08 April 2020

NORMAN WHITESIDE DAN BERMULANYA KISAH CINTA SAYA TERHADAP MANCHESTER UNITED




Aksi final Piala FA edisi 1985 antara Manchester United dan Everton akan sentiasa terpahat selamanya dalam ingatan saya. Perlawanan akhir ini sangat istimewa bagi saya bukan kerana United berjaya menjulang trofi ini buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun. Bukan juga kerana barisan The Red Devils berjaya menundukkan Everton selaku pasukan pilihan dalam perlawanan ini. Tetapi pertembungan final inilah sebenarnya yang mencetuskan kepada minat saya terhadap Manchester United.

Semuanya gara-gara seorang sosok pemain muda ketika itu yang bernama Norman Whiteside. Pada final Piala FA edisi 1983, Whiteside turut mencetuskan sensasi apabila beliau berjaya membantu United menjulang kejuaraan Piala FA selepas barisan bimbingan Ron Atkinson itu menewaskan Brighton (4-0) menerusi dua gol sumbangan Bryan Robson, dan satu gol masing-masing menerusi Whiteside dan Arnold Muhren. Ini merupakan trofi pertama Atkinson selaku pengurus United selepas beliau menggantikan posisi Dave Sexton dua tahun sebelumnya.

Pada usia 18 tahun 18 hari, gol Whiteside ke gawang Brighton itu meletakkan beliau selaku penjaring gol termuda di final Piala FA. Ini bukanlah sensasi pertama yang dicetuskan Whiteside, kerana dua bulan sebelum itu beliau turut melakukan hal yang sama. Meskipun United tewas dalam aksi final Piala Liga kepada Livepool, namun rembatannya yang menewaskan Bruce Grobbelaar meletakkan Whiteside selaku penjaring termuda di pentas final kejohanan kalah mati tersebut pada usia 17 tahun 323 hari.

Situasi Whiteside ketika itu sebenarnya mirip apa yang dinikmati Marcus Rashford tiga musim lalu atau Mason Greenwood ketika ini. Selaku pemain muda, Whiteside menjadi tumpuan penyokong-penyokong United yang berharap agar beliau mampu muncul bintang besar di Old Trafford suatu hari nanti. Sejak usianya 14 tahun lagi, Whiteside sudah dibandingkan dengan George Best yang juga merupakan legenda United. Sepertimana Best, Whiteside juga berperanan sebagai pemain sayap, lincah dan mereka juga berasal dari bandar yang sama iaitu Belfast.

Tambah menarik, bakat dan potensi besar yang dimiliki Whiteside berjaya dihidu Bob Bishop, individu sama yang berjaya mengetengahkan Best hinggakan warga Ireland Utara itu muncul bintang paling sensasi di Old Trafford ketika era kegemilangannya sebagai pemain. Melihat kepada berbagai persamaan yang dimiliki Whiteside dan legenda `nombor 7’ United itu, maka tidak hairanlah mengapa para Stretford Enders menaruh harapan tinggi agar beliau mampu mengikut jejak Best suatu hari nanti.

Kontrak Dari United

Sebelum menyertai United, bakat Whiteside sebenarnya pernah menarik perhatian Jim Rodgers yang juga merupakan pencari bakat bagi Ipswich Town. Bagaimanapun cadangan Rodgers agar Whiteside diberikan peluang untuk melakukan sesi trial bersama Ipswich ditolak Bobby Robson (pengurus Ipswich ketika itu) kerana usianya yang baru mencecah 13 tahun.

Ditolak Bobby Robson bukanlah pengakhiran kepada cita-cita Whiteside untuk menjadi pemain bolasepak profesional kerana peluang ini kemudiannya dimanfaatkan oleh Bishop yang menawarkan kepada beliau satu sesi trial bersama United. “Saya berusia 13 tahun ketika itu dan bergegas ke Old Trafford untuk menemui Sir Matt Busby dan Jimmy Murphy”, imbas Whiteside.

“Sir Matt kemudiannya datang memeluk saya dan berkata, kami akan menjaga kamu, nikmati sahaja waktu-waktu kamu di Manchester United” kata Whiteside lagi. Menyedari potensi besar dimiliki anak muda ini, pihak pengurusan United kemudiannya menawarkan kontrak selama setahun sebagai pemain remaja dan tiga tahun sebagai pemain profesional kepada beliau.

Dari seorang pemain muda yang cuma beraksi untuk skuad remaja United, beliau kemudiannya diberikan peluang `melompat’ ke skuad utama pada usia hanya 17 tahun tanpa perlu beraksi bersama skuad simpanan terlebih dahulu. “Norman luar biasa. Orang mengatakan dia sangat kompetitif tapi saya inginkan katakan kepada anda bahawa dia memiliki `otak bolasepak’ yang fenomenal”, kata Atkinson.

Sensasi Baharu

Perjalanan karier Whiteside di peringkat awal bersama United memang sensasi, tetapi beliau bagaimanapun terpaksa berdepan isu yang boleh membunuh karier mana-mana pemain muda sepertinya iaitu masalah kecederaan. Pada Julai 1981, beliau terpaksa menjalani pembedahan lutut yang memaksanya berehat selama enam bulan. Selepas pulih sepenuhnya, kesempatan untuk beraksi bersama skuad utama hadir pada April 1982 apabila beliau diturunkan selama 12 minit ketika aksi liga menentang Brighton.

Meskipun cuma beraksi selama 12 minit, perlawanan ini sangat istimewa buat Whiteside kerana beliau muncul pemain termuda United yang melakukan debut selepas Duncan Edward pada 1953. Mengimbas akan momen tersebut, beliau berkata. “Sebuah momen hebat bagi budak berusia 16 tahun. Saya tahu itu adalah pencapaian yang istimewa kerana tidak banyak peman berusia 16 tahun yang berpeluang bermain untuk United”. Akhirnya pada usia 17 tahun, barulah beliau menandatangani kontrak profesionalnya bersama United.

Pada minggu terakhir kempen Liga Inggeris musim 1981/82, atau lebih tepatnya selepas lapan hari Whiteside merayakan ulang tahun ke17-nya, beliau diturunkan dalam kesebelasan utama United ketika mereka berdepan Stoke City. United menewaskan Stoke (2-0) dalam perlawanan itu, dan beliau pula menjaringkan satu gol pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama The Red Devils. Dua penampilan liga, 102 minit permainan dan satu gol yang dijaringkannya adalah isyarat jelas daripada beliau bahawa penyokong-penyokong United bakal menyaksikan kelahiran bintang baharu di Old Trafford.

Sensasi yang dicetuskan Whiteside di Old Trafford menarik minat Billy Bingham yang juga merupakan pengendali skuad kebangsaan Ireland Utara untuk menyenaraikan namanya bersama 21 lagi pemain ke kempen pusingan akhir Piala Dunia 1982. Sebagai pemain yang masih mentah, keputusan Bingham membawa Whiteside ke Sepanyol mengejutkan ramai pihak. Dan tambah mengejutkan apabila Bingham turut menurunkan Whiteside dalam kesebelasan utama skuadnya pada semua aksi Ireland Utara dalam kempen Piala Dunia mereka ketika itu.

Whiteside tidak menjaringkan sebarang gol dalam kempen Piala Dunia bersama skuad kebangsaan, tetapi peluang beraksi menentang pemain-pemain hebat seperti Michel Platini, Jean Tigana dan Juanito adalah pengalaman paling berharga buat pemain muda sepertinya. Di bumi Sepanyol, beliau gagal membantu Ireland Utara mara ke pusingan kalah mati, tetapi pada usia 17 tahun dan 41 hari, Whiteside meninggalkan tanah matador itu dengan rekod selaku pemain termuda pernah beraksi di pusingan akhir Piala Dunia.

Kembali Ke Old Trafford

Piala Dunia 1982 sebenarnya memberikan kesan yang sangat signifikan kepada perkembangan karier Whiteside. Selepas kembali semula ke Old Trafford, beliau berjaya meletakkan namanya selaku antara pemain utama dalam skuad Atkinson. Bersama Frank Stapleton, Whiteside berjaya membentuk gandingan digeruni di barisan hadapan United. Sepanjang musim, beliau berjaya menjaringkan 14 gol dalam semua peringkat kejohanan dan cuma terlepas tiga aksi dari 60 keseluruhan perlawanan membabitkan United.

Penampilan cemerlang Whiteside sepanjang musim 1982/83 antara faktor mengapa United mampu mara di dua pentas final (Piala Liga dan Piala FA) musim tersebut. Walaupun tewas kepada Liverpool di final Piala Liga, United menamatkan musim 1982/83 menerusi kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA dengan Whiteside pula muncul pemain termuda yang menjaringkan gol di pentas final dua kejohanan tersebut. Prestasi terpuji yang ditampilkan Whiteside akhirnya menarik minat AC Milan untuk membawa beliau beraksi di Itali.

Laporan ketika itu menyebut bahawa gergasi Itali itu menawarkan wang sebanyak £1.5 juta kepada United bagi mendapatkan tandatangan Whiteside. Bagaimanapun tawaran tersebut ditolak United selain Whiteside sendiri memilih untuk terus kekal beraksi di Old Trafford. Musim 1983/84 menyaksikan perubahan besar dalam karier beliau apabila posisinya sebagai penyerang dipindahkan ke bahagian sayap oleh Atkinson. Kehadiran Garth Crook dan Mark Hughes menyebabkan Atkinson tiada pilihan lain selain menolak posisi Whiteside ke sebelah sisi.

Meskipun tindakan itu dikritik ramai pihak, namun Atkinson bertegas dengan keputusan yang diambil beliau. Walaupun posisinya sudah dialih dari penyerang ke sebelah sisi, produktiviti Whiteside dalam menghasilkan gol tidak terjejas. Musim 1983/84, beliau berada di kedudukan ketiga selaku penjaring terbanyak untuk United menerusi 12 gol yang dihasilkannya di belakang Frank Stapleton dan Bryan Robson. United bagaimanapun menamatkan musim tersebut tanpa sebarang kejuaraan.

Musim 1984/85

Musim 1984/85 adalah musim yang sukar dalam karier Whiteside. Sehingga bulan Februari 1985, Atkinson hanya menurunkan beliau dalam kesebelasan utamanya sebanyak lapan kali. Kesukaran Whiteside merebut tempat dalam kesebelasan utama United sebenarnya berpunca dari keputusan kelab mendapatkan khidmat Alan Brazil serta konsistensi yang dipamerkan Mark Hughes di barisan hadapan.

Bagaimanapun peluang akhirnya datang juga apabila Remi Moses mengalami kecederaan dan Whiteside kembali mendapat tempatnya dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap. Kali ini bukan Frank Stapleton atau Mark Hughes yang dijadikan rakan gandingannya, sebaliknya Atkinson mengarah Whiteside bermain bersama Bryan Robson di bahagian tengah.

Gandingan beliau bersama Robson menjadikan bahagian tengah United semakin solid. Akhirnya selepas berdepan detik sukar hampir separuh musim, musim 1984/85 pastinya akan dikenang Whiteside sepanjang hidupnya. Hatrik yang diledak beliau ke gawang West Ham merupakan satu-satunya hatrik dari beliau sepanjang kariernya sebagai pemain, juga jaringan beliau ke gawang Everton yang memberikan United kejuaraan Piala FA kedua dalam tempoh tiga tahun.

Final Piala FA

United berjaya melangkah ke pentas final buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun. Jika pada edisi 1983, United tampak mudah menakluk pentas final, tetapi kali ini kesebelasan yang mereka hadapi bukanlah calang-calang pasukan. Yang menanti mereka pada pertarungan akhir di Wembley nanti ialah Everton, kesebelasan hampir sempurna yang baru sahaja dinobatkan selaku juara liga dan Cup Winners Cup. Secara tepatnya berbekalkan prestasi semasa dan pemain yang mereka miliki, Everton adalah pasukan yang jauh lebih unggul di pentas final berbanding United.

Howard Kendall ketika itu memiliki skuad yang seimbang hampir disemua posisi. Di barisan hadapan beliau memiliki Andy Gray yang sangat prolifik bersama Graeme Sharp yang merupakan rakan gandingannya. Di bahagian tengah, Everton sangat solid menerusi kombinasi Peter Reid, Trevor Steven, Paul Bracewell dan Kevin Sheedy. Manakala ketenangan Kevin Ratcliffe mengawal benteng tengah sambil dibantu Pat Van Den Hauwe, Gary Stevens dan Derek Mountfield menjadikan gawang Neville Souhtall sukar ditembusi.

Secara peribadi ketika itu, saya bukanlah penyokong mana-mana kelab Inggeris kerana pada usia yang terlalu mentah (kanak-kanak), saya agak naif tentang bolasepak. Untuk aksi final itu pula, saya memilih United atas kapasiti mereka sebagai pasukan underdog. Memang ketika itu saya sebenarnya agak cenderung memilih pasukan underdog (hingga sekarang pun masih begitu kecuali perlawanan membabitkan United) setiap kali menonton perlawanan-perlawanan bolasepak di kaca televisyen.

Selepas terikat 0-0 sepanjang tempoh 90 minit permainan, perlawanan akhir itu dilanjutkan hingga kemasa tambahan. Akhirnya diminit ke-110 berlakulah keajaiban yang ditunggu-tunggu. Masih jelas diingatan bagaimana Whiteside yang menerima hantaran dari Mark Hughes di sebelah kanan, melakukan sedikit step over sebelum melepaskan rembatan lencong dari kaki kiri yang menewaskan Neville Southall. Gol itu juga diletakkan dalam senarai antara gol tercantik yang pernah dijaringkan dalam final Piala FA.

Gol itu bukan sahaja istimewa buat Whiteside, tetapi juga sangat istimewa buat diri saya. Gol itu memberikan Whiteside medal kejuaraan keduanya bersama United, tetapi bagi saya pula gol itulah yang mencetuskan minat saya kepada Manchester United. Satu kegembiraan yang tidak terhingga bagi seorang kanak-kanak melihat pasukan yang disokongnya menang. Bermula dari detik itulah saya secara perlahan-lahan mula meminati United walaupun akses untuk menonton aksi-aksi mereka secara langsung ketika itu tidaklah seluas sekarang.

Penutup

Selepas itu, Whiteside semakin matang sebagai pemain seiring peningkatan usianya. Beberapa kali juga di era pengurusan Atkinson beliau diamanahkan memakai armband ketua pasukan sekaligus meletakkan namanya selaku kapten termuda United sejak Duncan Edwards pada 1958. Selain itu, beliau juga berjaya melakukan 200 penampilan untuk United lantas meletakkan dirinya dalam senarai pemain termuda yang pernah melakukan 200 penampilan dengan jersi merah United.

Dua kejuaraan Piala FA sebenarnya bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan bagi kelab seperti United. Atas sebab itulah mengapa pihak pengurusan akhirnya memecat Atkinson dan menggantikan beliau dengan Alex Ferguson pada 1986. Yang didambakan penyokong-penyokong United ialah kejuaraan liga yang kali terakhir mereka menangi pada 1967. Di era Fergie, Whiteside kembali bermain sebagai penyerang tetapi prestasinya tidak lagi seperti dulu akibat dari kecederaan lutut yang dialaminya.

Ketika Fergie berusaha membina semula skuad United mengikut acuannya sendiri, beberapa pemain utama seperti Gordon Strachan, Paul McGarth dan Whiteside merasakan saatnya sudah tiba untuk mereka berpindah. Kecederaan adalah faktor utama penurunan prestasi Whiteside, tambahan pula United ketika itu membawa masuk pemain yang lebih segar seperti Brian McClair dan Peter Davenport hingga menyebabkan beliau terpaksa beraksi semula di bahagian tengah selain pernah `hilang’ selama setahun akibat kecederaan.

Pada musim panas 1988, Whiteside nyaris menyertai Portland Timbers yang berpangkalan di Amerika Syarikat, namun malangnya perpindahan beliau tertunda kerana masalah kecederaan yang dialaminya. Beliau kekal di Old Trafford tetapi sepanjang musim 1988/89, Whiteside hanya tampil enam perlawanan untuk United. Kembalinya Mark Hughes dari Barcelona menutup sama sekali peluangnya untuk bermain di barisan hadapan, manakala kehadiran Neil Webb dan Paul Ince menjadikan zon tengah skuad Fergie semakin sesak.

Whiteside akhirnya menyertai Everton pada musim panas 1989 menerusi nilai perpindahan sebanyak £600 ribu. Di Goodison Park, situasinya masih tetap tidak berubah kerana masalah kecederaan masih menghantui Whiteside. Tiada pilihan lain kerana beliau nampaknya terpaksa kembali ke meja pembedahan. Bagaimanapun selepas itu beliau tidak lagi mampu merebut tempatnya dalam skuad utama Everton dan selepas musim 1990/91 berakhir, Whiteside mengumumkan persaraannya pada usia 26 tahun.

Apa yang berlaku kepada Whiteside sebenarnya mirip kepada perjalanan karier George Best. Kedua-duanya terpaksa bersara pada usia yang masih muda, cuma yang membezakan ialah karier Best hancur disebabkan ketagihan beliau kepada alkohol. Whiteside mungkin bukan pemain yang hebat untuk diingati berbanding legenda-legenda United yang lain seperti Sir Bobby Charlton, George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham, Roy Keane, Wayne Rooney atau Ryan Giggs. Tetapi nama Norman Whiteside tetap istimewa dan akan sentiasa terpahat dalam ingatan saya sebagai penyokong United.

Kerana jaringan cantiknya ke gawang Everton itulah saya mula mengenali dan meminati United. Dan kerana jaringan itu jugalah impian Everton (yang sebelumnya sudahpun menjulang kejuaraan liga dan Cup Winners Cup) menamatkan musim 1984/85 dengan kejuaraan treble musnah. Sejak itu juga pemain-pemain handalan silih berganti datang dan pergi meninggalkan kelab, tetapi tetap ada satu nama yang kekal istimewa di dalam ingatan saya. Beliau tentunya Norman Whiteside, pencetus kepada cinta saya terhadap Manchester United dari zaman kanak-kanak hinggalah sekarang. Glory Glory Manchester United!!!

#covid19
#stayathome

Tiada ulasan:

Catat Ulasan