04 Februari 2021

BAKAT HEBAT BOLASEPAK INGGERIS BERNAMA WAYNE ROONEY

 


Wayne Rooney antara segelintir pemain yang cukup berjaya dalam kancah Liga Perdana menerusi deretan trofi yang berjaya dimenanginya, manakala di Old Trafford pula beliau diiktiraf sebagai legenda Manchester United. Bagaimanapun sepertimana pemain-pemain lain ketika usia remajanya, Rooney terpaksa melalui proses yang panjang sebelum beliau berjaya menempa nama selaku antara nama besar dalam dunia bolasepak.

 

Sinar Rooney selaku bintang dalam pembikinan sudah mula terlihat ketika beliau masih menyarung jersi Everton lagi. Pada 19 Oktober 2002, Rooney mencetus sensasi apabila gol jaringannya diminit ke-90 membolehkan Everton menewaskan Arsenal (2-1) di Goodison Park. Gol itu memang gol yang sungguh sensasi, bukan sahaja kerana ia mencalar reputasi David Seaman selaku antara penjaga gol terbaik di England, tetapi lihat juga bagaimana jaringan tersebut dihasilkan Rooney.

 

Dalam perlawanan itu, Rooney sebenarnya cuma diturunkan ketika tempoh sebenar permainan berbaki 10 minit sebelum ditamatkan apabila beliau masuk menggantikan Thomas Radzinski yang juga merupakan penyumbang gol pertama Everton. Detik untuk Rooney mencetuskan sensasi akhirnya hadir di penghujung perlawanan apabila bola clearance yang dilakukan Thomas Gravesen jatuh tepat ke kaki beliau.

 

Menyedari bahawa sukar untuk beliau melepasi kawalan Lauren dan Sol Campbell di hadapannya, Rooney sebaliknya memilih untuk melepaskan rembatan dari jarak 30 meter yang tepat menuju ke gawang Arsenal. Tidak banyak yang mampu dilakukan Seaman ketika itu untuk cuba menyelamatkan keadaan, apatah lagi bola sepakan tersebut melengkung dan menuju tepat ke palang gol sebelum menjunam menerjah jaring pintu golnya.

 

Bakat Istimewa

 

Seluruh khalayak penonton di Goodison Park terpana dengan gol tersebut, apatah lagi ia dihasilkan oleh seorang anak muda yang bakal menyambut ulang tahun ke-17, hanya lima hari selepas perlawanan itu berlangsung. Gol Rooney itu bukan sahaja diiktiraf antara jaringan ikonik di Liga Perdana tetapi gol itu juga sebenarnya turut mengakhiri rekod 30 perlawanan tanpa kalah Arsenal, selain meletakkan beliau selaku penjaring termuda di Liga Perdana sebelum rekodnya dipadam James Milner dan James Vaughn.

 

“Rooney adalah bakat bolasepak Inggeris paling menyinar pernah saya saksikan. Kami tewas menerusi gol jaringan yang sangat istimewa dari seorang pemain yang memiliki bakat istimewa. Sudah tentu tiada mana-mana pemain remaja di bawah usia 20 tahun sebagus beliau sejak saya tiba di England”, kata Arsene Wenger selepas tamat perlawanan. Benarlah kata Wenger kerana gol istimewa itu akhirnya mengubah keseluruhan perjalanan karier Rooney.

 

Pada Disember 2002, BBC memberikan anugerah Young Sports Personality of the Year kepada beliau, satu pengiktirafan kepada Rooney selaku prospek bakat hebat bolasepak Inggeris untuk beberapa tahun mendatang. Pada 2003, Rooney diberikan kontrak profesional pertamanya sekaligus meletakkan beliau selaku pemain remaja yang menerima bayaran paling mahal. Selepas mengharungi dua musim di Goodison Park, Rooney berhijrah ke Old Trafford pada musim panas 2004.

 

Cabaran Baharu

 

Bagi merealisasikan impiannya membawa Rooney ke Old Trafford, Sir Alex Ferguson terpaksa memujuk pihak pengurusan United agar memenuhi tuntutan Everton yang mahukan wang sebanyak £25.6 juta jika United mahukan bintang muda sensasi mereka itu. Angka yang cukup besar ketika itu bagi seorang pemain yang baru berusia 18 tahun. Bagaimanapun pelaburan itu nyata berbaloi apabila Rooney akhirnya sukses membantu United menjulang pelbagai kejuaraan di peringkat domestik mahupun Eropah.

 

Pada 28 September 2004, hasrat penyokong-penyokong United yang mahu melihat penampilan pertama Rooney dipenuhi Fergie apabila beliau menurunkan pemain itu ketika skuadnya berdepan Fenerbahce dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Old Trafford. Sepertimana gol spectacular yang dihasilkannya ke gawang Arsenal pada 2002, Rooney sekali lagi mengagumkan pemerhati bolasepak dunia apabila beliau dengan bersahaja tiga kali menewaskan Rustu Recber dalam perlawanan itu.

 

Kejayaan United menewaskan Fenerbahce (6-2) dalam perlawanan itu turut diwarnai dengan cerita sensasi hatrik Rooney. Tiga gol pada penampilan pertama dari seorang anak muda yang baru berusia 18 tahun dan dilakukan pula di pentas Eropah merupakan satu isyarat jelas bahawa Rooney bakal menjadi tonggak penting United buat tempoh masa yang panjang. United berjaya menjulang kejuaraan Piala Liga pada musim 2005/06 yang juga merupakan trofi pertama Rooney dalam karier profesionalnya sebagai pemain.

 

Era Keemasan

 

Musim berikutnya (2006/07) Rooney membantu United menyingkirkan Chelsea dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, sekaligus menamatkan dominasi dua musim berturut-turut skuad kendalian Jose Mourinho itu selaku kuasa baharu bolasepak Inggeris. Sumbangan penting Rooney terus diberikan pengiktirafan oleh Fergie apabila pada musim 2007/08, beliau mewarisi jersi nombor 10 yang ditinggalkan Ruud Van Nistelrooy. Musim 2007/08 juga boleh disimpulkan sebagai musim terbaik Rooney sepanjang kariernya di Old Trafford.

 

Pada musim inilah United berjaya mencipta kejuaraan berganda (selain satu kejuaraan Perisai Komuniti) apabila mereka sekali lagi berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana, selain kembali menjulang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun. Meskipun kejayaan kali ini tidak setanding dengan pencapaian skuad `Treble 99’, mara ke Stadium Luzhniki dan menewaskan Chelsea di pentas final Liga Juara-Juara adalah momen terhebat Rooney sepanjang tempoh 13 tahun kariernya bersama United.

 

Prestasi cemerlang yang dipamerkan United sepanjang musim ini juga sebenarnya banyak dibantu oleh faktor ketajaman The Holy Trinity yang dibentuk Fergie dibarisan hadapan skuadnya menerusi kombinasi gandingan Rooney, Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez. Sepanjang musim, trio ini menyumbang lebih separuh daripada gol-gol yang dihasilkan United apabila kombinasi mereka berjaya meledak 79 gol dalam semua peringkat kejohanan.

 

Kombinasi Rooney, Ronaldo dan Tevez boleh dianggap trio penggempur paling menakutkan pernah disaksikan penyokong-penyokong United dan dicemburui oleh mana-mana pencabar domestik mereka. Ketika itu Rooney lebih banyak memainkan peranannya sebagai `pengumpan’ kepada Ronaldo hingga menyaksikan bintang Portugal itu begitu produktif apabila beliau berjaya menjaringkan 42 gol semusim. Hasilnya Ronaldo juga berjaya memenangi anugerah kasut emas menerusi 31 gol yang diledak beliau dalam saingan liga.

 

18 gol yang berjaya dijaringkan Rooney sepanjang musim tersebut juga sebenarnya statistik yang cukup bagus mengingatkan bahawa peranan beliau ketika itu lebih sebagai passer kepada Ronaldo. Dan ketika Ronaldo memilih meninggalkan Old Trafford pada 2009, tugas utama sebagai pemburu gol kembali diberikan kepada Rooney. Pada musim 2009/10, ketika beliau bertindak sendirian selaku penyerang utama United, Rooney meledak 26 gol dari 32 penampilan beliau dalam saingan liga.

 

Statistik Yang Semakin Menurun

 

Pada musim 2010/11, ratio gol Rooney menurun secara drastik apabila beliau cuma mampu menghasilkan 11 gol dari 26 penampilan liga. Kecederaan pergelangan kaki selain polemik tentang masa depan beliau di Old Trafford antara penyebab mengapa Rooney tidak setajam sepertimana musim sebelumnya. Mujurlah penurunan prestasi Rooney diimbangi ketajaman Dimitar Berbatov yang berjaya meledak 20 gol dari 32 penampilan, selain Javier Hernandez selaku supersub yang berjaya meledak 13 gol dari 27 penampilan.

 

Meskipun musim 2010/11 mungkin antara musim terburuk Rooney di Old Trafford, United akhirnya berjaya kembali ke podium kejuaraan Liga Perdana selepas mereka mengatasi cabaran Chelsea yang juga merupakan juara bertahan menerusi kelebihan sembilan mata. Selain itu, United juga berjaya mara ke pentas final Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun. Menamatkan musim dengan medal kejuaraan Liga Perdana, Perisai Komuniti dan runner up Liga Juara-Juara bukanlah satu pencapaian yang buruk buat Rooney.

 

Musim 2011/12, Rooney kembali menemui titik terbaik dalam kariernya apabila beliau berjaya meledak 27 gol dari 34 penampilan liga. Berbanding musim sebelumnya, Rooney kembali disayangi penyokong-penyokong United selepas beliau memutuskan untuk kekal di Old Trafford selama lima tahun lagi. Bagaimanapun agak malang, United gagal memenangi sebarang trofi musim tersebut dan tambah tragik, gelaran juara bertahan Liga Perdana terlepas ke tangan Manchester City pada aksi terakhir liga hanya menerusi perbezaan jaringan gol.

 

Kehadiran Robin Van Persie pada musim panas 2012 menyaksikan Rooney kembali menggalas peranannya sebagai pemain `nombor 10’. Tatkala Van Persie bermaharajalela selaku penggempur utama di barisan hadapan, Rooney pula masih mampu mencipta angka dua digit dalam statistik jaringannya pada musim tersebut (2012/13). Dari 27 penampilan liga, Rooney berjaya menjaringkan 12 gol manakala secara keseluruhan dalam semua peringkat kejohanan, Rooney berjaya menjaringkan 16 gol dari 37 penampilan.

 

United menamatkan musim terakhir Sir Alex Ferguson selaku pengurus dengan kembali berdiri di podium kejuaraan Liga Perdana. Ini juga bermakna kejayaan pada musim 2012/13 itu merupakan medal kejuaraan liga terakhir yang dimenangi Rooney sepanjang karier profesionalnya sebagai pemain. Di bawah regim pengurusan David Moyes, United bukan lagi kesebelasan yang sama sepertimana era keemasan Fergie, tetapi Rooney masih mampu meletakkan dirinya selaku penyumbang gol utama untuk The Red Devils.

 

The Red Devils menamatkan saingan liga musim 2013/14 di tangga ketujuh, situasi yang sebenarnya tidak pernah dibayangkan kebanyakkan penyokong United ketika era Fergie. Bagaimanapun Rooney masih mampu meletakkan dirinya selaku penjaring terbanyak kelab menerusi 19 gol yang dijaringkannya dalam semua peringkat kejohanan sepanjang musim tersebut.

 

Tiga musim terakhir, ratio jaringan Rooney terus menurun dari musim ke musim tambahan pula beliau bukan lagi watak utama di barisan hadapan terutama selepas kehadiran Anthony Martial, Radamel Falcao dan Zlatan Ibrahimovic. Perlu juga diakui sejak kehadiran Van Persie pada 2012, peranan Rooney juga secara perlahan-lahan bertukar dari pemegang watak `nombor 9’ kepada pemain tengah menyerang yang turut mempengaruhi ratio jaringannya setiap musim.

 

Penutup

 

Pada 14 Mei 2017, Rooney menjaringkan gol terakhirnya untuk United disebalik kekalahan (1-2) kepada Tottenham Hotspurs dalam perlawanan terakhir liga. Penampilan terakhir Rooney sebagai pemain United pula berlaku dalam aksi final Liga Europa di Friends Arena pada tanggal 24 Mei 2017 ketika beliau masuk menggantikan Antonio Valencia di penghujung perlawanan. Ikatan selama 13 tahun antara Rooney dan United akhirnya terputus apabila beliau memutuskan untuk pulang semula ke Goodison Park dan kembali bermain untuk Everton.

 

Rooney antara nama besar yang pernah menghiasi kesebelasan utama United selama lebih sedekad, manakala dari sudut bilangan trofi pula, tiada apa lagi yang perlu dibuktikan Rooney baik kepada penyokong United mahupun para pengkritiknya. Ketika beraksi di atas padang, Rooney bukanlah pemain yang suka digantikan, apatah lagi memegang watak pengganti. Bagi Rooney, bermain selama 90 minit, berlari ke setiap sudut padang, melakukan tackle, melakukan hantaran, membuka ruang buat rakan sepasukan, menjaringkan gol dan menghidu aroma rumput di atas padang adalah nikmat yang tidak terkira.

 

Momen pada 28 September 2004 tentunya momen terbaik yang ditinggalkan Rooney untuk penyokong-penyokong United. Sangat mengujakan bila melihat seorang anak muda ketika itu menewaskan penjaga gol yang sangat berpengalaman seperti Rustu Recber sebanyak tiga kali pada penampilan pertamanya untuk United. Selain daripada itu, tiada siapa pun boleh melupakan jaringan `anti graviti’ yang dilakukan Rooney ketika berdepan Manchester City pada 2011. Gol itu antara gol ikonik yang pernah dihasilkan Rooney, malah imej beliau ketika meraikan jaringan tersebut masih tidak jemu untuk ditatap hingga sekarang.

 

Pada musim panas 2017, Rooney akhirnya meninggalkan Old Trafford untuk pulang menyertai semula Everton, kelab yang beliau sokong sejak zaman kanak-kanaknya. Pada 15 Januari 2021 pula, Rooney akhirnya mengumumkan persaraannya, sekaligus mengakhiri tempoh 19 tahun karier profesional beliau sebagai pemain bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas beliau sebagai pengurus sepenuh masa Derby County.

 

Di Old Trafford, Rooney meninggalkan legasi yang cukup besar, bukan sahaja menerusi bilangan trofi yang sudah beliau menangi tetapi juga statistik-statistik beliau di atas padang. Satu cabaran yang cukup besar juga buat mana-mana penyerang United selepas ini untuk cuba memecahkan rekod Rooney selaku penjaring terbanyak United sepanjang zaman menerusi 253 gol yang dihasilkannya dari 559 penampilan yang dilakukan beliau dalam semua peringkat kejohanan.

 

Ketika Rooney meledak jaringan spectacular ke gawang Arsenal pada 2002, Clive Tyldesley yang juga merupakan pengulas perlawanan ketika itu sempat mengatakan “Ingat akan nama ini!!!”. Kata-kata itu bukan sekadar kata-kata manis yang keluar dari mulut Tyldesley, kerana dalam peranan sebagai pemain `nombor 8’, `nombor 9’ atau `nombor 10’, Rooney akan sentiasa diingati kerana bakat istimewa yang dimilikinya serta peranan besar yang dimainkannya dalam kesebelasan United. Jika tidak masakan beliau diberikan gelaran `The White Pele’. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan