaha mereka memadam defisit awal milik lawan ciptaan Mario Basler.

Ketika riak wajah Lothar Matthaus dari bangku simpanan kelihatan begitu yakin bahawa pasukannya bakal membawa pulang trofi Liga Juara Juara ke Munich, United tiba-tiba bangkit memadam impian gergasi Bundesliga itu menerusi dua gol pantas di penghujung permainan. Terima kasih atas jaringan dari Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer dalam perlawanan itu tetapi jangan lupakan individu yang memainkan peranan hingga terhasilnya dua gol tersebut.

Beliau yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Beckham. Ketepatan sepakan kaki kanannya dimanfaatkan barisan hadapan pada detik yang cukup genting dan penting hingga membolehkan United menjulang trofi Liga Juara Juara buat kali kedua. Jika tidak melalui sepakan percuma, bisa kaki kanan Becks tetap berbahaya ketika beliau mengambil sepakan sudut dan itulah yang dimanfaatkan  Sheringham serta Solskjaer pada 26 Mei, lebih 16 tahun yang lalu.

Menyaksikan segala sumbangan yang telah beliau berikan selama sebelas musim bergelar pemain Manchester United, koleksi medal kejuaraan yang telah beliau menangi, momen-momen indah, suka dan duka yang beliau tinggalkan serta cintanya terhadap kelab yang tidak pernah padam, fahamlah saya mengapa Becks begitu disanjung dan disayangi penyokong-penyokong United dari dulu hingga sekarang.

Satu-satunya kekesalan saya bila bercakap tentang Beckham ialah apabila menyaksikan beliau menamatkan karier profesionalnya di Parc de Princes, bukan ditempat sepatutnya iaitu Old Trafford. Sayangnya selepas beliau meninggalkan kelab pada 2003, Beckham tidak pernah kembali semula sebagai pemain Manchester United hinggalah pada perlawanan kompetitif terakhirnya. Jika tidak sudah pasti perjalanan penuh epik David Beckham dalam dunia bolasepak lebih indah dan sempurna bukan?...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan