04 Disember 2016

SUDAH TIBA MASANYA MOURINHO PERCAYAKAN MIKI

Dua assist yang beliau sumbangkan ketika membantu Manchester United menewaskan West Ham awal pagi Khamis lalu menjadikan Henrikh Mkhitaryan antara pemain paling menonjol dalam perlawanan tersebut. Prestasi yang dipamerkan bekas pemain Borussia Dortmund itu saya anggap satu isyarat kepada Jose Mourinho bahawa Miki kini menuntut haknya diturunkan dalam kesebelasan utama United.

Selepas lama diketepikan kerana masalah kecederaan dan alasan kesesuaian strategi permainan, Miki menikmati aksi dalam kesebelasan permulaan buat kali kedua musim ini ketika United melayan kunjungan Feyernoord dalam saingan Liga Europa. Bagaimanapun kelibat Miki sekali lagi diketepikan ketika United berdepan West Ham dalam saingan liga di Old Trafford minggu lalu.

Perlawanan pusingan kelima Piala Liga awal pagi Khamis lalu merupakan kunjungan kedua West Ham ke Old Trafford selepas mereka berjaya memaksa United berkongsi mata dalam aksi liga yang dilangsungkan tiga hari sebelumnya. Mungkin menyedari skuadnya perlukan nafas baharu, Mourinho akhirnya terpaksa `berlembut’ apabila beliau memilih menurunkan Miki dalam kesebelasan utamanya buat kali ketiga musim ini.

Di Bundesliga, Miki sudah membuktikan kemampuannya sebagai seorang playmaker untuk Dortmund tetapi di Liga Perdana beliau masih belum teruji sejak menyertai United Julai lalu. Selain dari faktor kecederaan, Mourinho memberikan alasan strategi dan taktikal sebagai sebab mengapa beliau lebih banyak meletakkan Miki di bangku simpanan berbanding mengerah kreativiti pemain antarabangsa Armenia itu di tengah padang.

Dua assist sumbangan Miki ketika United menyingkirkan West Ham di pusingan kelima Piala Liga saya harap menjadi detik permulaan agar beliau diberikan lebih banyak peluang tampil dalam kesebelasan permulaan selepas ini. Agak malang jika kreativiti Miki tidak digunakan sebaiknya ketika United sendiri sedang bergelut memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga selepas sekadar berada di tangga ketujuh (sebelum aksi menentang Everton).

Saya tiada masalah dengan gaya menyerang United di bawah kendalian Mourinho cuma sedikit resah dengan kemampuan barisan hadapan melakukan penyudah walaupun mereka menguasai sepenuhnya perlawanan. Aksi menentang Stoke City, Burnley, Arsenal dan West Ham dalam saingan liga adalah contoh bagaimana barisan hadapan yang pada awal musim digambarkan cukup menggerunkan hanya mampu menjaringkan 18 gol dari 13 perlawanan.

Untuk itu, kehadiran Miki yang memainkan peranan penting kepada kebangkitan semula Dortmund musim lalu selepas ditinggalkan Jurgen Klopp amat diperlukan Mourinho. Sebagai playmaker, Miki menyumbangkan 15 assist dalam saingan liga musim lalu selain 24 assist keseluruhan dalam semua kejohanan untuk Dortmund. Jumlah tersebut menyaksikan beliau muncul pemain paling banyak melakukan assist di Bundesliga.

Apa yang dilakukan Thomas Tuchel selepas beliau mengambilalih tugas di Signal Iduna Park musim lalu boleh dijadikan panduan kepada Mourinho sekiranya beliau mahu menyerlahkan potensi yang ada dalam diri Miki. Tuchel membuktikan bahawa Miki adalah pemain yang hebat menerusi beberapa penyesuaian yang dilakukan dalam strategi permainannya.

Dalam skema formasi 4-3-3 yang diterapkan Tuchel, Miki bertindak di sebelah kanan, Marco Reus disebelah kiri manakala Pierre Emerick Aubameyang berperanan sebagai penyerang tengah. Di bahagian tengah pula, Tuchel biasanya menggunakan Ilkay Gundogan dan Julian Weigl manakala Shinji Kagawa, Gonzalo Castro atau Christian Pulisic silih berganti diturunkan Tuchel mengikut kesesuaian strategi yang digunakan beliau.

Walaupun bermula di sebelah kanan, Miki diberikan kebebasan oleh Tuchel untuk bergerak lebih jauh ketengah atau lebih tepatnya di posisi pemain nombor 10 beroperasi. Sistem permainan Dortmund ini membolehkan Miki bebas untuk mara hingga ke bahagian tengah pertahanan lawan sambil dalam masa yang sama melakukan tugasnya secara efektif sebagai false winger.

Dalam perlawanan-perlawanan tertentu terutamanya di penghujung musim, Tuchel melakukan sedikit perubahan taktikal bilamana beliau sering menggunakan Eric Durm di sebelah kanan bahagian tengahnya. Durm yang biasanya bertindak sebagai fullback menawarkan kekuatan tambahan ketika bertahan di posisi sebelah kanan.

Dengan kecenderungan Miki untuk bergerak ke hadapan, sistem permainan Dortmund akan berubah dari 4-3-3 kepada 3-4-1-2 ketika mereka mengambilalih penguasaan bola dari lawan. Walaupun begitu, ini tidak bermakna Miki akan terlepas sepenuhnya dari tanggungjawab ketika bertahan. Statistik sepanjang tiga musim terakhir Miki di Signal Iduna Park menunjukkan beliau melakukan 278 rampasan bola dari kaki lawan pada jarak lingkungan 25m dari pintu gol sendiri.

Catatan yang dilakukan oleh seorang attacking midfielder seperti Miki ini di Bundesliga sebenarnya hanya mampu diatasi Daniel Baier yang bermain untuk FC Augsburg. Ketika bersama Dortmund, Miki melakukan tugas-tugasya sebagai pengumpan dengan cukup cemerlang untuk Aubameyang, kini beliau bermain bersama Zlatan Ibrahimovic pula dalam satu pasukan.

Kebiasaan Ibra yang gemar turun sedikit ke bawah bagi mendapatkan bola membolehkan Miki lebih bebas menyusup ke kawasan petak penalti lawan. Ketika berdepan West Ham Khamis lalu, Miki sudah menunjukkan bagaimana bahayanya beliau di kawasan lawan menerusi dua umpanan menarik yang berjaya disudahkan Ibra dan Anthony Martial.

Kini segalanya terpulang kepada Mourinho bagaimana caranya beliau mahu menyesuaikan sistem permainan United jika Miki diturunkan. Dalam keadaan sekarang tidak salah jika Mourinho menjadikan apa yang dilakukan Antonio Conte di Stamford Bridge sebagai panduan dan contoh terbaik. Selepas Chelsea meraih beberapa keputusan buruk di awal musim, Conte segera mengubah sistem permainan skuadnya dari 4-1-4-1 kepada 3-4-3.

Hasilnya Chelsea meraih keputusan yang mereka inginkan sejak kebelakangan ini hingga membolehkan The Blues berada di kedudukan teratas liga. Dalam beberapa perlawanan terakhir, Mourinho kerap menggunakan formasi 4-5-1 dengan menjadikan Ibrahimovic sandaran utama dalam usaha memburu gol. Formasi ini memang membolehkan United mendominasi permainan tetapi dalam masa yang sama mereka sukar menjaringkan gol.

Walaupun Mourinho nampaknya seperti sudah menyerah kalah bila berbicara tentang peluang United dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, tetapi masih belum terlambat juga untuk beliau melakukan sesuatu bagi memperbaiki keadaan. Jika kejuaraan liga dianggap sudah terlepas dari jangkauan, misi layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan, mempertahankan kejuaraan Piala FA, memenangi Liga Europa buat pertama kali dan Piala Liga masih menjadi misi yang wajib diselesaikan Mourinho.

Jika di Stamford Bridge, Conte sudah menemui cara mengeluarkan prestasi terbaik pemain-pemainnya dengan meletakkan mereka di posisi dan formasi yang sesuai, saya harap Mourinho juga mampu melakukannya untuk United. Agak malang jika potensi besar yang dimiliki Miki tidak digunakan ketika Mourinho sendiri sedang tercari-cari cara terbaik bagaimana beliau mahu meletakkan United kembali sebagai pasukan yang digeruni di Liga Perdana. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan