Muak!!!, hanya itu yang mampu saya katakan
selepas melihat Manchester United tewas buat kali keenam dalam saingan liga
musim ini. Muak bukan disebabkan United tewas tetapi saya muak kerana corak
permainan barisan kendalian Van Gaal masih tidak berubah, masih sama, tiada keghairahan
dan kekal membosankan. Reaksi penyokong selepas kekalahan itu sudah cukup untuk
menggambarkan apa yang terbuku di hati mereka di mana selepas berakhirnya era
singkat David Moyes, kita terpaksa sekali lagi berdepan musim yang `mengerikan’.
Ketika menuju ke bilik persalinan selepas
tamat perlawanan menentang Southampton, khalayak penyokong-penyokong United di Theatre of Dreams melambaikan tangan ke
arah Van Gaal sebagai isyarat selamat tinggal dan juga menunjukkan isyarat ibu
jari ke bawah tanda begitu kecewanya mereka dengan prestasi barisan mahalnya
setakat ini. Jujur saya katakan beberapa kemenangan-kemenangan yang diraih
United sebelum ini banyak dibantu faktor nasib, bukan disebabkan mereka bermain
dengan baik atau disebabkan ampuhnya taktikal yang diatur Van Gaal.
Gaya permainan membosankan United di bawah
asuhan Van Gaal tidak boleh dibiarkan berterusan jika mereka mahu mengintai
salah satu slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Sebelas perlawanan
berturut-turut United gagal menjaringkan sebarang gol di babak pertama jelas
menggambarkan betapa `mandulnya’ jentera serangan The Red Devils yang dikepalai Wayne Rooney. Dengan jentera serangan
yang begitu tumpul, bahagian tengah hilang kreativiti dalam mengatur gerakan ke
kubu lawan dan barisan pertahanan yang kadangkala hilang fokus hingga
membenarkan lawan menjaringkan gol di penghujung permainan, penyakit kronik ini
perlu segera diubati.
Saya tidak gusar jika United gagal memenangi
kejuaraan liga musim ini tetapi saya cukup gusar jika United sekali lagi gagal
melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara sepertimana yang berlaku pada musim
2014-15. Melihat jurang yang dicipta Tottenham Hotspurs di tangga keempat liga
semakin besar, saya berharap ada perubahan besar yang berlaku dalam tempoh terdekat
bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada. Van Gaal sendiri saya yakin sudah
melakukan segala yang beliau terdaya untuk menyelamatkan musim United namun
sehingga kini segalanya tampak tidak memihak kepada beliau.
Sabtu lalu, United seperti biasa unggul
menerusi peratusan penguasaan bola milik mereka (56%), tetapi diakhir
perlawanan mereka sekali lagi berada di pihak yang kalah. Agak malang,
peratusan penguasaan bola yang dimiliki United tidak seiring dengan kemenangan
yang sepatutnya mereka raih dan juga gol yang sepatutnya mereka jaringkan.
Ketika berdepan Southampton, Van Gaal menggunakan formasi 3-4-1-2, dimana beliau meletakkan Cameron
Borthwick-Jackson dan Jesse Lingard sebagai wingback.
Sangkaan Van Gaal bahawa dua pemain ini boleh menggunakan kepantasan mereka
untuk membangunkan serangan dari kedua-dua belah sayap nyata memakan diri.
Borthwick-Jackson yang kebiasaannya
berperanan sebagai bek kiri seperti kebingungan sepanjang 86 minit beliau di
atas padang. Sepanjang tempoh tersebut juga, pemain muda ini hanya mampu
melakukan satu dribbles, manakala
dari 30 hantaran yang beliau lakukan, hanya dua menuju ke kawasan petak penalti
lawan. Begitu juga halnya dengan Lingard yang kelihatan seperti kekok di atas
padang. Lingard yang merupakan seorang pemain sayap tidak dapat menggunakan
sepenuhnya kemahiran beliau untuk melakukan gerakan-gerakan dari sebelah kanan
kerana kerap berada terlalu jauh di kawasan sendiri.
Pemain United yang menjadi sorotan utama
sebelum perlawanan menentang Southampton sudah tentulah pemain yang
menjaringkan gol kemenangan di Anfield 17 Januari lalu. Siapa lagi yang saya
maksudkan jika bukan Wayne Rooney. Rooney yang berjaya menjaringkan empat gol
dalam empat perlawanan sebelum ini kembali buntu dalam memainkan peranannya
selaku watak penting di barisan hadapan United. Tidak banyak yang mampu
dilakukan Rooney, beliau seperti `hilang’ dalam permainan dan paling memedihkan
tiada satupun percubaan tepat yang dilepaskan kapten ini ke arah pintu gol
lawan.
Cemerlangnya Virgil Van Dijk di benteng
pertahanan The Saint menyukarkan lagi
tugas Rooney dan Anthony Martial dalam memburu gol buat United. Kredit memang
patut diberikan kepada pemain pertahanan berasal dari Belanda ini yang
melakukan lima tackle bersih, lima
pintasan dan lima clearance hingga
meletakkan beliau antara pemain lawan paling cemerlang sepanjang aksi di Old
Trafford, Sabtu lalu. Kehadiran semula Adnan Januzaj dari Borussia Dortmund
bagi menyahut panggilan kecemasan Van Gaal tetap gagal membantu United untuk
sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam perlawanan ini. Dengan tempoh empat
minit masa sebenar permainan yang tinggal, tidak banyak yang mampu dilakukan
Januzaj bagi menyelamatkan maruah pasukannya.
Selain ketumpulan jentera serangan, United
juga nampaknya semakin hilang kreativiti di bahagian tengah mereka musim ini, Kreativiti
sekali lagi menjadi masalah besar yang perlu ditangani Van Gaal dengan seberapa
segera jika beliau tidak mahu menyaksikan United terus tercicir. Van Gaal
sekali lagi memilih kekuatan fizikal milik Fellaini sebagai teras di bahagian
tengah kesebelasan utamanya namun pemain tinggi lampai ini gagal memberikan
kesan seperti yang diharapkan beliau. Fellaini hanya bertahan selama 45 minit
sebelum beliau digantikan Juan Mata di separuh masa kedua.
Fellaini `agak berjaya’ ketika berdepan
Liverpool namun tenggelam pada aksi di Old Trafford, Sabtu lalu. Dalam hal ini
saya sedikit hairan bila memikirkan mengapa Van Gaal lebih memilih kekuatan
fizikal milik Fellaini berbanding kreativiti yang ada pada Mata untuk
menggerakkan jentera tengah pasukannya. Kelibat Mata di separuh masa kedua
nyata memberikan perubahan menerusi visi dan kreativiti permainannya hingga
membolehkan jentera tengah bergerak lebih lancar berbanding aksi di separuh
masa pertama. Bagaimanapun sumbangan Mata tetap terbatas memandangkan Rooney
dan Martial gagal membuka ruang di bahagian hadapan kerana kerap berada sedikit
jauh ke bawah.
Saya yakin selaku pengendali, Van Gaal sudah
tentu tidak mahu situasi buruk ini berlaku ke atas pasukan dan dirinya sendiri.
Van Gaal antara pengendali berpengalaman dalam dunia bolasepak selain memiliki
rekod silam yang cukup cemerlang. Walaupun di awal kedatangannya, beliau
dianggap mampu menyelamatkan United dari zaman kemurungan, kini situasi sudah
berputar 360°. Van Gaal kini dianggap musuh nombor satu oleh
penyokong-penyokong United di seluruh dunia, bukan sahaja disebabkan
kegagalannya meletakkan kembali kelab sebagai pasukan yang digeruni tetapi juga
kerana corak permainan membosankan yang dipamerkan skuad kendaliannya hampir
saban minggu.
Jika diamati aset yang ada dalam skuad Van
Gaal, bagi saya tiada apa yang kurang untuk United muncul pencabar paling
serius dalam perebutan kejuaraan liga musim ini. Gabungan pemain berpengalaman
dan pemain kelas dunia hasil dari pelaburan yang beliau lakukan sepanjang dua
musim terakhir sepatutnya meletakkan United ditangga lebih baik berbanding
kedudukan sekarang dalam carta liga. Ramai yang berharap hasil lebih baik musim
ini menerusi pelaburan besar yang dilakukan Van Gaal, tetapi United sudahpun
tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara, diaibkan Middlesbrough dalam saingan
Piala Liga dan hanya mampu memungut 37 mata untuk berada ditangga kelima carta
liga.
Menyaksikan permainan menarik yang dipamerkan
barisan The Red Devils sepanjang era
gemilang Sir Alex Ferguson, apa yang berlaku sekarang sudah tentu tidak boleh
diterima oleh majoriti penyokong-penyokong United. Saya dan mungkin kebanyakan
dari anda di luar sana boleh menelan hakikat kekalahan kerana itu semua
sebahagian asam garam dalam bolasepak, tetapi saya tidak boleh menerima hakikat
betapa permainan United di bawah kendalian Van Gaal cukup membosankan. Jadi
bagaimana jika United mahu kembali kepada permainan menarik dan menghiburkan
sepertimana ketika kelab di bawah era Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson?
Jawapan paling mudah yang muncul sepantas
kilat dalam fikiran saya ialah Van Gaal harus pergi dengan memberi peluang buat
individu lain yang punya idea lebih segar untuk merencanakan permainan United. Menyaksikan
apa yang sedang berlaku sekarang, saya yakin pihak pengurusan United tidak akan
memberikan Van Gaal peluang menghabiskan baki 18 bulan kontraknya. Paling
tidak, beliau akan diberikan peluang mengurus pasukan hingga akhir musim atau
jika situasi semakin buruk, Ryan Giggs akan kembali ke bangku pengurus buat
sementara waktu sepertimana yang berlaku pada 2014.
Sesuatu harus dilakukan sekarang bagi
menyelamatkan musim United dan tugas itu terletak di tangan pihak pengurusan
kelab untuk melakukannya. Saya yakin masa depan Van Gaal sudah tidak ada di Old
Trafford dan kekalahan kepada Soutahmpton menambahkan lagi rasa muak
penyokong-penyokong terhadap beliau. Jika Van Gaal `ditendang keluar’, saya
berharap sesiapapun individu yang dilantik menggantikan tempat beliau nanti mampu
membawa United kembali kepada gaya permainan menghiburkan. Gaya permainan yang
pernah meletakkan United sebagai pasukan paling digeruni, paling dicemburui dan
untuk kembali kepada gaya permainan seperti itu, sosok individu bernama Louis Van
Gaal harus dikorbankan. Glory Glory Manchester United!!! - AJ