20 April 2020

CERITA TENTANG KEBANGKITAN FRED



Kleberson, Rodrigo Possebon, Anderson, kembar Da Silva antara pemain kelahiran Brazil yang pernah menyarung jersi Manchester United. Di antara mereka, tiada seorang pun (pada pandangan saya) berjaya meninggalkan impak besar sepanjang karier mereka di Old Trafford. Di antara mereka juga, sudah tentu Kleberson akan sentiasa dikenang sebagai kegagalan paling besar warga Brazil dengan jersi merah United, manakala potensi besar milik Possebon pula akhirnya malap apabila beliau sekadar melakukan tiga penampilan liga sepanjang tempoh hampir dua tahun berada di Old Trafford.

Berbanding Kleberson yang cuma mampu melakukan 20 penampilan liga sepanjang dua musim beliau di Old Trafford, Anderson pula lebih berjaya. Dari 2007 hingga 2015, Anderson berjaya memenangi empat medal kejuaraan Liga Perdana untuk United selain satu kejuaraan Piala Liga, Liga Juara-Juara, Kejuaraan Kelab Dunia dan dua Perisai Komuniti meskipun beliau bukanlah pemain regular dalam kesebelasan utama Sir Alex Ferguson. Bagi kembar Da Silva pula, kehadiran Louis Van Gaal pada 2014 meranapkan terus prospek mereka selaku pengganti kepada Gary dan Phil Neville disisi kanan dan kiri pertahanan United.

Dalam kem United ketika ini pula ada dua pemain Brazil yang anda sering lihat tampil dalam kesebelasan kendalian Ole Gunnar Solskjaer. Mereka yang saya maksudkan sudah tentu Fred dan Andreas Pereira. Pereira sudah berada di Old Trafford agak lama (sejak 2011), iaitu ketika zaman remajanya lagi menerusi program pembangunan bakat muda di akademi United. Manakala Fred pula dibeli Jose Mourinho dari Shakhtar Donetsk pada 2018 dengan harapan pemain itu mampu membentuk gandingan ampuh bersama Paul Pogba di bahagian tengah.

Legasi Dan Bahan Jenaka

Fred dan Pereira meneruskan jejak yang pernah ditinggalkan Kleberson, Anderson, Possebon dan kembar Da Silva selaku pemain Brazil yang berkelana di Old Trafford. Bagaimanapun perjalanan mereka sebagai pemain United bukanlah mudah sebagaimana yang pernah dilalui senior-senior mereka dari Brazil sebelum ini. The Sun umpamanya pada tahun lalu menyenaraikan Fred dalam senarai kesebelasan terburuk Liga Perdana bagi musim 2018/19 bersama-sama tiga lagi pemain United iaitu Alexis Sanchez, David de Gea dan Ashley Young.

Tidak cukup dengan `pengiktirafan’ yang diberikan oleh The Sun, prestasi Fred turut dijadikan sasaran kritikan oleh dua bekas pemain yang kini bertugas sebagai pundit, iaitu Gary Neville dan Martin Keown. “United sangat tidak kompeten dalam penguasaan bola. Fred pula adalah bahan jenaka ketika dia menguasai bola”, kata Keown ketika United tewas kepada Newcastle United musim lalu. Manakala kritikan dari Gary pula agak keras apabila beliau melabelkan Fred sebagai tidak layak beraksi untuk mana-mana kelab pertengahan liga sekalipun.

Musim pertamanya di Old Trafford, Fred terpaksa bergelut dalam usaha beliau menampilkan prestasi terbaiknya. Malahan penyokong-penyokong United sendiri agak lantang mengkritik penampilan beliau setiap kali diberikan peluang beraksi di atas padang. Melihat apa yang dilalui Fred, mungkin tiada siapa menyangka bahawa inilah pemain yang pernah mencetuskan minat kelab-kelab liga utama Eropah menerusi kualiti yang dipamerkannya di pentas Liga Juara-Juara selaku penggerak jentera tengah Shakhtar Donetsk.

Di sanalah (Liga Juara-Juara musim 2017/18) Fred mempamerkan bakatnya sebagai seorang anak kelahiran Belo Horizonte yang dikurniakan dengan DNA Jogo Bonito dalam skill permainannya. Lapan penampilan beliau dalam saingan Liga Juara-Juara musim tersebut, Fred melakukan 23 dribble sukses atau purata 2.88 per perlawanan. Jumlah tersebut mengatasi statistik yang dilakukan pemain-pemain yang beraksi di Liga Perdana seperti Paul Pogba (2.27), Ilkay Gundogan (1.97), Nemanja Matic (1.27) dan Kevin De Bruyne (2.44).

Selain daripada kemampuan beliau melakukan hantaran-hantaran berkualiti kepada rakan di barisan hadapan, Fred juga berjaya mencipta purata 1.13 peluang jaringan gol per perlawanan. Hanya Kevin de Bruyne sahaja satu-satunya pemain dari Liga Perdana yang memiliki statistik lebih baik daripada beliau dalam hal mencipta peluang jaringan gol. Jadi tidak hairanlah mengapa United meletakkan radar buruan mereka ke Ukraine dengan menjadikan Fred sebagai sasaran untuk di bawa masuk ke Old Trafford pada musim panas 2018.

Bukan Pilihan Mourinho?

Bagaimanapun ada laporan mengatakan bahawa Fred bukanlah pemain yang dimahukan Jose Mourinho kerana ketika itu beliau sebenarnya lebih kerap dikaitkan dengan kemungkinan mendapatkan khidmat Antoine Griezmann bagi memperkuatkan skuadnya. Mungkin atas sebab itulah mengapa Fred kerap dipinggirkan Mourinho di bangku simpanan, atau jika diturunkan sekalipun beliau diberikan peranan sebagai pemain tengah bertahan berbanding posisi terbaiknya selaku box to box midfielder sepertimana ketika eranya bersama Shakhtar Donetsk.

Jadi apa yang berlaku? Seperti yang dikatakan Keown dan Gary, Fred akhirnya kelihatan seperti bahan jenaka di atas padang. Bebanding aksinya ketika menyarung jersi Shakhtar Donetsk, Fred tidak lagi kelihatan dinamik sebagai seorang pemain tengah. Beliau hanya berlari ke segenap penjuru padang tanpa arah dan visi permainan. Sentuhan beliau sebagai seorang box to box midfielder yang dahulunya digunakan bagi merosakkan tempo permainan lawan ketika bertahan dan kreatif merancang serangan secara tiba-tiba hilang dengan sekelip mata.

Akibatnya sepanjang sebelas penampilan beliau di bawah kendalian Mourinho, Fred hilang penguasaan bola sebanyak 18 kali, 17 kali melakukan kekasaran, 13 kali melepaskan percubaan dan cuma empat kali sukses melakukan dribble. Takat kesabaran Mourinho terhadap Fred sampai ke kemuncaknya ketika United tewas kepada Valencia di peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara musim 2018/19. Selepas tamat perlawanan Mourinho mengeluarkan kenyataan secara terbuka bahawa tempoh Fred di Old Trafford sudah berakhir.

Mourinho Pergi

Bagaimanapun takdir Tuhan berkata sebaliknya kerana pada akhirnya Mourinho terpaksa berdepan kenyataan bahawa tempohnya di Old Trafford berakhir lebih awal berbanding Fred. Kehadiran Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengganti seolah-olah memberi sinar baharu kepada karier Fred. `Malam menakjubkan di Kota Paris’ boleh dianggap sebagai turning point kepada kebangkitan semula Fred, manakala kecederaan yang dialami Pogba rupa-rupanya satu rahmat yang tersembunyi buat beliau.

Ketinggalan 0-2 pada aksi pertama pusingan kalah mati 16 pasukan kepada Paris St Germain, tiada siapa pun ketika itu yang sanggup bertaruh bahawa United mampu memadam kelebihan dua gol dimiliki lawan. Kota Paris menjadi saksi dan meskipun nama Romelu Lukaku serta Marcus Rashford dijadikan headline akhbar kerana gol jaringan mereka, Fred adalah wira tidak didendang di malam penuh `romantisme’ itu.

Sepanjang aksi di Parc des Princes itu, peratusan hantaran tepat yang dilakukannya mencapai 90%, melakukan tujuh ball recoveries, melakukan tiga tackle bersih, dua kali memenangi perebutan bola manakala hantaran-hantaran jauh yang dilakukannya tidak pernah tersasar kepada rakan. Malah ketika United disingkir Barcelona pun, Fred masih mampu tampil impresif dalam kedua-dua aksi timbal balik itu apabila catatan statistiknya menunjukkan beliau melakukan 90 sentuhan, 74 hantaran tepat dan 15 ball recoveries.

Fred akhirnya membuktikan kebenaran, jika beliau diletakkan diposisi idealnya, maka beliau mampu memberikan prestasi terbaiknya. Terlihat sekarang bagaimana Fred sangat optimal menerusi peranan yang dimainkannya sebagai seorang box to box midfielder, dimana beliau banyak terlibat dalam setiap gerakan-gerakan di zon pertahanan lawan. Akhirnya fakta sekali lagi berbicara apabila dalam tempoh lima bulan terakhir, Fred muncul pemain United paling banyak mencipta peluang dalam saingan liga.

Penutup

£52 juta yang dibelanjakan United bagi mendapatkan khidmatnya kelihatan kini sudah mula membuahkan hasil. Berbanding musim pertamanya di Old Trafford, Fred kini adalah antara key player dalam barisan kendalian Solskjaer. Beliau menjadi antara pemain penting di bahagian tengah kerana kemampuan yang dimilikinya untuk merebut bola, melakukan tekanan, visi permainan, bekalan hantaran-hantaran berkualiti dari sepasang kakinya terus kepada rakan di barisan hadapan, juga kerana kebolehannya melakukan dribble.

Peningkatan Fred musim ini bukan sahaja dapat anda saksikan menerusi penampilannya di atas padang tetapi juga statistik permainannya. Musim ini Fred mencipta purata 1.3 peluang jaringan gol (berbanding 0.9 musim lalu). Peratus ketepatan hantarannya meningkat dari 85.3% kepada 91.4% dan purata dribble yang dilakukannya dalam setiap perlawanan bertambah dari 0.9 kepada 1.7. Dalam hal defensif pula, Fred melakukan purata 1.7 intercept setiap perlawanan berbanding 1.4, serta 1.3 clearance berbanding 0.7 yang dilakukannya musim lalu.

Apakah rahsia sebenar Fred mampu bertahan di sebalik hujan kritikan yang diterimanya ketika fasa awal kedatangan beliau di Old Trafford? Bagi mana-mana insan, kekuatan mental adalah aspek paling penting jika mereka mahu keluar dari tekanan dan Fred juga tidak terkecuali. Kerana kekuatan mentalnya jugalah Fred sering muncul antara pemain paling menonjol dalam mana-mana perlawanan besar sepertimana saat United menyingkirkan PSG atau ketika beliau mempamerkan prestasi luar biasanya dalam tiga aksi Manchester Derby musim ini.

Jadi tidak hairanlah mengapa Pep Guardiola melabelkan beliau sebagai pemain yang `luar biasa’. Ramai yang bertanya apakah nasib Fred jika Paul Pogba kembali beraksi nanti? Jawapannya mudah, kerana melihat kepada prestasi United dan keserasian yang berjaya mereka bentuk terutamanya di bahagian tengah, anda sepatutnya sudah boleh berlapang dada dan mengakui hakikat bahawa The Red Devils kini sebenarnya beraksi lebih baik tanpa Pogba. Kehadiran Bruno Fernandes menerusi kreativitinya, kebangkitan Fred, konsistensi Scott McTominay dan kekuatan seorang Nemanja Matic menunjukkan bahawa United boleh hidup dan berdiri tanpa Pogba jika beliau mahu pergi.

Fred kini sudah berjaya mengenggam satu posisi di bahagian tengah United, jadi tugas seterusnya yang perlu dilakukan beliau ialah merebut pula tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan Brazil. Melihat kepada prestasi semasa yang dipamerkan Fernandinho atau Casemiro, percayalah waktu itu sudah semakin hampir untuk beliau. Semoga `cuti panjang’ kerana penularan wabak Covid-19 tidak menghentikan kebangkitan seorang pemain bernama Frederico Rodrigues de Paula Santos ini. Dahulunya beliau seperti tidak diperlukan, kini aksinya sering dinantikan, semuanya kerana kemampuan beliau mengubah cacian menjadi pujian. Glory Glory Manchester United!!!

#Covid-19
#StayatHome

Tiada ulasan:

Catat Ulasan