Kemenangan penting dan juga gol penting dari
Wayne Rooney, itu sahaja yang mampu saya katakan tentang perlawanan semalam.
Kemenangan ini juga penting bagi survival
Louis Van Gaal dalam menyelamatkan kariernya di Old Trafford selepas lebih
sebulan skuad kendaliannya gagal meraih sebarang kemenangan sejak kali terakhir
mereka menewaskan Watford pada 21 November lalu. Keputusan seri menentang
Chelsea dan kemudiannya tiga mata penuh yang diraih ke atas Swansea City mampu
membuat Van Gaal menarik nafas lega buat seketika selepas teruk dikiritik,
manakala perjudian beliau kembali menggunakan tiga pemain pertahanan wajar
diberikan sedikit kredit.
Saya bukan mahu bercakap tentang kemenangan
semalam atau strategi yang digunakan Van Gaal hingga membolehkan United mengatasi
Swansea City tetapi tertarik dengan kelibat Rooney yang kembali meletakkan
dirinya dalam senarai penjaring United. Seperti yang anda tahu, gol jaringannya
diminit ke-77 ke gawang Lukasz Fabianski membolehkan beliau mengatasi catatan
Dennis Law di kedudukan kedua senarai penjaring terbanyak dalam sejarah kelab.
Kini Rooney hanya memerlukan 12 gol sahaja lagi untuk mengatasi catatan Sir
Bobby Charlton (249 gol) selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman United.
Dengan usia yang baru mencecah 30 tahun, saya fikir tiada masalah buat Rooney
memadam catatan lagenda United itu.
Selain berjaya mengatasi catatan Dennis Law,
gol kemenangan Rooney semalam turut meletakkan beliau di tangga kedua senarai
penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Perdana di belakang Alan Shearer (260
gol). 188 gol yang sudah dihasilkan Rooney dalam pembabitan beliau di pentas
Liga Perdana setakat ini, mengatasi catatan seorang lagi lagenda United (Andy
Cole). Rekod Shearer seperti tampak sukar diatasi Rooney, apatah lagi kemampuan
beliau dalam menghasilkan gol juga semakin menurun dari musim ke musim. Harry
Kane yang dilabel sebagai penyerang masa depan England pula memerlukan purata
jaringan 20 gol setiap musim selama sebelas musim jika berhajat memadam catatan
Shearer.
Seperti yang saya sebutkan tadi, gol jaringan
Rooney ke gawang Swansea City menamatkan catatan tanpa kemenangan enam
perlawanan United dalam saingan liga. Sebelum itu, United hanya mencatatkan
tiga keputusan seri dan tiga kekalahan hingga menyebabkan kedudukan mereka
sedikit demi sedikit tergelincir ke tangga keenam liga. Kali terakhir Rooney
menjaringkan gol musim ini ialah pada 17 Oktober lalu, saat United berdepan
kelab yang pernah menggilap bakat beliau, iaitu Everton (United menang 3-0
dalam perlawanan itu). Selepas itu Rooney hanya menjaringkan satu gol ketika
berdepan CSKA Moscow pada 3 November di pentas Liga Juara-Juara dan satu lagi
gol ketika England menewaskan Perancis dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.
Selaku ketua pasukan dan tonggak di barisan
hadapan, sudah semestinya Rooney sepatutnya muncul penyumbang utama gol-gol
buat United, namun hakikatnya itu tidak berlaku setakat ini. Prestasi menurun
Rooney di jentera serangan United turut dikatakan menjadi faktor mengapa skuad
asuhan Van Gaal berdepan masalah ketika berada dalam petak penalti lawan dan
kurang menjaringkan gol musim ini. Adakah golnya ke gawang Swansea semalam satu
isyarat bahawa Rooney bakal meledak lebih banyak gol selepas ini? Ya, saya
harap begitu kerana ketajaman beliau amat-amat diperlukan jika United mahu
terus memberikan tekanan kepada pasukan-pasukan yang berada di atas mereka
dalam carta liga.
Dalam keadaan sekarang siapa lagi penyerang
yang boleh disandarkan harapan dalam memburu gol selain Rooney serta Anthony
Martial dan itulah hakikat yang kita terpaksa terima walaupun penampilan Rooney
sering dikritik sejak kebelakangan ini. Rooney adalah kapten skuad kebangsaan
dan kelab, jadi fokus sudah tentu terarah kepada beliau setiap kali England
atau United berdepan prestasi tidak konsisten. Jika bukan Rooney siapa lagi
yang layak menerajui jentera serangan United ketika ini selepas nama-nama
seperti Radamel Falcao, Robin Van Persie dan Javier Hernandez meninggalkan
kelab musim panas lalu.
Tugas Rooney kini bukan sekadar sebagai
pemburu gol malah kini beliau adalah pemimpin di atas padang. Beban tambahan
ini juga dikatakan antara penyebab mengapa Rooney bergelut dengan pretasi
sendiri hingga ada cadangan supaya tanggungjawab sebagai ketua pasukan
diserahkan kepada pemain lain agar Rooney lebih `bebas’. Benar atau tidak
bahawa tugas selaku ketua pasukan antara penyebab mengapa Rooney semakin tumpul
itu soal kedua, kerana apa yang saya harapkan adalah supaya Rooney menemui
semula sentuhan penyudahnya. Sebagai penyerang, menjaringkan gol adalah tanggungjawab
Rooney dan sehingga kini tanggungjawab itu gagal dilaksanakan beliau jika
diambilkira jumlah gol yang sudah dihasilkannya setakat ini.
Walaupun ada perubahan kepada gaya permainan
United dalam dua perlawanan terakhir, masalah ketumpulan jentera serangan masih
lagi musuh utama buat barisan The Red
Devils. Sudah pasti juga akan ada penambahbaikan yang bakal dilakukan Van
Gaal bagi mengatasi kelemahan jentera serangan skuadnya sepanjang jendela
perpindahan pemain pertengahan musim dibuka. Mendapatkan penyerang baharu,
memanggil semula Will Keane pulang dari Preston North End atau memendekkan
tempoh pinjaman Adnan Januzaj bersama Borussia Dortmund antara tindakan yang
mungkin diambil Van Gaal bagi menyelesaikan masalah di barisan hadapan The Red Devils.
Menandatangani seorang penyerang baharu
merupakan langkah yang pastinya digemari penyokong-penyokong United, tetapi
harus diingat bukan satu tugas mudah mendapatkan seorang penyerang kelas dunia
di pertengahan musim ketika kelab yang mereka wakili sedang rancak bersaing di pentas
Eropah atau sedang dalam perlumbaan mengejar kejuaraan liga domestik. Jadi
keputusan memanggil semula Januzaj dan Keane pulang saya anggap langkah paling hampir
yang bakal dilakukan Van Gaal bagi menambah lebih variasi kepada jentera
serangan United.
Sebelum meneka dengan lebih mendalam apa yang
bakal dilakukan Van Gaal Januari ini, berharaplah agar Rooney sudah mendapat
jawapan bagaimana cara terbaik untuk beliau menembusi gawang lawan. Kejayaan
beliau mengatasi rekod Dennis Law dan Andy Cole saya harap menjadi tonik
terbaik buat Rooney agar lebih yakin dan punya cara untuk mengatasi pertahanan
lawan selepas ini. Ketika beliau berdepan tempoh sukar dan dihujani berbagai
kritikan, saya tetap percaya bahawa sosok pemain bernama Wayne Rooney ini masih
cukup bagus untuk mengepalai jentera serangan United. Meskipun tidak sepantas
dulu, tetap ada kualiti dalam diri Rooney yang tidak dimiliki kebanyakan pemain
lain, iaitu betapa beliau adalah seorang pejuang tulen...hakikat yang tidak boleh kita nafikan sejak kali pertama beliau menyarung jersi merah United hingga sekarang...Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan