Apakah yang dimaksudkan dengan Fergie
Time? Benarkah `mitos’ yang mengatakan bahawa Sir Alex Ferguson sering
beroleh keuntungan dari Fergie Time ini kerana pengadil memberikan
tambahan waktu yang lebih panjang di masa kecederaan tatkala United sedang
ketinggalan atau perlukan satu gol untuk meraih kemenangan? Ya…memang pada
awalnya ia merupakan mitos kerana ketika itu timbul khabar angin yang mengatakan
bahawa pengadil sengaja memanjangkan tempoh masa permainan di waktu kecederaan
ketika United sedang ketinggalan.
Penyebab utamanya bagi mereka
yang mencipta `mitos’ ini mengatakan bahawa Fergie sering membuatkan pengadil
tertekan menerusi jeritan-jeritan beliau dari tepi padang sambil menunjukkan
jam ditangannya ketika kesebelasan pemainnya sedang berdepan detik kritikal. Ketika
tempoh tambahan masa di waktu kecederaan inilah biasanya keajaiban hadir
membantu United. Tatkala lawan sedang menghitung detik-detik akhir permainan
untuk keluar sebagai pemenang atau mencuri satu mata, ketika inilah gol penting
diminit-minit terakhir itu hadir.
Gol penting minit-minit akhir
perlawanan adalah sesuatu yang sangat kejam, jadi sudah tentu tiada mana-mana
penyokong lawan yang suka dengan perkara ini. Jadi di sinilah bermulanya
`mitos’ Fergie Time. Namun begitu, bilakah bermulanya `mitos’ Fergie
Time ini yang sehingga sekarang masih kekal menjadi legenda dan sering
menghantui pasukan lawan biarpun sudah tujuh tahun Fergie bersara? Semuanya
bermula kira-kira 27 tahun lalu, atau lebih tepatnya ia berlaku pada 10 April
1993 dalam aksi ke-37 United disaingan liga.
Kisah Bermula
Manchester United memerlukan
tempoh selama 26 tahun untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga mereka sejak
kali terakhir barisan kendalian Sir Matt Busby melakukannya pada 1967. Kisah Fergie
Time ini bermula pada musim 1992/93, musim di mana United melakar sejarah
selaku kesebelasan pertama menjulang trofi liga selepas kasta liga tertinggi
bolasepak Inggeris itu dijenamakan semula dari Liga Divisyen 1 kepada Liga
Perdana. Aksi menentang Blackburn Rovers pada 3 Mei 1993, United akhirnya
berjaya mengesahkan kejuaraan liga milik mereka, yang juga merupakan kejuaraan
liga kelapan dalam sejarah kelab serta yang pertama di era Liga Perdana.
Tetapi 23 hari sebelum itu, ada
perlawanan penting yang akan sentiasa dikenang oleh para penyokong United,
iaitu ketika mereka menewaskan Sheffield Wednesday secara dramatik di Old
Trafford. Aksi ke-37 liga antara United dan Sheffield Wednesday itu adalah
perlawanan yang sangat penting kepada survival Fergie dalam usahanya mengemudi
United menjulang kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun. Ketika
itu United, Aston Villa dan Norwich City adalah pasukan yang sedang bersaing
hebat di kelompok tiga teratas dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga.
Sebelum aksi menentang
Sheffield Wednesday itu berlangsung, Villa berada di kedudukan pertama carta
liga selepas mereka mengumpul 67 mata, manakala United di kedudukan kedua
dengan 66 mata manakala Norwich pula di tangga ketiga dengan 65 mata.
Berbanding Villa dan United, Norwich bagaimanapun sudah bermain lebih satu
perlawanan. Perlawanan menentang Sheffield Wednesday itu bukan sahaja sengit
tetapi turut diwarnai dengan kecederaan (achilles) dialami Michael Peck yang
juga merupakan pengadil perlawanan selepas 15 minit aksi babak kedua
berlangsung.
Hanya lima minit selepas masuk
mengambilalih tugas Peck, John Hilditch kemudiannya menghadiahkan sepakan
penalti kepada pelawat yang berjaya disempurnakan John Sheridan (di minit
ke-65). Tiga mata adalah misi yang wajib disempurnakan barisan The Red
Devils dalam perlawanan itu jika mereka mahu terus memberikan tekanan
kepada Villa selaku pendahulu liga. Jadi ketinggalan 0-1 kepada lawan ketika
tempoh permainan sebenar cuma berbaki 25 minit sebelum ditamatkan bukanlah
sesuatu yang ingin dilihat oleh penyokong-penyokong United.
Gol penyamaan akhirnya hadir di
minit ke-86 menerusi tandukan Steve Bruce hasil dari sepakan sudut Paul Ince,
namun ianya dilihat agak terlewat bagi menyelamatkan misi tiga mata United
dalam perlawanan itu. Satu mata tidak memadai dan ketakutan musim sebelumnya
ketika mereka dikecewakan Leeds United dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga
kini kembali menghantui penyokong-penyokong United. Keajaiban akhirnya datang
di minit-minit akhir perlawanan apabila kepala Steve Bruce sekali lagi menemui
sasaran.
Umpanan silang Gary Pallister
berjaya disempurnakan Bruce apabila tandukan beliau menewaskan Chris Woods buat
kali kedua diminit ke-96 masa kecederaan sekaligus menghadiahkan tiga mata yang
sangat dimahukan Fergie. Seluruh Theatre of Dreams bergema, Bruce
berlari merayakan gol jaringannya, Fergie melompat kegirangan manakala Brian
Kidd berlari masuk ke dalam padang sambil berlutut dan mengenggam kedua
tangannya di udara. Gol kemenangan jaringan Bruce bukan sahaja penting kepada
misi United, tetapi juga akan sentiasa dikenang sebagai salah satu perayaan
jaringan gol paling ikonik dalam sejarah kelab.
Tambah manis, kemenangan
dramatik yang dilakar United ke atas Sheffield Wednesday ini akhirnya
meletakkan mereka di tangga teratas liga selepas Villa sekadar mengutip satu
mata ketika mereka berdepan Coventry City. Fergie Time umpama satu
anugerah untuk United, tetapi bagi lawan pula ia adalah musibah. Inilah yang
berlaku kepada Sheffield Wednesday, kesebelasan pertama yang menjadi korban
kepada Fergie Time. Trevor Francis yang juga merupakan pengurus mereka
ketika itu jelas berang dengan keputusan Hilditch memberikan tambahan masa
sehingga enam minit.
Tambahan masa yang diberikan
Hilditch ketika itu memang agak panjang iaitu selama enam minit, jadi tidak
hairanlah mengapa keputusan beliau menimbulkan sedikit kontroversi. Mengambil
kira kecederaan dialami pengadil utama perlawanan (Michael Peck), kekasaran
demi kekasaran yang dilakukan pemain kedua-dua pasukan serta beberapa siri
kecederaan yang dialami pemain hingga menyebabkan permainan terpaksa dihentikan
menjadi asas pertimbangan Hilditch untuk melanjutkan tempoh permainan sehingga
enam minit.
6 Atau 12 Minit?
Momen tersebut diakui merupakan
kali pertama United meraih keuntungan hasil dari gol lewat permainan yang dijaringkan
mereka di era Liga Perdana. Dan sebagai individu yang bertanggungjawab sehingga
berlakunya Fergie Time pertama di dunia, Hilditch berkata, “Dahulu tiada
pegawai keempat yang bertugas menjaga tempoh masa permainan. Jadi tanpa pegawai
keempat, Sir Alex Ferguson dilihat mampu memanipulasi pengadil. Setidaknya
itulah tanggapan umum kepada beliau selama ini”.
“Ketika itu Mike memberikan jamnya
kepada saya, tetapi saya menolaknya kerana saya memiliki jam sendiri. Biar saya
sendiri yang menentukan baki permainan yang perlu diharungi menerusi jam yang
ada di tangan saya”, kata Hilditch lagi. Hilditch turut mengakui meskipun
teknologi dalam dunia bolasepak semakin berkembang, namun ianya tetap tidak banyak
mempengaruhi perjalanan sesebuah perlawanan dengan terlalu signifikan. Mungkin
atas sebab itulah beliau berpendapat mengapa `mitos’ Fergie Time mampu
bertahan sehingga sekarang.
Berbanding Trevor Francis,
Fergie pula berpendapat enam minit tambahan masa yang diberikan Hilditch itu
masih kurang berbanding kiraan yang dilakukan beliau. “Tambahan masa yang
diberikan itu adalah sah. Pada malam hari selepas perlawanan, saya menonton
kembali rakaman video perlawanan itu dengan stopwatch. Saya menghitung
setiap masa permainan yang terhenti kerana kecederaan atau penggantian pemain.
Cuba teka berapa lama masa tambahan yang sepatutnya mereka berikan? 12 minit!”,
kata Fergie dalam bukunya berjudul Managing My Life.
Bukan Sekadar Mitos
Keberadaan Fergie di tepi
padang memang mempersonakan serta penambah rencah kepada sebuah perlawanan
bolasepak. Kadangkala beliau kelihatan sangat santai dan kadangkala emosinya
sangat meluap-luap. Keberhasilan beliau mengemudi kesebelasan pemainnya menjulang
banyak kejuaraan besar meletakkan Fergie antara pengurus terbaik pernah
dilahirkan dalam dunia bolasepak. Selain deretan trofi kejuaraan, Fergie juga
sangat terkenal dengan istilah Fergie Time yang menjadi momokan kepada
mana-mana pasukan lawan.
Seperti sudah menjadi kelaziman
buat barisan The Red Devils kendalian beliau menjaringkan gol di
minit-minit akhir permainan menerusi Fergie Time dan kemudiannya menjadi
identiti kelab ketika era pengurusan Fergie. “Itu adalah falsafah yang
ditanamkan Fergie kepada setiap pemainnya. Fergie akan membuatkan setiap
pemainnya selesa bila bola berada di kaki mereka. Semua orang bercakap tentang
kemenangan kami ke atas Sheffield seolah-olah kami sudah menang kejuaraan
sedangkan ia cumalah perlawanan yang dramatik”, imbas Steve Bruce.
Hasil dari kemenangan ke atas
Sheffield Wednesday pada 10 April 1993 itu, United berjaya memintas kedudukan
Villa selaku pendahulu liga dan mereka akhirnya mengesahkan kejuaraan liga
sebelum aksi menentang Blackburn Rovers, 23 hari selepas itu. Sejak itu juga
kecurigaan lawan terhadap barisan Fergie mula merebak dan pertanyaan mula
timbul sama ada benarkah United sering diberikan tambahan masa lebih panjang
oleh pengadil perlawanan ketika mereka sedang ketinggalan berbanding
seteru-seteru domestik mereka yang lain?
Untuk itu, Graham Poll yang
juga merupakan bekas pengadil di Liga Perdana dalam kolumnya di Daily Mail
mengatakan bahawa memang sentiasa wujud tekanan kepada mana-mana pengadil untuk
mengelakkan kelab-kelab besar dari tewas dalam satu-satu perlawanan apatah
lagi jika ianya berlangsung di gelanggang mereka sendiri. Statistik tiga musim
terakhir Fergie di Old Trafford juga menunjukkan bahawa United bermain 79 saat
lebih lama ketika mereka tewas berbanding perlawanan-perlawanan yang dimenangi
mereka.
Bagaimanapun Fergie Time
bukan sekadar `mitos’ kerana salah satu keajaiban paling indah dari kisah Fergie
Time ini ialah ketika United menewaskan Bayern Munich di pentas final Liga
Juara-Juara edisi 1999. Gol jaringan Mario Basler kekal menjadi pemisah
sehingga perlawanan memasuki minit ke-90. Ketika penyokong-penyokong United
mengharapkan adanya keajaiban pada baki masa permainan yang tinggal, para penyokong
Bayern pula sudah bersedia meraikan kejuaraan Eropah keempat buat gergasi Bundesliga itu.
Akhirnya keajaiban yang
ditunggu penyokong-penyokong United tiba jua. Ketika Fergie tidak jemu-jemu
memotivasikan para pemainnya sambil sesekali melihat jam ditangan, Teddy Sheringham menjaringkan gol penyamaan. Tidak lama selepas itu, giliran Ole Gunnar Solskjaer pula menemui sasaran menerusi sentuhan jarak dekatnya yang
menewaskan Oliver Kahn. Dua gol dari dua pemain gantian ini yang merentap ego
Bayern berlaku dalam tempoh tiga minit tambahan masa di waktu kecederaan. Atau
lebih tepatnya ia berlaku di waktu Fergie Time.
Kisah Manchester Derby
pada tahun 2009 juga tidak kurang menariknya. Tatkala keputusan di scoreboard
menunjukkan kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 3-3 hingga permainan
memasuki minit ke-90, pengawai keempat pula memberikan tambahan masa selama
empat minit sahaja. Ketika permainan sudah melepasi tempoh empat minit tambahan
masa, pegadil perlawanan ketika itu (Martin Atkinson) bertindak meneruskan
permainan. Akibatnya Michael Owen menjaringkan gol kemenangan yang menyebabkan
Mark Hughes hampir `histeria’ di tepi padang.
Pengakuan Fergie
Fergie mengakui bahawa
sepanjang kariernya sebagai pengurus, beliau memang sentiasa berusaha
memberikan tekanan kepada pegawai perlawanan. Bertekak dengan pegawai di tepi padang
atau di terowong pemain ketika berjalan menuju ke bilik persalinan, melontar
komen-komen pedas tentang mutu pengadilan di sidang media, atau apa sahaja akan
cuba dilakukan Fergie demi membolehkan pasukannya beroleh keuntungan. Menjelang
perlawanan terakhir sebagai pengurus United, Fergie mendedahkan apa yang beliau
lakukan pada perlawanan sebelumnya ketika pasukannya berdepan Swansea City.
“Pada hari minggu 12 Mei 2013
ketika kami menentang Swansea, pegawai keempat memberikan tambahan masa selama
lapan minit. Kemudian saya beritahu dia, “fikirkan lagi”. Tetapi apa yang saya
lakukan itu sebenarnya sebahagian dari permainan, iaitu tekanan yang cuba saya
berikan kepada pengadil. Tetapi saya juga bermain permainan psikologi dengan
pasukan lawan agar mereka tertekan”, kata Fergie kepada ESPN. Akhirnya Fergie
mengakui bahawa taktiknya berdiri di tepi garisan padang sambil menunjukkan
jamnya adalah bertujuan mempengaruhi pengadil.
Fergie Time adalah
helah Fergie untuk cuba memanipulasi pegawai perlawanan, setidak-tidaknya
itulah yang pernah beliau dedahkan pada 2014. “Saya bukanlah mahu melihat waktu
di jam tangan saya sangat. Saya melakukannya agar pengadil dan lawan tertekan.
Saya tidak pernah tahu berapa baki masa permainan yang tinggal. Pada 10 hingga
15 minit terakhir perlawanan terutama di Old Trafford, anda perlu gembirakan 65
ribu orang di sana. Jika anda berada di bilik persalinan selepas perlawanan dan
menjaringkan gol di minit akhir, suasananya sangat luar biasa”.
"Hal yang paling penting ialah
memastikan penyokong kami gembira ketika mereka berjalan keluar dari stadium
menuju ke pub sambil bercakap tentang apa yang baharu sahaja mereka saksikan
tadi. Kemudian mereka akan pulang ke rumah dan bercerita pula dengan isteri
serta anak-anak mereka tentang apa yang terjadi di Old Trafford pada
minit-minit akhir permainan. Itulah antara tugas yang saya perlu lakukan, iaitu
memastikan mereka pulang dari stadium dengan gembira”, sambung Fergie lagi dalam
temubual beliau bersama BT Sport bersama Clare Balding.
Penutup
Aksi final Liga Juara-Juara
menentang Bayern Munich pada 1999 dan Manchester Derby pada 2009 antara
contoh terbaik bila anda bercakap tentang keajaiban Fergie Time. Sangat
mendebarkan bila melihat United sedang ketinggalan, Fergie akan segera turun
dari tempat duduknya, dan berlari ke tepi padang sambil melakukan gerakan yang
sangat sinonim dengan beliau, iaitu menunjukkan jamnya kepada pengadil
perlawanan. Semuanya dilakukan Fergie sebagai isyarat kepada pengadil
perlawanan bahawa kesebelasannya tidak dilayan dengan adil, dan sebagai
gantinya waktu kecederaan perlu dipanjangkan.
Fergie Time
bukan sekadar cerita kebangkitan United menerusi jaringan-jaringan gol penting
diminit akhir permainan, tetapi Fergie Time umpama hantu yang sentiasa
menakutkan pasukan lawan. Lima minit diwaktu kecederaan adalah detik paling
menakutkan, dan tambah menakutkan apabila mereka melihat Fergie mula berdiri di
tepi padang sambil menunjukkan jam di tangannya. Ketika itu apa yang mampu dilakukan lawan? Tidak banyak sebenarnya yang mampu dilakukan mereka, kecuali
berdoa agar mereka tidak menjadi satu lagi korban keajaiban Fergie Time.
Glory Glory Manchester United!!!
#StopCovid-19
#StayAtHome
Tiada ulasan:
Catat Ulasan