19 Disember 2015

TANPA TROFI, VAN GAAL HARUS PERGI

Keputusan demi keputusan yang tidak menepati kehendak penyokong menyebabkan Louis Van Gaal semakin tertekan walaupun beliau tetap optimis dengan mengatakan bahawa beliaulah individu paling tepat untuk duduk di kerusi pengurus Manchester United. Di sebalik kegagalan skuadnya mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan kekalahan kepada AFC Bournemouth dalam saingan liga, Van Gaal seolah-olah merasakan bahawa tiada apa yang perlu beliau risaukan dan yakin kedudukannya selaku pengendali tidak akan tergugat meskipun api kemarahan di kalangan penyokong kian marak.

Apa yang berlaku ke atas David Moyes pada 2014 nampaknya bakal berulang sekali lagi apabila penyokong-penyokong mula melancarkan kempen “Van Gaal Out” selepas mereka tidak berpuashati dengan prestasi kelab walaupun pengendali dari Belanda itu sudah berbelanja besar dalam tempoh dua musim terakhir. Kadangkala saya sendiri agak bingung apa sebenarnya yang ada dalam fikiran Van Gaal dalam merencana taktikal permainan skuadnya. Paling ketara tindakan `berani’ beliau mengeluarkan Juan Mata, dan menggantikan pemain Sepanyol itu dengan Nick Powell ketika skuadnya sedang ketinggalan pada aksi menentang Wolfsburg.

Dua lagenda United, Paul Scholes dan Rio Ferdinand mengatakan pencapaian kelab dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini sebagai memalukan. Meskipun terpaksa menyaksikan skuad mahalnya tersingkir di peringkat kumpulan dalam saingan Liga Juara-Juara, Van Gaal nampaknya masih terus lantang mempertahankan dirinya. “Dalam bolasepak ada ketika anda menang dan ada ketikanya anda kalah. Sebagai pengurus dan pemain, anda harus menerimanya. Saya serta pemain sudah berusaha keras dan melakukan semua yang terbaik. Masalahnya kami terpaksa memikul harapan yang tinggi dalam sebuah kelab seperti Manchester United”, kata Van Gaal baru-baru ini.

Menyaksikan wang yang begitu banyak sudah dibelanjakan Van Gaal bagi menguatkan skuadnya dalam tempoh dua musim terakhir, sudah tentu pencapaian buruk di pentas Liga Juara-Juara dan beberapa siri kekalahan serta keputusan `yang tidak sepatutnya’ mereka capai dalam aksi liga menimbulkan kemarahan penyokong. Meskipun Van Gaal mengatakan menjuarai Liga Europa tetap sesuatu yang boleh dibanggakan, saya pula tetap menganggap bahawa United sepatutnya berada di kelompok 16 pasukan di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Apapun segalanya sudah berakhir buat United (di Liga Juara-Juara), dan sama ada suka atau tidak, anda terpaksa menerima hakikat bahawa Liga Europa adalah tempat selayaknya buat kelab meneruskan saingan di peringkat Eropah musim ini. Cuma saya berharap kegagalan di Liga Juara-Juara akan menjadi tonik mujarab buat anak-anak buah Van Gaal untuk bangkit selepas gagal mencatat sebarang kemenangan sejak 26 November lalu. Sebelum Van Gaal berhajat mahu meletakkan United kembali ke landasan sepatutnya, beliau bagaimanapun perlu mengatasi cabaran yang datang dari dalam skuadnya sendiri.

Kini sudah timbul desas desus rasa tidak puas hati beberapa pemain tonggak United terhadap gaya kepimpinan Van Gaal selepas tewas kepada Bournemouth minggu lalu, Bukan sahaja taktikal di atas padang, malah kaedah latihan yang beliau terapkan juga nampaknya tidak disenangi para pemainnya. Kaedah latihan Van Gaal dilabel sebagai membosankan dan punca mengapa ramai pemain utama mengalami kecederaan. Mirror dalam laporannya menyebut dua pemain senior United sudah bersemuka dengan Van Gaal untuk menyampaikan rasa tidak puas hati mereka.

Jika benar apa yang dilaporkan Mirror, ini bukanlah satu petanda bagus untuk kelab dan saya berharap pemberontakan di Stamford Bridge yang akhirnya menyebabkan Jose Mourinho tersingkir tidak merebak ke Old Trafford. Apabila pemain sudah menterjemahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pengurus di atas padang, kesannya sudah pasti bukan sedikit dan tentunya turut menjejaskan misi pasukan dalam saingan musim ini. Jika (benar) ada pemain yang tidak berpuashati dengan taktikal dan kaedah latihan Van Gaal, kita yang berada di luar padang apa kurangnya.

Walau berat, saya terpaksa mengakui bahawa corak permainan United di bawah kendalian Van Gaal agak membosankan. Meskipun sering memenangi statistik penguasaan bola, United tidak menjaringkan banyak gol selain kurangnya percubaan-percubaan ke arah gawang lawan. Mengikut catatan, United berada di kelompok lima terbawah pasukan yang kerap melakukan percubaan ke arah gawang lawan dengan purata 11.1 percubaan setiap perlawanan. Dalam hal ini, saya agak cemburu bila menyaksikan betapa menariknya variasi serangan Manchester City bertunjangkan kekuatan Yaya Toure, kreativiti David Silva, kemahiran Raheem Sterling dan ketajaman Sergio Aguero.

Faktor-faktor yang saya sebutkan tadi selain tumpulnya penyudah Wayne Rooney seolah-olah semakin mencabar kesabaran penyokong di mana api kemarahan terhadap Van Gaal kian marak selepas diaibkan Bournemouth, kelab yang menghuni kelompok bawahan liga minggu lalu. Tersingkir dari kempen Liga Juara-Juara dan kemudiannya tewas kepada pasukan kerdil dalam saingan domestik menyebabkan Van Gaal kian dihimpit tekanan. Bukan sahaja menerima tekanan dari luar, malah Van Gaal turut dikhabarkan semakin hilang sokongan dari dalam. Kini semakin lantang kedengaran suara-suara yang menginginkan agar pengendali berpengalaman itu segera angkat kaki dari Old Trafford.

Kelompok penyokong yang tidak berpuashati dengan prestasi pengurusan Van Gaal semakin berkembang dan kemungkinan besar malam ini anda akan dapat saksikan sepanduk terbang “Van Gaal Out” melintasi ruang udara Theatre of Dreams. Jika taktikal permainan yang beliau terapkan di atas padang dianggap membosankan, bagaimana pula dengan polisi pembelian pemain yang beliau amalkan sepanjang dua musim terakhir ini? £250 juta yang beliau belanjakan bagi membina skuad impiannya dianggap satu pembaziran, apatah lagi bila melihat pemain seperti Memphis Depay masih gagal memenuhi jangkaan walaupun saingan musim ini bakal memasuki fasa kedua.

Musim lalu, beliau melakukan kesilapan besar membeli Angel Di Maria yang akhirnya tidak cocok dengan gaya permainan bolasepak Inggeris manakala percubaan beliau menyelamatkan karier Radamel Falcao turut gagal selepas penyerang Colombia itu semakin hilang bisanya sejak pulih dari kecederaan lutut. Musim ini skrip sama nampaknya bakal berulang sekali lagi dimana kegagalan Memphis Depay beradaptasi dengan gaya permainan pasukan barunya terus mengundang kecaman. Selaku pengendali Van Gaal turut menerima tempiasnya apabila beliau dilabel sebagai `tidak tahu menilai pemain mana yang sepatutnya  beliau tandatangani’.

Jika gagal memenangi sebarang trofi `major’ musim ini, saya tanpa ragu turut senada mengatakan bahawa wang yang begitu banyak sudah dilaburkan beliau selama dua musim sebagai satu pembaziran. Itu belum lagi termasuk wang yang akan dibelanjakan beliau ketika jendela perpindahan pertengahan musim dibuka Januari ini. Jelas Van Gaal semakin tidak popular dimata penyokong-penyokong United di mana dalam satu undian yang dilakukan oleh ESPN FC, 61% koresponden mahukan agar Van Gaal segera angkat kaki, 32% mahukan beliau kekal hingga akhir musim dan hanya 7% mahukan beliau menyelesaikan baki kontraknya hingga 2017.

Barometer tekanan nampaknya semakin tinggi menjelang aksi menentang Norwich City malam ini dan Van Gaal nampaknya tiada pilihan lain selain memacu skuadnya meraih kemenangan. Penyokong-penyokong nampaknya tidak akan menerima sebarang keputusan selain dari kemenangan dan itulah yang perlu Van Gaal usahakan jika tidak mahu kecaman lebih hebat terus menghujani beliau. Kemenangan ke atas Norwich setidak-tidaknya memberikan ruang buat Van Gaal bernafas seketika sebelum memikirkan strategi terbaik untuk meletakkan United kembali selaku pencabar kejuaraan liga musim ini.

Dengan segala macam perkara yang nampaknya tidak memihak kepada Van Gaal, satu-satunya faktor yang boleh beliau manfaatkan ialah masa. Jika mahu terus kekal dikerusinya, beliau perlu menggunakan sepenuhnya peluang mendapatkan pemain baharu sepanjang tempoh perpindahan pemain pertengahan musim yang bakal dibuka Januari ini. Sudah tentu posisi yang perlu beliau berikan perhatian ialah menyuntik bisa di barisan hadapan skuadnya, posisi yang beliau terlepas pandang untuk diperkuatkan ketika jendela perpindahan pemain musim panas dibuka Jun lalu.

Saya anggap Januari adalah usaha terakhir Van Gaal menyelamatkan kariernya di Old Trafford. Jika gagal menggunakan peluang serta masa yang ada dan sekali lagi wang terus dibazirkan membeli pemain yang `tidak tepat’, saya yakin beliau bakal menyusul jejak Jose Mourinho. Seperti yang pernah saya katakan dulu, musim ini sasaran yang patut dicapai Van Gaal bukan lagi meletakkan United dalam kelompok empat teratas, tetapi membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi ke Old Trafford. Dengan begitu banyak wang yang sudah beliau laburkan untuk membina kembali United selepas kejatuhan semasa era David Moyes, saya percaya keluarga Glazer tidak akan berpeluk tubuh melihat kelab terus ketandusan kejuaraan. Kelompok empat teratas adalah misi wajib yang perlu beliau laksanakan, tetapi tanpa trofi bermakna Van Gaal juga harus pergi. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan