01 Januari 2018

BERAPA BANYAK WANG LAGI YANG PERLU DIBELANJAKAN MOURINHO UNTUK SAINGI CITY?




Tiga keputusan seri berturut-turut dan kini ketinggalan pula 15 mata di belakang Manchester City selaku pendahulu liga. Jadi apa yang perlu dilakukan United selepas ini? Jawapannya...lupakan sahaja sebarang peluang untuk menyaingi City dalam perebutan kejuaraan liga dan fokus untuk mengekalkan kedudukan di tangga kedua hingga akhir musim selain cuba memenangi kejuaraan Piala FA serta mara sejauh mungkin dalam saingan Liga Juara-Juara.

Gagal mengutip tiga mata penuh selepas Leicester City yang kekurangan seorang pemain menjaringkan gol penyamaan lewat permainan memang menyakitkan. Tuah nampaknya terus menjauhi United apabila dua hari selepas itu giliran Burnley pula memaksa barisan kendalian Jose Mourinho berkongsi mata selepas kedua-dua pasukan terikat (2-2) dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford 26 Disember lalu.

Keputusan di akhir perlawanan menentang Burnley memang tidak menepati keinginan kita (penyokong-penyokong United) untuk melihat kelab kembali bangkit meraih kemenangan selepas mereka pulang dengan hanya satu mata dari King Power Stadium. Aksi di Old Trafford 26 Disember lalu itu juga mungkin berakhir dengan lebih buruk jika tidak kerana jaringan penyamaan lewat permainan dari Jesse Lingard.

Awal pagi kelmarin (31 Disember), United akhirnya menutup tirai 2017 dengan satu lagi keputusan seri selepas mereka diikat Southampton (0-0). Ini merupakan keputusan seri kedua berturut-turut di Old Trafford sekaligus menyaksikan mereka cuma mampu mengutip tiga mata dari tiga perlawanan terakhir liga. Kecewa?...Ya anda sepatutnya berasa kecewa kerana keputusan seri menentang Southampton itu juga menyaksikan kedudukan United di tangga kedua kini dipintas Chelsea.

United Bukan Pasukan Yang Besar?...

Dalam sidang media beliau selepas tamat aksi menentang Burnley, Mourinho berkata: “Ada perbezaan yang signifikan antara kelab besar dengan pasukan yang besar. Sememangnya itu dua perkara yang berbeza”. Menurut Mourinho lagi, United sebenarnya masih dalam fasa membangunkan semula pasukan bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan mereka.

Mourinho menekankan bahawa terdapat jurang besar antara kesebelasan yang dimilikinya berbanding barisan Pep Guardiola yang kini gah di tangga teratas liga. Menurut beliau, City disebut kesebelasan besar bukan kerana sejarah yang dimiliki mereka tetapi kerana perbelanjaan besar yang dikeluarkan pihak pengurusan The Cityzens bagi memantapkan pasukan.

"Manchester City membeli pemain bek sayap dengan harga seorang penyerang. Jadi ketika anda bercakap tentang kelab besar, dalam masa yang sama anda juga sebenarnya bercakap tentang sejarah kelab tersebut," kata Mourinho. Menyentuh tentang jumlah sebanyak £300 juta yang sudah beliau belanjakan sepanjang dua musim di Old Trafford, Mourinho berkata:

“Jumlah itu masih belum mencukupi. Harga pemain yang diletakkan untuk kelab besar memang berbeza berbanding kelab lain. Masalahnya sekarang kelab besar dihukum oleh pasaran kerana sejarah mereka, bukan disebabkan mereka kelab yang kaya. Buat masa ini pemain-pemain saya sudah melakukan apa yang mampu mereka lakukan dan mereka melakukannya dengan baik”.

The Cityzens Yang Lebih Lengkap...

Sama seperti Mourinho, musim ini juga merupakan musim kedua Pep Guardiola di kota Manchester. Musim lalu Mourinho berjaya menghadiahkan tiga kejuaraan untuk United (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) manakala Guardiola pula sekadar berpuashati menerusi pencapaian meletakkan City di tangga ketiga liga. Jadi musim lalu bolehlah dianggap sebagai musim yang sukses buat Mourinho berbanding Guardiola pada tahun pertama mereka di kelab masing-masing.

Bagaimanapun musim ini City di bawah kendalian Guardiola tampil dengan watak berbeza. Ketika saingan liga  memasuki fasa kedua, City kelihatan seperti kesebelasan yang hampir mustahil untuk dikalahkan oleh mana-mana lawan domestik mereka. Sejak kali terakhir Everton berjaya mengikat mereka dalam pertembungan yang dilangsungkan di Stadium Etihad 21 Ogos lalu, City sudah merakamkan 17 kemenangan berturut-turut dalam saingan liga.

Melihat kepada konsistensi yang dipamerkan barisan The Cityzens, jurang 14 mata yang berjaya mereka cipta selaku pendahulu hampir mustahil untuk dipintas oleh mana-mana pesaing yang lain. Jurang mata yang terlalu besar selain prestasi konsisten dipamerkan barisan Guardiola meletakkan mereka sebagai calon tunggal menjulang kejuaraan liga musim ini. Apa yang dilakukan Guardiola hinggakan City muncul kesebelasan hampir sempurna musim ini?

Menurut David Weiner (jurnalis Fox Sports), rahsia di sebalik suksesnya perjalanan City musim ini ialah kerana pembelian bijak yang dilakukan Guardiola selepas gagal pada musim pertama beliau di Stadium Etihad. Bermula di posisi paling belakang, Guardiola membawa masuk Ederson Moraes selepas beliau kurang berpuashati dengan prestasi yang dipamerkan Claudio Bravo sepanjang musim lalu. Akhirnya Ederson memenuhi harapan beliau hingga menyaksikan gawang City sukar dibolosi.

Di benteng pertahanan, Guardiola memperkuatkan posisi tersebut dengan membawa masuk Kyle Walker, Benjamin Mendy dan Danilo. Walker yang sudah melakukan 18 penampilan (liga) untuk City saya anggap pembelian paling berbaloi yang dilakukan Guardiola musim ini dalam usahanya memantapkan benteng pertahanan The Cityzens. Kembalinya John Stones pada prestasi sebenar pula menyaksikan Guardiola memiliki begitu banyak pilihan di benteng pertahanannya.

Berbanding Guardiola, Mourinho pula menandatangani Eric Bailly (musim lalu) dan Victor Lindelof dalam usahanya meningkatkan kualiti di garisan pertahanan United. Bailly mampu beradaptasi dengan baik dalam dunia bolasepak Inggeris selepas semusim bersama United namun graf kemajuan Lindelof yang ditandatangani Mourinho dari Benfica Julai lalu pula bergerak agak perlahan. Di sisi bek kiri tiada pembelian baharu dilakukan Mourinho di mana Luke Shaw, Matteo Darmian, Ashley Young dan Daley Blind silih berganti mengisi posisi tersebut.

Dalam tempoh dua musim dilantik sebagai pengendali United, Mourinho dilihat agak agresif dalam usaha beliau memantapkan jentera tengah menerusi rekod dunia yang dicipta hasil dari pembelian Paul Pogba. Tidak cukup dengan itu, beliau kemudiannya menandatangani Henrikh Mkhitaryan dari Borussia Dortmund bagi menambah kreativiti di bahagian tengah. Musim ini pula, Mourinho membawa masuk Nemanja Matic bagi memastikan bahagian tengah skuadnya lebih kompetitif berbanding musim lalu.

Walau bagaimanapun secara jujurnya saya juga terpaksa mengakui bahawa barisan tengah yang dimiliki Mourinho masih gagal menandingi Kevin De Bruyne, David Silva dan Raheem Sterling yang tampil memukau musim ini. Ketiga-tiga mereka memang bukan pembelian yang dilakukan Guardiola tetapi dengan kehadiran Ilkay Gundogan dan Bernardo Silva, City memiliki squad depth yang lebih berkualiti hinggakan prestasi mereka kekal konsisten meskipun ketika Guardiola melakukan penggiliran pemain.

Di bahagian hadapan pula, City memiliki lebih banyak opsyen selaku penjaring tanpa terlalu bergantung kepada kelibat Sergio Aguero menerusi kehadiran Leroy Sane dan Gabriel Jesus. Setakat ini gabungan kedua-dua pemain ini sudah menyumbang 14 gol untuk City. Berbanding City, United pula nampaknya terlalu bergantung kepada sentuhan Zlatan Ibrahimovic (musim lalu) dan kini Romelu Lukaku selaku peledak utama. Bagaimanapun prestasi terpuji yang dipamerkan Jesse Lingard dan Anthony Martial musim ini tetap kredit yang bagus untuk United.

United Perlu Bangkit...

Tiga keputusan seri berturut-turut bukanlah terlalu buruk berbanding tiga kekalahan berturut-turut tetapi enam mata yang tercicir dari tiga perlawanan terakhir juga menyaksikan United bukan sahaja ketinggalan 15 mata di belakang City tetapi kedudukan tangga kedua mereka kini dirampas Chelsea. Di belakang pula, Liverpool semakin menghampiri selepas mereka merakamkan dua kemenangan berturut-turut dari tiga aksi terakhir yang menyaksikan barisan Jurgen Klopp cuma dibezakan tiga mata dengan United.

United bakal memulakan aksi pertama mereka ditahun baru di Goodison Park dan sudah tentu perlawanan menentang Everton ini merupakan perlawanan yang wajib dimenangi oleh kesebelasan Mourinho nanti selepas tiga keputusan seri yang dicatatkan mereka penghujung tahun lalu. Misi mengejar City mungkin sudah boleh dilupakan namun kini perebutan untuk kedudukan tangga kedua liga bakal menjadi lebih menarik membabitkan lima pasukan (United, Chelsea, Liverpool, Arsenal dan Spurs). Jika ada keajaiban kita mungkin juga boleh menyaksikan Burnley mencelah.

Saya tidak tahu bagaimanakah caranya Mourinho mengatasi masalah krisis di posisi penyerang tengah yang dihadapinya berikutan kecederaan yang dialami Lukaku dan Ibra. Sama ada Marcus Rashford atau Martial yang bakal digunakan beliau selaku penyerang tengah, Mourinho perlu membangkitkan kembali semangat barisan pemain-pemainnya agar tidak terus tercicir. Mungkinkah akan ada pembelian baharu yang bakal dilakukan Mourinho Januari ini bagi menjadikan skuadnya lebih kompetitif?

Saya berharap jika hal itu berlaku (United membeli pemain baharu), Mourinho mampu melakukan pembelian yang tepat sepertimana ketika Guardiola melakukan pelaburan bijak ke atas Ederson, Gabriel Jesus, Kyle Walker, Leroy Sane dan Kevin De Bruyne. Guardiola sudah menghabiskan £416 juta dalam usahanya menjadikan City skuad hampir sempurna, jadi saya tidak terkejut jika Mourinho turut melakukan hal yang sama. Jika bukan Januari ini, Mourinho pasti melakukannya pada musim panas nanti...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan