99.9% saya yakin bahawa ada pengendali baharu
yang bakal tiba di Old Trafford musim panas ini bagi menggantikan tempat Louis
Van Gaal. Siapa individu tersebut saya tidak pasti kerana ia masih menjadi
teka-teki yang sukar dijawab. Rumour
tentang siapa pengurus baharu United umpama bom jangka yang boleh meletup pada
bila-bila masa. Ramai penyokong yang sudah hilang sabar dan berharap Van Gaal
segera mengosongkan pejabatnya di Old Trafford penghujung musim ini. Mungkin
sahaja Jose Mourinho dilantik menggantikan beliau sepertimana yang
digembar-gemburkan atau mungkin ada nama lain yang difikirkan pihak pengurusan
lebih layak untuk duduk di kerusi panas selaku pengurus United.
Jika benar tanggapan media bahawa Mourinho
bakal melatih United musim hadapan, pastinya Ed Woodward akan sekali lagi sibuk
memburu pemain yang disasarkan The
Special One sepanjang jendela perpindahan pemain musim panas nanti.
Pengurus baharu bukan sahaja mahukan pemain baharu yang difikirkan sesuai
dengan taktikal permainan atau falsafah bolasepak anutan mereka, tetapi
kedatangan pengurus baharu juga bakal menyaksikan beberapa pemain sedia ada
terpaksa meninggalkan pasukan dan mencari kelab baharu.
Mungkin disebabkan faktor sering dibelenggu
kecederaan, tidak lagi efektif, tiada dalam perancangan atau tidak lagi mampu
memberikan sumbangan berkesan kepada kelab, pemain-pemain `yang tidak lagi
diperlukan’ ini akhirnya terpaksa angkat kaki. Pemain datang dan pergi adalah
lumrah dalam dunia bolasepak, dan suka atau tidak saban musim anda terpaksa
menyaksikan pemain kegemaran anda meninggalkan kelab dan menyertai pasukan lain
disebabkan faktor yang saya sebutkan tadi. Siapakah pemain yang bakal menjadi
korban perancangan pengurus baharu United nanti?
Berdasarkan khabar-khabar angin yang bertiup
kencang, saya senaraikan enam pemain yang digembar-gemburkan bakal meninggalkan
Old Trafford musim panas nanti. Siapakah mereka?
MARCOS
ROJO
Sejak ditandatangani Van Gaal musim lalu,
Rojo tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau mampu menguasai posisi bek
kiri untuk jangkamasa yang panjang. Pada usia yang sudah mencecah 26 tahun,
Rojo sepatutnya mampu memainkan peranan penting dalam kesebelasan utama United
tetapi itu tidak berlaku selepas hampir dua musim beliau berada di Old
Trafford. Beliau kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah di benteng
pertahanan dan jika benar Mourinho dilantik menggantikan tempat Van Gaal nanti,
Rojo bakal berdepan masalah.
Sebagai seorang pengurus yang begitu
mementingkan kekuatan di benteng pertahanan, nama Rojo saya jangka bakal
terkeluar dari perancangan Mourinho musim hadapan. Dengan perkhabaran terbaru
bahawa beliau ingin kembali semula ke kampung halamannya bagi menyertai
Estudiantes yang juga merupakan `cinta pertamanya’, Rojo adalah nama paling
atas yang saya jangka bakal meninggalkan Old Trafford sebaik musim ini
berakhir.
ANTONIO
VALENCIA
Ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Wigan
Athletic pada musim panas 2009, Antonio Valencia pada mulanya diharapkan mampu
mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo dek kerana kepantasan
yang beliau miliki. Kehilangan Ronaldo memang dirasai, tetapi kehadiran
Valencia menerusi kepantasan larian-lariannya dari sebelah tepi memberikan
harapan bahawa beliau mampu menghadirkan mimpi ngeri buat bek kiri lawan dalam
jangkamasa yang panjang.
Dari musim 2009-10 hingga 2012-13, Valencia
memang sandaran utama United di posisi sayap kanan tetapi segalanya tampak
tidak lagi menyebelahi beliau selepas itu. Musim 2014-15, Valencia menamatkan
musim tersebut tanpa menjaringkan sebarang gol meskipun beliau beraksi 32
perlawanan liga untuk United. Masalah kecederaan yang berpanjangan menjejas
prestasi Valencia dimana setakat ini beliau hanya beraksi enam perlawanan liga
untuk United. Hampir pasti musim panas nanti akan ada nama lain yang bakal
dibawa masuk untuk menggantikan tempat beliau.
PHIL
JONES
Jones antara pemain kegemaran saya walaupun
sejak kebelakangan ini beliau sering dijadikan sasaran kutukan peminat-peminat
United. Saya kagum melihat attitude
beliau di atas padang serta corak permainan kerasnya. Dan kerana corak
permainan beliau yang keras jugalah penyebab utama mengapa Jones sering dilanda
kecederaan. Ketika ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Blackburn Rovers pada
2011, Jones dianggap prospek masa depan United dan skuad kebangsaan England.
Pada usia 24 tahun, Jones masih memiliki
tempoh yang panjang sebagai pemain dan dengan bakat yang beliau miliki agak
malang sekiranya Jones terpaksa bersara di usia muda kerana kecederaan yang
sering berulang. Meskipun baru menandatangani kontrak baru musim panas tahun
lalu, agak sukar untuk membayangkan kita dapat menyaksikan lagi kelibatnya
sebagai pemain United musim hadapan. Musim ini Jones hanya bermain sebanyak 12
perlawanan liga gara-gara kecederaan dan jika beliau mahu mengatasi masalah
itu, Jones perlu mengubah corak permainannya.
ADNAN
JANUZAJ
Wonderkid
ini
digembar-gemburkan bakal menjadi bintang besar di Old Trafford suatu hari
nanti, tetapi prestasi semasa bersama skuad senior nampaknya tidak langsung menunjukkan
tanda-tanda bahawa ramalan ini bakal menjadi kenyataan. Menyinar sebentar
ketika era David Moyes selaku pengurus, Januzaj kemudiannya tercari-cari
sentuhan sebenar yang pernah menyebabkan ramai pihak melabelkan beliau sebagai
`Next George Best’. Musim ini Van
Gaal menghantar beliau ke Signal Iduna Park untuk menimba pengalaman selepas
gagal merebut tempat dalam skuad utama United tetapi langkah itu juga nampaknya
tidak berhasil.
Bersama Borussia Dortmund, Januzaj hanya
berjaya tampil sebanyak tiga kali sebagai starter
hingga memaksa Van Gaal memanggil beliau kembali ke Old Trafford Januari lalu.
Agak malang menyaksikan Januzaj gagal menggunakan sepenuhnya peluang bermain
dibawah kendalian Thomas Tuchel, pengendali yang berjaya menjadikan Emerick
Aubameyang penggempur digeruni di Bundesliga dan menyebabkan pemergian Jurgen
Klopp tidak ditangisi penyokong-penyokong Die
Borussen. Jika Januzaj dilepaskan pergi, saya berharap kesilapan sama
ketika membiarkan Paul Pogba menyertai Juventus tidak berulang.
MAROUANE
FELLAINI
Ketika David Moyes menandatangani Fella dari
Everton pada 2014, ramai penyokong United yang bersorak gembira menyambut
kehadiran beliau. Bagaimanapun situasi sekarang sudah berputar 360° buat Fella
di mana beliau kini bukan lagi wira tetapi sebaliknya nama yang tidak ingin
disaksikan penyokong-penyokong dalam lineup
United. Ketika beliau berada di Goodison Park, Fella merupakan pemain yang
paling berbahaya dan perlu diawasi setiap kali United berdepan Everton. Bukan
mudah menangani pemain yang memiliki fizikal seperti Fella, hinggakan
pertahanan kelas dunia seperti Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand pun terpaksa
bergelut setiap kali berdepan beliau.
Apa yang menyebabkan Fella sudah tidak lagi
ditakuti pertahanan lawan sejak beliau menyertai United? Jawapan paling tepat
kepada soalan ini mungkin datangnya dari bekas pemain United sendiri iaitu
David May. Menurut May, Fella sebenarnya diletakkan di luar posisinya hingga
menjejaskan sumbangan beliau kepada pasukan. Ketika bersama Everton, Fella lebih
banyak digunakan bagi membantu serangan berbanding sekarang di mana posisi
beliau agak jauh ke belakang. Mungkin ada benarnya pendapat May, tetapi apa
yang pasti dengan prestasi dan sumbangan beliau setakat ini, Fella antara yang
saya yakin bakal meninggalkan Old Trafford musim panas nanti.
WAYNE
ROONEY
Jika mahu menikmati cabaran baharu dan buat
duit sebelum bersara, inilah masanya untuk Wazza mengucapkan selamat tinggal
kepada para Stretford Enders selepas
12 tahun menyarung jersi United. Sebelum ini pun, ada berita yang menyebut
bahawa kelab-kelab kaya dari Liga Super China sedia menjadikan Wazza pemain
yang menerima gaji paling mahal di dunia asalkan beliau sanggup beraksi di
negara Tembok Besar itu. Melihat kepada prestasi, sumbangan dan statistik
jaringannya yang semakin menurun, sukar untuk melihat Wazza terus kekal di Old
Trafford musim hadapan walaupun beliau masih lagi dianggap tonggak kelab.
Kehadiran bintang penyerang muda seperti
Marcus Rashford serta Anthony Martial juga seolah-olah petanda bahawa masa
keemasan Wazza bersama United kian berada di penghujung. Pada usia yang bakal
mencecah 31 tahun Oktober nanti, Wazza bukan lagi penyerang yang sama seperti
lima atau enam tahun yang lalu. Dan ketika usia semakin menghambat kariernya,
kita terpaksa mengakui bahawa United perlukan nafas baharu yang lebih segar
untuk menerajui jentera serangan mereka. Wazza jenis pemain yang tidak gembira
memegang watak pembantu atau sekadar memanaskan bangku simpanan, jadi jalan
terbaik buat beliau ialah mencari kelab baharu yang mampu menawarkan tempat
buatnya selaku watak utama.
GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan