21 Mac 2016

MAAF THE CITIZEN, KALI INI MANCHESTER BERWARNA MERAH

Akhirnya ada juga sesuatu yang boleh membuatkan saya tersenyum dan cerita untuk ditulis dalam menghadapi minggu baharu. Ya, apa lagi yang boleh membuatkan kita (penyokong-penyokong Manchester United) tersenyum melainkan selepas menyaksikan anak-anak buah Louis Van Gaal menewaskan `jiran kita yang bising’ itu 1-0 pada aksi liga di gelanggang lawan awal pagi tadi. Selepas bungkam disingkir Liverpool dalam saingan Liga Europa minggu lalu, kemenangan keatas City ini sekurang-kurangnya kembali menghidupkan sisa harapan untuk menyaksikan United berjuang di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan.

Terima kasih juga kepada anak muda bernama Marcus Rashford, penjaring tunggal dalam perlawanan ini yang membolehkan United merapatkan kedudukan di kelompok empat teratas. Meskipun menduduki tangga keenam liga, kemenangan ini membolehkan United mengumpul 50 mata dan kini hanya ketinggalan satu mata berbanding City yang berada di tangga keempat liga. Sebelum perlawanan, Louis Van Gaal mengatakan perlawanan ini bakal menentukan survival skuadnya dalam misi merebut salah satu slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan dan mujurlah tiga mata berjaya di bawa pulang dari gelanggang lawan.

Sebelum perlawanan juga Van Gaal mengakui bahawa beliau sibuk menganalisis prestasi Eliaquim Mangala dan Martin Demichelis, dua pemain yang digunakan Manuel Pellegrini bagi membarisi benteng tengah City awal pagi tadi. Nyata kerja rumah yang dilakukan Van Gaal akhirnya membuahkan hasil apabila strategi beliau yang mahukan barisan hadapannya memberikan tekanan kepada Mangala dan Demichelis membolehkan Rashford menembusi gawang lawan diminit ke-16. Saya akui Demichelis merupakan pemain yang cukup berpengalaman dan pernah muncul antara bek tengah terbaik di dunia, namun pada usia 35 tahun beliau terlalu perlahan untuk menangani pemain muda seperti Rashford.

Tanpa kelibat kapten berpengaruh mereka, Vincent Kompany dan rakan gandingannya Nicolas Otamendi, Pellegrini memang berhadapan masalah di barisan belakang skuadnya dan kelemahan itulah yang berjaya dimanfaatkan United di babak pertama. City yang dihadapi United awal pagi tadi tidak setanding dengan skuad kendalian Roberto Mancini yang pernah menjulang kejuaraan liga pada musim 2011/12. City hilang kreativiti di bahagian tengah namun diimbangi dengan kemampuan pemain-pemain mereka dalam melakukan tekanan ketika bola berada di kaki lawan.

Kelibat Yaya Toure yang juga merupakan simbol kekuatan City di bahagian tengah selama ini seperti berseorangan, malah beliau lebih banyak turun membantu bahagian belakang berbanding mengatur serangan sepertimana kebiasaannya. Hal ini memberikan kelebihan besar buat barisan tengah United dalam memainkan falsafah possession football anutan Van Gaal, ditambah pula dengan kurangnya tekanan yang diberikan Sergio Aguero, Jesus Navas dan David Silva terutama di babak pertama. Buruknya prestasi pemain tengah dan belakang City menyebabkan barisan hadapan United tampak seperti cukup berbahaya di awal 45 minit perlawanan.

Bagaimanapun mungin disebabkan faktor kepenatan kerana tiga hari sebelumnya terpaksa berdepan Liverpool di pentas Liga Europa, United kembali kepada `penyakit lama’ mereka di babak kedua. Mudah hilang bola, melakukan hantaran sesama sendiri tanpa ada keinginan untuk melakukan serangan dan umpanan-umpanan kepada barisan serangan yang sering tersasar menyaksikan City kembali menguasai permainan. Mujurlah kecekalan dan kerjasama ketika bertahan membolehkan United mengekalkan kelebihan satu gol milik mereka sekaligus membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Etihad.

Saya memang gembira menyaksikan kejayaan getir United menewaskan City di gelanggang lawan tetapi saya juga perlu sedar tiada apa yang istimewanya dalam permainan United kecuali fakta bahawa Rashford muncul penjaring termuda dalam sejarah Manchester Derby. Di babak pertama terutamanya, Rasford, Anthony Martial dan Jesse Lingard tampak cukup berbahaya tetapi harus juga diingat bahawa City turun tanpa kelibat Kompany dan Otamendi, dua pemain yang memberikan pengaruh besar di barisan belakang skuad Pellegrini. Gandingan Daley Blind dan Chris Smalling pula sering menghadirkan rasa cemas kepada kita hingga menyebabkan jantung sentiasa berdegup kencang setiap kali bola berada di kaki Aguero.

`Ketidak istimewaan’ United dalam perlawanan awal pagi tadi boleh dilihat dalam cara mereka membangunkan serangan. `Penyakit’ United di era Van Gaal jelas terlihat pada corak permainan bertukar-tukar hantaran sesama sendiri yang terlalu lama hingga membolehkan pemain-pemain City memiliki masa yang jauh lebih cukup untuk turun ke kawasan sendiri dan menyusun pertahanan mereka. United menang perlawanan ini kerana berjaya menjaringkan gol awal, manakala lawan pula kemudiannya bergelut mencari gol penyamaan. Keberuntungan United boleh anda lihat menerusi statistik perlawanan di mana anak-anak buah Van Gaal hanya melepaskan lima percubaan berbanding 26 oleh City.

Dari 26 percubaan yang dilepaskan City ke arah David De Gea, hanya tiga menepati sasaran berbanding United yang mencatatkan empat on target dari lima percubaan mereka. Jadi selepas melihat statistik di atas, memang wajarlah anda merasakan tempoh enam minit masa tambahan begitu panjang dan kemudiannya bertukar lega sebaik Michael Oliver meniupkan wisel penamat. Manchester Derby kali ini memang tidak sepanas aksi pada Januari 2012 atau ketika United menelan kekalahan besar 1-6 kepada jiran mereka itu pada Oktober 2011. Tetapi suatu yang boleh anda pelajari dari perlawanan ini ialah bagaimana sekelompok anak muda mengajar lawan veteran mereka erti kepantasan. Maaf City, kali ini kota Manchester berwarna merah….Glory Glory Manchester United!!! – AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan