Manchester United bakal memiliki senjata
baharu di bahagian hadapan selepas Zlatan Ibrahimovic (Ibra) mengesahkan bahawa
beliau akan menyarung jersi The Red
Devils musim depan melalui perpindahan percuma. Selain Ibra, United juga
dikatakan sudah berjaya memeterai perjanjian dengan Borussia Dortmund bagi
mendapatkan khidmat Henrikh Mkhitaryan (Miki) untuk menambah lebih variasi di
bahagian tengah mereka. Beberapa hari lalu pengesahan Ibra tentang kelab mana
yang bakal beliau sertai selepas meninggalkan Paris Saint Germain menamatkan
segala spekulasi masa depan kapten Sweden ini yang sudah berlarutan hampir dua
bulan.
Walaupun dikategorikan sebagai `kuda tua’ ketajaman
Ibra di hadapan gawang lawan tidak langsung menampakan bahawa beliau sudahpun
berusia 34 tahun apabila meledak 50 gol untuk PSG dalam semua peringkat
kejohanan musim lalu. Bagi Miki pula, beliau bolehlah saya katakan sebagai
sasaran paling dikehendaki Jose Mourinho selepas muncul antara pemain paling
berpengaruh di Signal Iduna Park menerusi kreativiti dan visi permainannya saat
menggerakan jentera tengah Dortmund. Dengan kontrak yang hanya berbaki setahun,
Dortmund tiada jalan lain selain terpaksa melepaskan seorang lain pemain
terbaik mereka selepas pemergian Mats Hummels dan Ilkay Gundogan.
Ketajaman Ibra selaku penggempur dan
kreativiti Miki menggerakan jentera tengah memang tidak perlu dinafikan jika
dilihat sumbangan mereka untuk PSG dan Dortmund musim lalu. Namun tetap ada
persoalan apa yang mampu ditawarkan dua pemain ini untuk United musim depan
terutamanya selepas melihat beberapa pembelian yang dianggap gagal dalam tempoh
tiga musim terakhir ini. Untuk meredakan sedikit kebimbangan (jika ada), mari
kita lihat perbandingan statistik Ibra dan Miki dengan pemain United yang
beraksi di bahagian tengah dan serangan seperti (Wayne Rooney, Anthony Martial
dan Juan Mata) sepanjang musim lalu.
MINIT
BERMAIN
Sepanjang musim lalu, Ibra bermain selama
4,144 minit manakala catatan minit bermain Miki pula yang paling tinggi
berbanding Ibra, Rooney (3,491 minit), Martial (4,128 minit) dan Mata (4,084
minit) apabila beliau bermain selama 4,383 minit. Bermain 50 perlawanan semusim
terutamanya bagi pemain yang sudah berusia seperti Ibra menunjukkan tahap
sebenar kecergasan mereka. Catatan minit bermain yang tinggi bukan sekadar menunjukkan
kondisi sebenar fizikal Ibra dan Miki, tetapi apa yang lebih penting ialah
United tidak membazirkan wang dengan menandatangani `kuda tempang’.
JUMLAH
GOL
Tidak dinafikan bahawa Ibra dan Miki
menjalani musim yang cukup sukses bersama kelab masing-masing musim lalu dan
kedua-dua mereka juga cukup produktif dalam menghasilkan gol. Ibra merupakan
penjaring terbanyak Ligue 1 dengan 38 gol dari 31 perlawanan manakala Miki pula
menjaringkan 11 gol dari 31 aksi di Bundesliga. Dalam semua peringkat kejohanan
pula, Ibra menjaringkan 50 gol manakala Miki menyumbang 23 gol untuk Dortmund.
Ironinya tiada mana-mana pemain United yang
mampu mengatasi jumlah jaringan Ibra ataupun Miki (dalam semua kejohanan). Malah
kombinasi jaringan yang dihasilkan Rooney (15 gol), Martial (17 gol) dan Mata (10
gol) tetap gagal menyamai jumlah jaringan yang disumbangkan Ibra untuk PSG
musim lalu. Jika statistik ini mampu diteruskan Ibra dan Miki, anda sepatutnya
sudah tidak perlu risau dengan kemampuan United membolosi pintu gol lawan musim
depan.
ASSIST
Menjaringkan gol bukan satu-satunya bakat
yang ada pada Ibra dan Miki. Meskipun punya killer
instinct yang tajam di hadapan gawang lawan, Ibra dan Miki juga memiliki
kemampuan yang cukup bagus dalam melakukan assist.
Sebagai pemain tengah, Miki memang sepatutnya banyak melakukan assist dan itulah yang beliau lakukan
ketika bersama Dortmund musim lalu. Keseluruhannya Miki menyumbang 26 assist dalam aksi Bundesliga manakala
Ibra pula menyumbang 18 assist di
Ligue 1, jumlah yang cukup mengagumkan buat seorang penyerang seperti beliau. Dalam
skuad United musim lalu pula, Mata muncul pemain paling banyak melakukan assist (9), diikuti Martial (8) dan
Rooney (6).
MENCIPTA
PELUANG
Jika sumbangan assist masih belum cukup membuatkan anda yakin dengan kemampuan
Ibra dan Miki mengubah nasib United musim depan, bagaimana pula dengan
kemampuan mereka mencipta peluang jaringan gol. Jika assist dihitung apabila umpanan mereka disudahkan dengan jaringan
gol oleh rakan-rakan sepasukan, mencipta peluang pula sebenarnya lebih rumit
kerana pemain perlu terlibat membangunkan serangan dari bawah.
Dalam hal ini Miki menduduki tangga teratas
selepas beliau mencipta 136 peluang jaringan gol untuk rakan-rakannya di
Dortmund. Tidak hairanlah dengan kreativiti permainan yang beliau miliki, Miki
mampu melakukan catatan tersebut manakala Mata pula berada di tangga kedua
dengan mencipta 95 peluang, Ibra (69), Martial (60) dan Rooney (57). Saya agak
teruja menantikan kerja-kerja yang bakal dilakukan Miki di bahagian tengah
United musim depan selepas melihat jumlah assist
dan kemampuan beliau dalam mencipta peluang.
MAMPUKAH
IBRA DAN MIKI MENGUBAH NASIB UNITED?
Dalam hal ini, saya agak optimis yang United
akan kembali memberikan cabaran kepada seteru-seteru mereka di Liga Perdana
terutamanya selepas kedatangan Mourinho yang menggantikan tempat Louis Van
Gaal. Mourinho sepertimana yang anda tahu merupakan seorang yang angkuh dan
tidak suka berada di pihak yang kalah. Selepas disingkirkan Chelsea musim lalu,
Mourinho tentunya mahu membuktikan bahawa beliau masih lagi antara pengurus
berpengaruh dalam dunia bolasepak Inggeris dan faktor ini pastinya membuatkan beliau
sedikit berbeza berbanding kehadirannya di England pada 2004 dan 2013.
Dengan beberapa pembelian bijak yang sudah
dan bakal beliau lakukan, saya percaya United akan kembali digeruni dan bermain
dengan cara sepatutnya Manchester United bermain. Kehadiran pemain kreatif
seperti Miki dan dibantu pula dengan ketajaman serta pengalaman luas Ibra di
barisan hadapan, yakinlah bahawa United musim depan bukan lagi skuad yang boleh
dijadikan bahan ejekan penyokong lawan. Sebelum mereka menendang bola buat
pertama kalinya dalam perlawanan kompetitif sebagai pemain United, apa kata biarkan
dahulu statistik berbicara tentang siapa itu Zlatan Ibrahimovic dan Henrikh
Mkhitaryan…Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan