05 November 2015

JENTERA SERANGAN YANG TUMPUL ATAU THE RED DEVILS KETANDUSAN IDEA?

Tahukan anda, sejak Anthony Martial berjaya menembusi gawang CSKA Moscow dalam aksi Liga Juara Juara 22 Oktober lalu, United mengharungi 325 minit tanpa menjaringkan sebarang gol. Dua hari selepas disingkir Middlesbrough dari saingan Piala Liga menerusi penentuan sepakan penalti, barisan serangan United yang diketuai Wayne Rooney sekali lagi tercari-cari cara terbaik bagaimana mahu menembusi gawang lawan pada aksi menentang Crystal Palace di Selhurst Park Sabtu lalu.

Berbanding aksi menentang Middlesbrough, barisan serangan United tidak mencipta banyak peluang ketika berdepan Palace sekaligus menimbulkan pertanyaan adakah skuad Louis Van Gaal ini sudah hilang kreativiti dalam usaha mereka menembusi pintu gol lawan? Di Selhurst Park, United mencatatkan 53.2% penguasaan bola menerusi 376 hantaran yang dilakukan sesama pemain tetapi dari jumlah itu hanya 45% merupakan hantaran ke hadapan manakala bakinya bola di tolak sama ada ke belakang ataupun ke arah kiri dan kanan.

Melihat statistik ini, maka tidak hairanlah jika United hanya mencipta tiga peluang sepanjang 90 minit permainan dan satu daripadanya merupakan percubaan tepat ke gawang lawan yang dikawal Wayne Hennessey. Bukan itu sahaja, sepanjang aksi menentang Palace juga menyaksikan anak-anak buah Van Gaal hanya mampu melakukan 12 dribble dimana hanya 4 daripadanya berjaya berbanding lawan yang melakukan 29 dribble dengan Wilfried Zaha muncul watak penting dalam menghuru-harakan pertahanan United.

Jika sebelum perlawanan menentang Palace anda menaruh harapan besar agar United mampu membawa pulang tiga mata penuh selepas kecewa disingkir Middlesbrough dari pentas Piala Liga, saya yakin apa yang dipamerkan The Red Devils di Selhurst Park pasti sangat mengecewakan anda. Melihat begitu kurangnya peluang-peluang jaringan yang mampu dicipta, apa lagi yang mampu anda harapkan selain berdoa agar United tidak pulang dengan tangan kosong. Jujurnya saya sedikit lega menyaksikan United tidak tewas tetapi itu juga bukanlah satu keputusan adil buat Palace yang pada pandangan saya bermain jauh lebih baik berbanding United.

Awal pagi kelmarin, kali ini di pentas Liga Juara-Juara pula, United sekali lagi memperlihatkan betapa tandusnya idea mereka dalam usaha mendapatkan gol. Meskipun menguasai 69% penguasaan bola, anak-anak buah Van Gaal hanya mampu menjaringkan satu gol menerusi tandukan Wayne Rooney ketika masa sebenar permainan berbaki sepuluh minit untuk ditamatkan. Sepertimana corak permainan United sebelum ini, pergerakan bola banyak dimulakan dari dua centre back, ciri yang memang bertepatan dengan falsafah permainan Van Gaal iaitu membangunkan serangan dari belakang.

Atas sebab itu, maka tidak hairanlah jika anda melihat mengapa kali ini United muncul pasukan yang berada di kedudukan teratas dalam aspek penguasaan bola berbanding mana-mana kelab di Liga Perdana. Mengikut statistik, purata penguasaan bola yang dimiliki United bagi setiap perlawanan di Liga Perdana mencapai hingga 56.7%. Sementara itu kesuksesan United dalam melakukan hantaran pula mencapai 85%, jumlah peratusan ketiga tertinggi di Liga Perdana.

Segala statistik di atas sepatutnya diimbangi dengan gol demi gol ke gawang lawan tetapi itu tidak berlaku kepada United setakat ini. Mereka bergelut di kawasan lawan, melakukan hantaran sesama sendiri dan akhirnya seperti biasa anda akan melihat bola kembali ditolak ke belakang sebelum serangan baru disusun semula. Apa yang menyebabkan United gagal menjaringkan banyak gol walaupun mereka muncul pasukan yang sering menguasai bola secara mutlak?

Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya cukup mudah kerana ianya ada dalam diri Wayne Rooney. Tidak seperti tiga atau empat tahun terakhir, prestasi Rooney kini langsung tidak menggambarkan bahawa beliaulah pemegang rekod penjaring terbanyak skuad kebangsaan England dan prospek yang bakal memadamkan rekod jaringan sepanjang masa milik Sir Bobby Charlton di Old Trafford. Rooney yang dahulunya pernah dianggap sebagai `mesin’ kepada skuad United kini gagal memberikan impak kehadirannya di barisan hadapan.

Selaku penyerang utama, ketumpulan Rooney sebenarnya memberikan kesan yang bukan sedikit kepada jentera serangan United. Tiga musim terakhir, Rooney lebih banyak bertindak selaku feeder kepada Robin Van Persie tetapi musim ini beliau kembali menikmati peranannya selaku penggempur utama. Melihat kepada ketumpulan jentera serangan United, saya agak hairan mengapa Van Gaal masih terus menyandarkan harapan kepada Rooney untuk bertindak selaku penyerang tengah sedangkan beliau memiliki pilihan lain.

Selain Rooney siapa lagi yang mampu bertindak sebagai penyerang utama? Saya yakin anda sudah memiliki jawapan tersebut kerana pilihan yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Anthony Martial. Pemergian Van Persie, Javier Hernandez, Radamel Falcao serta Adnan Januzaj (dipinjamkan ke Borussia Dortmund) menyebabkan pilihan Van Gaal di barisan hadapan semakin terhad. Mujurlah disaat akhir sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup, Van Gaal sempat mendapatkan tandatangan Martial dari AS Monaco.

Kehadiran Martial sedikit sebanyak memberikan variasi kepada gaya serangan United tanpa perlu terlalu bergantung kepada kudrat Rooney. Pemain yang dilabelkan sebagai `Next Thierry Henry’ ini memang memiliki potensi yang besar menerusi bakat dan kebolehan teknikal yang dimilikinya. Dalam lima perlawanan terakhir United, Martial diletakkan Van Gaal di sebelah kiri bagi mengisi tempat Memphis Depay yang setakat ini gagal memberikan impak seperti diharapkan.

Peranan selaku sayap kiri nampaknya seperti menghadkan pergerakan Martial dalam memburu gol dan aksi menentang CSKA Moscow kelmarin adalah contoh terbaik. Sepertimana ketika aksi menentang Palace, Martial sekali lagi berdepan kesukaran mendapatkan posisi sesuai bagi melakukan percubaan ke arah gawang lawan. Martial sendiri mengakui bahawa prestasinya ketika berdepan CSKA di bawah tahap sebenar. Memang sukar buat pemain muda seperti Martial berdepan pasukan yang mengamalkan permainan tersusun seperti CSKA dan itulah yang terpaksa beliau hadapi kelmarin.

Setiap kali beliau berjaya melepasi kekangan Alan Dzagoev, Mario Fernandes pula menanti di belakang yang sedia menghalang pergerakannya. Itu jugalah yang berlaku di Selhurst Park ketika Yohan Cabaye dan Martin Kelly silih berganti mengawal pergerakan Martial hingga menyaksikan beliau hanya mampu melakukan sembilan hantaran dan satu percubaan. Martial pada pandangan saya perlu diberikan kebebasan dalam permainannya dan posisi sesuai untuk beliau menikmati kebebasan itu ialah selaku penyerang tengah.

Beberapa hari lalu, ketika ditanya posisi manakah paling sesuai buat Martial, Van Gaal tidak punya jawapan konkrit. “Kami tidak tahu kerana di Monaco dia sering bermain sebagai sayap kiri. Sebagai pengurus saya harus melihat apa yang terbaik bagi keseimbangan pasukan. Ini bukan mudah kerana saya harus memutuskan setiap minggu (di mana posisi sesuai untuk Martial) dan juga bergantung lawan yang bakal kami hadapi”, kata Van Gaal. Saya berharap selepas menyaksikan pasukannya bergelut dalam usaha mereka menembusi pintu gol lawan, Van Gaal sudah menemui ilham di mana posisi paling sesuai buat Martial.

Atau mungkin juga secara jujurnya, ini mungkin saatnya Van Gaal berani bertindak dengan mengubah posisi Rooney selaku penyerang utama kepada `feeder’ sepertimana ketika kapten United itu digandingkan bersama Van Persie. Atau mungkin lebih drastik, Rooney direhatkan buat sementara waktu di bangku simpanan meskipun ini bukanlah satu keputusan popular dan perlukan keberanian dari Van Gaal. Bagaimanapun saya tidak yakin langkah kedua (merehatkan Rooney) bakal dilakukan Van Gaal, jadi pilihan terbaik ialah cuba meletakkan Martial selaku penyerang tengah, manakala Rooney pula bertindak sebagai `feeder’.

Walaupun Rooney berjaya menamatkan kemarau golnya selama 955 minit di pentas Liga Juara-Juara (tidak termasuk perlawanan playoff) itu bukan petanda bahawa masalah ketumpulan jentera serangan United juga bakal berakhir. Meskipun berjaya menjaringkan gol kelmarin, persembahan keseluruhan Rooney juga sebenarnya masih lagi jauh dari tahap terpuji. Bagaimanapun kredit tetap perlu diberikan kepada kapten United itu atas segala usaha kerasnya sepanjang 90 minit permainan hingga terhasilnya gol penting ke gawang CSKA itu.

Jika segala usaha sama ada mengubah posisi Martial dan Rooney tetap tidak berhasil menjadikan jentera serangan United lebih tajam, saya yakin Ed Woodward bakal turun ke gelanggang ketika jendela perpindahan pertengahan musim dibuka Januari nanti. Jika Van Gaal perlukan penyerang baharu, siapa striker yang cocok dengan falsafah permainan beliau? Sebelum tibanya Januari, nampaknya banyak `kerja rumah’ yang perlu dilakukan Van Gaal terutamanya bagi menjawab segala kritikan yang mengatakan bahawa skuad kendalian beliau bermain seperti robot.

Apa yang berlaku ke atas United sekarang bukan sekadar tentang soal falsafah bolasepak pegangan Van Gaal tetapi lebih penting bagaimana barisan kendalian beliau mahu muncul pemenang dalam perlawanan-perlawanan mereka selepas ini. Berbagai reaksi penyokong-penyokong United yang saya baca di media sosial, ada kelompok yang berpuashati dan ada juga yang tidak dengan gaya permainan United ketika ini. Jika anda tanyakan kepada saya, jawapan saya adalah `TIDAK’. Jika anda tanya kenapa? Jawapan saya ialah pasukan yang bagus bukan sekadar dominan dalam penguasaan bola tetapi juga tahu cara bagaimana mahu menjaringkan gol…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan