Selepas tiga keputusan seri berturut-turut,
Manchester United akhir kembali meraih tiga
mata penuh dalam aksi Liga Perdana. Kemenangan (2-0) yang dilakar mereka ke
atas Everton di Goodison Park menyaksikan barisan Jose Mourinho kembali ke
posisi tangga kedua liga selepas mengumpul 47 mata dari 22 perlawanan.
Bagaimanapun Chelsea berpeluang memintas kembali kedudukan United sekiranya
mereka berjaya menewaskan Arsenal di gelanggang lawan dalam aksi yang bakal
dilangsungkan awal pagi Khamis ini.
Berkunjung ke Goodison Park dalam keadaan
skuad yang boleh dianggap pincang tanpa peledak utama bukanlah satu situasi
yang bagus, tambahan pula mereka sangat perlukan kemenangan selepas tiga
keputusan seri yang dicatatkan sebelum ini. Hukuman penggantungan tiga
perlawanan yang dikenakan ke atas Ashley Young kerana menyiku Dusan Tadic juga seolah-olah
satu petanda awal bahawa barisan Mourinho bakal mengharungi tempoh 90 minit yang
penuh berliku.
Bagaimanapun kebimbangan kita akhirnya
terlerai selepas jaringan Anthony Martial dan Jesse Lingard memastikan United
meraih tiga mata penuh dalam aksi yang `wajib mereka menangi’ itu. Tanpa
Lukaku, Mourinho mengubah formasi 4-2-3-1 yang sering digunakannya kepada 4-3-3 dimana Anthony Martial, Jesse Lingard dan Juan Mata membentuk trio di barisan hadapan.
Dalam formasi ini (4-3-3), Martial yang sebelumnya sering digunakan Mourinho sebagai penyerang sayap kini bertindak selaku penyerang tengah manakala di bahagian tengah pula beliau menggandingkan Nemanja Matic, Ander Herrera dan Paul Pogba. Dalam formasi ini, sangat menarik melihat Pogba lebih banyak bergerak di sisi kiri di mana hasilnya beliau menyumbang dua bantuan gol yang disudahkan Martial dan Lingard.
Dalam formasi ini (4-3-3), Martial yang sebelumnya sering digunakan Mourinho sebagai penyerang sayap kini bertindak selaku penyerang tengah manakala di bahagian tengah pula beliau menggandingkan Nemanja Matic, Ander Herrera dan Paul Pogba. Dalam formasi ini, sangat menarik melihat Pogba lebih banyak bergerak di sisi kiri di mana hasilnya beliau menyumbang dua bantuan gol yang disudahkan Martial dan Lingard.
Posisi
dan Peranan Pogba...
Seperti yang saya sebutkan di atas, sepanjang
90 minit aksi di Goodison Park, Mourinho mengarahkan Pogba untuk lebih banyak
bergerak di sisi kiri walaupun beliau sebenarnya memulakan permainan sebagai
pemain nombor 10. Biarpun Pogba tidak memiliki kelajuan yang bagus untuk
melakukan larian-larian dari sebelah tepi namun hantaran-hantaran yang
dilakukannya sering menembusi garisan pertahanan Everton.
Apa yang dapat anda lihat dalam dua atau tiga
perlawanan terakhir membuktikan bahawa Pogba merupakan pemain serba boleh dan
multi posisi. Ketika Lingard bergerak ke tengah, Pogba pula akan beralih
mengisi posisi di sebelah kiri. Kerjasama baik yang ditunjukkan Pogba dan
Lingard akhirnya menyaksikan gol kedua terhasil sekaligus menamatkan sebarang
sisa-sisa perjuangan Everton untuk cuba memaksa United berkongsi mata.
Everton
Lawan `Favourite’ Untuk United...
Kekalahan terbaru yang dialami Everton awal
pagi tadi menyaksikan The Toffees
tewas 35 perlawanan dalam sejarah pertemuan mereka menentang United di Liga
Perdana. Jumlah ini juga menyaksikan United muncul pasukan paling banyak
menewaskan Everton sejak format Liga Perdana diperkenalkan berbanding mana-mana
kelab Inggeris yang lain. Pada pertemuan pertama yang dilangsungkan di Old
Trafford 17 September lalu, United menewaskan Everton (4-0) hasil jaringan
Antonio Valencia, Henrikh Mkhitaryan, Romelu Lukaku dan Anthony Martial.
Sudah
435 Hari Pogba Tidak Tewas...
Menurut catatan yang dikeluarkan Opta, kemenangan
yang dilakar United di Goodison Park awal pagi tadi menyaksikan Pogba sudah
mengharungi 435 hari tanpa sebarang kekalahan dalam aksi liga. Kekalahan
terakhir Pogba dalam saingan liga berlaku pada 23 Oktober 2016 ketika United
tewas (0-4) kepada Chelsea dalam aksi yang dilangsungkan di Stamford Bridge.
Dan itu juga bermakna sejak kekalahan besar di Stamford Bridge, Pogba sudah
bermain 34 perlawanan di mana beliau berjaya membantu United menang 21
perlawanan dan 13 keputusan seri.
Lingard
Sedang `On Fire’...
Dari seorang pemain yang sering memegang
watak pengganti di babak kedua, Jesse Lingard tiba-tiba muncul antara pemain
paling penting buat United sejak kebelakangan ini. Gol kedua United yang
dijaringkan Lingard di Goodison Park menyaksikan beliau sudah menjaringkan 6
gol sejak Disember sekaligus muncul pemain kedua paling produktif selepas Harry
Kane (8 gol) di Liga Perdana.
Lingard bukan lagi seorang pemain yang kerap
melakukan kesilapan-kesilapan mudah ketika bola berada di kakinya tetapi
penampilan beliau kini lebih menyakinkan. Apa yang membuatkan penampilan Lingard
di atas padang tiba-tiba berubah? Menurut Lingard keputusan Mourinho meletakkan
beliau sebagai penyerang sayap antara sebab utama peningkatan prestasinya.
United
Masih `Ok’ Tanpa Lukaku...
Sepanjang babak pertama aksi di Goodison
Park, skrip hampir sama diperlihatkan United ketika mereka dipaksa berkongsi
mata dalam tiga perlawanan sebelumnya. Tanpa Lukaku dan Ibrahimovic yang
tersisih akibat kecederaan, mereka buntu dalam usaha menembusi benteng
pertahanan Everton. Namun secara perlahan-lahan United mula mendapat rentak dan
menerusi kepantasan yang dimiliki pemain-pemain di barisan hadapan, benteng
pertahanan lawan mula goyah.
Hasilnya 12 minit selepas babak kedua
disambung, Martial meledak gol pertama untuk meletakkan United di hadapan.
Ketika lawan mula memberikan tekanan demi tekanan dalam usaha mereka mencari
gol penyamaan, Lingard pula memilih detik yang tepat untuk menamatkan sebarang
usaha barisan The Toffees memaksa
United berkongsi mata menerusi gol kedua diminit ke-81. Dua gol yang menembusi
gawang Jordan Pickford itu membuktikan bahawa United boleh bermain dengan baik
meskipun mereka turun tanpa peledak utama.
Permulaan
Tahun Baharu Yang Bagus...
Kemenangan yang diraih awal pagi tadi
merupakan langkah permulaan tahun baharu yang bagus buat barisan United.
Selepas sekadar mengutip tiga mata dari tiga perlawanan penghujung tahun lalu,
United sebenarnya berdepan misi yang cukup getir di Goodison Park dalam usaha
mereka untuk kembali meraih kemenangan.
Saya sendiri pada mulanya menganggap bahawa tiga
mata yang mahu dikutip di Goodison Park merupakan satu `misi mustahil’ memandangkan
United berkunjung ke sana dengan skuad pincang ditambah pula dengan jadual yang
cukup padat. Menurut Mourinho, apa yang dipamerkan barisan pemainnya awal pagi
tadi tidak langsung menunjukkan bahawa mereka keletihan.
Selepas perlawanan Mourinho berkata: “Ini
bukan kerja pemain yang sedang keletihan dengan jadual terburuk yang anda
berikan kepada kami. Selepas gol pertama, Everton memberikan reaksi tetapi kami
tetap mengawal perlawanan. Tanpa Lukaku, kami terpaksa mengubah permainan kami
dan saya gembira dengan hasilnya”.
Selepas tiga keputusan seri berturut-turut,
kemenangan ke atas Everton memang sangat-sangat melegakan. Sehingga 16 Januari ini,
kita boleh melupakan buat seketika aksi Liga Perdana kerana tumpuan kini beralih
ke saingan Piala FA pula dengan Derby County lawan yang bakal cuba dilepasi
United.
Apapun keputusan diakhir perlawanan menentang
Derby County nanti, United sebenarnya sudah melepasi tempoh getir akibat jadual
yang padat. Dan sudah tentu ketika saingan liga disambung semula pada 16 Januari
nanti, kita mahu melihat United terus melakar kemenangan dengan menjadikan
Stoke City pula mangsa seterusnya...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan