Steve Bruce mungkin nama tidak terkenal
seperti David Beckham ataupun Cristiano Ronaldo tetapi jangan lupakan bahawa
beliau merupakan salah seorang pemain dari generasi kebangkitan semula
Manchester United di era 90’an. Dilahirkan pada 31 Disember 1960, Bruce yang
kini bertugas selaku pengendali Hull City memulakan karier bolasepaknya bersama
Gillingham sebelum menyertai Norwich City pada musim panas 1984. Jika bercakap
tentang Bruce, ramai yang mengingati beliau sebagai kapten United pertama yang berjaya
menjulang kejuaraan liga buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun pada musim
1992-93.
Bagaimanapun mungkin juga ramai yang tidak
sedar bahawa Bruce hampir sahaja berhenti bermain bolasepak selepas tidak
menerima mana-mana tawaran hinggalah Gllingham datang dengan tawaran kontrak di
mana beliau kemudiannya menghabiskan tempoh selama lima tahun di Priestfield
dan bermain lebih 200 perlawanan. Walaupun pada usia remaja Bruce bergelut
mencari kelab yang mampu memberikan peluang buat beliau memperagakan bakatnya,
tawaran Manchester United pada musim panas 1987 memang tidak dijangka dan tidak
mampu untuk ditolak.
Walaupun ketika itu The Red Devils sentiasa dibayangi dominasi Liverpool, Arsenal,
Everton dan Tottenham Hotspurs di pentas domestik, peluang menyertai kelab yang
memiliki tradisi dan sejarah gemilang seperti Manchester United memang tidak
harus dilepaskan. Debut Bruce untuk
United berlaku pada 19 Disember 1987 ketika menentang Portsmouth di mana skuad
Sir Alex Ferguson menang 2-1 dalam perlawanan itu. Bruce mengharungi musim
1987-88 dengan beraksi sebanyak 21 perlawanan dan berjaya membantu kelab
menduduki tangga kedua liga yang juga merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh
lapan tahun.
Di Old Trafford, Bruce muncul antara tonggak
penting buat barisan Sir Alex Ferguson dan bersama Gary Pallister beliau
membentuk antara gandingan bek tengah terbaik pernah disaksikan dalam sejarah
kelab. Bermula dengan kejayaan menjulang Piala FA pada 1990, Bruce kemudiannya
berjaya mengumpul 12 medal kejuaraan bersama United sepanjang sembilan tahun beliau
menyarung jersi United. Meskipun cemerlang di peringkat kelab, anehnya Bruce
tidak pernah dipanggil menyarung jersi kebangsaan England dan pencapaian
tertinggi beliau di pentas antarabangsa sekadar 1 caps untuk skuad England B.
Musim 1991-92, Bruce terpaksa berehat selama
beberapa bulan kerana menjalani pembedahan hernia hingga menjejaskan pemburuan
kejuaraan liga United. Di akhir musim, United tewas dalam perlumbaan merebut
kejuaraan kepada Leeds United yang ketika itu diperkuatkan Eric Cantona
menerusi perbezaan hanya empat mata. Musim 1992-93, kemaraan United nyata sukar
dibendung dan dengan kehadiran Eric Cantona, The Red Devils kendalian Sir Alex Ferguson akhirnya berjaya
menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga mereka. Musim tersebut juga menyaksikan
Bruce dilantik sebagai ketua pasukan selepas Bryan Robson berehat hampir
separuh musim akibat kecederaan.
Dua gol yang dijaringkan Bruce menerusi
tandukan ketika pertemuan menentang Sheffield Wednesday pada 10 April 1993 akan
sentiasa dikenang penyokong-penyokong United sampai bila-bila. Kerana gol itulah
United berjaya mengesahkan kejuaraan liga mereka sekaligus mengetepikan cabaran
Aston Vila di tangga kedua. Bruce kemudiannya melakar sejarah baru buat dirinya
apabila berjaya menjulang kejuaraan double
pada musim 1993-94. Kejayaan menjulang kejuaraan liga dan Piala FA itu menyaksikan
beliau muncul warga Inggeris pertama selepas Sir Bobby Charlton yang berjaya
menjulang kejuaraan double sebagai
kapten pasukan.
Reputasi Bruce bersama United menarik minat
Jack Charlton selaku pengurus skuad Republik Ireland ketika itu untuk
menawarkan beliau tempat dalam skuadnya. Bruce bagaimanapun terpaksa menolak
dari mewakili negara kelahiran ibunya itu disebabkan peraturan kuota pemain
asing di Liga Perdana (sebelum wujudnya Peraturan Bosman) yang boleh memberikan
masakah kepada United dalam liga domestic dan hal ini didedahkan beliau dalam
autobiografinya. Bruce terlepas aksi final Piala FA 1996 menentang Liverpool
akibat kecederaan yang menyaksikan Eric Cantona mengetuai The Red Devils menjulang kejuaraan tersebut menerusi jaringan dramatik
dimasa tambahan.
Pada usia 35 tahun, karier Bruce di Old
Trafford berakhir apabila beliau memilih untuk menyertai Birmingham City pada
musim panas 1996 meskipun masih memiliki baki setahun kontrak bersama United.
Sepanjang kariernya sebagai pemain, Bruce memang cukup dikenali sebagai seorang
pemain pertahanan yang keras tetapi tenang. Kemampuan menyerap tekanan dan
memberikan motivasi kepada rakan-rakan sepasukan di atas padang menyebabkan Sir
Alex tanpa ragu menyerahkan armband
ketua pasukan kepada beliau selepas Bryan Robson meninggalkan kelab.
Sebagai pemain pertahanan tengah, kemampuan
Bruce dalam menjaringkan gol juga cukup mengagumkan. Dari 309 aksi liganya
untuk United, Bruce berjaya menjaringkan 36 gol, angka yang cukup banyak buat
seorang pemain pertahanan seperti beliau. Dan sudah tentu seperti yang saya katakan
tadi, dua gol beliau menerusi tandukan ke gawang Sheffield Wednesday pada 10
April 1993 pastinya antara momen yang tidak akan pernah saya lupakan jika
bercakap tentang individu bernama Stephen Roger Bruce ini. Bermula pada 1987
dan berakhir pada 1996, tanpa ragu Bruce bukan sahaja antara bek tengah terbaik
pernah saya saksikan menyarung jersi United, tetapi juga pemimpin sejati menerusi
keterampilannya di atas padang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan