Bagi peminat bolasepak, hampir
mustahil jika mereka tidak mengenali Paolo Maldini. Bagi bekas pemain dan
legenda AC Milan itu, beliau sudah memenangi kesemua medal kejuaraan yang
ditawarkan baik di pentas domestik mahupun Eropah. Mungkin satu-satunya
kekesalan di sebalik karier gemilang Maldini ialah beliau gagal membantu Itali
menjulang trofi Piala Dunia meskipun hampir melakukannya pada edisi 1994. Di
Old Trafford pula Chris Smalling tidak kurang hebatnya dari segi medal
kejuaraan yang berjaya beliau menangi bersama Manchester United.
Di peringkat domestik,
sepertimana Maldini, Smalling juga sudah memenangi semua kejuaraan yang
ditawarkan. Manakala Liga Europa merupakan satu-satunya medal kejuaraan di
peringkat Eropah yang menjadi koleksi peribadi dalam simpanan Smalling untuk
beliau banggakan ketika bersara suatu hari nanti. Smalling merupakan antara `cebisan’
pembelian dari era Sir Alex Ferguson yang masih tinggal selain Phil Jones dan
David De Gea. Sepuluh tahun lalu, Fergie merekrut Smalling dari Fulham dengan
harapan pemain ini mampu menggantikan tempat Rio Ferdinand di jantung
pertahanan United.
Setahun selepas Fergie merekrut
Smalling, pengendali legenda United itu sekali lagi mengorak langkah dengan
mendapatkan tandatangan Phil Jones dari Blackburn Rovers. Ketika itu,
harapannya ialah agar Smalling dan Jones mampu menggantikan tempat Nemanja
Vidic dan Ferdinand yang sudah berada di penghujung karier. Pada awalnya,
tampak seperti mereka adalah prospek jangka panjang selaku duet di benteng
tengah United bagi meneruskan legasi Ferdinand dan Vidic. Bagaimanapun kini
hakikatnya tidak lagi begitu.
Jones masih kekal di Old
Trafford tetapi sepanjang beberapa musim terakhir, beliau lebih banyak bertarung
dengan kecederaan yang menjejaskan prestasinya di atas padang. Smalling pula
masih lagi pemain United, cuma musim ini beliau sedang menjalani tempoh pinjaman
selama semusim di AS Roma. `Smaldini’ adalah nama jolokan yang diberikan
penyokong-penyokong United kepada Smalling. Cantuman nama `Smal’ling dan
Mal`dini’ ini bukanlah sebagai tanda pengiktirafan penyokong United terhadap
kehebatan Smalling, tetapi lebih kepada lelucon.
Smalling dan Jones antara
pemain yang teruk dijadikan sasaran kritikan berikutan prestasi buruk
dipamerkan benteng pertahanan United sepanjang musim lalu. Majoriti penyokong
United lebih mahukan supaya Smalling dan Jones dijual kepada pasukan lain,
tetapi Solskjaer nampaknya masih keberatan untuk melepaskan dua pemain
pertahanan peninggalan dari era Fergie ini. Keputusan kelab melepaskan Smalling
ke Roma secara pinjaman turut menyaksikan putusnya ikatan gandingan antara
`Smaldini’ dan `Jonesta’ di benteng pertahanan United musim ini.
Menyertai AS Roma adalah
pilihan terbaik buat Smalling demi menyelamatkan kariernya yang kian suram di
Old Trafford. Tatkala United menobatkan Harry Maguire sebagai pertahanan
termahal dunia, tiada pilihan lain buat Smalling selain daripada memilih haluan
baharu. Roma adalah destinasi paling sesuai buat Smalling ketika beliau
tercari-cari cabaran baharu dalam kariernya, tambahan pula Paulo Fonseca ketika
itu terdesak mencari pengganti ideal buat Kostas Manolas yang memilih untuk
berhijrah ke Napoli selepas lima musim berada di kota Rome.
Smalling tidak perlu mengambil
masa yang terlalu lama untuk membuatkan para Romanisti jatuh cinta
kepada beliau dan berhenti dari meratapi pemergian Manolas. Aksi menentang
Lecce pada 29 September lalu adalah contoh terbaik. Sepanjang perlawanan,
Smalling melakukan dua hadangan, dua pintasan, melakukan tiga clearance
dengan menggunakan kepala serta 10 recoveries. Selain daripada itu,
Smalling juga berkongsi kedudukan selaku pemain yang mencatatkan jumlah
percubaan gol tertinggi dalam perlawanan ini.
Namun penampilan paling
menyerlah Smalling di Serie A dengan jersi merah Roma ialah ketika beliau
membantu I Giallorossi membenam Brescia 3-0, 25 November lalu. Apa yang
dilakukan Smalling dalam aksi yang dilangsungkan di Stadio Olimpico itu?
Jawapannya, Smalling terlibat dalam ketiga-tiga gol yang dihasilkan Roma ke
gawang Brescia. Selain berjaya menjaringkan satu gol, Smalling turut
menghasilkan dua bantuan gol menerusi kepala yang berjaya disudahkan Gianluca
Mancini serta Edin Dzeko.
Sepanjang 540 minit penampilan
pertama Smalling untuk Roma, gawang skuad kendalian Fonseca itu bocor sebanyak
empat kali. Statistik ini juga menyamai pencapaian yang pernah dilakukan
Manolas, cuma apa yang dilakukan Smalling ini boleh dianggap lebih baik kerana
penglibatan beliau dengan satu dari empat gol yang dihasilkan Roma ketika mereka
menewaskan Udinese pada 31 Oktober lalu. Berbanding Smalling, Manolas pula
hanya mampu menjaringkan gol pertamanya untuk Roma pada musim keduanya di kota
Rome.
Evolusi Di Kota Rome
Roma di bawah kendalian Fonseca
boleh dianggap skuad yang sedang berevolusi dengan idea-idea baharu yang dibawa
beliau selepas menggantikan tempat Claudio Ranieri. Meskipun pada awalnya
Fonseca memilih Juan Jesus sebagai rakan gandingan Federico Fazio di benteng
tengah skuadnya, bekas pengendali Shakhtar Donetsk akhirnya mendapati Smalling
adalah centre back yang lebih sesuai untuk melaksanakan peranannya dalam
taktikal garis pertahanan tinggi yang beliau terapkan dalam permainan Roma.
Falsafah bolasepak yang
diterapkan Fonseca sangat sesuai dengan gaya permainan Smalling. Sepertimana
yang anda tahu, Smalling merupakan seorang bek tengah yang agresif dan gemar
mengasak mana-mana penyerang lawan ketika mereka menerima sentuhan pertama.
Akhirnya bersama Roma, Smalling muncul antara pertahanan tengah paling
berpengaruh di Serie A. Jadi tidak hairanlah mengapa Fonseca mahu mengekalkan
beliau di kota Rome secara tetap. Bagaimanapun tawaran €15 juta dari Roma
ditolak United pada Januari lalu.
Sepanjang 21 penampilan beliau
untuk Roma di Serie A, Smalling berjaya membantu gawang skuad I Giallarossi
dari dibolosi dalam lima perlawanan. Dari pemain yang sering dijadikan bahan
jenaka, Smalling menjelma kepada tonggak penting di barisan pertahanan Roma. Di
Itali, sebuah negara yang sangat terkenal dengan seni bertahan dalam bolasepak,
Smalling akhirnya berjaya mempamerkan semula prestasi terbaiknya. Paling
penting, di kota Rome, Smalling juga belajar gaya bolasepak baharu berbanding
apa yang beliau lalui selama sembilan musim di Old Trafford.
Peluang Kedua
Beberapa musim terakhir di Old
Trafford umpama mimpi ngeri buat Smalling. Dari seorang prospek yang diletakkan
harapan sebagai pengganti Rio Ferdinand, Smalling bertukar kepada watak yang
dibenci oleh penyokong-penyokong United. Keyakinan beliau di atas padang mula
merudum, lantas mengundang kritikan demi kritikan terhadap prestasinya. Setelah
mengharungi tempoh-tempoh sukar di Old Trafford, kota Rome akhirnya menawarkan kesempatan
untuk beliau menyelamatkan kariernya.
Selepas pulih dari kecederaan
lutut yang menyaksikan beliau tersisih dari kesebelasan utama dalam dua
perlawanan , Smalling kemudiannya memainkan peranan besar di benteng Roma yang
menyaksikan beliau melakukan penampilan penuh selama 90 minit dalam sebelas
aksi di peringkat liga. Dua gol yang beliau jaringan setakat ini juga
meletakkan Smalling pemain Inggeris pertama yang berjaya menjaringkan dua gol
di Serie A selepas David Beckham melakukannya untuk AC Milan pada musim
2008/09.
Perkembangan Smalling di kota
Rome nampaknya menarik perhatian Gareth Southgate untuk terbang ke Milan bagi
menyaksikan sendiri aksi beliau. Di hadapan Southgate, Smalling sekali lagi
membuktikan bahawa beliau masih lagi aset berharga untuk skuad The Three
Lions. Sepanjang tempoh 90 minit aksi di San Siro yang berlangsung pada 6
Disember itu, Smalling menjalankan tugasnya dengan cukup berkesan, iaitu
meneutralkan setiap ancaman dari Romelu Lukaku, peledak berbisa yang sudah
menghasilkan 10 gol dari 15 perlawanan untuk Inter.
Untuk rekod, kali terakhir
Smalling dipanggil menyertai kem latihan skuad England ialah pada November 2017,
manakala Kejohanan Euro 2016 pula merupakan tugasan terakhir beliau di
peringkat antarabangsa. Jika Smalling berhasrat dipanggil semula menyertai
skuad kebangsaan, beliau perlu bermain dalam perlawanan kompetitif di peringkat
kelab bersama skuad utama. Untuk itu Roma menawarkan apa yang Smalling perlukan
terutamanya jika beliau berhasrat beraksi di Kejohanan Euro 2020 (jika
dilangsungkan pada tahun ini).
Penutup
Persoalan paling besar sekarang
adakah Smalling masih ada tempat dalam kesebelasan utama United? Bagi Paulo
Fonseca pula, beliau sedang mengintai sebarang kemungkinan untuk mengekalkan
Smalling di Stadio Olimpico secara tetap meskipun tawaran Roma pada Januari
lalu ditolak United. Meskipun cuma diberikan kesempatan tampil dalam
kesebelasan Roma pada bulan September, prestasi Smalling memang benar-benar
mengejutkan ramai pihak, terutamanya apabila memikirkan bahawa beliau sebelum
ini tidak pernah meninggalkan England.
Bermain di liga yang menuntut
aspek taktikal, Smalling beradaptasi dengan pantas dalam budaya bolasepak
Itali. Pada usia mencecah 30 tahun, Smalling masih pantas, bijak membaca
permainan dan paling penting beliau masih sukar untuk ditewaskan oleh mana-mana
penyerang lawan dalam situasi satu lawan satu. Di kota Rome juga, Smalling
lebih dicintai oleh para Romanisti dengan bendera dan chant
berterusan yang melaungkan namanya dari belakang gawang, situasi yang beliau
tidak nikmati lagi di Old Trafford.
Bagaimanapun harus juga diingat
bahawa Smalling baru berada dalam skuad utama selama tiga bulan, dan Roma pula
bukanlah United. Meskipun menerima dokongan kuat dari Romanisti, setiap
aksi Roma di Stadio Olimpico hanya dibanjiri purata 33 ribu penonton, jumlah yang
jauh berbeza jika dibandingkan dengan kehadiran penonton di Old Trafford. Serie
A juga kini bukan lagi berada di kemuncak sepertimana ketika era 80an dan 90an,
saat kesebelasan seperti AC Milan, Roma, Inter Milan, Juventus dan Napoli
menguasai saingan di pentas Eropah.
Jika Smalling berhasrat kembali
semula ke Old Trafford musim hadapan, beliau perlu membuktikan bahawa dirinya
lebih baik berbanding Victor Lindelof, Eric Bailly atau Harry Maguire. Jika itu
tidak berlaku, adalah lebih baik Smalling memilih kekal bersama pasukan yang
mampu menawarkan beliau tempat dalam kesebelasan utama mereka. Di kota Rome,
Smalling kembali dicintai, tetapi penyokong-penyokong United juga sudah mula terfikir
bahawa beliau wajar diberikan kesempatan untuk kembali selepas melihat pengaruh
yang dimainkannya di benteng pertahanan Roma. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan