Musim lalu beliau mengharungi musim yang
sangat sukses bersama Real Madrid selepas berjaya membantu gergasi Sepanyol itu
menutup tirai saingan 2016/17 dengan memenangi La Duodecima selain kejuaraan La Liga pertama dalam tempoh lima
tahun. Kejayaan menundukkan Juventus di Cardiff juga menyaksikan Real Madrid
muncul kelab pertama di era Liga Juara-Juara yang berjaya memenangi trofi
tersebut dua musim berturut-turut.
Setahun sebelum kejayaan memenangi La Duodecima itu, Ronaldo turut mencipta
sejarah sebagai kapten pertama Portugal yang berjaya menjulang kejuaraan
Eropah. Ketika kapten-kapten hebat Portugal sebelum beliau seperti Eusebio,
Paulo Futre dan Luis Figo gagal melakukannya, Ronaldo pula berjaya mengetuai A Selecao mencipta kejayaan epik dengan menjulang
kejuaraan Piala Eropah selepas mereka menundukkan Perancis di Stade de France.
Satu
Lagi `Gurauan’ Dari Ronaldo?...
Bermain untuk kelab besar dan paling berjaya
seperti Real serta memenangi pelbagai kejuaraan untuk mereka tentunya impian
yang ingin dijadikan kenyataan oleh mana-mana pemain bolasepak. Ronaldo antara
pemain paling bertuah kerana di Bernabeu, beliau sudah memenangi semua
kejuaraan utama baik di peringkat domestik mahupun Eropah selain pengiktirafan
individu selaku pemain terbaik dunia.
Bagaimanapun selepas menikmati apa yang
kebanyakan pemain lain cuma boleh impikan dalam tidur mereka, Ronaldo
diberitakan tidak gembira dan ingin segera angkat kaki meninggalkan Bernabeu.
Semuanya berpunca dari layanan buruk pihak berwajib Sepanyol membabitkan isu
cukai beliau. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Ronaldo dilaporkan `tidak
gembira’ di Sepanyol kerana hal seperti ini sudah dimainkan media hampir saban
musim.
Masih ingatkah lagi dengan laporan sensasi
bahawa beliau ingin pulang ke Old Trafford pada 2014 selepas kecewa dengan
layanan `buruk’ yang diterimanya dari pihak pengurusan Real dan juga para Madridista. Setahun selepas itu, Ronaldo
sekali lagi digembar-gemburkan ingin meninggalkan kota Madrid kerana berang
dengan keputusan Florentino Perez memecat Carlo Ancelotti dan menggantikan
pengendali Itali itu dengan Rafa Benitez.
Di sebalik segala laporan-laporan sensasi
tentang masa depan beliau yang dimainkan media sebelum ini, Ronaldo sebalik
memilih untuk terus kekal bersama Real. Malah pada Jun 2016 kontrak baharu yang
ditandatanganinya menyaksikan beliau kekal di Bernabeu hingga ke usia 36 tahun.
Lebih daripada itu, Ronaldo juga berhasrat untuk terus kekal bersama Real
selama sepuluh tahun lagi.
Mampukah
Real Menahan Ronaldo Dari Pergi?...
Ronaldo dikatakan sudah nekad dengan
keputusannya mahu meninggalkan Bernabeu dan mencari haluan baharu meskipun
Florentino Perez secara terbuka memberikan sokongan penuh di sebalik kemelut
yang melanda mega bintangnya itu. Bagaimanapun bagi Ramon Calderon, (individu
yang bertanggungjawab membawa Ronaldo keluar dari Old Trafford) berpendapat
sukar untuk Real mempertahankan pemain terbaik mereka itu jika memang benar
Ronaldo nekad ingin pergi.
Calderon mengingatkan bahawa situasi sekarang
sebenarnya hampir sama dengan apa yang beliau hadapi pada 2009. “Mampukah Real
mengubah pendirian Ronaldo? Itu sangat sukar. Saya memiliki pengalaman hampir
sama dengan Manchester United ketika Ronaldo mahu pergi dari sana dan saya
akhirnya berhasil membawa dia ke Madrid”. Beliau turut mendedahkan bahawa
Ronaldo juga sebenarnya menunda perpindahan beliau ke Real selama setahun
kerana menghormati Sir Alex Ferguson yang sudah dianggap sebagai mentornya.
Jika akhirnya nanti Ronaldo menamatkan ikatan
lapan tahunnya bersama Real, Calderon berpendapat kelab paling berpotensi untuk
disertai pemain itu ialah Manchester United. “Dia sangat menyintai kelab itu,
kotanya serta penyokong mereka. Dan kemungkinan untuk dia kembali ke sana
adalah sangat besar. Dia masih memiliki tempoh tiga hingga empat tahun lagi
sebagai pemain top dan sentiasa dahagakan kejuaraan, jadi saya tidak fikir dia
akan bermain di China atau Timur Tengah”.
Potensi
Kembali Ke Old Trafford...
Ronaldo sudah berusia 32 tahun, usia yang
boleh dianggap `tua’ untuk seorang pemain bolasepak. Bagaimanapun satu hal yang
perlu kita akui ialah kondisi fizikalnya serta tahap permainannya masih terjaga
dengan baik. Kelajuannya seperti tidak pernah berkurangan, liuk lentoknya
ketika melepasi pemain lawan masih memukau dan sentuhan penyudahnya tetap tajam
seperti dulu.
Aspek inilah yang menyebabkan kenapa Ronaldo
masih lagi menjadi sandaran utama Real hingga sekarang selain idaman oleh
mana-mana pengurus kelab besar untuk diletakkan dalam kesebelasan utama skuad
masing-masing. Andainya beliau benar-benar meninggalkan Real, tidak syak lagi
bahawa Ronaldo bakal menjadi buruan paling hangat sepanjang pasaran perpindahan
musim panas ini.
Saya tidak pernah menolak sebarang
kemungkinan untuk Ronaldo kembali menyarung jersi United, tambahan pula
Mourinho sendiri sebenarnya sedang mencari penjaring gol unggul sebagai
pengganti Zlatan Ibrahimovic. Bagaimanapun hubungan silam beliau dengan
Mourinho yang dikatakan sedikit buruk selain harga tidak masuk akal untuk
seorang pemain yang sudahpun berusia 32 tahun mungkin menggagalkan sebarang
potensi untuk Ronaldo kembali ke Old Trafford.
Realiti
Atau Fantasi...
Selepas bertahun-tahun disogokkan dengan
cerita tentang kembalinya Ronaldo ke pangkuan kelab, saya menganggap laporan
terkini berkaitan masa depan beliau yang sedang bergolak di Sepanyol sekadar satu
lagi mainan media. Ronaldo mungkin sahaja akan meninggalkan Bernabeu seperti
yang dilaporkan tetapi saya tidak yakin beliau akan menuju ke Old Trafford
dalam penerbangan keluarnya dari kota Madrid.
Sejak beliau meninggalkan kelab lapan tahun
lalu, sejak itu jugalah bukan sedikit di antara kita yang berharap agar Ronaldo
kembali semula menerajui jentera serangan United suatu hari nanti. Ronaldo
antara pemain paling berbakat dan antara pemain paling mempesonakan pernah
beraksi di Theatre of Dreams, jadi
tidak hairanlah mengapa sebahagian besar penyokong-penyokong United masih
menyintai beliau.
Laporan tentang kemungkinan Ronaldo menyertai
semula United tetap satu kemungkinan yang sangat menarik buat mana-mana
penyokong United. Bagaimanapun secara realistiknya saya berpendapat Paris St
Germain merupakan kelab yang sangat berpotensi mendapatkan tandatangan Ronaldo
sekiranya jodoh pemain terbaik dunia itu dengan Real berakhir.
Ambisi besar Nasser El-Khelaifi selepas ego
kelabnya tercalar akibat kegagalan mempertahankan kejuaraan Ligue 1 yang
didominasi mereka selama empat musim berturut-turut selain kesempatan terbaik
untuk Ronaldo dinobatkan kembali sebagai pemain termahal dunia memungkinkan
beliau untuk menyarung jersi kelab dari ibu kota Paris itu.
Segala kemungkinan boleh sahaja
berlaku...mungkin beliau akan terus kekal di Bernabeu dan menamatkan kariernya di
sana atau mungkin juga musim depan kita bakal menyaksikan beliau menyarung
jersi pasukan lain. Setakat ini beliau masih pemain Real Madrid, jadi anggap
sajalah bahawa laporan-laporan sensasi tentang tekad Ronaldo mahu meninggalkan
Bernabeu sekadar satu lagi `gurauan’ dari media.
Sejujurnya saya kurang yakin Ronaldo akan
kembali ke Old Trafford sebagai pemain United dan agak tidak berbaloi juga bagi
kelab memecahkan satu lagi rekod dunia untuk seorang pemain yang sudahpun
berusia 32 tahun. Buat masa ini saya lebih cenderung menanti sebarang
kemungkinan untuk United menandatangani sama ada Andrea Belotti, Alvaro
Moratta, Ivan Perisic atau Fabinho berbanding mengharapkan agar fantasi
kepulangan semula Ronaldo bertukar menjadi realiti.
Ronaldo tetap Ronaldo...pesona yang masih
dicintai oleh majoriti penyokong-penyokong United dari dahulu hingga sekarang,
tidak kira dalam jersi pasukan manapun yang beliau sarung. Penyokong sentiasa
berfantasi untuk menyambut kepulangan semula Ronaldo suatu hari nanti tetapi seandainya
ada destinasi lain (selain Old Trafford) yang beliau ingin tuju jika perpindahannya dari Bernabeu
menjadi kenyataan, CR7 akan sentiasa diingati sebagai antara anggota terhebat The Red Devils yang pernah kita saksikan...Glory Glory Manchester
United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan