18 April 2016

BUKAN SENSASI SEMUSIM

Baru berusia 18 tahun dan baru diketengahkan dalam skuad senior United musim ini oleh Louis Van Gaal. Bagaimanapun anak muda bernama Marcus Rashford ini tidak menunggu lama untuk mencetuskan sensasi menerusi gol-gol penting jaringannya buat The Red Devils. Ketika berdepan West Ham dalam perlawanan ulangan pusingan ke-6 Piala FA, Rashford sekali lagi menunjukkan kepada kita bahawa beliau adalah bintang masa depan di barisan hadapan United menerusi gol menarik di Boleyn Ground. Ketika golnya di Boleyn Ground masih menjadi topik bualan hangat penyokong-penyokong United, Rashford sekali lagi meledak dengan menjadikan gawang Brad Guzan pula sebagai bukti ketajaman penyudahnya.

Sejak melakukan debut untuk skuad senior, Rashford sudah menjaringkan tujuh gol, sekaligus muncul pemain paling produktif di hadapan gawang lawan jika diambilkira fakta bahawa beliau baru beraksi 12 perlawanan untuk United. Melihat kepada umurnya, beliau memang bakat muda yang luarbiasa atau mungkin juga tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Marcus Rashford adalah sensasi baharu di Old Trafford. Beliau mewarnai debut untuk United dengan dua gol ke gawang FC Midtjylland sekaligus menutup peluang kelab Denmark itu untuk melakar kejutan selepas menang pada perlawanan pertama.

Selang beberapa hari selepas itu, Rashford melakukan debut di Liga Perdana pula saat berdepan Arsenal di Old Trafford. Dan sekali lagi magis anak muda ini berterusan apabila beliau menjaringkan dua gol selain satu assist di sebalik kemenangan 3-2 United ke atas The Gunners. Kelmarin, gol Rashford ke gawang Villa pula bukan sahaja penting kepada survival United dalam memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan, tetapi juga punya makna tersendiri dari segi statistik. Untuk rekod, gol jaringan Rashford itu menyaksikan beliau muncul pemain United paling banyak menjaringkan gol (3 gol) di babak pertama dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford musim ini.

Setakat ini (selain gol-gol jaringan Rashford), United hanya mampu menjaringkan tiga gol di babak pertama pada aksi yang dilangsungkan di Old Trafford, iaitu menerusi Memphis Depay (2 gol) dan satu gol sendiri oleh Kyle Walker ketika berdepan Tottenham Hotspurs pada aksi pertama liga. Gol ke gawang Villa juga merupakan gol keempat sumbangan Rashford dalam saingan liga dan lebih menariknya empat gol jaringannya dihasilkan hanya menerusi lima percubaan atau lebih tepatnya hanya sekali Rashford tersasar.

Rashford menjaringkan tujuh gol dalam semua peringkat kejohanan setakat ini dan jumlah tersebut menyaksikan beliau muncul pemain United paling banyak menjaringkan gol pada penampilan musim pertama bersama skuad senior yang bermain kurang dari 15 perlawanan. Anthony Martial yang mencetuskan sensasi dan rasa teruja kepada kita pada penampilan pertamanya memerlukan 21 perlawanan sebelum berhasil menjaringkan gol ketujuhnya untuk United. Selain dari statistik yang disebutkan tadi, Rashford juga mencatat rekod sebagai penjaring termuda United dalam sejarah pertembungan menentang Arsenal dan Derby Manchester.

Melihat kepada segala statistik dan rekod jaringannya setakat ini, tidak hairanlah mengapa kelibat Rashford menjadi sasaran buruan media di England. Saya berharap apa yang berlaku kepada Memphis Depay menjadi pengajaran berguna kepada Rashford. Sorotan media yang berlebihan menyaksikan Depay `raja di luar padang’ tetapi longlai di atas padang. Dahulu, Sir Alex Ferguson pernah mengenakan larangan tampil di hadapan media kepada Ryan Giggs di peringkat awal karier beliau bersama skuad senior. Saya berharap Van Gaal juga ada cara atau polisi sama yang pernah digunakan Sir Alex bagi melindungi pemain-pemain mudanya dari menjadi sasaran media.

Ketika ini media-media di England sudah mula melakukan gerak kerja bagi melariskan jualan akhbar mereka dengan menjadikan kemungkinan Rashford disenaraikan dalam skuad England ke kejohanan Euro 2016 sebagai tajuk utama. Perkara ini pantas mendapat reaksi Roy Hodgson yang tidak menolak kemungkinan membariskan Rashford dalam skuad Three Lions yang bakal beraksi di Perancis nanti. England memang pernah memberikan kesempatan buat beberapa pemain muda mereka tampil di kejohanan Euro sebelum ini, jadi jika Rashford tersenarai itu bukanlah sesuatu yang terlalu ganjil.

Pada usia 18 tahun, Wayne Rooney pernah diberikan peluang tampil pada kejohanan Euro 2004 manakala Alex Oxlade-Chamberlain pula dibawa di kejohanan Euro 2012. Jadi dengan prestasi semasa yang dipamerkan Rashford, tidak mustahil jika kali ini tiba pula giliran beliau diketengahkan England dalam kejohanan empat tahun sekali itu. Mungkin peluang tampil di Euro satu bentuk penghargaan kepada Rashford hasil dari prestasi cemerlang yang beliau pamerkan di peringkat kelab musim ini tetapi langkah menyenaraikan beliau dalam skuad kebangsaan dianggap langkah terburu-buru oleh lagenda Liverpool, Robbie Fowler.

Fowler lebih gemar melihat pemain muda seperti Rashford secara perlahan berkembang dari bawah sebelum matang dan kemudiannya disenaraikan dalam skuad senior kebangsaan. “Memang selama mewakili skuad remaja Manchester United rekodnya cukup fantastis dan catatan tersebut diteruskan bersama skuad senior. Bagaimanapun idea menyenaraikan beliau dalam skuad senior kebangsaan Jun nanti merupakan hal yang cukup gila. Biarkan dia berkembang terlebih dahulu dari musim ke musim dan selepas matang barulah difikirkan untuk menyenaraikan namanya ke skuad kebangsaan”, kata Fowler.

Mungkin ada kebenarannya apa yang dikatakan Fowler jika diambilkira perkembangan Oxlade-Chamberlain sejak diberikan peluang tampil di Euro 2012 oleh Hodgson. Meskipun dilabel sensasi baharu bolasepak England ketika itu hingga menjadi rebutan antara Unted dan Arsenal, Oxlade-Chamberlain tidak berkembang seiring dengan label `Pemain Paling Berbakat Di England’ yang pernah diletakkan ke atas beliau (kecederaan juga antara faktor yang menyekat berkembangan beliau). Kita tidak tahu adakah mental Rashford sekuat Rooney yang hingga kini menjadi sandaran England sejak tampil dalam skuad bimbingan Sven-Goran Eriksson di Euro 2004.

Jika bukan di Perancis Jun nanti, pentas apakah yang paling sesuai buat Rashford memperagakan bakat dan ketajamannya di peringkat antarabangsa selepas cemerlang dalam saingan domestik? Lebih kurang setahun dari sekarang, bakal berlangsung kejohanan Euro U-21 di mana skuad U-21 England kendalian Gareth Southgate berada dalam posisi terbaik untuk layak ke Poland. Melihat kepada prestasi semasa Rashford dalam saingan domestik bersama United, saya yakin nama beliau sudah tentu berada dalam perancangan Southgate sebagai opsyen tambahan bagi memperkuatkan jentera serangan skuadnya.

Baki tiga aksi kelayakan menentang Norway, Kazakhstan dan Bosnia Herzegovina adalah peluang terbaik buat Southgate menilai kemampuan sebenar Rashford selepas beliau mencetuskan sensasi untuk United. Bersaing dengan rakan-rakan hampir sebaya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad U-21 England pada pandangan saya lebih realistik berbanding meletakkan Rashford bersama kelompok pemain senior. Hodgson boleh membawa Rashford ke Perancis nanti atau membiarkan remaja ini membina keyakinan dalam kejohanan peringkat umur dahulu seperti kejohanan U-21 Eropah sebelum bersedia mengetuk pintu skuad senior kebangsaan.

Kehadiran Rashford bagi saya pengubat kepada musim `membingungkan’ United di era Van Gaal. Ketajaman beliau di hadapan gawang lawan mengingatkan saya kepada sederet penggempur-penggempur berbisa yang pernah menyarung jersi kelab sebelum ini. Saya berharap anak muda ini tidak tewas dengan sorotan dan perhatian berlebihan yang diberikan media terhadap beliau dan jika ada pemain yang mahu dijadikan contoh, Rashford tidak perlu memandang terlalu jauh kerana idola tersebut ada di hadapan matanya. Pemain yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Wayne Rooney.

Pada usia 18 tahun, Rooney seperti Rashford juga pernah mencetuskan sensasi. Perpindahannya dari Goodison Park ke Old Trafford 12 tahun yang lalu menjadikan beliau sebagai pemain remaja termahal dunia ketika itu. Rooney muncul remaja `paling dikehendaki’ media di England untuk melariskan jualan akhbar mereka namun segala tumpuan di luar padang tidak langsung menganggu rentaknya ketika di atas padang. Semangat meluap-luapnya setiap kali bermain dan sentiasa mahu meletakkan dirinya sebagai pilihan utama pengurus menjadikan Rooney kekal sebagai tonggak utama kelab bagi tempoh lebih dari sedekad.

Apa yang sudah disumbangkan Rooney sejak menyertai United cukup fantastis, jadi saya berharap Rashford dapat belajar dari sang kapten itu bagaimana cara beliau menguruskan karier profesionalnya bukan sahaja di dalam tetapi juga di luar padang. Berharap jugalah semoga Rashford bukan sekadar sensasi semusim dan semoga apa yang berlaku kepada penyerang-penyerang muda United sebelum ini seperti Federico Macheda dan Giuseppe Rossi tidak menimpa beliau. Rashford sudah mencetuskan sensasi pada musim pertamanya bersama skuad senior tetapi ini hanyalah langkah permulaan dari langkah-langkah seterusnya yang bakal beliau atur.

Semoga 10 tahun dari sekarang saya masih mampu menyaksikan kelibat Marcus Rashford selaku penggempur dengan jersi merah United. Ketika itu Rashford bukan budak mentah seperti sekarang, kerana ketika itu beliau sudah jauh lebih berpengalaman. Semoga ketika itu namanya sudah sebaris dan seharum dengan barisan penggempur-penggempur lagenda United sebelum ini. Adakah 10 tahun dari sekarang Rashford mampu meletakkan dirinya sehebat Sir Bobby Charlton, Brian McClair, Mark Hughes, Eric Cantona, Andy Cole, Dwight Yorke, Ole Gunnar-Solskjaer, Ruud Van Nistelrooy, Cristiano Ronaldo atau Wayne Rooney yang menjadi mesin gol buat United? Atau adakah beliau bakal menjadi satu lagi produk yang gagal sepertimana David Bellion, Macheda dan Rossi?

Kelmarin satu lagi catatan unik dihasilkan Rashford pada musim pertamanya di Liga Perdana bilamana gol tunggal jaringannya menyaksikan peluang Aston Villa kekal di Liga Perdana tertutup rapat. Agak aneh rasanya menyaksikan selepas ini tiada lagi kelibat The Villa, kelab yang sudah sekian lama beraksi di liga utama England (Liga Perdana), bahkan sebelum Rashford dilahirkan lagi. Dengan deretan rekod dan statistik unik yang sudah beliau cipta pada usia hanya 18 tahun, yakinlah bahawa Rashford bukan sensasi semusim….Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan