11 Mei 2020

DENIS IRWIN: `SI PENDIAM' KESAYANGAN FERGIE



Di posisi bek kiri, Manchester United pernah dibarisi pemain-pemain hebat sejak dari era Sir Matt Busby sehinggalah ke era Sir Alex Ferguson. Dipetik dari laman Bleacher Report, mereka menyenaraikan lapan pemain terbaik United yang pernah beraksi diposisi tersebut seperti Tony Dunne, Roger Byrne, Arthur Albiston, Lee Martin, Clayton Blackmore, Denis Irwin, Gabriel Heinze dan Patrice Evra. Mereka kesemuanya adalah pemain yang bermain pada era berbeza, jadi sukar untuk memilih siapakah pemain terbaik yang pernah beraksi di posisi bek kiri United.

Dunne dan Byrne adalah yang terbaik ketika era sebelum dan pasca perang dunia kedua, manakala Albiston, Martin, Blackmore, Irwin, Heinze serta Evra adalah pemain yang pernah beraksi di era pengurusan Ron Atkinson dan Sir Alex Ferguson. Majoriti pemain yang ada dalam senarai Bleacher Report ini adalah mereka yang pernah beraksi di bawah tunjuk ajar Fergie, jadi individu paling layak untuk menobatkan siapakah pilihan nombor satu untuk mengisi posisi bek kiri dalam kesebelasan utama versi beliau tentunya adalah Fergie sendiri.

Pilihan Fergie

Tiada pertikaian bahawa Fergie adalah pengurus terbaik United sepanjang zaman menerusi kejayaan beliau mengemudi kesebelasan The Red Devils menjulang kejuaraan demi kejuaraan sepanjang tempoh 27 tahun beliau berada di Old Trafford. Sudah tentu kejayaan paling membanggakan sepanjang kariernya apabila beliau berjaya membawa United menjulang kejuaraan Liga Perdana sebanyak 13 kali dan dua trofi Liga Juara-Juara.

Sudah tentu juga dalam tempoh lebih dua dekad itu, terdapat ratusan pemain yang pernah bermain di bawah kendaliannya. Bryan Robson, Eric Cantona, Peter Schmeichel, Ryan Giggs, David Beckham, Roy Keane, Paul Scholes, Ruud Van Nistelrooy, Wayne Rooney, Gary Neville, Edwin Van der Sar, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Cristiano Ronaldo antara yang paling menonjol. Ronaldo umpamanya adalah pemain paling berbakat di era United moden, tetapi itu tidak cukup untuk meletakkan beliau sebagai pemain paling disayangi Fergie.

Bukan Ronaldo, bukan Rooney, bukan Keane dan bukan juga Giggs, tetapi satu-satunya pemain yang sudah terjamin tempatnya dalam kesebelasan terbaik United versi Fergie ialah Denis Irwin. Irwin memang diakui Fergie sebagai pemain terbaik yang pernah direkrut beliau sepanjang era pengurusannya di Old Trafford. Irwin yang ditandatangani Fergie dari Oldham Athletic pada 1990, merupakan seorang bek kiri yang pintar, tangkas serta memiliki kelajuan untuk melakukan kerja-kerja overlapping.

Bukan sahaja sangat berdisiplin di atas padang, tetapi Irwin juga seorang individu yang reputasinya tidak pernah tercemar dengan cerita-cerita buruk di luar padang. Dan sudah tentu juga berbanding Ronaldo, Irwin pula lebih setia apabila beliau menjalani tempoh selama 12 musim dengan jersi merah United. “Jika disuruh memilih kesebelasan terbaik United tentunya sukar bagi saya. Di bahagian hadapan kami ada McClair, Hughes, Cantona, Saha, Van Nistelrooy, Solskjaer, Yorke dan Sheringham”, kata Fergie.

“Di bahagian tengah lebih sukar kerana saya ada Keane, Robson dan Scholes. Mereka semuanya fantastis. Selain itu ada juga Giggs, Beckham dan Ronaldo, tetapi secara jujurnya kesebelasan saya akan lengkap sepenuhnya jika ada Denis Irwin dalam senarai”, sambung Fergie lagi dalam satu temubual bersama The Mirror. Dilahirkan pada 31 Oktober 1965 di Cork, Ireland, Irwin menghabiskan hampir sepanjang tempoh kariernya sebagai pemain profesional di peringkat kelab dengan menyarung jersi United.

Dari 1990 hingga 2002, Irwin juga dianggap antara pemain penting dalam skuad Fergie yang memenangi kejuaraan di peringkat domestik dan juga Eropah. Ironinya Irwin memulakan kariernya bersama United sebagai bek kanan sebelum posisi beliau dialih Fergie ke sebelah kiri berikutan keputusan kelab merekrut Paul Parker pada Ogos 1991. Tiada masalah buat Irwin beradaptasi dengan peranan baharunya sebagai bek kiri, malah beliau beraksi di posisi tersebut sehinggalah ke akhir kariernya sebagai pemain.

Pembelian Berbaloi

Ketika Fergie merekrut Irwin dari Oldham Athletic, Fergie percaya bahawa beliau sudah melakukan satu `urusniaga’ yang berbaloi. £650 ribu adalah jumlah yang dibayar United kepada Oldham ketika itu, sekaligus meletakkan Irwin sebagai pembelian terbaik yang pernah dilakukan Fergie sepanjang karier pengurusan beliau di Old Trafford. Harga yang dibayar United untuk Irwin boleh dianggap cukup murah, kerana perpindahan termahal dunia ketika itu sudah mencecah angka £8 juta ketika Juventus menandatangani Roberto Baggio dari Fiorentina.

Meskipun Oldham tewas kepada United di peringkat separuh akhir Piala FA 1990, larian-larian overlapping yang dilakukannya kerap menghuru-harakan pertahanan United berjaya mencuri perhatian Fergie. Selain daripada itu jangan lupakan juga kemampuan Irwin menyempurnakan peluang dalam situasi bola mati terutamanya ketika beliau melakukan sepakan bebas. Prestasi Irwin sepanjang 12 tahun kariernya di Old Trafford memang sangat fantastis menerusi trofi demi trofi yang berjaya dijulangnya untuk United.

Fergie memang diakui sebagai antara pengurus di Liga Perdana yang paling bijak berbelanja. Di era beliau, United juga dikenali sebagai kesebelasan yang sering dibarisi pemain-pemain hebat di benteng pertahanan mereka. Dan apa yang menariknya ialah tidak semua pemain-pemain pertahanan hebat ini dibeli kelab dengan harga yang tinggi melangit. Steve Bruce, Gary Pallister, Ronny Johnsen, Nemanja Vidic dan Patrice Evra adalah diantaranya. Jika Rio Ferdinand pernah dinobatkan sebagai pemain pertahanan termahal dunia, harga yang dibayar United untuk Irwin pula jauh lebih rendah.

Sasaran Lawan

Tidak dapat dinafikan bahawa gol-gol yang dijaringan Irwin sering menyelamatkan United ketika mereka berdepan detik kritikal. Salah satu contoh terbaik ialah bagaimana jaringan menerusi sepakan bebasnya berjaya membantu United dari mengalami kekalahan ketika mereka berdepan Southampton pada Mei 1995. Sepanjang kariernya bersama United, Irwin menjaringkan 33 gol dimana kebanyakkan gol yang terhasil dari kaki beliau adalah menerusi situasi bola mati. Larian-larian lincah, bijak dan pantasnya dari sisi kiri juga pastinya mengundang lawan untuk cuba menghentikan pergerakkan beliau.

Akibatnya, Irwin antara pemain United yang kerap dijadikan sasaran terjahan-terjahan keras oleh mana-mana pemain lawan. Lihat apa yang dilakukan Paul Bosvelt ketika United berdepan Feyenoord dalam aksi saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 1997. Terjahan keras yang dilakukan Bosvelt kearah lutut Irwin turut tersenarai sebagai antara terjahan brutal dalam sejarah bolasepak. Fergie jelas berang melihat situasi tersebut, lalu melancarkan serangan ke atas Bosvelt di media. Akibatnya dari tindakan tersebut, pemain Belanda itu akhirnya terpaksa memohon maaf secara terbuka di televisyen.

Penutup

Dianugerahkan dengan kemampuan menyerang yang tinggi, ketepatan hantaran-hantaran silangnya dan larian-larian overlapping-nya ke zon pertahanan lawan sangat mendera mana-mana bek kanan lawan yang terpaksa berhadapan dengannya. Kemampuan Irwin menjaringkan gol dalam situasi bola mati pula adalah bonus tambahan kepada penampilan beliau sebagai salah seorang dari generasi awal fullback dalam era bolasepak moden. 

Jaringan menerusi sepakan percuma yang dilakukan Irwin ke gawang Coventry City pada 1993 dan ke gawang Soutahmpton pada 1995, serta jaringan menerusi gerakan solo ke gawang Wimbledon dalam aksi pusingan kelima Piala FA 1994, akan sentiasa dikenang sebagai antara gol terindah yang pernah dihasilkan beliau. Sehinggalah `kelahiran’ David Beckham dalam kesebelasan utama United, Irwin adalah pilihan utama Fergie ketika mengambil sepakan bebas.

12 musim di Old Trafford, Irwin melakukan 529 penampilan untuk United dan menjaringkan 33 gol. Sepanjang tempoh itu juga, beliau berjaya memenangi 20 kejuaraan selain namanya tersenarai sebanyak dua kali dalam Kesebelasan Terbaik Liga Perdana (musim 1993/94 dan 1998/99). Sepanjang tempoh 12 musim itu juga, penyokong-penyokong United diajar dengan erti profesionalisme sebenar dari seorang lelaki pendiam kelahiran Cork, Ireland ini.

Pada bulan Januari 2000, Irwin mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa bagi membolehkan beliau memberikan tumpuan kepada aksi di peringkat kelab bersama United. Momen beraksi di pentas Piala Dunia `94 adalah pencapaian tertinggi pernah dilakukan Irwin bersama skuad kebangsaan Ireland. Pada penampilan ke-500, satu perlawanan testimonial antara dua kelab Manchester telah diadakan bagi menghargai sumbangannya dan sebagai penghormatan, Irwin diberikan armband ketua pasukan dalam perlawanan itu.

Di Old Trafford, Irwin sudah memenangi kesemua kejuaraan di peringkat domestik dan Eropah. Mungkin satu-satunya tinta hitam dalam kariernya sebagai pemain ialah apabila beliau dilayangkan kad merah ketika berdepan Liverpool dalam aksi liga di Anfield pada 5 Mei 1999. Layangan kad merah oleh David Elleray itu juga menyebabkan Irwin terlepas aksi final Piala FA menentang Newcastle United sekaligus mencalar reputasi beliau sebagai Mr Clean.

Kejuaraan Treble 99 boleh dianggap kemuncak kepada karier gemilang Irwin sepanjang 12 musim beliau menyarung jersi United. Langkah ke Old Trafford yang bermula pada 1990 akhirnya tiba juga di penghujung apabila pada 11 Mei 2002 ketika usianya mencecah 36 tahun, Irwin melakukan penampilan terakhir untuk United. Aksi menentang Charlton Athletic itu adalah aksi terakhir beliau sebagai pemain United selepas 12 musim mengabdi diri dengan jersi merah The Red Devils.  

Menyertai Wolverhampton Wanderers, kelab yang beliau sokong sejak kecil adalah penamat paling sempurna kepada karier Irwin yang penuh gemilang. Sepertimana ketika bersama United, pengaruh besar yang dimainkan beliau dalam kesebelasan Wolves membolehkan kelab itu dipromosikan ke Liga Perdana bagi musim 2003/04. Kejayaan itu juga merupakan kali pertama Wolves kembali beraksi di liga tertinggi bolasepak Inggeris sejak 1984.

Pada 2004, Irwin akhirnya menemui titik penamat kepada kariernya sebagai pemain. Seiring dengan tersingkirnya kembali Wolves ke Liga Kejuaraan, Irwin mengumumkan persaraannya, sekaligus pengakhiran kepada tempoh 21 tahun beliau sebagai pemain. Sepanjang 12 musim di Old Trafford, Irwin akan sentiasa dikenang sebagai seorang pemain bolasepak sejati. Juga perekrutan beliau dari Oldham Athletic akan dikenang sebagai pembelian terbaik pernah dilakukan Fergie.

Irwin akan sentiasa dikenang bukan sahaja kerana profesionalisme yang ditunjukkan beliau di dalam mahupun di luar padang, tetapi Irwin juga akan dikenang sebagai sebahagian daripada kesuksesan United sepanjang dekad 90an. Ada ramai pemain hebat yang pernah bermain untuk United, tetapi di mata Fergie `Si Pendiam’ ini memang tiada galang gantinya. Jadi memang wajarlah Fergie meletakkan Irwin sebagai “nama yang tidak boleh digantikan” dalam kesebelasan terbaik United versi beliau. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan