Mengimbas
kembali pencapaian Manchester United pada musim 2019/20 boleh dikategorikan
sebagai musim yang cukup bagus. Berada di tangga ketiga liga dan seterusnya
layak secara automatik beraksi di Liga Juara-Juara adalah satu pencapaian yang
manis, apatah lagi sepanjang fasa pertama liga berlangsung, tidak banyak
harapan yang diletakkan ke atas skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer berikutan
isu konsistensi yang dihadapi mereka.
Selain
dari pencapaian layak ke saingan Liga Juara-Juara, terdapat satu sisi yang
sebenarnya menarik untuk anda perhatikan dalam skuad United musim itu. Iaitu
jumlah gol yang bolos ke gawang mereka. Untuk rekod, pada musim sebelumnya
(2018/19), pintu gol United bolos sebanyak 54 kali, tetapi pada musim 2019/20
angka ini menurun kepada 36 sahaja. Pencapaian ini menyaksikan mereka muncul
pasukan ketiga paling kurang dibolosi selepas Liverpool dan Manchester City.
Faktor
ini sebenarnya dibantu oleh kehadiran Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka, dua
pemain pertahanan yang direkrut Solskjaer bagi meningkatkan kualiti barisan
belakang skuadnya. Perpindahan Maguire ke Old Trafford menyaksikan beliau
memecah rekod selaku pemain pertahanan termahal dunia yang sebelumnya disandang
Virgil Van Dijk. Manakala kualiti Wan-Bissaka dalam situasi satu lawan satu
banyak menutup kelompongan di sisi kanan pertahanan United.
Maguire
dan Victor Lindelof akhirnya menjadi pilihan utama Solskjaer untuk membentuk
gandingan selaku duo pertahanan tengah United, manakala Eric Bailly yang pada
musim-musim sebelumnya sering menemani Lindelof berperanan selaku pengganti. Tampak
seperti Maguire dan Lindelof melengkapi antara satu sama lain meskipun prestasi
mereka adakalanya tidak terlepas dari sasaran kritikan oleh penganalisa mahupun
para penyokong United sendiri.
Jika
diukur prestasi Maguire dan Lindelof dalam tempoh dua musim terakhir, kita
nampaknya terpaksa menunggu (entah berapa lama) sebelum dapat melihat kembali
duo mematikan seperti Rio Ferdinand/Nemanja Vidic `dibangkitkan semula’ bagi
mengawal benteng pertahanan United. Dalam hal ini, saya agak tertarik dengan
kritikan pedas yang dilemparkan Gabino Rodriguez, individu yang pernah
bekerjasama dengan David De Gea dalam skuad U-21 Sepanyol.
Menurut
Rodriguez, buruknya prestasi benteng pertahanan United antara faktor utama yang
mempengaruhi prestasi De Gea musim ini. “Saya percaya, karakter sesebuah
pasukan adalah cermin kepada jurulatih mereka. Lihat sahaja United ketika era
Sir Alex Ferguson. Mereka langsung tiada belas kasihan. Skuad Ole pula lembik
seperti muffin dan David menderita kerana lemahnya pertahanan United”, kata
Rodriguez kepada The Sun.
Ketibaan
Vidic
Sebelum
Vidic direkrut Sir Alex Ferguson dari Spartak Moscow pada Januari 2006, Rio
terlebih dahulu sudah mencipta nama selaku antara tonggak penting United.
Ditandatangani Fergie dari Leeds United pada Julai 2002, Rio berjaya membantu
United menjulang kejuaraan Liga Perdana pada musim pertamanya di Old Trafford.
Sepanjang tempoh empat tahun (dari 2002 hingga 2006), Rio juga berjaya membantu
United memenangi Perisai Komuniti (2003) dan Piala Liga (2006).
Keputusan
Fergie merekrut Vidic memang betul-betul mengejutkan penyokong-penyokong
United. Malah saya juga percaya, Rio sendiri mungkin tidak pernah mendengar
nama Vidic sebelum rumour yang mengaitkan perpindahan warga Serbia itu
ke Old Trafford bertiup kencang. Ada juga laporan yang mengatakan bahawa Rio
begitu skeptikal ketika menyaksikan Vidic dalam sesi latihan. Tetapi suka atau
tidak, Rio akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa inilah pemain yang bakal
digandingkan bersamanya di jantung pertahanan United.
“Saya
bercakap dengan Rooney tentang dua rekrut baharu yang di bawa masuk (Vidic dan
Evra). Secara jujur saya dan Rooney agak hairan mengapa kelab menandatangani kedua-dua mereka. Dalam sesi
latihan, Rooney sering memberikan masalah kepada Vidic. Dia tidak kuat dan
kurang agresif. Atau lebih tepatnya, boleh saya katakan bahawa dia memang tidak
layak bermain untuk United. Ketika itu saya yakin dia tidak akan kekal lama
bersama kelab”, kata Rio kepada Utd Unscripted.
Bukan
hanya Rio, kerana Vidic sendiripun memang kurang percaya dengan kemampuan
beliau untuk bersaing dengan pertahanan tengah United yang lain seperti Wes
Brown dan Mikael Silvestre. Di peringkat awal, memang Vidic berdepan masalah
untuk beradaptasi dengan gaya permainan United khasnya dan Liga Perdana amnya.
Enam bulan pertama adalah tempoh yang sukar buat Vidic tetapi secara
perlahan-lahan beliau akhirnya berjaya menyesuaikan diri dengan budaya bolasepak
Inggeris.
Cabaran
sengit dalam sesi latihan ketika berdepan Rooney, Cristiano Ronaldo dan Louis
Saha selain kerja kerasnya banyak membantu peningkatan Vidic. “Kami melayan dia
dengan agak keras dalam sesi latihan, tetapi dia juga sebenarnya seorang lelaki
yang keras. Selepas tamat sesi latihan, dia akan berlatih pula di gimnasium
bagi meningkatkan tahap fizikalnya. Dia mempersiapkan dirinya dari segi fizikal
dan mental bagi memastikan agar dirinya mampu bersaing dengan kami”, kata Rio.
Vidic
mengakui bahawa selain memiliki `lawan’ yang bagus dalam sesi latihan,
kehadiran Rio yang lebih berpengalaman juga sebenarnya banyak membantu
peningkatan beliau. Dan meskipun pada mulanya Rio agak skeptikal dengan
kemampuan Vidic, mereka akhirnya menjadi rakan yang akrab. “Karakter kami
sangat berbeza, tetapi kami cepat akrab. Perbezaan kami akhirnya membuatkan
kami saling melengkapi ketika beraksi di atas padang”, kata Vidic.
Karakter
Berbeza
Musim
2006/07 merupakan musim penuh pertama gandingan Vidic dan Rio selaku duo
pertahanan tengah utama United. Meskipun Vidic bergelut pada penampilan
setengah musimnya sebelum itu, keampuhan gandingan Rio dan Vidic diakui Sir
Alex Ferguson antara faktor penting di sebalik kejayaan United menjulang trofi
Liga Perdana mereka buat kali pertama dalam tempoh empat tahun. Tanpa
mengetepikan sumbangan pemain lain, Fergie mengakui bahawa benteng pertahanan
United musim tersebut jauh lebih solid menerusi kombinasi Rio dan Vidic.
Rio
dan Vidic memang memiliki karakter permainan berbeza. Rio seorang ball
playing defender, pertahanan tengah yang `bergaya’, sangat yakin ketika
bola berada di kakinya dan mampu `bermain-main’ dengan mana-mana penyerang
lawan. Manakala Vidic seorang pertahanan yang agresif, keras corak
permainannya, dominan di udara serta tiada kompromi ketika melakukan terjahan.
Jadi tidak hairanlah mengapa mereka berdua diletakkan Didier Drogba selaku tiga
pertahanan paling sukar yang pernah beliau hadapi selain Carles Puyol.
“Saya
selalu mengatakan bahawa Ferdinand dan Vidic sebagai bek yang paling sukar
pernah saya hadapi. Saya tidak banyak menjaringkan gol ketika bertemu United,
jadi jika saya berjaya melakukannya itu sangat membahagiakan saya. Jika saya
berjaya menjaringkan gol ke gawang mereka, itu tandanya yang berada dalam
prestasi terbaik. Selain Ferdinand dan Vidic, Carles Puyol juga bek yang paling
sukar pernah saya hadapi”, kata Drogba dalam wawancara dengan BT Sport.
Kemuncak
Pencapaian
Musim
2007/08 boleh dianggap antara musim terbaik United dan untuk Rio serta Vidic
mereka juga tidak terkecuali selepas bejaya membantu kelab menjulang kejuaraan double
(Liga Perdana dan Liga Juara-Juara). Bagaimanapun puncak pencapaian duo
pertahanan tengah United ini sebenarnya berlaku pada musim 2008/09. Apakah yang
berlaku sepanjang musim 2008/09 selain kejayaan United mempertahankan trofi
Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut serta memenangi Perisai Komuniti?
Pada
musim 2008/09, gawang United tidak dibolosi sepanjang 14 perlawanan
berturut-turut atau lebih tepatnya mereka mengharungi 1,311 minit perlawanan
tanpa bolos. Catatan ini bukan sahaja merupakan rekod kelab tetapi juga rekod
Liga Perdana yang kekal hingga ke hari ini. Sepanjang kempen liga musim
tersebut juga, pintu gol United yang dikawal Edwin Van der Sar cuma dibolosi
lawan sebanyak 24 kali. Pastinya Van der Sar tidak akan mampu melakukan catatan
ini tanpa sosok dua tembok kukuh di hadapan beliau.
Penutup
Setiap
permulaan pasti ada pengakhirannya, begitu jugalah nasib dua tonggak pertahanan
tengah penuh karisma ini. Selepas mengharungi tempoh lapan musim selaku duo
pertahanan tengah terbaik pernah disaksikan di Old Trafford dan Liga Perdana,
gandingan Rio dan Vidic akhirnya berpecah pada 2014. Rio menyertai Queens Park
Rangers manakala Vidic pula berhijrah ke Itali dengan menjadikan Inter Milan
sebagai cabaran baharu dalam kariernya.
Trofi
Liga Perdana yang berjaya dimenangi pada musim 2012/13 bukan sahaja tanda
perpisahan abadi dari Sir Alex Ferguson sebagai pengurus, tetapi juga sebagai
tanda bahawa tugas Rio serta Vidic di benteng pertahanan United turut
`selesai’. Prestasi yang semakin menurun disebabkan peningkatan usia serta
faktor kecederaan menyaksikan Rio dan Vidic bukan lagi pemain yang sama
sepertimana tempoh kemuncak kegemilangan mereka.
Pada
musim terakhir mereka di Old Trafford, Vidic masih mampu melakukan 25
penampilan untuk United dalam saingan liga, manakala Rio yang tiga tahun lebih
tua cuma melakukan 14 penampilan kerana dibatasi masalah kecederaan. Tugas
mereka di jantung pertahanan United akhirnya mula diambilalih Chris Smalling,
Phil Jones atau Jonny Evans yang jauh lebih muda dan bertenaga. Akhirnya cara
terbaik yang boleh dilakukan Rio serta Vidic ialah pergi dan ucapkan selamat
tinggal kepada penyokong.
Rio
dan Vidic adalah antara cebisan yang melengkapkan cerita kegemilangan United.
Jika anda menyebut nama Rio, tidak lengkap sekiranya anda tidak menyebut nama
Vidic. Akan sentiasa ada perkaitan nama Vidic di dalam diri Rio, dan begitu
jugalah sebaliknya. Saat mereka meninggalkan kelab, nama mereka diiktraf
sebagai gandingan pertahanan terbaik sepanjang masa United dan juga Liga
Perdana. Rio dan Vidic meninggalkan seribu kenangan kepada penyokong United, dan
hingga sekarang kita masih menanti bilakah watak sehebat duo pertahanan tengah ini
mampu `dijelmakan’ kembali. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan