“Jesse Lingard”...inilah nama yang sering
meniti di bibir penyokong-penyokong Manchester United sejak kebelakangan ini. Prestasi
turun naik yang dipamerkan beliau sebelum ini menyebabkan Lingard dan kritikan
tidak dapat dipisahkan tetapi sejak Disember tahun lalu situasi bertukar
sebaliknya. Dari seorang pemain yang sering teragak-agak dalam mengambil
keputusan ketika bola berada di kakinya, kini Lingard melalui musim terbaiknya sejak
melakukan penampilan pertama bersama skuad utama pada 2011.
Awal pagi tadi (6 Januari), Lingard sekali
lagi membuktikan bahawa beliau kini antara pemain penting dalam kesebelasan Jose
Mourinho selepas jaringannya diminit ke-84 membantu United mara ke pusingan
keempat Piala FA. Ketika Derby County berjaya bertahan dengan baik sambil
dibantu faktor tuah yang menyaksikan empat percubaan United singgah di tiang
dan palang gol, Lingard akhirnya muncul memecah kebuntuan di penghujung
permainan sebelum Romelu Lukaku membunuh permainan menerusi gol jaringannya diminit
ke-90.
Gol yang dijaringkan Lingard awal pagi tadi
turut menyaksikan beliau sudah meledak 11 gol dalam semua kejohanan untuk
United musim ini. Menurut catatan Opta, 11 gol yang dijaringkan Lingard setakat
ini turut mengatasi jumlah jaringan beliau dalam tempoh dua musim (2015-16 dan
2016-17). Ketika saingan liga masih berbaki 16 perlawanan, selain fakta bahawa
United masih dalam persaingan di kejohanan Piala FA dan Liga Juara-Juara, saya
yakin koleksi gol Lingard musim ini tidak akan terhenti setakat angka 11.
Hadir
Pada Waktu Yang Tepat...
Ketika barisan hadapan United dijadikan
sorotan kritikan, mereka sebenarnya diselamatkan Lingard menerusi prestasi
terpuji yang dipamerkan lulusan akademi United itu. Setakat ini Lingard sudah
meledak lapan gol dari dari 10 penampilan terakhirnya selain menyumbangkan dua
bantuan gol (assist). Penampilan
impresif beliau sejak kebelakangan ini juga menjadi jawapan terbaik kepada persoalan
yang dilemparkan pengkritiknya tentang kewajaran kelab melanjutkan kontrak
beliau hingga 2021 pada April tahun lalu.
Prestasi terpuji yang dipamerkan Lingard
sudah tentu mengundang perhatian ramai dan individu paling lega dengan penampilan
terkini beliau siapa lagi jika bukan Mourinho. Menurut Mourinho, Lingard antara
segelintir pemain yang lambat menyinar meskipun beliau kini sudah berada di
usia matang sebagai pemain. Dan kerana prestasi terpuji yang dipamerkan Lingard
juga menyebabkan Mourinho tidak terlalu memikirkan penyerang mana yang patut
beliau beli Januari ini meskipun United berdepan krisis kecederaan penyerang utama
mereka.
Mengulas tentang penampilan terkini Lingard,
Mourinho berkata: “Beberapa pemain tidak mampu melakukan kebangkitan seperti
itu. Mereka biasanya berubah dari pemain yang memiliki potensi besar kepada
pemain sederhana. Tetapi Lingard melakukan kebangkitan dalam kariernya. Dia
lebih konsisten, mampu beradaptasi dan kini lebih memahami permainan. Dia
melakukan perkara yang tepat dalam kariernya”. Apa yang dikatakan Mourinho
mudah difahami kerana sepanjang usia remajanya, Lingard lebih banyak
menghabiskan kariernya sebagai pemain pinjaman.
Leicester City, Birmingham City, Brighton
& Hove Albion serta Derby County antara destinasi yang pernah dituju
Lingard sebagai pemain pinjaman dari 2012 hingga 2015. Dan sepanjang tempoh
tesebut juga Lingard gagal menyerlahkan potensi sebenar beliau sebagai bintang dalam
pembikinan sebelum kembali semula ke Old Trafford. Tempat Lingard bukan di
Leicester City, Birmingham City, Brighton & Hove Albion atau Derby County
kerana beliau memang ditakdirkan untuk menyinar bersama United, kelab yang
disertainya sejak usia tujuh tahun.
Hampir
Sertai Liverpool...
Menceritakan detik awal zaman kanak-kanaknya,
Lingard mendedahkan bahawa beliau sebenarnya hampir menyertai Liverpool ketika
bermain untuk kelab tempatan, Penketh United. “Ketika saya masih bermain untuk
kelab tempatan, Mike Glenie (pencari bakat United) datang untuk menyaksikan
permainan saya. Beliau kemudiannya bercakap dengan datuk saya untuk menawarkan
`trial’ bersama United. Dalam masa
yang sama, Liverpool juga datang dengan tawaran mereka jadi saya harus memilih.
Saya masih muda ketika itu tetapi hati saya untuk United”, ujar Lingard dalam
satu ditemubual dengan MUTV pada 2015.
Masalah
Fizikal...
Pada usia tujuh tahun, Lingard menyertai akademi
United dan sejak itu beliau berjaya memenangi beberapa kejuaraan peringkat
umur. Walaupun begitu, Lingard juga sebenarnya berdepan kesukaran untuk
bersaing bersama rakan-rakan sebaya kerana faktor fizikal beliau yang agak
kecil. Bersama-sama Larnell Cole, adik beradil Will dan Michael Keane, Sam
Johnstone, Ravel Morrison dan Ryan Tunnicliffe, beliau berjaya memenangi
kejuaraan FA Youth Cup dan Reserves League.
Bagaimanapun medal kejuaraan itu tetap gagal
melayakkan beliau menyertai skuad U-18 United gara-gara faktor fizikal. Di
bawah pengawasan Warren Joyce (bekas jurulatih skuad simpanan United), Lingard
menjalani latihan intensif dalam usaha beliau memantapkan fizikalnya. Ketika
ketinggiannya mula bertambah, karier Lingard juga mula bersinar hingga akhinrya
menyaksikan beliau disenaraikan ke dalam skuad simpanan United.
Lebih
Baik Dari Memphis Depay...
Kedatangan Memphis Depay yang
digembar-gemburkan sebagai bintang masa depan bolasepak Belanda sebenarnya
turut memberikan tempias kepada karier Lingard bersama kelab. Kejayaan Louis
Van Gaal mendaratkan Memphis ke Old Trafford pada musim panas 2015 dianggap
permulaan kepada revolusi kelab pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Sebagai
pemain yang kerap menghabiskan sebahagian besar karier di zaman remajanya
selaku pemain pinjaman, siapalah Lingard ketika itu jika mahu dibandingkan
dengan Memphis.
Keputusan Van Gaal `menganugerahkan’ Memphis dengan
jersi keramat nombor 7 menguatkan lagi andaian awal bahawa inilah pemain yang
mampu menggantikan posisi Cristiano Ronaldo selaku `winger’ paling menakutkan pernah beraksi di Theatre of Dreams. Bagaimanapun jangkaan awal majoriti penyokong
United terhadap potensi Memphis meleset jauh. Sepanjang dua musim di Old
Trafford, Memphis yang pada mulanya dilabel sebagai `Next Cristiano Ronaldo’ bertukar kepada bahan candaan khalayak
penyokong-penyokong United.
Berbanding Memphis, Lingard pula berjaya
menambat perhatian Van Gaal selepas beliau diberikan peluang untuk melakukan
penampilan dalam kesemua 18 perlawanan terakhir liga United di musim 2015-16.
Dari segi kemampuan individu, Memphis yang usianya dua tahun lebih muda
berbanding Lingard jelas lebih unggul. Menurut statistik yang dikeluarkan Opta,
Memphis memiliki kemampuan menggelecek lebih bagus di mana secara purata beliau
mampu melepasi lawan dua kali ganda berbanding Lingard dalam setiap perlawanan.
Begitu juga dalam hal ketepatan ketika
melakukan percubaan di mana Memphis mencatatkan 44% ketepatan percubaan
berbanding Lingard (25%). Bagaimanapun angka di atas sebenarnya dipengaruhi
dengan pola permainan United ketika Memphis bermain. Dengan adanya Memphis di
atas padang, pusat gerakan United sering bermula dari sebelah kiri hingga
menyaksikan strategi permainan mereka juga mudah dibaca lawan. Apa pula yang
berlaku ketika Van Gaal menurunkan Lingard? Jawapannya mudah...permainan United lebih
bervariasi.
Kehadiran Lingard tidak bermakna corak
permainan United juga berubah 100% kerana kecenderungan untuk mereka melakukan
gerakan-gerakan dari sisi kiri tetap ada. Berbanding Memphis, Lingard bukanlah
jenis pemain yang memaksa diri untuk melakukan gelecekan atau melakukan
percubaan dalam situasi kurang tepat. Meskipun dikatakan tidak memiliki
kemahiran individu sebagus Memphis, Lingard dilihat lebih unggul dalam soal berfikir
sebelum mengambil sebarang keputusan segera ketika di atas padang.
Taktik permainan Van Gaal memerlukan pemain untuk
cepat berfikir sebelum mengambil sebarang keputusan dan itulah kelebihan yang
ada pada diri Lingard berbanding Memphis. Kecenderungan Memphis untuk melakukan
gelecekan-gelecekan sia-sia hingga menyebabkan United sering kehilangan
penguasaan bola selain percubaan-percubaan liarnya menyaksikan warga Belanda ini
mula tersisih dari kesebelasan utama. Pengakhiran karier Memphis di Old
Trafford akhirnya tiba sebaik Mourinho mengambilalih posisi Van Gaal selaku
pengendali United.
Ramalan
Fergie...
Apa yang berlaku kepada Lingard sekarang
sebenarnya sudah dihidu Sir Alex Ferguson enam tahun lalu. Tujuh gol yang sudah
dijaringkannya dalam saingan liga musim ini menyebabkan mulut pengkritik beliau
terdiam buat seketika. Dan awal pagi tadi Lingard sekali lagi membuktikan
betapa pentingnya peranan beliau menerusi gol yang dijaringkannya ke gawang
Derby County meskipun Scott Carson bermain baik sepanjang perlawanan.
Meskipun di peringkat awal kariernya bersama
kelab sumbangan Lingard kerap diremehkan, namun satu-satunya individu yang
kekal percaya bahawa beliau bakal muncul pemain penting buat United suatu hari
nanti ialah Sir Alex Ferguson. Setahun sebelum Fergie memutuskan untuk bersara
lima tahun lalu, beliau sempat memberikan pendapatnya tentang potensi dalam
diri Lingard.
Umpama sebuah ramalan Fergie berkata: “Jesse
Lingard masih berusia 19 tahun (ketika itu). Menyertai skuad muda kami dan
kemudiannya berkembang seperti Jean Tigana untuk Perancis. Dia (Tigana) tidak akan
pernah diberikan perhatian hingga usianya 24 tahun dan saya fikir hal yang sama
bakal berlaku kepada Lingard”. Melihat kepada lonjakan karier Lingard sejak
kebelakangan ini, apa yang diungkapkan Fergie enam tahun lalu kini sudah
menampakkan kebenarannya.
Jangan
Jadi Seperti Mereka...
Ada seorang pemain yang perjalanan kariernya
mirip seperti Lingard dan pemain yang saya maksudkan ialah Chirstopher Mark
Eagles atau lebih dikenali sebagai Chris Eagles. Siapakah Chris Eagles? Eagles
merupakan bekas lulusan akademi United yang pada peringkat awal kariernya
pernah diramal punya potensi untuk muncul pemain utama di Old Trafford suatu
hari nanti. Namun akhirnya pada usia 32 tahun, Eagles kini cuma beraksi untuk
kelab bawahan Liga Perdana Scotland.
Sama seperti Lingard, Eagles turut
menghabiskan sebahagian besar karier zaman remajanya sebagai pemain pinjaman
untuk Watford, Sheffield Wednesday, kembali semula ke Watford dan Nijmegen di
Eredivisie. Gagal mencapai potensi awal yang diletakkan dibahunya, Eagles
kemudian dilepaskan ke Burnley pada 2008. Begitu juga halnya yang berlaku
kepada Tom Cleverley, Danny Welbeck, Ravel Morrison serta adik beradik Will dan
Michael Keane.
Buat masa sekarang Lingard sudah mula
menunjukkan tanda-tanda benarnya `ramalan’ Fergie enam tahun lalu dan semoga
beliau juga mampu menjadi seperti Jean Tigana, pemain yang pada mulanya
diremehkan tetapi menjelma kepada watak penting dalam bolasepak Perancis. Selepas
melihat lonjakan prestasinya sejak kebelakangan ini, masih adakah di kalangan
anda yang mahukan supaya Lingard dijual? Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan