Ketika Leicester City dan Tottenham Hotspurs
masih berjuang bagi merebut kejuaraan liga musim ini (mungkin hingga ke
perlawanan terakhir), Manchester City, Arsenal, Manchester United dan West Ham
pula mengintai peluang merebut dua lagi slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan.
Bagi Liverpool pula, meskipun peluang mereka untuk berada di kedudukan empat
teratas kelihatan hampir mustahil, slot ke Liga Juara-Juara mampu dijangkau
dengan syarat The Reds mesti meletakkan diri mereka di St Jakob Park,
Basel 18 Mei nanti dan menjulang kejuaraan Liga Europa di sana.
Jika anda lihat kedudukan carta liga setakat
ini, City dan Arsenal memiliki peluang lebih besar untuk merebut dua lagi slot
ke Liga Juara-Juara selepas masing-masing mengumpul 64 mata untuk berada di
tangga ketiga dan keempat. Bagaimanapun peluang tetap masih terbuka buat United
yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan disamping mereka juga
perlu menang baki empat perlawanan liga musim ini. Berdepan Leicester City,
Norwich City, West Ham dan Bournemouth, United tidak boleh melepaskan sebarang
mata sambil berharap City dan Arsenal melakukan kesilapan saat akhir.
Selain Leicester dan Spurs, baki dua lagi
kekosongan ke saingan Liga Juara-Juara masih menjadi rebutan antara City,
Arsenal, United, West Ham dan Liverpool. Tiada sebarang kesilapan `bodoh’ boleh
dilakukan kelima-lima pasukan jika mahu menyertai kelompok elit kelab-kelab
Eropah yang beraksi di Liga Juara-Juara atau jika tidak mereka terpaksa
menerima hakikat sekadar beraksi di saingan kasta dua (Liga Europa) musim
hadapan. Dengan baki perlawanan yang tinggal, bagaimana peluang City, Arsenal,
United, West Ham dan Liverpool merebut dua lagi slot sebagai wakil Liga Perdana
ke Liga Juara-Juara? Untuk itu mari kita lihat peluang kelima-lima pasukan ini
pada baki perlawanan mereka selepas ini.
MANCHESTER
CITY
The
Citizens berjaya mengharungi perlawanan ke-35 mereka dengan
bergaya selepas membenam Stoke City 4-0 di Stadium Etihad. Baki tiga perlawanan
mereka selepas ini ialah menentang Southampton, Arsenal dan Swansea City. Aksi
menentang Arsenal satu-satunya perlawanan yang berlangsung di gelanggang mereka
sendiri manakala Southampton pula bakal memberikan ujian getir di St Mary 1 Mei
ini. Minggu hadapan menjadi minggu yang agak sibuk buat City kerana mereka
bukan sahaja perlu berdepan cabaran sukar di St Mary tetapi empat hari selepas
itu, giliran Real Madrid pula menanti mereka di Santiago Bernabeu dalam aksi
separuh akhir kedua Liga Juara-Juara.
Aksi di St Mary dan Santiago Bernabeu bakal
menguji sejauh mana kekuatan mental dan fizikal anak-anak buah Pellegrini di
penghujung musim tatkala mereka juga sedang bergelut mempertahankan kedudukan
di kelompok empat teratas Liga Perdana. Jika nantinya mereka sukses melepasi
halangan Southampton dan Real Madrid, saya tetap tertanya-tanya bagaimanakah kondisi
barisan Pellegrini saat berdepan Arsenal, hanya tiga hari selepas aksi di
Bernabeu berlangsung. Dengan 64 mata yang mereka miliki dan berada di tangga
ketiga liga, City tidak perlu bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan
lain. Apa yang perlu dilakukan City ialah meraih sembilan mata maksimum dari
baki tiga aksi terakhir mereka.
ARSENAL
Daripada sebuah pasukan yang pada mulanya
diramalkan mampu menjulang kejuaraan liga musim ini, Arsenal kini sebaliknya
terpaksa bergelut mempertahankan kedudukan mereka di tangga keempat liga. Misi
mereka untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara tersentak hasil dari keputusan
seri yang diraih ketika menentang Sunderland di gelanggang lawan Ahad lalu. Hujung
mingu ini, Arsenal akan menanti kunjungan Norwich City di Stadium Emirates dan
sepertimana Sunderland yang mereka hadapi tempohari, The Canaries bimbingan Alex Neil juga dalam misi keluar dari zon
penyingkiran.
Perjuangan untuk terus berada di Liga Perdana
musim hadapan menjadikan pasukan seperti Sunderland dan Norwich cukup berbahaya
bukan sahaja kepada Arsenal tetapi juga kepada mana-mana pasukan yang berdepan
dengan mereka. Selepas keciciran mata di Stadium of Light, Arsenal pastinya
tidak mahu perkara sama berulang di hadapan penyokong mereka sendiri kerana
jika perkara itu berlaku sekali lagi, kedudukan tangga keempat liga milik
mereka dalam bahaya. Sepertimana City, Arsenal juga tidak perlu bergantung
kepada keputusan pasukan lain dengan syarat mereka perlu menang kesemua baki
tiga perlawanan mereka.
MANCHESTER
UNITED
Saya berharap kejayaan layak ke pentas akhir
Piala FA buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun menjadi suntikan moral
tambahan kepada anak-anak buah Louis Van Gaal bagi merealisasikan misi layak ke
saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Berbanding City dan Arsenal, United
memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan di mana mereka perlu menangani
Leicester City, Norwich City, West Ham dan Bournemouth pada baki aksi liga
mereka selepas ini. Ada tiga perlawanan sukar yang perlu dihadapi United iaitu
saat menanti kunjungan calon juara liga musim ini, Leicester City di Old
Trafford, menentang Norwich dan West Ham di gelanggang lawan.
Cabaran getir buat United bermula Ahad ini
apabila Leicester hadir di Old Trafford dengan misi mengesahkan kejuaraan liga
mereka. Jika berhasil menunda perayaan kejuaraan The Foxes dengan menewaskan anak-anak buah Claudio Ranieri, Van
Gaal masih perlu memikirkan cabaran yang bakal menanti mereka di Carrow Road
dan Boleyn Ground. Norwich sepertimana yang saya sebutkan tadi boleh menjadi
pasukan yang sangat berbahaya ketika misi untuk kekal di Liga Perdana menjadi
keutamaan mereka. Jika Leicester dan Norwich berjaya ditumbangkan, United masih
ada tugas besar yang perlu mereka selesaikan, iaitu menumbangkan West Ham di
Boleyn Ground pula.
Sejak kali terakhir ditewaskan Bournemouth (3-4)
dalam saingan liga 22 Ogos tahun lalu, tiada mana-mana pasukan yang berjaya
menewaskan barisan kendalian Slaven Bilic itu (dalam aksi liga) di Boleyn
Ground. Ditambah pula dengan fakta bahawa mereka juga dalam misi menempatkan
diri di kedudukan empat teratas, aksi di Boleyn Ground 11 Mei ini pastinya
sukar buat United. Melihat kepada senarai lawan yang bakal dihadapi selepas
ini, laluan United untuk merebut salah satu tiket ke Liga Juara-Juara musim
hadapan cukup sukar berbanding laluan City dan Arsenal. United memerlukan
keajaiban untuk meraih sembilan mata ketika berdepan Leicester, Norwich dan
West Ham sambil berharap City atau Arsenal tergelincir disaat akhir.
WEST
HAM UNITED
Berbanding United, The Hammers memiliki baki perlawanan yang agak mudah dalam usaha
mereka mengintai slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Meskipun mereka kini
berada di tangga keenam liga, selain ketinggalan tiga mata di belakang United, peluang
anak-anak buah Slaven Bilic menyingkirkan City atau Arsenal dari kedudukan
empat teratas lebih baik berbanding United atau Liverpool. Dibantu dengan
prestasi ampuh di gelanggang sendiri selain hanya perlu berdepan tiga pasukan
yang tidak lagi memiliki sebarang misi pada baki saingan musim ini (West Brom,
Swansea dan Stoke City), saya tidak akan menyalahkan Mark Noble sekiranya
beliau sudah mula memasang angan-angan mengetuai rakan-rakan sepasukannya di
pentas Liga Juara-Juara musim hadapan.
LIVERPOOL
Jika diambilkira pungutan mata dan kedudukan
liga mereka setakat ini, Liverpool sepatutnya sudah melupakan sebarang hasrat
untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan. Bagaimanapun berbanding United
dan West Ham, peluang The Reds untuk
muncul wakil kelima dari Liga Perdana yang beraksi di Liga Juara-Juara lebih realistik.
Semuanya kerana mereka kini sudah berada di peringkat separuh akhir Liga Europa.
Jurgen Klopp tidak perlu mencongak keputusan baki perlawanan liga skuadnya dan
pesaing-pesaing mereka kerana apa yang perlu beliau lakukan sekarang ialah membawa
Liverpool mara ke final dan menjulang trofi Liga Europa di Basel nanti.
Jika menang kesemua baki empat perlawanan
liga mereka sekalipun (menentang Swansea, Watford, Chelsea dan West Brom),
peluang Liverpool meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas tetap
sangat-sangat mustahil. Jadi jika saya berada di tempat Klopp, saya akan hanya
memikirkan jalan pintas untuk beraksi di Liga Juara-Juara di mana jalan
tersebut ialah dengan memenangi Liga Europa. Membawa Liverpool menjuarai Liga
Europa lebih realistik buat Klopp berbanding meletakkan skuadnya di kedudukan
empat teratas dalam carta liga. Kejayaan mereka menyingkirkan Borussia Dortmund
di peringkat suku akhir meletakkan Liverpool calon pilihan mara ke Basel. Musim
hadapan mungkin kita bakal menyaksikan giliran Liga Perdana pula menghantar
lima wakil mereka ke saingan Liga Juara-Juara selepas La Liga melakukannya
musim ini.
Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan