03 Jun 2021

EMPAT PERKARA MENARIK YANG BERLAKU DALAM KEMPEN UNITED SEPANJANG MUSIM 2020/21

 



23 Mei lalu, saingan musim 2020/21 secara rasmi melabuhkan tirainya. Ini juga bermakna Manchester United sudah mengharungi empat musim terakhir mereka tanpa sebarang kejuaraan sejak kejayaan barisan  kendalian Jose Mourinho menjulang kejuaraan Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa pada musim 2016/17. Kesempatan terbaik untuk United menjulang trofi pertama di era Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun gagal selepas mereka tewas kepada Villareal di pentas final Liga Europa menerusi penentuan sepakan penalti.

 

Antara indikator utama bagi seorang pengurus ialah kejuaraan. Dan meskipun musim ini Solskjaer gagal mengemudi United memenangi sebarang kejuaraan pada musim penuh kedua beliau di Old Trafford, kita juga sebenarnya perlu mengakui ada beberapa catatan positif yang diraih kelab di bawah kendalian beliau. Melihat kepada situasi kelab, percayalah bahawa The Red Devils sedang berada di landasan yang betul dalam proses untuk mereka kembali menjadi pencabar digeruni di bawah regim Solskjaer.

 

Pencapaian Domestik Dan Eropah

 

Musim ini United menamatkan saingan liga di tangga kedua. Jika mahu dibandingkan dengan kedudukan yang diraih mereka musim lalu, ini merupakan satu pencapaian yang boleh dianggap positif. Hanya juara yang akan dikenang sampai bila-bila, tetapi bagi United, posisi mereka di belakang Manchester City musim ini tetap satu indikasi bahawa ada kemajuan yang ditunjukkan oleh barisan kendalian Solskjaer berbanding pencapaian mereka musim lalu (di tangga ketiga).

 

Perjalanan United dalam saingan liga musim ini juga sebenarnya sangat menarik untuk anda perhatikan. Musim lalu United mengharungi sebahagian besar saingan liga mereka dengan berada di kelompok pertengahan, sebelum secara perlahan-lahan mula mendaki ke posisi empat teratas. Bagaimana pula dengan musim ini? Musim ini, United sudah mula menunjukkan bahawa mereka antara pencabar serius kejuaraan liga menerusi keupayaan mereka bersaing di kelompok empat teratas, malah mereka juga sempat memimpin carta liga selama dua minggu.

 

Dalam kejohanan kalah mati piala domestik pula, United mengulangi pencapaian musim lalu dengan mara ke peringkat separuh akhir Piala Liga sebelum disingkirkan Manchester City. Manakala perjalanan mereka dalam kejohanan Piala FA pula dihentikan Leicester City di peringkat suku akhir. Jangan lupakan fakta bahawa dua pasukan (City dan Leicester) yang menyingkirkan United di kejohanan piala domestik musim ini merupakan juara Piala Liga dan Piala FA.

 

Di pentas Eropah pula, United gagal mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga. Akhirnya saingan Liga Europa menawarkan peluang untuk mereka mara sekali lagi ke pentas final buat kali kedua dalam tempoh empat tahun. Bagaimanapun bumi Gdansk, Poland rupa-rupanya tidak cukup bertuah buat The Red Devils dan menjadi saksi kegagalan mereka menjulang trofi pertama di era Solskjaer selepas tewas kepada Villareal menerusi penentuan sepakan penalti.

 

Statistik Di Liga Perdana

 

Seperti yang anda tahu, United menamatkan saingan liga musim ini di posisi kedua. Atau lebih tepatnya, satu anak tangga lebih baik dari pencapaian yang dilakar mereka musim lalu. Sudah tentu kejayaan ini sebenarnya turut dibantu menerusi jumlah kemenangan yang diperolehi dan gol yang berjaya mereka jaringkan ke gawang lawan. Musim ini, United meraih 21 kemenangan dalam saingan liga, catatan yang lebih baik berbanding dua musim sebelumnya.

 

Jika diambil kira jumlah kemenangan yang diraih United dalam saingan liga musim ini, catatan skuad United pada musim 2017/18 yang ketika itu di bawah kendalian Jose Mourinho sebenarnya lebih unggul. United ketika itu menamatkan saingan liga di tangga kedua, menerusi 25 kemenangan, enam keputusan seri dan tujuh kekalahan. Meskipun begitu, tetap ada aspek yang menyaksikan catatan dilakukan skuad Solskjaer musim ini lebih unggul berbanding skuad 2017/18 kendalian Mourinho.

 

Aspek yang saya maksudkan ialah produktiviti barisan serangan United dalam menyudahkan peluang ketika berada di hadapan gawang lawan. Untuk rekod, sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013, United tidak pernah menjaringkan lebih 70 gol semusim dalam saingan liga. Sebelum ini, catatan terbaik mereka ialah 68 gol yang dilakukan pada musim 2017/18. Dalam saingan liga musim ini, United menjaringkan 73 gol, manakala secara keseluruhannya pula mereka menjaringkan 120 gol dalam semua peringkat kejohanan.

 

Penampilan Di Gelanggang Lawan

 

Aspek paling menarik yang dapat anda lihat dalam sisi United musim ini ialah rekod tanpa kalah mereka ketika beraksi di gelanggang lawan dalam saingan liga. Dari 19 penampilan mereka di gelanggang lawan, United menang 12 perlawanan dan seri tujuh kali. Apa yang agak menariknya, United juga menamatkan saingan liga musim ini menerusi kemenangan yang dilakar mereka ke atas Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux menerusi barisan pemain muda yang diturunkan Solskjaer.

 

Catatan ini menyaksikan United muncul pasukan ketiga yang berjaya mengharungi saingan liga tanpa kalah ketika beraksi di gelanggang lawan. Untuk rekod, Preston North End muncul pasukan pertama melakukannya pada musim 1888/1889, manakala Arsenal pula pada musim 2001/02 dan 2003/04. Agak malang, catatan positif ini tidak diimbangi mereka ketika beraksi di gelanggang sendiri yang menyaksikan United tewas enam kali dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford.

 

Faktor Cavani

 

Bruno Fernandes masih terus memukau menerusi peranan penting yang dimainkan beliau dalam menggerakan jentera tengah United. Bagaimanapun pemain yang paling mencuri tumpuan saya musim ini ialah Edinson Cavani. Pada awalnya kedatangan Cavani dilabel sebagai `pembelian panik’, berdasarkan faktor umur dan rekod kecederaan yang dialami beliau. Atas sebab itu jugalah mengapa Paris St Germain tidak berminat mengekalkan penggempur antarabangsa Uruguay ini di Parc des Princes.

 

Tanda-tanda bahawa Cavani bakal bergelut dalam usaha beliau menyesuaikan diri dengan budaya bolasepak Inggeris sudah terlihat sejak awal lagi. Tatkala Anthony Martial masih menjadi sandaran Solskjaer sebagai pemburu gol, kesempatan untuk Cavani beraksi hanya hadir pada perlawanan liga kelima United. Aksi menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 24 Oktober 2020, merupakan penampilan pertama Cavani untuk United. Ketika itu beliau masuk menggantikan Daniel James di minit ke-58.

 

United tewas pada penampilan kedua Cavani dalam aksi menentang Arsenal di Old Trafford, tetapi El Matador tidak menunggu lama untuk melaungkan amaran bahawa beliau masih penggempur berbisa menerusi gol yang diledaknya ke gawang Everton. Gol itu merupakan gol pertama Cavani untuk United, dan gol itu juga saya anggap sangat penting bagi meningkatkan keyakinan serta motivasi beliau. Apatah lagi Cavani sendiri memikul beban selaku penerus legasi penyarung jersi nombor 7 United yang sangat ikonik itu.

 

Gol ke gawang Everton itu bukanlah pertama dan terakhir yang dihasilkan Cavani kerana sepanjang musim ini, beliau menjaringkan 10 gol dari 26 penampilan beliau untuk United dalam saingan liga. Secara keseluruhannya pula, beliau menjaringkan 17 gol dari 39 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Apa yang menariknya, lima dari sepuluh gol dihasilkan Cavani di Liga Perdana dilakukan beliau ketika masuk sebagai pemain gantian.

 

Keseluruhan 17 gol yang dijaringkan Cavani musim ini meletakkan beliau selaku penjaring gol ketiga terbanyak United di belakang Bruno Fernandes dan Marcus Rashford. Ketika kelibatnya mula didambakan penyokong menerusi menerusi naluri pembunuh dan ketajamannya dalam menyudahkan peluang, United akhirnya berjaya memujuk bekas penyerang Palermo itu untuk kekal semusim lagi di Old Trafford. Sama ada United berjaya mendapatkan seorang penyerang baharu musim panas nanti, saya percaya Cavani bakal memainkan peranan penting di barisan hadapan United musim depan.

 

Penutup

 

Ramai penyokong United yang kecewa selepas kelab gagal memenangi sebarang kejuaraan musim ini. Empat musim tanpa sebarang kejuaraan bukanlah situasi yang baik untuk kelab besar seperti United, tetapi saya percaya mereka sedang dalam proses yang betul untuk muncul pasukan yang lebih kuat dan mampu mencabar mana-mana kejuaraan musim depan.

 

Sangat menarik untuk melihat adakah kegagalan menjulang kejuaraan musim ini bakal menjadikan United sebuah kesebelasan yang lebih laparkan kejuaraan musim depan? Dengan perubahan kepada tampuk pengurusan kelab menerusi perlantikan John Murtough selaku Director of Football dan Darren Fletcher selaku Pengarah Teknikal, Solskjaer bakal menerima sokongan lebih padu pada jendela perpindahan pemain musim panas nanti.

 

Tugas Solskjaer selepas ini ialah meminta pihak pengurusan kelab mendapatkan tiga atau empat pemain yang beliau mahukan bagi memperkuatkan skuadnya. Solskjaer perlukan pemain yang ideal dengan taktikal dan strategi permainan beliau, jadi sangat menarik untuk melihat siapakah pemain baharu yang bakal beliau bawa masuk nanti. Musim depan ialah musim `wajib menang trofi’, dan dengan peningkatan berterusan yang sudah ditunjukkan kelab, musim depan adalah musim terbaik buat Solskjaer memenangi kejuaraan pertamanya selaku pengurus United. “Trust the process”…Glory Glory Manchester United!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan