Pada usia yang sudah menjangkau 36 tahun,
musim 2017/18 mungkin menjadi musim terakhir buat Michael Carrick di Old
Trafford sejak `maestro’ di bahagian
tengah United itu ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Tottenham Hotspurs pada
2006 bagi mengisi posisi yang ditinggalkan Roy Keane. Dan sejak itu jugalah
Carrick sudah memainkan peranan yang cukup besar selaku penggerak jentera
tengah United ketika era Fergie, David Moyes, Louis Van Gaal dan kini Jose
Mourinho.
Mencari pengganti Carrick yang sudah di
penghujung karier merupakan misi penting Mourinho sepanjang jendela perpindahan
musim panas ini dibuka, jadi tidak hairanlah selain Nemanja Matic, beliau
sebelumnya turut dilaporkan mengintai peluang untuk mendapatkan tandatangan
Eric Dier atau Fabinho bagi menggalas tugas sebagai `jeneral padang’ United
yang baharu. Pengesahan bahawa United berjaya mendapatkan khidmat Matic
akhirnya menamatkan segala teka teki berhubung pemain mana yang bakal menggantikan
posisi Carrick.
Adakah
Harga Matic Terlalu Mahal?
United dilaporkan membayar £35 juta (tidak
termasuk £5 juta bonus tambahan) kepada Chelsea bagi membolehkan Matic kembali
bekerjasama dengan Mourinho di Old Trafford. Mungkin harga tersebut dinilai
terlalu mahal oleh sesetengah pihak untuk seorang pemain yang sudah berusia 29
tahun, namun jika diambilkira statistik serta peranan yang telah beliau mainkan
sepanjang bersama Chelsea, wang sebanyak £35 juta adalah harga yang sepadan
untuk seorang pemain seperti Matic.
Apa
Kelebihan Yang Ada Pada Matic?
Keputusan Antonio Conte menandatangani Ngolo
Kante musim lalu menyebabkan ramai pihak meramalkan Matic bakal tersisih dari
kesebelasan Chelsea. Bagaimanapun hal sebaliknya berlaku apabila Matic berjaya
melakukan 35 penampilan liga di mana 23 daripadanya beliau diturunkan Conte
selama 90 minit.
Mengapa Matic masih dianggap sosok penting di
bahagian tengah sedangkan Chelsea sudah memiliki Kante? Jawapannya mungkin
dapat anda perolehi menerusi statistik yang dikeluarkan oleh SportExtra.
Menurut SportExtra, Matic muncul pemain paling banyak melakukan kombinasi
terjahan dan intercept sejak Januari
2014 berbanding mana-mana pemain tengah yang beraksi di Liga Perdana.
Musim lalu kualiti bertahannya menyaksikan
Matic melakukan 37 kali terjahan bersih, 55 kali intercept dan 49 kali clearance
manakala dalam situasi ofensif pula peratusan ketepatan hantaran yang
dilakukannya mencapai 88%, mencipta 27 peluang jaringan gol, menyumbang 7
bantuan gol (assist) dan menjaringkan
1 gol.
Melihat kepada peranan yang sudah dimainkan
Matic di sebalik kejayaan Chelsea menjulang kejuaraan liga pada musim 2014/15
dan 2016/17, maka tidak hairanlah mengapa Conte lebih gemar menggunakan
kombinasi Matic/Kante di bahagian tengah skuadnya.
Pogba
dan Herrera Bakal Lebih Bebas
Pembelian Matic pada pandangan saya memang
direncanakan Mourinho bagi membolehkan Pogba lebih bebas bergerak di hadapan.
Musim lalu ramai pihak yang kecewa dengan prestasi Pogba meskipun beliau
kembali semula ke Old Trafford sebagai pemain termahal dunia. Ketika bersama
Juventus, prestasi Pogba memang sangat mengagumkan namun hal yang sama tidak
mampu beliau ulangi selepas kembali semula ke pangkuan kelab.
Mobiliti Carrick di atas padang yang semakin
menurun kerana faktor usia menyebabkan Herrera terpaksa bermain agak jauh di
bahagian belakang sekaligus menyaksikan efektiviti Pogba di kawasan lawan juga terbatas
kerana kurangnya bantuan rakan di bahagian tengah. Jadi kehadiran Matic
diharapkan mampu melengkapkan pakej United di bahagian tengah menerusi kombinasi
beliau dengan Herrera dan Pogba.
Musim ini dengan adanya Matic, anda mungkin
dapat saksikan Herrera akan jauh lebih agresif memainkan peranannya di sisi
kanan manakala Pogba pula akan lebih berleluasa di sisi kiri bahagian tengah. Secara
teknikalnya, Matic memiliki kualiti yang lebih bagus berbanding Fellaini (maaf
bukan saya mahu menidakkan kemampuan Fella) serta lebih atletik berbanding
Carrick dan sudah tentu juga Mourinho sangat arif tentang hal tersebut.
Menurut Mourinho sukar untuk mana-mana pemain
lawan merebut bola dari kakinya dan meskipun postur tubuhnya hampir sama besar
dengan Fellaini, Matic memiliki lebih kelajuan berbanding pemain antarabangsa
Belgium itu. Meskipun peratusan ketepatan hantaran yang dilakukan Carrick
mengatasi Matic, tetapi pemain antarabangsa Serbia itu bakal menawarkan corak
permainan lebih fizikal di bahagian tengah United berbanding sebelumnya.
Sangat menarik sebenarnya apabila memikirkan
apa yang mampu ditawarkan Matic dan Herrera ketika membentuk gandingan di
bahagian tengah United kerana `energy’
yang dimiliki kedua-dua pemain ini dalam permainan mereka. Saya fikir Matic dan
Herrera juga mampu menjadi pasangan yang ideal jika Mourinho mahu meletakkan
dua pemain tengah bertahan dalam sistem permainan United (menerusi formasi
4-2-3-1).
Adakah
Matic Pemain `Nombor 6’ Yang Ideal?
Matic beraksi buat pertama kali sebagai
pemain United dalam aksi pra musim mereka ketika berdepan Sampdoria di Dublin
kelmarin. United menang perlawanan yang berlangsung di Stadium Aiva itu tetapi apa
yang menariknya ialah menyaksikan prestasi keseluruhan beliau di atas padang.
Meskipun perlawanan pra musim bukanlah kayu
ukur sesuai untuk menilai prestasi seorang pemain, namun aksi terpuji yang
dipamerkan Matic bakal menjanjikan kepada kita bahawa bahagian tengah United akan
lebih kompak menjelang bermulanya musim baharu nanti.
Selama 45 minit aksi Matic di Stadium Aiva,
peratusan ketepatan hantarannya mencapai 87% (lebih tinggi dari Pogba yang
mencatatkan 76.2%) selain beberapa kali berjaya melakukan intercept dan mematahkan serangan lawan. Menurut Mourinho, itulah gaya
sebenar permainan Matic yang `sederhana’ tetapi bijak.
“Itulah Matic. Menurut pandangan saya dia
bermain dengan sangat baik di posisinya (sebagai pemain tengah bertahan). Dia
pemain yang genius kerana mampu membuatkan pasukan bermain dengan mudah, bola
sentiasa bergerak dan pemain pula sentiasa berlari”.
Adakah kedatangan Matic menandakan bahawa pencarian
United untuk pemain yang mampu menggalas peranan sebagai `pemain nombor 6’
sudah berakhir? Ya, saya harap begitu dan saya juga berharap agar di Old
Trafford, Matic mampu mengulangi prestasi gemilangnya ketika membantu Chelsea
muncul juara liga pada musim 2014/15 dan 2016/17.
Anda boleh labelkan beliau sebagai `Ball Winner’, `Holding Midfielder’ atau apa sahaja tetapi saya hanya mahu melihat Matic
yang sama ketika beliau bersama Chelsea. Pemain yang sangat rajin ketika
menyokong gerakan serangan dua `wide
forward’ mereka (Eden Hazard dan Pedro/Willain) ketika menyerang selain
kukuh dalam melindungi Gary Cahill, David Luiz dan Cesar Azpilicueta ketika
bertahan.
Musim lalu si `generator’ ini tenggelam dek
sorotan berlebihan yang terarah kepada kelibat Eden Hazard, Diego Costa, Ngolo
Kante malah Marcos Alonso tetapi di kalangan penyokong Chelsea mereka juga tahu
bahawa Matic antara pemain penting yang menggerakan jentera The Blues. Jadi tidak hairanlah mengapa
ada di kalangan rakan-rakan saya (penyokong Chelsea) yang masih kehairanan
dengan tindakan Conte melepaskan Matic kepada seteru domestik mereka.
Bersama United, Matic bakal diletakkan di
posisi terbaiknya dan semoga beliau akan menjadi antara `box to box midfielder’ yang menakutkan di Liga Perdana. Di Stamford
Bridge kemampuan Matic sudah terbukti menerusi dua medal kejuaraan yang berjaya
dimenanginya dan kini giliran Theatre of
Dreams pula menjadi pentas untuk beliau memperagakan kehebatannya...”Selamat
Datang Nemanja Matic”. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan